Fenomena Bundle boleh dikatakan agak ‘trending’ pada zaman ini dan pertumbuhan kedai-kedai bundle diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kita dapat lihat di merata-rata tempat sekarang mudah untuk menjumpai kedai-kedai bundle.

Penerimaan masyarakat terhadap pakaian bundle juga bertambah agak baik. Kalau dahulu segelintir daripada kita yang mempunyai pandangan yang ‘double standard’ terhadap pakaian bundle. Artikel ini akan mengupas serba sedikit tentang teori ‘perbundle-an’, sejarah atau scene bundle di Malaysia, dan bagaimana evolusi bundle berlaku.

Apa itu Bundle?

Tahukah anda merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat carian perkataan ‘bundle’ tidak memberi apa-apa maksud dalam Bahasa Malaysia. ‘Bundle’ sebenarnya diambil daripada perkataan Inggeris yang memberi maksud ikatan ataupun bungkusan.

Berdasarkan maksud tersebut, bolehlah kita membuat andaian bijak dan pandai iaitu pakaian-pakaian yang telah dibungkus atau diikat. Menurut pandangan penulis yang menggunakan teori bijak pandai, proses bermula dengan pakaian dibungkus, kemudian di’compress’ dan akhir sekali diikat. Inilah yang dikenali sebagai guni ataupun ‘tokol’ secara amnya di kalangan penggiat tegar serta professional dalam profesion bundle.

Pakaian-pakaian yang dibungkus/diikat ini adalah dari luar negara seperti US, Eropah dan Jepun. Ianya dijual secara pukal oleh pembekal luar negara dan dibeli oleh pembekal di Malaysia untuk pasaran tempatan. Secara umumnya, masyarakat beranggapan pakaian bundle adalah pakaian yang telah dipakai ataupun terpakai, tetapi tahukah anda sebenarnya tanggapan ini adalah kurang betul lagi kurang cerdik.

Ironinya pakaian bundle juga merangkumi pakaian baru yang kebanyakan barangan ‘reject’, stok lama untuk dilupuskan, dan juga lebihan pakaian yang dicetak khas untuk ‘event-event’ tertentu.

Sejarah Bundle di Malaysia

Menyusuri sejarah peradaban bundle di Malaysia, berdasarkan kaca mata penulis ia mula mendapat tempat di Malaysia pada sekitar tahun 90-an dan antara negeri yang popular dengan bundle semasa zaman ini adalah Kelantan. Di sini penulis akan bercerita tentang scene bundle di Kelantan sahaja kerana kekurangan maklumat untuk negeri lain (digalakkan pembaca-pembaca dari negeri lain yang ingin berkongsikan pengalaman/pandangan mengenai bundle ditempat mereka bolehlah menulis serba sedikit di ruangan komen).

Di Kelantan pada tahun 90-an biasanya pakaian bundle akan dijual oleh peniaga di pasar-pasar pagi atau malam. Pada masa ini pakaian-pakaian yang dijual hanyalah berharga serendah satu ringgit sahaja dan tidak ramai yang ada ilmu/kepakaran mengenai jenis pakaian yang mempunyai nilai sentimental tinggi merangkumi baju band, seluar jeans, baju berjenama, baju designer dan sebagainya. Amatlah beruntung penyelam-penyelam bundle yang mempunyai pengetahuan pada masa tersebut disebabkan kurang persaingan untuk mendapatkan barangan ‘jackpot .

Selain pasar-pasar, penulis tidak berapa pasti tentang kewujudan kedai bundle yang lain kecuali ada sebuah kedai pakaian terpakai yang terletak di dalam pasaraya Hankyu Jaya Kota Bharu dan jika tak silap kedai tersebut bernama American House. Di situ terdapat pelbagai jenis pakaian terpakai yang bersaiz besar dan semestinya di import dari luar negara (majoriti bersaiz L dan ke atas).

Sehinggalah pada kurun ke 21 ataupun melepasi zaman Y2K atau lebih popular dikenali dengan zaman alaf baru, bundle sudah mula berkembang dan mula mendapat tempat dihati remaja-remaja di Kelantan. Pada masa ini, antara tempat-tempat selaman bundle yang menjadi tumpuan adalah pasar pagi di Wakaf Che Yeh dan Tok Bali. Tidak lupa juga syurga bundle kasut di sepanjang 200 Meter (anggaran) jalan hentian Lampu Isyarat simpang empat bandar Machang menghala ke Tanah Merah.

Penulis masih lagi ingat sekitar tahun 2002, kasut Converse Chuck Taylor High Cut USA boleh didapati dengan harga serendah RM50 di situ. Bahkan terdapat banyak juga kasut Adidas lama (city series) yang juga boleh didapati dengan mudah dan murah.

Evolusi Bundle

Pada pandangan penulis, bermula pada sekitar tahun 2003-2004, anjakan paradigma telah berlaku dalam industri bundle. Beberapa penjual secara separuh masa ‘part time’ telah menjadikan internet sebagai medium untuk menjual barangan bundle mereka. Sekadar menyahut salah satu visi cabaran Wawasan 2020 iaitu masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan , ternyata ini merupakan titik permulaan (starting point) dalam industri bundle di tanah air.

Antara medium jualan yang popular pada masa tersebut adalah platform sosial seperti MySpace dan Friendster sebelum penjual-penjual beralih kepada laman sesawang blog (blogspot). Boleh dikatakan semasa zaman kemuncak jual beli bundle diatas talian terdapat beratus-ratus kedai bundle atas talian yang aktif.

Seiring dengan kemajuan teknologi internet tanpa sempadan yang sangat pesat , dengan kewujudan Facebook ternyata peniaga-peniaga bundle sangat progresif dan proaktif  dengan menggunakan peluang ini untuk menjual barangan bundle di medium sosial facebook. Dan lama kelamaan platform jual beli bundle di blog atau laman sesawang mula berkubur (anggaran 2003-2010).

Tidak dinafikan juga boleh dikatakan ramai penjual-penjual bundle dari Malaysia sudah menempah nama atau dikenali diperingkat antarabangsa di medium-medium jualan yang popular seperti Ebay, Etsy, Mercari dan Grailed. Mungkin penulis akan membuat satu artikel mengenai jualan di medium-medium tersebut dan berkongsi serba sedikit pengalaman dan ilmu yang tak seberapa ini.

Mungkin pembaca tertanya-tanya apakah pakaian yang dijual dan mendapat sambutan hangat di pasaran antarabangsa ini? Memandangkan topik tersebut memerlukan ulasan yang panjang lebar maka penulis merasakan ia perlu ditulis dalam artikel yang lain.

Kesimpulannya industri Bundle adalah satu benda yang unik serta ada kelas yang tersendiri dan masih lagi utuh bak kata pepatah ‘tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan’. ‘Hanya Jauhari yang Mengenal Manikam’ itulah perumpaan yang dapat diterjemahkan mengenai bundle ini. Selagi ada ekosistem yang menyokong atau menggunakannya selagi itulah bundle akan terus hidup dan berkembang.

Nota kaki :

Artikel ini adalah ditulis/dikarang berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis sahaja. Jika pembaca ada benda lain untuk ditambah bolehlah berbuat demikian diruangan komen dan digalakkan juga untuk berkongsi gambar-gambar scene bundle pada zaman dulu-dulu.

Artikel dikirimkan oleh Payeh Wemark untuk The Patriots


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.