Burung Kasawari: Burung Paling Berbahaya

214

Burung kasawari tergolong di dalam kumpulan burung yang tidak berkebolehan untuk terbang iaitu “ratite”. Kumpulan burung ini cenderung untuk mempunyai saiz yang sangat besar atau terma yang lebih tepat ialah “gigantism”.

Anak kasawari

Antara burung-burung besar yang tergolong di dalam kumpulan ini adalah seperti berikut:


Peta taburan “ratites”.

– Elephant Bird ( Madagascar- pupus )
– Burung Moas ( New Zealand- pupus )
– Burung Unta ( Afrika )
– Kasawari ( Papua New Guinea & Australia )
– Emu ( Australia )
– Kiwi ( New Zealand )
– Rheas ( Amerika Selatan )
– Tinamous ( Amerika Selatan )

Ia berevolusi puluhan juta tahun dahulu dan berasal dari benua besar yang dikenali sebagai Gondwana, iaitu setelah benua besar ini berpecah dari “super-continent” Pangaea, kira-kira 180 juta tahun dahulu.

Perpecahan supercontinent Pangaea. 

Membentuk benua Gondwana dan Laurasia.

Perpecahan Gondwana, membentuk daratan Hemisfera Selatan kini.

Perpecahan benua Gondwana secara beransur-ansur akibat pergerakan plat tektonik, kini membentuk daratan Hemisfera Selatan, iaitu Antartika, Afrika, Madagascar, Australasia, Semenanjung Arab dan sub-benua India.

Telur Kasawari

Spesies

Terdapat 3 spesies berbeza untuk burung kasawari dan ia adalah:

– Casuarius casuarius @ Southern Cassowary
– Casuarius unappendiculatus @ Northern
– Casuarius benneti @ Dwarf / Bennett

Southern Cassowary

@

Casuarius casuarius
Northern Cassowary

@

Casuarius unappendiculatus

Dwarf Cassowary
@
Casuarius benneti

Southern Cassowary adalah yang paling besar saiznya diantara ketiga-tiga spesies kasawari ini.

Ketiga-tiga spesies kasawari boleh didapati di hutan hujan Papua New Guinea. Manakala hanya spesies “Southern Cassowary” sahaja terdapat di Australia.

Ciri-ciri

Kasawari merupakan burung ketiga tertinggi, hanya tewas ketinggiannya kepada burung unta dan Emu. Namun begitu, dengan purata ketinggian hampir 6 kaki ini, pasti mampu untuk membuatkan sesiapa sahaja berasa gerun mendekatinya.

Oh ya, kasawari betina lebih besar saiznya daripada burung kasawari jantan. Terdapat seekor kasawari betina yang mempunyai ketinggian 6’6 kaki dan seberat 76 kilogram.

Kasawari dewasa mempunyai bulu-bulu kasar berwarna hitam. Manakala anaknya pula mempunyai bulu berwarna coklat, serta terdapat jaluran hitam.

Bulu-bulunya juga sangat tebal, ini dikatakan untuk melindungi burung kasawari daripada persekitaran hutan hujan yang lasak dan pohon atau dahan yang berduri.

Seterusnya, ketiga-tiga spesies kasawari ini mempunyai pembentukan yang dikenali sebagai “casque” di atas kepalanya, turut dikenali sebagai helmet. Setiap casque ini berbeza untuk setiap kasawari dan menjadi tanda pengenalan (seperti belang pada harimau dan cap jari manusia).

Casque ini diperbuat daripada bahan seperti span pada bahagian dalamnya, dan diliputi oleh pembentukan keratin. Keratin adalah bahan yang sama membentuk kuku manusia.

Tiada siapa tahu apa fungsi casque ini. Namun menurut pakar ornitologi (pengkaji burung), casque ini menunjukkan umur serta tahap dominan bagi setiap kasawari. Ada juga mengatakan bahawa casque ini digunakan untuk mengesan bunyian “infrasound” untuk kasawari berkomunikasi.

Selain itu, terdapat sebuah teori mengatakan bahawa casque ini membantu burung kasawari membuat bunyi-bunyian unik seperti casque yang terdapat pada burung kenyalang.

Ada sebab mengapa burung kasawari ini digelar “the most dangerous bird” @ burung paling berbahaya.

Ini kerana burung kasawari mempunyai kaki besar yang sangat kuat. Selain itu, setiap satu kakinya juga dilengkapi oleh 3 jari dan salah satu daripada jarinya itu, mempunyai kuku tajam seakan belati sepanjang 4 hingga 5 inci.

Jika kasawari berasa terancam, ia mungkin akan menyerang dan menendang. Dengan kuku panjang dan tajam tersebut, ia dengan mudah dapat mengoyakkan dada serta abdomen manusia.

Kaki yang kuat juga bermakna kasawari berupaya untuk berlari dengan kelajuan 50 kilometer/jam. Ia juga mampu melompat setinggi 2 meter / 6-7 kaki ke udara. Oh ya, ia turut mampu berenang dengan baik.

Burung atlet?

Kehidupan

Burung kasawari adalah haiwan yang menghabiskan hidupnya bersendirian kecuali masa untuk mengawan. Kasawari tinggal di dalam kawasan masing-masing yang secara purata berukuran 0.5km sehingga 2km persegi.

Namun di Australia, terdapat catatan menunjukkan keluasan kawasan kasawari mampu untuk mencapai keluasan 7km persegi bagi setiap ekor.

Apabila seekor kasawari jantan bertemu jantan yang lain, mereka akan beradu tenaga sehingga salah seekor daripadanya beredar.

