Bunga Orkid Yang Paling Hodoh Di Dunia

430

Pra-tempah hanya di Shopee

Kita tahu bahawa bunga orkid berasal dari pokok orkid yang menjalar dan biasa dilihat di taman bunga. Bunga orkid juga terkenal dengan kecantikannya kerana warna ungu dan indigo pada kelopok bunga itu amat memukau kepada sesiapa yang melihatnya.

Tetapi pada tahun lepas, para ahli botani dari jabatan Royal Botanic Gardens (RBG) yang bertempat di Kew, UK (United Kingdom) telah mengisytiharkan bunga orkid Gastrodia agnicellus dari hutan Madagascar sebagai bunga orkid paling hodoh di dunia.

Apakah pokok bunga orkid Gastrodia agnicellus itu? Mengapa ia digelar sebegitu rupa?

Pokok bunga orkid ini sebenarnya baru saja ditemui pada bulan September 2019 namun anehnya pokok ini adalah ia menjalar di bawah tanah, tidak seperti pokok bunga orkid lain yang menjalar ke atas semasa-mata mendapatkan sumber cahaya matahari.

Sekitar bulan Ogos dan September, bunga orkid mekar dan berbuah dari daun pokok yang muncul dari tanah. Bunga orkid Gastrodia agnicellus hanya kecil dengan panjangnya hanya 11 millimeter. Kelopoknya biasanya berwarna perang dan putih.

Rupa bunga ini agak aneh, kadang-kadang seperti bunga ros dan pada yang sama ia seperti mulut yang bakal membaham mangsanya. Jadi tidak hairanlah mengapa bunga ini digelar sebagai bunga orkid terhodoh.

Pokok orkid ini sebenarnya meliar dalam hutan Madagascar namun tiada siapa dapat mengesannya sehingga bulan September 2 tahun lepas. Menurut ahli botani RBG bernama Johan Hermans, sebahagian dari pokok bunga orkid Gastrodia agnicellus sebenarnya telah ditemui di tenggara Madagascar pada tahun 1990-an dan telah diberi nama sebagai Gastrodia madagascariensis.

Masuk bulan Disember 2017, sekumpulan ahli botani RBG melakukan kajian di Madagascar dan menemui daun pokok Gastrodia yang berbentuk tirus dan kering buat pertama kali dalam kawasan Ranomafana. Mereka kemudian melawat lagi kawasan yang sama pada September 2019 dan menemui bunga dan buah berkembang dari daun-daun pokok tersebut.

Tambahan Hermans lagi, lapisan daun pokok Gastrodia itu terbuka dan keluarnya bunga-bunga orkid itu. Setelah melakukan pemerhatian, ternyata rupa bunga orkid itu berbeza dari pokok orkid Gastrodia madagascariensis yang ditemui pada 1990-an.

Pokok bunga orkid ini ditemui bersembunyi dalam semak-samun hutan, sekitar akar pokok, bersembunyi dalam kalangan pokok bunga lain, lumut, dan timbunan daun kering. Walaupun rupa bunga orkid Gastrodia agnicellus agak buruk, namun ia tetap mengeluarkan bauan wangi kasturi. Pokok bunga orkid ini juga mampu tumbuh meliar apabila berada pada suhu sederhana.

Pokok orkid Gastrodia agnicellus tidak mempunyai tisu fotosintesis yang mampu menarik cahaya matahari sebagai sumber tumbesaran. Pokok ini adalah jenis pokok holomycotroph – sejenis pokok orkid yang bergantung kepada hubungan dengan kulit bagi memperoleh sumber tumbesaran. Kulat mengekstrak nutrien seperti karbon dari tanah atau pokok lain, kemudian pokok orkid mengambil nutrien tersebut dari kulat.

Biasanya pokok orkid banyak bergantung kepada hubungan dengan kulat dalam kitaran hidup pokok ini. Tetapi apabila mencapai kematangan, kebergantungan kepada kulat mulai pudar. Untuk kes Gastrodia agnicellus, tiada pasti wujudkah hubungan dengan kulat ini namun habitatnya yang berada di bawah tanah memungkinkan hubungan tersebut wujud, seperti halnya dengan pokok orkid lain.

Walaupun spesis pokok orkid ini baru ditemui tetapi ia diancam kepupusan kerana aktiviti pembakaran terbuka dan perladangan menggugat habitatnya. Kajian selanjutnya akan berlangsung terhadap pokok orkid ini yang ditemui di Taman Negara Ranomafana dan sekarang ia memerlukan perlindungan dari sebarang kemusnahan habitat.

RUJUKAN:

Starr, M. (18 December 2020). It’s Official: Botanists Have Found The Ugliest Orchid in The World. Science Alert. Retrieved from 17 January 2021. \

Hermans, Johan (September 2020). Illustration by Deborah Lambkin. “Gastrodia Agnicellus: A new holomycotrophic orchid from southeast Madagascar Orchidaceae”. Curtis’s Botanical Magazine. 37 (3): 385–395. \

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.