Jepun mempunyai reputasi sebagai sebuah masyarakat yang homogen (bangsa sama) dan hidup secara harmoni untuk bertahun-tahun lamanya. Jika ada sekalipun orang asing, perbezaan bahasa amat jarang dan jika kita amati dari luar, perbezaan kelas dilihat tidak pernah berlaku. Tetapi seperti mana sesetengah negara seperti India dan Nepal, isu kasta juga turut membelenggu negara Matahari Terbit itu membabitkan satu komuniti yang dipanggil burakumin.

Siapa burakumin ini? Burakumin merujuk kepada kelompok minoriti yang melakukan pekerjaan yang dianggap tidak suci menurut kepercayaan Buddha atau Shinto seperti pelacur, peminta sedekah, bekas banduan (terpakai juga kepada bekas ahli yakuza), ahli akrobat dan tukang sapu. Ada juga yang termasuk dalam kategori ini jika mereka melakukan perkara keji yang dahsyat seperti sumbang mahram atau mengadakan hubungan seksual dengan haiwan. Tetapi mereka yang digelar eta ini sudah mendapat label tersebut bila mereka lahir lagi. Keluarga-keluarga mereka melakukan pekerjaan-pekerjaan yang kotor sehingga dianggap jijik di mata masyarakat seperti menyembelih binatang, menguruskan pengebumian atau sebagai algojo hukuman mati.

Bagaimana sistem kasta ini boleh wujud? Jika anda hendak mencari pesalah, salahkan Toyotomi Hideyoshi yang memperkenalkan sistem masyarakat yang tegar di mana ia terbahagi kepada empat kelas: samurai, petani, artisan dan pedagang. Individu yang melakukan pekerjaan-pekerjaan yang jijik tidak termasuk dalam kategori empat kelas ini dan menjadi kelompok eta yang pertama. Orang eta tidak boleh berkahwin dengan mana-mana anggota empat kelas masyarakat ini dan mereka akan berusaha menjaga hak mereka seperti hak mengutip bangkai haiwan ternakan atau hak meminta sedekah di sesetengah bahagian tertentu di bandar. Walaupun dipandang hina oleh masyarakat, itu tidak menghalang sesetengah pemimpin eta menjadi kaya-raya terutama semasa era Keshogunan Tokugawa. Ini kerana mereka memonopoli pekerjaan yang dianggap kotor ketika itu.

Tetapi semua itu berubah selepas Keshogunan Tokugawa disingkirkan dan kuasa maharaja dikembalikan semula semasa era Pemulihan Meiji. Kerajaan baru yang dipilih memutuskan untuk memusnahkan sistem lama Hideyoshi dan memberi peluang kesamarataan kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira masa silam mereka. Walaupun kelompok eta diberi status sama seperti bekas anggota empat kelas masyarakat sebelumnya, diskriminasi dan tentangan orang ramai masih tegar terhadap mereka ketika itu. Ini menyebabkan kerajaan mengelaskan kelompok eta dengan nama yang baru: burakumin.

Tokyo berusaha menaiktaraf taraf kehidupan kelompok burakumin termasuk memberi dana projek asimilasi membabitkan projek perumahan dan kos sara hidup tetapi diskriminasi membabitkan mereka terus berlaku sehingga ke hari ini. Pada tahun 1970-an, satu kumpulan hak asasi burakumin mendedahkan 330 dokumen tulisan tangan yang mendedahkan senarai nama burakumin dan lokasi komuniti yang dijual secara rahsia terhadap majikan melalui pesanan pos. Senarai ini digunakan oleh banyak firma Jepun termasuk firma-firma besar untuk menapis pencari kerja yang berpotensi dan bebas dari latar belakang burakumin. Pendedahan ini mendorong kerajaan menggubal satu undang-undang baru pada dekad sama yang mengharamkan perbuatan diskriminasi itu. Hari ini, terdapat lebih tiga juta burakumin di Jepun.

Ironinya, sesetengah pekerjaan yang dianggap tabu dan sepatutnya dijauhi turut menghasilkan produk-produk berkualiti yang menjadi kegemaran bukan saja masyarakat Jepun tetapi juga penduduk dunia amnya. Bagi yang bekerja di pasar daging Shibaura di Tokyo, semua tahu inilah lokasi terbaik untuk mendapatkan daging lembu wagyu yang disediakan dengan penuh teliti dan harganya boleh bikin bebola mata sesiapa saja terkeluar. Proses penghasilan daging wagyu memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi dan pekerjaan ini memerlukan masa sedekad bagi sesiapa yang mahu mempelajarinya. Tetapi bila ditanya pekerjaan sebenar mereka, kebanyakan pekerja enggan mendedahkan pekerjaan sebenar mereka. Bagi penyembelih Yuki Miyazaki, dia berbuat demikian kerana mahu melindungi ahli keluarganya terutama anak-anak dari mengalami diskriminasi sama seperti mereka.

Bagi Presiden Kesatuan Rumah Sembelihan Shimabaura Yutaka Tochigi, semasa meninggalkan pekerjaan lamanya sebagai pengaturcara komputer untuk bekerja di Shimabaura demi menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga, tindakan tersebut nyata kurang disenangi keluarganya. Tochigi berkata, “Bapa saya memberitahu saya sepatutnya bekerja mengepam tangki septik. Saya sedar apa yang dia maksudkan ialah saya lakukan pekerjaan burakumin.” Walaupun tidak datang dari keluarga berketurunan burakumin, dia masih ingat layanan dingin yang diberikan keluarga iparnya bila dia mendedahkan pekerjaan sebenarnya.