Manakala jika ia terjumpa kasawari betina, kasawari betina hanya perlu untuk mengembangkan bulu dan merenung tajam si jantan, menyebabkan kasawari jantan itu bertempiaran lari.

Pembiakan

Musim pembiakan tiba apabila makanan banyak didapati di lantai hutan, iaitu pada bulan Jun sehingga Oktober.

Kasawari betina yang sebelum ini hanya hidup bersendirian akan mula bertoleransi dengan kehadiran si jantan, dan tidak menghalaunya. Kasawari jantan akan berterusan mengekori si betina sehingga selepas proses mengawan.

Selepas mengawan, kasawari betina akan mengorek lubang pada tanah dan meliputinya sedikit dengan daun-daun. Ia kemudian akan bertelur sebanyak 3-5 biji untuk setiap “batch”, dan tahukah anda bahawa telurnya berwarna hijau? Kemudian, si betina akan beredar dari tempat itu dan mencari jantan lain untuk mengawan.

Seakan telah diceraikan, dan menjadi bapa tunggal, tanggungjawab untuk mengeramkan telur terletak di atas bahu kasawari jantan. Si jantan akan mengeramkan telur tersebut selama 60 hari.

Selepas telur itu menetas, kasawari jantan akan menjaga keselamatan, mengajar anak-anaknya erti kehidupan, dan bagaimana cara untuk memastikan kemandirian diri selama 8 hingga 10 bulan berikutnya.

Selepas anaknya mampu untuk berdikari dan hidup sendiri, kasawari jantan akan menghalau anak-anaknya itu tadi dan mula mencari pasangan baru.

Diet Pemakanan

Diet burung kasawari terdiri daripada buah-buahan pokok hutan serta haiwan-haiwan kecil seperti ular, katak, dan tikus. Ini menjadikan burung kasawari sebagai haiwan omnivor, namun makanan utamanya adalah buah-buahan. Mujurlah ia bukan karnivor seperti burung purba “Terror Bird” atau dinosaur Velociraptor.

Terdapat catatan menunjukkan diet kasawari terdiri daripada 238 spesies buah-buahan tumbuhan hutan. Dan 70 daripadanya hanya mampu untuk dimakan oleh burung kasawari sahaja, berikutan saiz buahnya yang sangat besar untuk dimakan oleh haiwan lain. (Ambil kira faktor penyebaran benih)

Selain itu, terdapat buah-buahan yang hanya boleh dimakan oleh burung kasawari kerana ia bertoksik untuk dimakan haiwan lain. Namun ia tidak memberi kesan toksik kepada burung kasawari, kerana kasawari dilengkapi oleh sistem penghadaman yang hebat.

Sistem penghadaman kasawari terdiri daripada beberapa enzim penghadaman, usus yang pendek, serta hati atau “liver” yang sangat aktif, berfungsi sebagai penapis dan pembuangan bahan bertoksik.

Usus yang pendek membantu mempercepatkan proses penghadaman serta berfungsi untuk menjaga struktur biji benih supaya tidak mudah rosak, menjamin percambahan.

Selain itu, terdapat sebuah kajian yang dijalankan membuktikan bahawa, terdapat satu spesies tumbuhan hutan yang biji benihnya hanya akan bercambah apabila melalui sistem penghadaman burung kasawari sahaja.

Burung kasawari akan memakan buah dari lantai hutan sebiji-sebiji, bukan hanya mematuk isinya sahaja. Selepas proses penghadaman isi buah, biji benih tersebut akan keluar melalui proses perkumuhan (tahi).

Kemudian, benih yang terdapat di dalam tahi itu, seterusnya akan bercambah dengan mudah, berikutan kehadiran nutrien, iaitu tahi kasawari itu tadi. Burung kasawari ini seolah-olah berperanan sebagai tukang kebun di hutan.

Terancam

Populasi burung kasawari dikelaskan sebagai terancam di Australia. Malah terdapat sumber mengatakan bahawa jumlah burung kasawari adalah lebih sedikit daripada jumlah panda di China.

Penurunan populasi adalah disebabkan oleh beberapa faktor dan ia adalah seperti berikut.

– Kehilangan habitat akibat pembangunan perumahan dan tanah pertanian.

– Pembahagian kawasan habitat akibat pembinaan jalan raya seterusnya menyebabkan banyak kasawari yang mati dilanggar oleh kenderaan.

– Kasawari kecil terdedah kepada serangan haiwan peliharaan seperti anjing.

– Kehadiran babi liar juga menyebabkan kehilangan kawasan habitat dan sumber makanan yang mencukupi buat kasawari.

-Dan yang paling tragis sekali adalah, tabiat manusia yang gemar memberi makan kepada burung kasawari. Ini menyebabkan perubahan sikap kasawari, ia menjadi lebih ‘jinak’ dan mengharapkan manusia untuk memberinya makan. Selain itu, ia akan mudah merayau ke kawasan sub-bandar, seterusnya terdedah kepada risiko dilanggar kenderaan dan digigit anjing.

Akhir kata, berikutan fakta-fakta yang disebutkan di atas, membuktikan bahawa burung kasawari memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga kepelbagaian bio tumbuh-tumbuhan di dalam habitatnya.

Rujukan:

Casowaries, Big Bird by Olivia Judson. Retrieved from: https://www.nationalgeographic.com/magazi…/…/09/cassowaries/

Cassowaries. Retrieved from: https://animals.sandiegozoo.org/animals/cassowary

Cassowaries. Retrieved from: https://www.wettropics.gov.au/cassowaries

Gondwana. Retrieved from: https://www.wettropics.gov.au/gondwana

Feathered giants and the split of Gondwana. Retrieved from: https://mappingignorance.org/…/feathered-giants-split-gond…/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.