Brunei Merdeka 1984

0
2191
views

APABILA berbicara di awal pembentukan Persekutuan Malaysia 54 tahun dahulu, umum mengetahui bahawa ada lima entiti yang sepatutnya bergabung membentuknya iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Namun pada saat-saat akhir Sultan Brunei menarik diri daripada untuk sama-sama membentuknya atas sebab-sebab yang tertentu. Jadi tinggallah empat sahaja entiti yang mana dua tahun selepas pembentukan iaitu pada tanggal 9 Ogos 1965, Singapura pula menarik diri dari Persekutuan Malaysia.

Menguak pintu sejarah Negara Brunei Darussalam sudah tentu banyak mempunyai perkaitan dengan Sarawak mahupun Sabah itu sendiri kerana suatu waktu dahulu, kedua-dua wilayah ini merupakan tanah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei. Yang kemudiannya Brooke mahupun Syarikat Berpiagam North Borneo mendapat wilayahnya satu persatu samada secara gadai janji mahupun dibeli mengikut kesefahaman mereka dengan Baginda Sultan Brunei.

Di dalam sejarahnya iaitu di ketika pemerintahan Sultan Hashim Jalilul Alam Akmaddin telah timbul kesedaran bagaimana luasnya wilayah Brunei sudah semakin mengecil. Dek kerana tidak mahu lagi kedaulatan wilayah Brunei terus-terusan diambil oleh Brooke mahupun Syarikat Berpiagam North Borneo makanya telah dimeterai satu perjanjian antara Brooke, Syarikat Berpiagam North Borneo, Brunei dengan Baginda Queen di England. Di dalam perjanjian ini telah menyatakan secara mengkhusus bahawa ketiga-tiga negara ini menjadi Negara Perlindungan British iaitu bermakna tiada mana-mana kerajaan yang mampu lagi menebar wilayah mereka antara satu sama lain.

Perlulah diingatkan tidaklah semudah itu British membiarkan satu negara tanpa ada pengaruh mereka wujud dan akhirnya pada tanggal 31 Disember 1905 dan 2 Januari 1906, satu perjanjian tambahan telah dimeterai antara Brunei dengan British. Dua perjanjian tambahan ini menyaksikan akhirnya Brunei terpaksa menerima seorang Residen British di dalam sistem pentadbirannya. Dimulai dengan Residen yang pertama iaitu Malcolm Stewart Hannibal McArthur yang kemudian menyaksikan dari tahun 1906 sehinggalah 1959, seramai 21 orang British yang pernah dilantaik menjadi Residen British di Brunei.
Tanggal 31 Ogos 1957 menyaksikan Persekutuan Tanah Melayu yang dianggotai oleh sembilan negeri-negeri Melayu telah mencapai kemerdekaan daripada Koloni British. Dan untuk konteks Brunei pula mereka hanya memulai langkah ke arah berkerajaan sendiri sekitar tahun 1959. Pada tahun itu menyaksikan pemerintah Negara Brunei iaitu Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien telah menandatangani perjanjian dengan British bagi membenarkan Brunei memerintah mengikut acuan sendiri.
Walaupun begitu, British tetap masih menempatkan seorang berjawatan Pesuruhjaya British di Brunei dengan dimulai oleh Sir Dennis Charles White. Dari tahun 1959 sehinggalah 1984, mengikut sejarahnya ada seramai tujuh orang British yang pernah menjawat jawatan tersebut di Brunei.
Bila kita mengimbau perjanjian 1888 yang menyaksikan Brunei adalah salah satu negara perlindungan British maka ianya bermakna segala bentuk pertahanan akan dijaga sepenuhnya oleh British pada masa itu seperti juga North Borneo mahupun Sarawak. Dan perjanjian yang ditandatangani pada tanggal 23 November 1971 menyaksikan Brunei dan British berkongsi kuasa di dalam hal-hal keselamatan dan pertahanan mereka namun Brunei telah diberikan kuasa sepenuhnya di dalam hal-hal dalaman negara mereka.
Kemuncak kepada ke arah Brunei merdeka adalah apabila perjanjian yang ditandatangani pada 7 Januari 1979 iaitu menyaksikan Brunei sudahpun diberikan kuasa mutlak untuk menguruskan segala hal mengenai negaranya daripada isu pertahanan, keselamatan, antarabangsa dan dalaman. Disaat itu juga, Brunei telah menyiapkan negaranya untuk mendapat kemerdekaan yang dicanangkan permasyhurannya pada tanggal 1 Januari 1984.
Manakala untuk tarikh rasmi sambutan kemerdekaan Negara Brunei adalah pada setiap 23 Februari bermula dari tahun 1984 sehinggalah sekarang.
-HB-

Rujukan:

1. British Administration In Brunei
https://www.cambridge.org/core/…/british-administration-in-brunei-1906-1959.pdf
2. Brunei Protectrate
http://www.britishempire.co.uk/maproom/brunei.htm
3. The Brunei Times, 23rd February 2013 by Rozan Yunos – The First National Day
http://bruneiresources.blogspot.my/2013/02/remembering-first-national-day-in-1984.html

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.