Warga berkulit hitam merangkumi salah satu etnik terbesar yang tinggal di Amerika dan kebanyakan mereka menetap di bandar-bandar besar termasuk New York dan Chicago. Mereka  asalnya dibawa dari benua Afrika ke Dunia Baru di rantau Amerika sebagai hamba. Banyak hak mereka dikekang dahulu seperti hak sosial, ekonomi dan politik. Kini golongan ini diiktiraf sebagai sebahagian warga Amerika dan turut berbakti dalam membangunkan negara dominan ini.

Banyak jasa disumbangkan oleh orang berkulit hitam namun tidak selalu ditekankan dan disebut dalam pelajaran sejarah di sekolah-sekolah. Jasa mereka juga jarang diketengahkan dan banyak terkubur begitu sahaja. Ini membuatkan aktivis dan sejarahwan Carter G. Woodson untuk memulakan gerakan yang dinamakan “Negro History Week” pada tahun 1926.

Beliau jugalah tokoh yang memulakan pertubuhan kajian sejarah dan kehidupan orang berkulit hitam (Association for Study of Negro Life and History). Minggu kedua Februari dipilih untuk meraikan “Negro History Week’ yang secara kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahiran tokoh Abraham Lincoln dan Frederick Douglass. Presiden Abraham Lincoln adalah tokoh terpenting dalam sejarah orang berkulit hitam kerana mengisytiharkan kebebasan etnik ini daripada belenggu perhambaan pada tahun 1863.

Frederick Douglass pula merupakan tokoh berkulit hitam yang dahulunya juga merupakan seorang hamba kemudian bangkit mengetuai gerakan anti-perhambaan secara terbuka di kota besar seperti Massachusets dan New York. Persatuan ini sekarang dikenali sebagai “Association for Study of African American Life and History” atau ASALH.

Carter G. Woodson juga dikenali sebagai Bapa Sejarah Orang Berkulit Hitam. (Foto Kredit : americansecuritytoday.com)

Banyak komuniti, sekolah dan kampus universiti mula menubuhkan kelab sejarah tanda sokongan gerakan yang dicetuskan oleh Woodson.  Datuk bandar dari beberapa bandar besar juga mula meraikannya secara tahunan. Pada akhir tahun 1960an, identiti orang berkulit hitam makin dihormati dan dikenali ramai dan akhirnya sambutan ini disambung sehingga sebulan dan bertukar daripada “Negro History Week” kepada “Black History Month”. Sambutannya yang pertama dirasmikan oleh presiden Amerika yang ke 38 iaitu Gerald Ford pada tahun 1976. Dalam ucapan beliau, sambutan ini adalah peluang untuk warga Amerika melihat kembali jasa-jasa mereka kepada setiap sudut pembangunan Amerika yang sering dilupakan.

Sesebuah etnik tidak seharusnya dinilai dari paras rupa tetapi sumbangan mereka buat negara dan bangsa. (Foto Kredit : mashable.com)

Sambutan ini diraikan secara besar-besaran bukan sahaja di Amerika, malah di negara lain seperti United Kingdom dan Canada yang menempatkan populasi besar etnik ini. Antara tokoh berkulit hitam ikonik ialah Martin Luther King yang mula mencetuskan kesamarataan hak asasi orang awam kepada semua bangsa di Amerika tanpa sebarang diskriminasi.

Beliau telah melalui pelbagai keperitan demi mendapatkan hak sama rata buat orang berkulit hitam. Beliau jugalah orang yang berperanan mengetuai “Montgomery Bus Boycott” iaitu boikot yang dijalankan untuk membantah undang-undang tidak masuk akal yang memaksa orang berkulit hitam untuk mengutamakan tempat duduk bas kepada orang berkulit putih.

Walaupun perkara ini nampak kecil, tetapi boikot ini berlarutan selama 382 hari sehingga terjadinya diskriminasi yang semakin ketara kepada komuniti orang berkulit hitam di Montgomery, Alabama ketika itu. Selepas beberapa kali naik turun mahkamah dengan kerugian yang banyak, barulah undang-undang tersebut dimansuhkan daripada bandar tersebut.

