DIAM tak diam, kita sudahpun memasuki bulan Safar iaitu bulan kedua di dalam kalendar Islam. Dan apabila berbicara mengenai bulan Safar ini terlalu banyak mitos yang menyelubunginya. Mungkin generasi baru tidak mengetahui bahawa suatu waktu dahulu di kalangan masyarakat Melayu Islam amat mempercayai bahawa bulan Safar ini adalah bulan yang tidak baik.

Dek kerana atas kepercayaan itulah ada pelbagai tanggapan mengenainya antaranya mana-mana bayi yang dilahirkan pada bulan Safar dianggap mempunyai perwatakan yang ganas atau buas apabila sudah besar kelak. Juga kerana bulan Safar itu dianggap tidak baik jadi masyarakat Melayu suatu waktu dahulu langsung tidak mahu ada mana-mana majlis pertunangan mahupun perkahwinan diadakan sepanjang bulan tersebut.

Dan apabila berbicara mengenai bulan Safar di dalam konteks kepercayaan Melayu Sarawak mempunyai beberapa tradisi yang berkaitan dengannya. Dan sejajar dengan waktu juga setelah kefahaman mengenai ajaran agama Islam mulai berkembang maka ada sesetengah tradisi ini sudah tidak dipraktikkan lagi sesuai dengan fatwa yang dikeluarkan oleh alim ulama Islam di Sarawak.

Oleh kerana keterbatasan rujukan berdokumen maka ada sesetengah tradisi yang hilang ini dapat diperjelaskan melalui kajiselidik yang dibuat oleh penulis. Ianya adalah berdasarkan kepada pengalaman beberapa orang Melayu Sarawak yang pernah mengalami sendiri beberapa tradisi tersebut suatu waktu dahulu di Sarawak.

Adat Bertimbang

Sudah menjadi adat untuk setiap bayi yang baru dilahirkan di kalangan masyarakat Melayu akan melalui beberapa kenduri seperti majlis cukur jambul. Kebiasaannya majlis cukur jambul akan diadakan menjelang 40 hari selepas bayi itu dilahirkan. Untuk bayi yang dilahirkan pada bulan Safar pula mempunyai penambahan acara iaitu akan diadakan satu upacara yang dipanggil Adat Bertimbang.

Oleh kerana bulan Safar itu dipercayai bulan yang tidak baik dan sering berlaku bencana maka setiap bayi yang dilahirkan pada bulan Safar akan melalui satu proses bertimbang yang mana salah satu tujuannya untuk mengimbangi kebaikan dan keburukan.

Ianya seakan-akan adat berendoi seperti yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia cuma berbezanya akan terdapat dua buaian yang disediakan seperti bentuk neraca. Pada masa itu, satu buaian akan diletakkan bayi yang lahir di bulan Safar dan satu buaian lagi akan kosong.

Oleh kerana ianya bersangkutan untuk mengimbangi kebaikan dan keburukan makanya buaian yang kosong itu akan diletakkan barang keperluan dapur seperti beras, gula bahkan buah-buahan. Ianya akan terus diisi sehinggalah kedua buaian itu seimbang beratnya.

Sesuai dengan peredaran zaman dan juga kefahaman agama Islam yang lebih menyeluruh menyebabkan adat bertimbang ini juga sudah “hilang” di dalam sosio penghidupan masyarakat Melayu Sarawak sekarang.

Mandi Safar

Ada yang menggelarnya sebagai Temasya Mandi Safar dan merupakan satu perayaan orang Melayu di negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. Untuk negeri seperti Kelantan dan Trengganu iaitu Malaysia Timur ianya lebih dikenali sebagai Pesta Puja Pantai.

Kebiasaannya temasya ini diadakan saban tahun iaitu jatuhnya pada hari Rabu yang terakhir dalam bulan Safar. Oleh kerana ianya masih berkisar mengenai kepercayaan bahawa bulan Safar itu adalah bulan yang penuh bencana dan tidak baik maka harus diadakan satu upacara menolak bala. Oleh kerana ianya melibatkan mandi manda berserta bacaan tolak bala maka lokasi ia diadakan adalah di tepi sungai mahupun tepian pantai. Salah satu penyebabnya adalah air itu akan mengalir ke laut yang luas dan tidak ditadah pada satu tempat sahaja.

Untuk konteks Sarawak, berdasarkan sumber lisan hasil daripada kajiselidik yang dibuat oleh penulis sendiri iaitu pengalaman daripada Encik Kaharuddin bin Abdullah, anak jati Kampung Santubong di Kuching menyatakan bahawa suatu waktu dahulu di Santubong pernah menjadi kawasan tumpuan untuk dua acara besar. Pada setiap 10 Safar, pantai Santubong akan dipenuhi oleh masyarakat Melayu Sarawak dari pelbagai perkampungan sekitar Kuching untuk mengadakan acara mandi manda beramai-ramai. Adalah dipercayai mandi manda itu diadakan bagi menyucikan dari daripada sebarang keburukan sepanjang tahun.

