Bukit Kepong Dalam Ingatan

0
757
views

“Biar kami mati di sini, Bukit Kepong menjadi tanah kubur kami.”

Dalam kegelapan dinihari, ketika perayaan Tahun Baru Cina berlangsung – 65 tahun lalu, Bukit Kepong menjadi saksi kepada perjuangan anak bangsa. Biar berputih tulang, jangan berputih mata.

23 Februari 1950, sekitar 4 pagi seramai 180 orang anggota komunis bertindak menyerang Balai Polis Bukit Kepong. 25 orang anggota polis enggan menyerah, enggan meletakkan senjata dan enggan mendengar herdikan, cacian malah pelawaan sang pengkhianat komunis yang jauh berlipat ganda dari anggota pasukan keselamatan.

Gugurnya sang suami didepan mata, telinga mendengar suara terakhir sang suami, si isteri pula bangkit mengangkat senjata, menentang sang durjana. Mereka bertempur sehingga kehabisan peluru sebagaimana anggota polis yang lain. Malah ada anggota keluarga anggota polis terkorban dalam tragedi berdarah ini.

Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh – mereka enggan meletakkan senjata. Dua wanita berserta anak-anak mereka mati terbakar apabila pengganas komunis bertindak membakar berek.

Mungkin ada yang mengibaratkan Bukit Kepong sebagai tragedi Alamo, tetapi secara peribadi – tragedi Bukit Kepong mempunyai nilainya tersendiri.

Al-Fatihah

Anggota Polis

Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)
Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)
Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman
Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan
Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh
Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam
Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim
Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad

Polis Bantuan / Auxiliary Police

Ins. Kudarina Naknok
AP 2130 Samad bin Yatim
AP 1912 Mahmud bin Sa’at
AP 1925 Ali bin Akob
AP 2127 Othman Yahya

Keluarga Anggota

Fatimah binti Yaaba – isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
Hassan bin Abu Bakar – anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
Saadiah – isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
Simah binti Abu – anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
Arafah binti Yusoff – isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam

Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis

AP 2098 Redzuan bin Alias
Embong bin Lazim
Mendiang Koh Ah Cheng


Hayatilah puisi yang kami nukilkan:

Subuh hening asalnya senyap
Dipecah Komunis datang berderap

Bintang Tiga dari bukit,
Datangnya mereka bukannya sedikit.

Anggota siaga pantang leka
Berjaga juga yang sedang lena.

Dilaung supaya angkat senjata
Keluar jika mahu selamat semuanya

Rasa terhina dibakar amarah
Pantang Balai Kepong pergi menyerah

Komunis tembus pagar berduri
Polis terus persiapkan diri

Raifal diacung, grenade diledak
Namun senjata pantang diletak

Kentong berbunyi, beduk dipalu
Bukit Kepong diserang bertalu-talu

HG berkejaran mahu membantu
Kudrat terhad, senjatapun dicatu

Kuat semangat, parang diangkat
Darah yang tumpah, bukannya keringat

“Kami orang-orang Polis tak akan menyerah diri”
“Biar kami mati di sini, Bukit Kepong menjadi tanah kubur kami!”

Peluru terus bersimpang siur
Bukan sedikit darah terhambur

Komunis keparat makin menyengat
Polis yang tinggal berbaki semangat

Isteri turut angkat senjata,
Kerana suaminya telah tiada.

Anak sama hilang punca,
Turut membayar harga nyawa.

Balai terbakar dicabar maruah,
Pantang menyerah, tak pernah mengalah.

Darah tumpah di Bukit Kepong,
Jiwa terkujur, jasad terkubur.

Mengalah bukan erti kalah,
Mati sekalipun bukannya penyudah.

Tinggal kami mendukung amanah,
Komunis mencelah, kami sanggah.

Dalam impi mahu aman,
Bukan sedikit yang terkorban.

Dalam tidur tagihkan lena,
Bukan kepalang yang hilang nyawa.

Waris meratap, anak menangis hiba,
Hati sudah tetap, berjuang bukan cuba-cuba.

Gugur nyawa kelongsong meledak,
Berani jiwa musuhmu kami radak.

Kedaulatan agama, bangsa dan negara.
Junjung kami tiada yang setara.

Disedekahkan pada mereka Al-Fatihah.

Innalillahiwainnailahiroji’un. Allahumaghfirlahu, warhamhu, wa’afi’hi wa’fu’anhu.

Rib’i bin ‘Amir Radhiyallahu ‘Anhu ketika bertemu dengan Raja Parsi, bagi menzahirkan kemungkinan untuk tidak menumpahkan darah dengan peperangan berkata;

“Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki dari penghambaan terhadap sesama hamba kepada penghambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.

Maka Dia mengutus kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka barangsiapa yang menerima hal tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi barangsiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya hingga kami berhasil memperoleh apa yang dijanjikan Allah.”

Semoga Allah merahmati perwira Bukit Kepong,
Bergalang ganti dengan nyawa.
Telah Allah janji syahid yang agung
Mati demi agama bangsa dan negara.

67 tahun kenangan sesegar semalam,
Lukanya dalam,
Sakitnya dikemam,
Namun marahnya tak pernah padam.

“Amor Ducit Patriae”