Bunga Seroja: Perkongsian Warisan Buddha Dan Tamadun Melayu

474

Malam ni sempena Hari Wesak, nak cerita pasal bagaimana bunga Seroja menjadi medium hubungkait orang Melayu dengan warisan purba dan kepercayaan konsep ketuhanan Buddha mereka di zaman Pra Islam, terutama ketika era Empayar Melayu Srivijaya.

Semasa zaman Pra Islam, orang Melayu ketika itu amat rapat dengan agama Buddha selain dari agama Hindu.

Malah, pasca kedatangan Islam sekalipun, banyak sekali warisan agama Buddha masih menjadi sebahagian dari asas dalam warisan seni dan kebudayaan Melayu.

Jika diperhatikan dengan teliti, motif ‘bunga Seroja’ atau ‘Lotus’ misalnya amat meluas menjadi hiasan dalam seni dan kebudayaan orang Melayu sehingga hari ini. Tetapi motif dan perlambangan Seroja dalam warisan seni dan kebudayaan Melayu ini sebenarnya berasal dari agama Buddha.

Lagenda terkenal dalam teks purba Sutra Seroja yang dimuatkan dalam kitab Mahayana menyatakan bahawa bunga Seroja tumbuh asalnya dari tempat Buddha berpijak dan menjejakkan kaki.

Seroja sejak itu menjadi simbol kesucian sifat kerana resam bunga itu tumbuh dari air dengan akarnya terbenam pada dasar yang berlumpur, namun bunganya sendiri menjauhi permukaan air dan lumpur melambangkan keinginan menjauhi maksiat dan kehinaan. Ia turut membawa maksud cahaya dan hidayah yang dibawa oleh Buddha dalam ajarannya.

Di kawasan pergunungan Tibet dan Nepal, yang terkenal dengan anutan Buddha dan dikatakan tempat kelahiran Gautama Buddha sering mengamalkan zikir khusus memuji Buddha dengan perlambangan bunga Seroja. Penganut Buddha di sana mempercayai bahawa Seroja adalah simbol kepada kebijaksanaan cara berfikir dan kemahiran yang dimiliki Buddha.

Asalnya, kebanyakan kerajaan-kerajaan Melayu beragama Buddha seperti Empayar Melayu Srivijaya. Hari ini, selepas orang Melayu rata-ratanya mendakap erat ajaran dan budaya Islam sebagai agama mereka, sifat syumul dalam Islam tidak pula menghalang penggunaan simbol seni dan budaya turun temurun orang Melayu melalui perlambangan Seroja ini.

Sejak menganut Islam, motif Seroja tidak ada lagi membawa mesej dan perlambangan spiritual Buddha sebaliknya diangkat menjadi inspirasi dalam perlambangan nilai-nilai moral yang dan keindahan flora dalam Alam Melayu.

Selagi ia tidak menyalahi hukum syarak dan membelakangkan ajaran melalui Islam yang dibawa oleh Rasulullah, Seroja kekal menjadi elemen penting dalam motif berkaitan seni dan warisan orang Melayu.

Terbaru: Fiksyen Mahakarya

Motif Seroja hari ini banyak dapat dilihat pada pendokok keris, pending, ukiran pada tebar layar rumah tradisional Melayu, motif tenunan songket dan tekat Melayu dan banyak cap mohor pembesar Melayu, dengan kebanyakan memiliki kelopak Seroja, genap antara 8-12 bilangannya.

Malah, motif Seroja juga dapat dilihat pada makanan tradisional Melayu seperti kuih bakar dan bahulu hinggalah kepada sejenis kuih dengan nama kuih Seroja.

Asimilasi budaya dan warisan Buddha diserap menjadi sebahagian identiti warisan seni dan kebudayaan orang Melayu ini membuktikan betapa mudahnya orang Melayu menerima kebudayaan agama lain dengan lapang dada sekalipun Islam telah lama menjadi pegangan agama mereka, selagi ia tidak menyalahi syarak.

Perlambangan elemen flora yang menjadi pilihan utama dalam ajaran Islam berbanding motif fauna juga menjadi salah satu sebab mengapa motif Seroja kekal dalam dada orang Melayu.

Sifat keterbukaan orang Melayu inilah yang seringkali disalah anggap dan diambil kesempatan oleh orang lain, menzahirkan penghinaan mereka terhadap warisan seni dan kebudayaan orang Melayu.

Pada Hari Wesak ini sama-samalah kita meraikan persamaan yang wujud dalam kalangan kita berbanding berbalah tentang perbezaan yang wujud antaranya.

Seroja mekar kembangnya cantik,
Atas tasik tumbuh melata,
Memang Melayu bicaranya baik,
Tapi melawan andai dinista.

Gambar-gambar dalam artikel adalah sebahagian dari pameran di Muzium Negeri Terengganu, Bukit Losong, Terengganu, semuanya jelas menjadikan motif Seroja pada hiasan dan tempaannya.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.