Sebelum Jackie Chan dan Donnie Yen menempa nama sebagai bintang Asia di Hollywood, Bruce Lee merupakan bintang Asia pertama yang melakukannya. Filem seperti Fist of Fury, Way of the Dragon dan Enter the Dragon menjadikan beliau sebagai bintang seni mempertahankan diri terhebat sepanjang zaman.

Lee atau nama sebenarnya Lee Jun-fan dilahirkan pada 27 November 1940 di San Francisco, California, Amerika Syarikat. Bapanya, Lee Hoi-chuen ialah seorang penyanyi opera Kantonis dan pelakon filem terkenal di Hong Kong. Sementara ibunya Grace Ho pula mempunyai latar belakang Eurasia, satu isu yang membelenggu Lee apabila cuba mempelajari seni mempertahankan diri.

Beliau sudah didedahkan kepada dunia perfileman sejak dari kecil lagi. Sebelum dikenali sebagai bintang dunia seni mempertahankan diri, Lee sebenarnya sudah berlakon sebagai pelakon kanak-kanak dan tampil dalam 20 buah filem. Ini termasuklah filem The Kid pada tahun 1950 di mana beliau berlakon bersama bapanya itu.

Rajah 1: Bruce Lee dalam filem The Kid (1950).

Menjelang akhir 50-an, Lee sudah mula terjebak dalam beberapa pergaduhan jalanan. Bagi mengelak isu ini daripada terus berlarutan, ibu bapanya melihat beliau harus dilatih dalam seni mempertahankan diri. Atas cadangan seorang rakan bernama William Cheung, Lee diperkenalkan kepada gurunya yang paling terkenal, Yip Man atau Ip Man.

Bagi peminat siri filem Ip Man lakonan Yen, pasti tahu Ip merupakan seorang mahaguru Wing Chun terkenal. Tetapi pada awalnya, Lee tidak dibenarkan berguru dengan beliau atas alasan seni mempertahankan diri China tidak boleh diajar kepada orang luar. Alasan ini berkemungkinan merujuk kepada latar belakang ibu beliau yang mempunyai darah Eurasia. Tetapi selepas Cheung menerangkan situasi Lee, barulah rakannya itu berpeluang berguru dengan Ip.

Bagi mengelakkan pelajar-pelajarnya termasuk Lee terlibat dalam pergaduhan jalanan, Ip sentiasa menggalakkan mereka menyertai kejohanan-kejohanan seni mempertahankan diri. Baginya, itu lebih baik kerana ia dapat menunjukkan bakat mereka sebagai pelajar beliau dan menonjolkan Wing Chun sebagai seni mempertahankan diri. Selain dibimbing oleh Ip, Lee turut mendapat tunjuk ajar daripada Cheung dan pelajar beliau yang terkenal, Wong Shun-leung. (Campbell, 2006)

Rajah 2: Lee semasa berlatih dengan Ip Man

Bagaimanapun, kecenderungannya terlibat dalam pergaduhan hampir-hampir mengakibatkan Lee ditahan oleh pihak berkuasa. Tidak mahu pisang berbuah dua kali, ibu bapanya memilih menghantar beliau ke Amerika Syarikat untuk tinggal bersama kakaknya, Agnes Lee di San Francisco pada 1959. Begitupun, Lee tidak tinggal lama bersamanya dan berhijrah ke Seattle untuk menamatkan pengajian sekolah tingginya.

Selepas memilih tidak menamatkan pengajian di Universiti Washington, Seattle pada awal tahun 1964, Lee memberi fokus kepada sekolah seni mempertahankan diri yang ditubuhkannya. Sekolah tersebut dinamakan Institut Jun Fan Gung Fu dengan satu ditubuhkan di Seattle pada 1959 dengan satu lagi sekolah diasaskan di Oakland pada 1964. Di Oakland, sekolah seni mempertahankan diri itu ditubuhkan dengan bantuan seorang rakan dan pengamal seni mempertahankan diri China, James Yimm Lee.

Menerusi Yimm Leelah, Lee diperkenalkan dengan pakar seni mempertahankan diri AS Ed Parker. Perkenalan mereka membolehkan beliau dijemput mengadakan demonstrasi seni mempertahankan diri di Kejohanan Karate Antarabangsa Long Beach 1964. Antara demonstrasi yang dilakukan Lee ialah tekan tubi dua jari dan tumbukan satu inci.

Demonstrasi beliau mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton, salah seorang daripada mereka ialah penerbit televisyen William Dozier. Dozier kemudiannya menawarkan watak Kato kepada Lee yang dilihat sesuai sebagai penolong The Green Hornet (Van Williams). Walaupun siri televisyen The Green Hornet hanya bertahan selama semusim dari 1966 hingga 1967, beliau mengucapkan terima kasih kepada Dozier kerana memberinya langkah permulaan dalam dunia seni.

Rajah 3: Lee dan Van Williams sebagai The Green Hornet dan Kato.

Dalam kesibukannya mencuba membina nama di AS, Lee turut menilai semula falsafah seni mempertahankan diri yang dibawanya. Beliau merasakan kebanyakan seni mempertahankan diri seperti kung fu, karate dan taekwando penuh dengan had dan menyekat pergerakan pengamalnya. Ini mendorongnya memperkenalkan Jeet Kune Do (JKD) atau Cara Menyekat Tumbukan-Tumbukan.

JKD ialah seni mempertahankan diri di mana pengamalnya percaya usaha minimum sudah cukup untuk menumbangkan pihak lawan dengan syarat ia memberi kesan besar dan pada kelajuan pantas. Tambah Lee lagi, sebarang teknik seni mempertahankan diri yang ingin dimasukkan perlu dinilai dari segi keberkesanan semasa perlawanan.

