Bulan-Bulan Dalam Kalendar Purba Melayu Kedah Piama

2,804

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Bulan” ditakrifkan sebagai “masa antara mula nampak bulan sehingga hilang balik” manakala “Piama” bermaksud “Musim yang baik untuk memulakan penanaman padi”. Pada suatu masa dahulu, Piama pernah digunakan untuk menentukan musim yang sesuai untuk memulakan kerja-kerja menanam padi di Kedah dan jajahan takluknya. Artikel ini membincangkan tentang bulan-bulan dalam Piama.

Bulan pertama Piama dimulakan dengan Kaus. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Kaus” ditakrifkan sebagai “busur panah”. Bulan ini berlangsung pada 23 November sehingga 22 Disember. Pada masa itu, pokok gelenggang besar berbunga sebagai tanda berakhirnya piama bendang. Untuk pengetahuan semua, gelenggang adalah sejenis tumbuhan yang daunnya digunakan untuk dibuat ubat kurap, kayap dan sebagainya. Nama saintifik tumbuhan tersebut adalah Cassia alata.

Jadyi adalah bulan kedua dalam Piama. Bulan ini berlangsung pada 23 Disember sehingga 21 Januari. Pada akhir bulan ini, banjir akan surut dan ikan akan masuk ke bendang dan pada masa yang sama tuntung mudik ke hulu untuk bertelur. Untuk pengetahuan semua, tuntung adalah sejenis labi-labi air tawar yang telurnya boleh dimakan. Nama saintifik haiwan tersebut adalah Batagur basta.

Delu adalah bulan ketiga dalam Piama. Perkataan “Delu” dipercayai berasal daripada perkataan “telu” yang bermaksud “tiga”. Bulan ini berlangsung pada 22 Januari sehingga 20 Februari. Ketika ini bunga macang akan kembang, angin timur mula bertiup dan padi pertengahan sudah boleh diketam.

Untuk pengetahuan semua, macang ataupun bacang merupakan nama sejenis tumbuhan yang bernama saintifik Mangifera foetida. “Ketam” di sini bukanlah bermaksud nama sejenis hidupan laut tetapi perbuatan menuai dan memotong padi dengan menggunakan ani-ani (pisau pemotong padi).

Hut adalah bulan keempat dalam Piama. Bulan ini berlangsung pada 21 Februari sehingga 21 Mac. Ketika ini, bunga durian akan berkembangan dan angin timur semakin keras bertiup.

Hamal adalah bulan kelima dalam Piama. Bulan ini berlangsung pada 22 Mac sehingga 21 April. Pada 15 hari bulan (5 April?), bayang-bayang sendiri tidak dapat dilihat ketika berdiri dalam panas terik pada waktu rembang. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “rembang” ditakrifkan sebagai “titik di langit yang betul-betul di atas kepala kita”. Pada zaman kini, kita lebih mengenali “Zenith” berbanding “Rembang”.

Thaur adalah bulan keenam dalam Piama. Bulan ini berlangsung pada 22 April sehingga 22 Mei. Ketika ini akan turunlah hujan kelopak keranji. Pesawah akan mula turun ke bendang untuk menakung air dan membaja tanah. Untuk pengetahuan semua, “keranji” adalah sejenis tumbuh-tumbuhan yang bernama saintifik Cynoptera polyandra.

Jauza adalah bulan ketujuh dalam Piama. Bulan ini berlangsung pada 23 Mei sehingga 22 Jun. Ketika ini, tapak semaian padi akan mula disediakan dan benih padi ringan akan mula ditabur.

Saratan adalah bulan kelapan dalam Piama. Bulan ini berlangsung pada 23 Jun sehingga 23 Julai. Pada ketika ini boleh dilihat bintang-bintang pada waktu Subuh. Benih padi pertengahan atau padi berat paling sesuai untuk ditabur.

Asad adalah bulan kesembilan dalam Piama. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Asad” ditakrifkan sebagai “harimau” ataupun “Singa”. Bulan ini berlangsung pada 24 Julai sehingga 23 Ogos. Penanaman padi pertengahan dan padi berat sesuai dimulakan.

Sumbulah adalah bulan kesepuluh dalam Piama. Bulan ini berlangsung pada 24 Ogos sehingga 23 September. Pada ketika ini, sekali lagi bayang-bayang sendiri tidak dapat dilihat ketika berdiri dalam panas terik pada waktu rembang.

Mizan adalah bulan kesebelas dalam Piama. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Mizan” adalah bermaksud “neraca” ataupun “Libra”. Bulan ini berlangsung pada 24 September sehingga 23 Oktober.  Ketika ini burung balai akan berbunyi sebagai tanda masih dalam piama barat. Untuk pengetahuan semua, “Burung Balai” adalah sejenis burung yang bernama saintifik, Lanius Tigrinus.

Akrab adalah bulan terakhir dalam Piama. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Akrab” adalah bermaksud “Kala Jengking”. Bulan ini berlangsung pada 24 Oktober sehingga 22 November. Ketika ini burung ruak-ruak galak berbunyi sebagai tanda sudah berakhirnya piama bendang. Untuk pengetahuan semua, “Ruak-ruak” adalah sejenis burung yang hidup di tepi-tepi paya, alur dan yang seangkatan dengannya. Dalam nama saintifik, burung Ruak-ruak dikenali sebagai Amaurornis phoenicurus.

Kesimpulannya, itu adalah serba sedikit tentang Piama. Pada pendapat penulis, sebelum Kalender Masihi dan Takwim Hijrah digunakan secara meluas di Jajahan Kedah; mereka telah memerhatikan gerak-geri alam sekeliling sepanjang masa. Jika didapati mempunyai corak tertentu pada gerak-geri berkenaan, mereka akan menjadikannya sebagai daftar hari bulan. Artikel ini dikarang pada tarikh 27hb Oktober yang bersamaan dengan 4hb Akrab dalam Piama. 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.