Ungkapan popularnya “I Had A Dream”, diucapkan pada akhir kempen Birmingham pada tahun 1963  mencetuskan kesedaran kepada segenap warga Amerika bahawa semua manusia dilahirkan sama tanpa mengira warna kulit. Dengan bersaksikan lebih 200,000 di tugu peringatan Abraham Lincoln, beliau juga meletakkan harapan bahawa pada suatu hari semua bangsa boleh bersaudara.

Ucapan Martin Luther King diingat sehingga ke hari ini dan mengubah kehidupan ramai orang. (Foto Kredit : smithsonianmag.com)

Seorang lagi tokoh berkulit hitam yang paling berpengaruh tentunya Barack Obama. Tiada siapa pernah menyangka yang Amerika akan berada di bawah pemerintahan individu daripada etnik ini. Beliau mengambil alih pentadbiran di White House dan mencetus banyak perubahan yang belum dicapai sepanjang sejarah pertubuhan Amerika. Beliau merupakan contoh terbaik akan kebolehan orang berkulit hitam untuk menjadi pemimpin yang dikenali di seluruh dunia.

Sumbangannya banyak dalam banyak bidang termasuk memberi sokongan penuh dengan menyumbang dana kepada sains dan teknologi,  mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi, serta menawarkan insurans kesihatan yang mampu dimiliki orang ramai. Beliau juga menjadi penerima Anugerah Nobel Keamanan pada tahun 2009 atas corak kepimpinannya yang berjaya mengeratkan hubungan diplomatik sesama negara serta kerjasama sesama manusia. Beliau merupakan presiden Amerika keempat yang berjaya meraih anugerah terhormat ini.

Obama menggemparkan dunia politik Amerika apabila menjadi presiden berkulit hitam pertama. (Foto Kredit : abc7.com)

Selain mengingati tokoh-tokoh ternama berkulit hitam, Black History Month juga disambut dengan cara menghayati adat dan budaya etnik ini. Antaranya ialah dengan menyelami gaya pemikiran mereka melalui karya kesusasteraan dan lagu-lagu, serta menjadi sukarelawan kepada organisasi yang membela orang berkulit hitam seperti Black Lives Matter dan Black Girls Code. Setiap negara yang menyambut mengadakan tema tahunan bagi meraikan bulan ini. Seperti di Amerika, mereka memilih tema “African Americans In Times of War” bagi mengenang jasa askar berkulit hitam manakala kerajaan Kanada menggunakan tema “Black Canadian Women: Stories of Strength, Courage and Vision” sebagai tanda penghargaan kepada wanita-wanita berkulit hitam.

Poster Black History Month di Kanada untuk tahun ini yang meraikan wanita berkulit hitam. (Foto Kredit : canada.ca)

Kita pun pasti sebati dengan isu persefahaman antara etnik lebih-lebih lagi apabila tinggal di negara yang berbilang kaum ini. Kesedaran ini harus dipupuk sejak kecil lagi agar rakyat Malaysia dapat menjadi bangsa yang bersatu padu. Perbezaan antara kaumlah yang membuatkan negara ini bervariasi dan menjadi ‘trademark’ di mata dunia. Raikanlah perbezaan ini dengan menyelami dan menghormati budaya masing-masing agar keharmonian dapat dicapai.

SUMBER RUJUKAN

Historu.com (2010) Black History Month http://www.history.com/topics/black-history/black-history-month 

Julia Zorthian (2016) This Is How February Became Black History Month. Time.com http://time.com/4197928/history-black-history-month/

Katie Dupere (2017) 7 ways to celebrate black lives and excellence during Black History Month. Mashable https://mashable.com/2017/02/04/black-history-month-ways-to-celebrate/

Biography.com (2018) Martin Luther King Jr. Biography.  https://www.biography.com/people/martin-luther-king-jr-9365086

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pencinta sastera dan perfileman tempatan dan antarabangsa. Mempunyai minat yang mendalam pada kesenian, sejarah dan tradisi lokal. Tak akan berhenti menulis selagi masih ada budaya dan seni nusantara yang belum dibicarakan.

Comments are closed.