Selain isu layanan dingin keluarga, mana-mana individu yang melakukan pekerjaan burakumin atau datang dari latar belakang kelompok itu turut berhadapan kesukaran mendapatkan pasangan hidup. Satu kajian yang dijalankan Kerajaan Metropolitan Tokyo pada tahun 2014 mendapati 26.6% responden menolak idea anak-anak mereka yang berkahwin dengan individu berlatarbelakangkan burakumin termasuk 4.3% menganggap senario tersebut langsung tidak boleh diterima. Satu lagi kajian pada tahun 2012 membabitkan wilayah Aichi pula mendedahkan 48.5% responden memprotes perkahwinan dengan burakumin tetapi ada yang sedia bersetuju jika itu yang dihajati oleh anak-anak mereka.

Kelompok burakumin turut dihantui masalah penyiaran lokasi mereka oleh pengamal-pengamal media yang tidak bertanggungjawab. Satu kes menarik pada Mac dan April 2016 mendedahkan sebuah syarikat penerbitan diarah oleh mahkamah Yokohama menghentikan penerbitan dan penjualan buku yang mendedahkan maklumat kelompok buraku. Syarikat yang berpangkalan di Kawasaki itu turut diarah oleh mahkamah sama untuk memadamkan maklumat burakumin dari laman sesawang mereka. Menurut wartawan bebas Nobuhiko Kadooka, penyiaran maklumat sebegini dianggap melanggar privasi golongan burakumin dan menyukarkan usaha mereka menyembunyikan latar belakang mereka.

Tetapi hari ini, isu diskriminasi membabitkan burakumin sudah mula berkurangan tetapi itu bukan bermakna Jepun perlu duduk diam begitu sahaja. Pada tahun 2006, satu laporan hak asasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan isu diskriminasi membabitkan burakumin sudah berakar umbi sejak sekian lama dan mendesak pihak kerajaan menggubal satu undang-undang baru bagi menangani isu ini. Selain itu, media dan masyarakat juga dilihat harus menanggung kesalahan sama kerana mengambil sikap memandang sebelah mata dan enggan mengambil langkah konstruktif untuk memulihkan apa yang dianggap salah satu babak hitam sejarah negara Matahari Terbit itu.

Atas sebab itulah pada tahun 2016, satu undang-undang baru membabitkan burakumin digubal di Diet. Undang-undang ini merupakan gagasan bersama tiga parti politik iaitu Parti Liberal Demokratik Jepun (LDJ), Parti Demokrat Jepun (DPJ) dan Komeito. Menerusi undang-undang itu, ia mengakui diskriminasi terhadap golongan itu benar-benar wujud dan mengisytiharkan bahawa ia harus menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menghentikannya. Undang-undang ini mewajibkan kerajaan pusat dan pihak berkuasa tempatan mewujudkan sistem perundingan, menambahbaik sistem pendidikan dan melancarkan siasatan terhadap aduan diskriminasi jika diperlukan. Tetapi undang-undang ini tidak mengharamkan sebarang bentuk diskriminasi terhadap burakumin dan tiada sebarang hukuman diwujudkan bagi pesalah ini. Ini bermakna kegagalan menguatkuasa undang-undang tersebut tidak akan dikenakan denda atau hukuman penjara.

Tetapi tidak semua yang berpuas hati dengan penggubalan undang-undang ini. Walaupun pada dasarnya ia merupakan satu pencapaian, wujud kebimbangan ia akan menimbulkan semula prejudis terhadap kelompok ini. Menurut Pengerusi Konfederasi Gerakan Hak Asasi Manusia dalam Komuniti Kebangsaan Seishi Tanba, undang-undang ini akan mewujudkan persepsi diskriminasi membabitkan burakumin masih wujud dan ini secara tidak langsung boleh mengundang gangguan terhadap privasi dan ketenangan penduduk yang menetap di lokasi burakumin. Sementara Parti Komunis Jepun (JCP) pula menentang undang-undang tersebut kerana merasakan ia akan menambah lagi jurang antara kelompok burakumin dengan kelompok bukan burakumin. Malah bagi sesetengah penduduk, mereka merasakan undang-undang itu memberi banyak ruang kepada kerajaan tempatan untuk tidak melaksanakan undang-undang berkenaan.

RUJUKAN:

1. BBC. (2015). Japan’s hidden caste of untouchables. https://www.bbc.com/news/world-asia-34615972

2. Priestley, Ian. (2009). Breaking the silence on burakumin. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/community/2009/01/20/issues/breaking-the-silence-on-burakumin-2/

3. Szczepanski, Kallie. (2018). Japan’s Untouchables: The Burakumin. ThoughtCo.com. https://www.thoughtco.com/who-are-the-burakumin-195318

4. Williams, Rhian. (2015). Burakumin: Descendants of caste considered ‘tainted’ face new discrimination in Japan. The Independent. https://www.independent.co.uk/news/world/asia/burakumin-descendants-of-caste-considered-tainted-face-new-discrimination-in-japan-a6791141.html

5. Osaki, Tomohiro. (2016). New law to fight bias against ‘burakumin’ seen falling short. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2016/12/19/reference/new-toothless-law-fight-bias-burakumin-seen-falling-short/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.