Kemudian pada akhir bulan Safar pula ianya lebih besar kerana pantai Santubong seolah-olah berpesta pada masa itu. Dan ada ketika ianya turut menyajikan tarian singa sebagai bentuk persembahannya. Menurut beliau selang beberapa hari itu para nelayan yang terdiri daripada Melayu dan Cina berpantang turun ke laut. Sekiranya dilanggar akan buruk padahnya.

Ritual akan dimulakan beberapa orang jagoan atau dukun dari setiap kampung yang berada di dalam wilayah Santubong seperti dari Sibu Laut, Telaga Aik, Buntal dan banyak lagi. Pada masa itu para jagoan akan melancarkan “ancak”. Ancak adalah bakul rotan yang diisi dengan beberapa biji telur dan bertih jagung. Kemudian ancak ini akan diletakkan di atas Batu Boyak dan satu lagi pantai yang dikenali sebagai Teluk Bandong sebagai bentuk persembahan kepada semangat laut.

Itu pengalaman yang dikongsi oleh Encik Kaharuddin bin Abdullah dari Santubong dan satu lagi kajiselidik didapati daripada Encik Musa Musbah dari Miri, Sarawak. Menurut beliau, dahulu di Kampung Dagang ritual mandi safar adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu di kalangan Melayu Sarawak di Miri.

Disamping itu sebelum upacara mandi manda itu ada beberapa peraturan yang harus diikuti. Setiap Melayu Sarawak pada masa itu akan mencari atau mengambil sejenis daun yang dikenali dengan nama daun selamun. Kemudian daun selamun ini akan diberikan kepada orang-orang yang tertentu untuk menulis di dalam huruf jawi beberapa potong ayat di atas lembaran daun tersebut.

Menurut beliau, setiap perkataan yang ditulis adalah berbentuk dia bagi memohon kesejahteraan dan kebahagian hidup. Kemudian, lembaran daun selamun akan direndam di dalam botol kaca. Apabila menjelang hari upacara mandi manda Safar itulah baru air di dalam botol kaca atau dikenali air safar itu akan diminum seteguk oleh setiap ahli keluarga Melayu Sarawak sebelum keluar dari rumah.

Destinasi yang dituju oleh Melayu di Miri seperti penduduk Kampung Dagang, Kampung Wireless dan beberapa perkampungan yang dihuni oleh kaum Melayu adalah kawasan pantai di Miri. Tidak kira jantina, kecil atau besar, tua atau muda akan membuat rendaman badan di laut pada masa itu. Tujuannya adalah untuk menyucikan badan dari sebarang kekotoran rohaniah.

Selain daripada itu menurut Musa, ianya menjadi satu temasya yang ditunggu-tunggu oleh anak muda kerana pada masa itu juga ianya seperti pesta untuk mencari jodoh. Kita mengetahui bahawa suatu waktu dahulu bukanlah senang seorang anak dara untuk keluar dari rumah. Dan hanya pada waktu itu, mungkin ada bertemu jodoh di pantai dan berkenalan serta seterusnya langsung meminang untuk mendirikan rumahtangga.

Encik Musa turut berkongsi bahawa pernah satu ketika (beliau lupa tahunnya), yang mana pada masa itu masih lagi ada perkhidmatan feri di Sungai Miri terjadi satu tragedi iaitu feri telah terbalik kerana terlebih muatan. Malah pada ketika itu banyak nyawa yang terkorban hanya kerana terlalu ramai yang ingin menyertai mandi Safar.

Kedua-dua kajiselidik berdasarkan sumber lisan ini membuktikan bahawa mandi safar dan ritual puja pantai sememangnya pernah ada kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Yang pasti dengan bertebaran masyarakat Melayu di seluruh Sarawak sudah tentu kedua-dua ritual ini mungkin sama atau berbeza mengikut lokasinya berada.

Kesemua tradisi yang pernah diamalkan ini sudah tidak dipraktikkan lagi sekitar tahun 1970an. Ianya bertepatan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh alim ulama Islam Sarawak bahawa ianya adalah khurafat semata-mata.

Suatu waktu dahulu, masyarakat kita mungkin masih cetek ilmu agamanya ditambahlagi begitu berpegang kuat kepada tradisi yang diwarisi dari nenek moyang zaman berzaman. Artikel ini ditulis bukanlah untuk menghidupkan semula tradisi ini sebaliknya kita mengimbau kepercayaan orang kita dulu-dulu.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah Saw bersabda, “Tidak ada penyakit menular (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu, dan tidak ada bala (bencana) pada bulan Safar (seperti yang dipercayai).”

Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa melakukan suatu amalan yang tidak kami perintahkan amalan tersebut, maka amalan tersebut tertolak.” (HR. Muslim)

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

Rujukan:

1. Khurafat Bulan Safar sebagai Bulan Sial
http://www.risalahislam.com/2013/11/khurafat-bulan-safar-sebagai-bulan-sial.html
2. Definisi Kebudayaan
file:///C:/Users/User-Pc/Downloads/documents.tips_kebudayaan-pem.pdf
3. Kajiselidik secara lisan dengan Encik Kaharuddin Abdullah dari Santubong dan Encik Musa Musbah pada 23 Oktober 2017.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply