Bukit Puteri, seindah namanya, kisah yang berlingkar di sebalik kewujudan kawasan bersejarah ini juga penuh dengan lagendanya yang tersendiri. Bukit Puteri yang terletak berhampiran dengan Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, merupakan sebuah lokasi yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada masyarakat setempat dan turut menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara.

Lokasinya sangat strategik, iaitu berhampiran dengan Istana Maziah serta Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu yang memudahkan masyarakat luar Terengganu untuk berkunjung ke Bukit Puteri ini. Bukit Puteri mempunyai keluasan tanah lebih kurang 0.688 hektar dengan ketinggian yang mencecah 200 meter dari paras laut. Kawasan Bukit Puteri ini pada hari ini telah diletakkan di bawah tanggungjawab dan jagaan pihak Muzium Negeri Terengganu dan menjadi aset pelancongan yang penting bagi negeri Terengganu.

Sejarah dan Asal Usul Bukit Puteri

Asal usul sebenar Bukit Puteri yang telah wujud sejak abad ke-16 itu tidak dapat dipastikan, namun berdasarkan kisah lagenda yang diceritakan oleh para penduduk setempat, kawasan ini pada asalnya merupakan sebuah kerajaan bagi puteri bunian dan menjadi tempat tinggal mereka. Para puteri bunian ini dikatakan memiliki pelbagai perkakas seperti sudu, pinggan mangkuk dan pisau yang digunakan untuk majlis keramaian dan perkahwinan.

Kisah ini juga menyebut bahawa telah menjadi kelaziman bagi masyarakat pada waktu itu yang tinggal berdekatan dengan kawasan Bukit Puteri ini untuk meminjam perkakas tersebut dan menggunakannya dalam majlis keramaian dan perkahwinan yang mereka jalankan. Namun, kebanyakan perkakas yang dipinjam berkenaan tidak dipulangkan kembali kepada puteri bunian, malah ada juga perkakas yang rosak dan pecah sewaktu digunakan oleh penduduk tersebut.

Keadaan ini menjadikan para puteri bunian yang menghuni kawasan Bukit Puteri kecewa dan merajuk, lalu mereka lari meninggalkan kawasan tersebut dan akhirnya tinggal di sebuah bukit di Besut. Kisah inilah yang membawa kepada kewujudan sebuah lagi bukit di kawasan Besut yang turut dinamakan sebagai Bukit Puteri.

Kisah puteri bunian yang mendiami Bukit Puteri ini adalah suatu kisah lagenda yang menjadi sebutan masyarakat setempat, namun berdasarkan catatan sejarah negeri Terengganu, kawasan ini sebenarnya telah dibuka oleh seorang ketua suku dari Johor, yang bernama Tuk Raja Menteri yang datang ke Terengganu bagi tujuan melantik Sultan Zainal Abidin I sebagai sultan Terengganu yang pertama. Selain itu, Bukit Puteri juga adalah lokasi penting yang berfungsi sebagai sebuah kubu yang menjadi benteng pertahanan ketika perang saudara tercetus di Terengganu sekitar tahun 1831 hingga 1839.

Kisah perang saudara ini telah bermula pada sekitar tahun 1831, iaitu di antara Tengku Omar dan Tengku Mansur mengenai siapa yang harus memegang tampuk pemerintahan di Terengganu. Dalam perebutan kuasa ini, Tengku Omar telah menggunakan Bukit Puteri sebagai kubu bagi menghalang Tengku Mansur yang berkubu di kawasan Balik Bukit. Namun, pertelingkahan ini akhirnya membawa kepada kekalahan Tengku Omar dan baginda meninggalkan Bukit Puteri.  Tengku Mansur kemudiannya telah ditabalkan sebagai Sultan Mansur Syah II dan Tengku Omar disingkirkan sehingga ke Kemaman dan akhirnya dibuang negeri ke Lingga.

Sultan Mansur Syah II ini kemudiannya telah digantikan oleh putera baginda, iaitu Sultan Muhammad Shah. Dalam waktu yang sama, iaitu sekitar tahun 1836, ketika pemerintahan Sultan Muhammad Shah, Tengku Omar yang telah kembali dari Lingga telah menyerang Terengganu untuk merampas takhta kerajaan. Berlaku suatu pertempuran besar di Bukit Puteri dan akhirnya Sultan Muhammad Shah mengakui kekalahan dan berundur ke Kelantan. Bukit Puteri pula akhirnya telah dikuasai oleh Tengku Omar yang kemudiannya ditabalkan menjadi sultan dengan gelaran Sultan Omar Riayat Shah pada tahun 1839.

Namun, peristiwa ini tidak berakhir begitu sahaja, dan Sultan Muhammad Shah cuba untuk kembali menyerang dengan meminta bantuan daripada Tengku Hitam di Dungun. Namun, percubaan serangan ini tidak berjaya kerana Sultan Omar yang berkubu di Bukit Puteri amat sukar untuk ditandingi. Kubu ini sebenarnya telah dibina oleh Sultan Omar bertujuan sebagai benteng pertahanan dan ia diperbuat daripada batu bata, tanah liat, bersama madu, limau dan putih telur.

Monumen dan tinggalan sejarah di Bukit Puteri

Terdapat banyak monumen serta tinggalan sejarah di Bukit Puteri yang masih boleh dilihat oleh masyarakat pada hari ini. Di atas puncak Bukit Puteri terdapat sebuah tiang bendera yang digunakan untuk menaikkan bendera diraja pada hari-hari kebesaran yang pernah berlangsung suatu ketika dahulu. Tiang bendera yang berketinggian 18 meter dan ditanam pada kedalaman 2 meter itu telah dipasang ada tahun 1899, iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Selain itu, terdapat juga sebuah Gua Puteri yang dipercayai menjadi tempat untuk menyimpan peluru dan ubat bedil pada masa dahulu. Manakala di sebelah atasnya terdapat kesan peninggalan sebuah singgahsana raja. Menariknya, kawasan Bukit Puteri ini juga turut mempunyai sebuah rumah api yang mempunyai ketinggian kira-kira 10 meter. Rumah api ini berfungsi bagi memberi panduan dan petunjuk arah bagi para nelayan serta pelaut yang memasuki pelabuhan Kuala Terengganu. Rumah api ini turut dikenali sebagai ‘Tanda Kuala Negeri’.

Di atas Bukit Puteri ini juga terdapat kawasan tanah perkuburan pembesar Melayu pada waktu dahulu. Antaranya ialah kubur milik Syed Yasin Akil Muhammad yang lahir di Sumatera, Indonesia. Selain itu, terdapat juga sebuah rumah genta yang memuatkan genta (loceng) yang dibuat pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin II iaitu pada sekitar tahun 1908. Genta ini digunakan untuk memasyhurkan sesuatu bencana seperti kebakaran dan serangan musuh.

Genta yang mempunyai berat 175 kilogram dan setinggi 78 sentimeter itu diperbuat daripada tembaga kuning oleh seorang tukang bernama Wan Ali Wan Awang dengan dibantu oleh beberapa tukang lain dari Kampung Tanjung dan Kampung Paya, Kuala Terengganu. Genta ini akan dipalu dengan kuat apabila berlakunya peristiwa atau sebarang kegemparan bagi membolehkan rakyat jelata bersiap sedia untuk menghadapi apa-apa kemungkinan.

Oleh kerana Bukit Puteri ini berperanan sebagai sebuah kubu pertahanan, maka terdapat banyak meriam yang dapat dilihat di kawasan tersebut. Berdasarkan sejarah, meriam-meriam berkenaan yang diberi nama Seri Johor, Seri Buih, Laila Majnun dan Seri Jamlor telah direka khas oleh pakar dari Portugis, Sepanyol serta orang Melayu tempatan. Meriam Seri Buih yang turut dikenali sebagai Meriam Dua Beranak merupakan tinggalan meriam pertama yang dapat dilihat sewaktu menaiki Bukit Puteri ini.

Meriam Dua Beranak di Bukit Puteri

Kedudukan meriam ini yang saling berhubungan, iaitu sebuah meriam besar yang menjadi seolah-olah ‘ibu’ kepada meriam kecil di sisinya menyebabkannya mendapat panggilan sebagai Meriam Dua Beranak. Malah, kehadiran kedua-dua meriam ini juga seumpama menyambut kedatangan para pengunjung yang hadir ke Bukit Puteri.

Kesimpulan

Bukit Puteri merupakan aset sejarah yang cukup bernilai kepada negeri Terengganu, kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi pelancongan, malah turut menyimpan pelbagai rahsia dan sejarah kerabat diraja Terengganu pada zaman dahulu. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak Muzium Negeri Terengganu bagi menarik perhatian setiap lapisan masyarakat untuk mengenali sejarah dan kisah yang berlaku di sebalik Bukit Puteri ini. Rakyat Terengganu terutamanya haruslah berbangga dengan tinggalan sejarah yang masih wujud di Bukit Puteri ini dan sama-sama berusaha untuk memulihara dan memperkenalkan lokasi bersejarah ini ke mata dunia.

Rujukan

Aminudin, I. (2013). Bukit Puteri, antara lagenda dan sejarah. Retrieved January 21, 2019, from https://teganukita.blogspot.com/2013/09/bukit-puteri-antara-lagenda-dan-sejarah.html

Dato’ Setia Jasa Haji Muhammad Saleh Haji Awang (Misbaha). (1992). Sejarah Darul Iman Hingga 1361H = 1942M (Edisi Ketiga). Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu: Kuala Terengganu.

Norhafiza, M. (2017). Kubu pertahanan Bukit Puteri. Retrieved January 20, 2019, from http://www.sinarharian.com.my/rencana/kubu-pertahanan-bukit-puteri-1.652850


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.