Burung Kenari Dalam Lombong Arang Batu

735

Satu ketika dahulu, burung kenari seringkali digunakan oleh pekerja-pekerja lombong untuk dijadikan penunjuk amaran jika berlaku sebarang kebocoran gas beracun di persekitaran lombong terutamanya di dalam lombong arang batu jauh di bawah tanah.

Sifat burung kenari yang sensitif dengan persekitaran, termasuklah sebarang perubahan dalam komposisi udara di dalam lombong menjadikan kenari sebagai penunjuk paling tepat dan cepat ketika itu untuk memberitahu sesuatu yang tidak kena dengan udara tempat pekerja lombong bawah tanah ini bekerja.

Apa yang berlaku ialah, burung kenari akan mati akibat perubahan kecil tetapi bahaya ini. Mereka akan terlebih dahulu menerima kesan udara toksik dan beracun apabila ia berlaku.

Apabila melihat burung-burung kenari ini mati, semua pekerja lombong akan keluar menyelematkan diri dan ada ketikanya, lombong arang batu itu akan ditutup sehingga keadaan menjadi lebih baik.

Peribahasa Inggeris juga menggunakan analogi yang sama bagi menggambarkan sesuatu perkara atau keadaan yang sebenarnya memberi amaran akan perkara yang lebih besar dan buruk akan berlaku.

Hari ini, kita telah banyak disajikan dengan petunjuk-petunjuk dan amaran-amaran tentang kemandirian ekonomi, peningkatan harga barang, pengangguran serta langkah-langkah kritis dalam pentadbiran yang sebenarnya merupakan “canary in the coal mine” kepada sesuatu yang lebih besar dan kritikal di masa hadapan.

Amaran-amaran ini untuk yang nampak jelas menuntut kita untuk lebih bersedia menangani cabaran mendatang dalam dekad baharu ini.

Katak juga indikator semulajadi dengan sifat sama seperti burung kenari yang amat sensitif kepada pencemaran persekitaran dan ekosistem, kerana sifat dua alam dan menggunakan kulit mereka sebagai deria.

Bila kali terakhir kau dengar dan nampak katak di sekitar rumah, walaupun ketika cuaca basah dan hujan?

Ruangan komen telah ditutup.