Kebelakangan ini negara kita agak hangat dengan isu yang dicetuskan oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) lantaran bantahan dan penolakannya terhadap pembelajaran tulisan Jawi di dalam tiga muka surat tidak penuh buku teks Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang pada hakikatnya hanya melibatkan penerangan maksud tulisan Jawi yang terdapat pada Jata Negara, setem dan wang kertas yang digunakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Bantahan ini secara langsung menjejaskan perpaduan dan keharmonian antara kaum yang sejak sekian lama menjadi ciri unik negara Malaysia yang terkenal dengan masyarakatnya yang majmuk.

Seandainya sebutan nama ‘Dong’ dalam kalangan kita pada hari ini mencetuskan pertelagahan, kira-kira enam bulan yang lalu (penghujung Julai), nama ‘Dong’ meniti bibir ahli-ahli paleontologi sedunia dengan penuh rasa kagum lantaran di tebing Sungai Dong, Guangdong, ditemukan 11 biji fosil telur dinosaur yang berusia 66 juta tahun.

Penulis memulakan artikel ini dengan sebegini bukanlah semata-mata kerana faktor nama yang kebetulan ada kemiripan itu, sebaliknya mahu memerihalkan bahawa di kala dalam negara kita pihak yang mendabik sebagai penggerak pendidikan anak-anak belia sedang membantah-telagah hal yang tidak sepatutnya dijadikan isu pun, jauh di tanah besar China, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun bukan sahaja mengharumkan nama dirinya sendiri, malah nama ibu, bandar dan negaranya apabila menjadi individu yang menemukan telur dinosaur berkenaan.

Penemuannya ini disebutkan secara jelas di dalam media-media antarabangsa sebagai berfaktor daripada tiga dorongan – iaitu pembacaan buku yang sesuai dengan minat, mekarnya suasana pendidikan di sekolah serta budaya mengunjungi muzium bersama keluarga.

Tiga dorongan yang membantu Zhang Yangzhe, sembilan tahun, untuk mengenali rupa bentuk telur dinosaur yang jika beliau tidak mengenalinya, mungkin sahaja beliau akan menganggap telur dinosaur yang ditemuinya itu sebagai batu biasa berbentuk bulat lalu tidak mengendahkannya, sekaligus dunia arkeologi tidaklah dapat menemui dan menyelidiki 11 biji telur dinosaur ini.

Tiga dorongan tersebut boleh dianggap mewakili minat peribadi (anak kecil itu meminati sains dan dinosaur justeru beliau gemar membaca buku berkaitan), pengaruh keluarga (Zhang Yangzhe kerap dibawa oleh keluarganya mengunjungi muzium dinosaur tempatan) dan peranan sekolah. Dengan berfungsinya ketiga-tiga roda penggerak ini maka lahirlah seorang anak kecil berusia 9 tahun yang berjaya melakukan penemuan arkeologi bertaraf antarabangsa, dan dikategorikan oleh Ancient Origins sebagai salah satu penemuan paling mengujakan bagi tahun 2019.

Hal ini seharusnya diambil sebagai iktibar dan ibrah bagi kita warga pendidik atau penaung pendidikan, terutama agar tidak sewenang-wenangnya menjadikan menara gading anak-anak kita sebagai bidak politik, malah sewenang-wenangnya pula membenihkan ketidakharmonin daripada sana.

Berbalik kepada laporan penemuan telur-telur dinosaur ini, dinyatakan bahawa segalanya bermula apabila Zhang Yangzhe bersama ibunya, Li Xiaofang menikmati masa-masa senggang di tebing Sungai Dong yang terletak di bandar Heyuan, Guangdong, China. Ketika mencari batu-batu kecil untuk digunakan bagi membuka kacang-kacang walnut yang mahu dimakan, Zhang Yangzhe bertemu dengan ‘batu-batu pelik’ yang tertimbus di tanah merah.

Ketika mengamati dengan lebih lanjut, anak kecil itu mengesyaki bahawa ia adalah telur dinosaur. “Saya telah mempelajari hal ini (bentuk telur dinosaur) di dalam buku dan koridor kebudayaan di sekolah (semacam lukisan atau papan maklumat di ruang legar yang ada di kebanyakan sekolah di negara kita). Saya juga pernah melihatnya semasa mengunjungi muzium dinosaur tempatan, di mana lain dinosaur mempunyai bentuk telur yang berbeza,” jelas Zhang Yangzhe kepada media.

Maka, beliau pun memanggil ibunya untuk menyaksikan sendiri ‘batu pelik’ tersebut, dan Li Xiaofang turut mengesyakinya sebagai telur dinosaur. Penemuan telur dinosaur bukanlah suatu perkara yang asing di bandar Heyuan, yang oleh kerana banyaknya penemuan berkenaan dinosaur dilakukan di bandar berkenaan, Heyuan dijuluki sebagai ‘rumah dinosaur di China’.

Setelah itu, Li Xiaofang pun segera menghubungi muzium tempatan dan melaporkan tentang penemuan tersebut. Mereka berdua terus berada di situ sehingga pakar-pakar dari Muzium Dinosaur Heyuan tiba dan seterusnya mengesahkan bahawa ‘batu pelik’ yang ditemui itu sememangnya merupakan fosil telur dinosaur.

Beberapa hari kemudian, pasukan pakar dari muzium tersebut menjalankan kerja-kerja ekskavasi di tempat sama Zhang Yangzhe menemukan telur dinosaur itu. Dalam penggalian yang dilakukan, mereka berjaya menemui 10 lagi fosil telur dinosaur yang bentuknya sama seperti yang ditemui sebelumnya. Dalam erti kata lain, Zhang Yangzhe bukan hanya menemukan telur dinosaur, akan tetapi sarangnya juga lantaran kesemua telur tersebut ditemui di kawasan yang berdekatan.

Kemudiannya, keseluruhan 11 biji telur dinosaur yang diameternya sekitar 9 cm (3.5) itu dibawa ke Muzium Dinosaur Heyuan untuk penyelidikan lanjut sebelum disimpan atau dipamerkan di muzium sama. Bekas pengarah muzium berkenaan, iaitu Huang Ding menyatakan bahawa fosil telur-telur itu dipercayai berasal dari zaman Cretaceous, zaman sejurus sebelum kepupusan dinosaur secara besar-besaran pada 65 juta tahun lalu.

Penemuan 11 biji telur dinosaur ini adalah yang terbaru di bandar Heyuan yang sedia masyhur dengan fosil-fosil dinosaur. Penemuan besar pertama dilakukan pada tahun 1996, melibatkan telur dinosaur yang juga ditemui di berhampiran Sungai Dong. Pada tahun 2015, pekerja-pekerja yang sedang menyelenggara paip kumbahan menemui sejumlah 40 biji telur dinosaur.

Secara keseluruhan, Ancient Origins menyebutkan bahawa lebih 17 000 penemuan berkaitan dinosaur dilakukan di bandar ini. Lebih 10 000 daripadanya kini disimpan atau dipamerkan di Muzium Heyuan sekaligus menjadikan koleksi fosil telur dinosaur di situ sebagai antara yang paling besar di dunia.

RUJUKAN

Nandika Chand. (30 Julai 2019). 9-Year-Old Finds 66-Million-Year-Old Dinosaur Egg on Riverbank in South China. IB Times.
https://www.ibtimes.com/9-year-old-finds-66-million-year-old-dinosaur-egg-riverbank-south-china-2809630

China Daily. (26 Julai 2019). Boy find 66-million-year-old dinosaur eggs.
https://www.chinadaily.com.cn/a/201907/26/WS5d3ac1b9a310d830564013c6.html

Ed Whelan. (28 Julai 2019). Chinese Boy Accidentally Finds 66-Million-Year-Old Dinosaur Eggs. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/dinosaur-eggs-0012362

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.