Ini kerana teknik yang bersifat artistik mungkin indah semasa demonstrasi tetapi langsung tidak berguna dalam situasi seni mempertahankan diri atau pergaduhan jalanan. Antara pengamal JKD yang terkenal ialah Dan Inosanto, Jang Hyuk, Lady Gaga dan Alex Caceres.

Melihat kariernya tidak ke mana di AS, Lee dinasihati seorang rakan penerbit bernama Fred Weintraub untuk pulang ke Hong Kong dan menghasilkan filem di situ. Tanpa pengetahuan beliau, The Green Hornet sebenarnya mendapat sambutan hangat di Hong Kong dan ramai penerbit Hong Kong mahu mendapatkan khidmatnya sebagai pelakon utama filem mereka. Setelah pulang ke tanah air, Lee memilih bekerjasama dengan Golden Harvest yang diterajui penerbit Raymond Chow.

Filem pertama kolaborasi mereka iaitu The Big Boss yang ditayangkan pada 1971 mendapat sambutan hangat dengan kutipan pecah panggung AS$50 juta. Ini disusuli filem Fist of Fury (1972) yang mengutip AS$100 juta. Potensi Lee sebagai bintang seni mempertahankan diri mendorong beliau memeterai perjanjian baru dengan Golden Harvest dan ini dibuktikan menerusi filem ketiganya Way of the Dragon (1972).

Way of the Dragon dianggap berbeza kerana Lee diberi kebebasan untuk berkarya sebagai pelakon, pengarah, penulis skrip dan pereka koreografi pertarungan. Filem yang turut menampilkan bakal pelakon aksi legenda Chuck Norris mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton dan pengkritik. Selain mengutip kutipan pecah panggung AS$130 juta, ia turut digelar sebagai filem seni mempertahankan diri terbaik sepanjang zaman.

Rajah 4: Pertarungan Lee-Chuck Norris dalam filem Way of the Dragon menjadikan filem itu sebagai filem aksi ikonik sepanjang zaman. Sumber: Screenrant.

Semasa sibuk membuat persiapan untuk filem Game of Death, Lee ditawarkan berlakon dalam filem Enter the Dragon (1973). Filem yang menyaksikan kolaborasi antara produksi Lee Concord Production Inc, Golden Harvest dan Warner Brothers merupakan penampilan terakhir beliau di layar perak. Seminggu sebelum ia ditayangkan, Lee meninggal dunia pada 20 Julai 1973 semasa menghadiri sebuah mesyuarat dengan koroner mengelaskan kematiannya sebagai kematian akibat perbuatan berisiko yang dilakukan secara sukarela. (Campbell, 2006)

Selama bertahun-tahun ramai berspekulasi tentang punca sebenar kematian Lee. Tetapi pada 2018, penulis biografi beliau Matthew Polly percaya punca sebenar kematiannya ialah akibat edema serebrum yang dicetuskan oleh terlalu banyak berlatih dan strok haba. Teori ini dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan pakar-pakar perubatan tentang punca kematian Lee.

Strok haba tidak dipertimbang sebagai punca kematian kerana ia masih gagal difahami sebagai penyakit perubatan ketika itu. Ini ditambah dengan Lee sendiri menjalani pembedahan membuang kelenjar peluh pada akhir tahun 1972 atas alasan ketiak berpeluh tidak nampak cantik bila dirakam dalam filem. Polly juga percaya beliau mengalami strok haba semasa berlatih dari 10 Mei hingga 20 Julai 1973 sekaligus turut memburukkan situasi edema serebrum dan menjadi punca kematiannya. (Polly, 2018)

Apabila Lee meninggal dunia pada 20 Julai 1973, beliau meninggalkan seorang balu Linda Lee Caldwell dan dua orang cahaya mata mereka, Brandon dan Shannon. Brandon kemudiannya mengikut jejak langkah beliau sebagai pelakon aksi dan mula dikenali menerusi Legacy of Rage (1986) dan Showdown in Little Tokyo (1991). Bagaimanapun, Brandon kemudiannya meninggal dunia pada usia 28 tahun selepas mengalami kemalangan di set penggambaran filem The Crow (1994).

Sementara Shannon pula mengikut jejak langkah bapanya ke dunia seni bermula sebagai pelakon sebelum beralih sebagai penerbit. Beliau bertanggungjawab merealisasikan impian drama kung fu berlatarkan Barat bapanya iaitu Warrior. Drama aksi yang disiarkan di Cinemax itu menampilkan pemegang terbaru watak Storm Shadow, Andrew Koji sebagai protagonis Ah Sahm dan mendapat sambutan positif dalam kalangan penonton.

Rajah 5: Penerbitan drama Warrior oleh Shannon Lee merealisasikan impian bapanya untuk melihat drama kung fu berlatarkan Barat ditayangkan di kaca televisyen. Sumber: David Bloomer/Cinemax

Pemergian Lee pada usia yang sangat muda iaitu 32 tahun sememangnya memberi kesan besar kepada industri perfileman baik di Hollywood mahupun Asia. Tetapi ia turut membuka jalan kepada kemunculan bintang-bintang lain seperti Jean Claude Van Damme, Norris, Chan dan Yen.

Empat filem Lee menjadi inspirasi kepada pelbagai bentuk media dari anime hinggalah filem. Di dunia anime, Dragon Ball dan Fist of the North Star diinspirasikan daripada filem seperti Enter the Dragon. Sementara permainan video terkenal Street Fighter turut diinspirasikan daripada filem sama. Malah, pembangun permainan video EA Sports UFC turut menyelitkan kelibat beliau untuk kategori bantamweight, featherweight, lightweight dan welterweight.

RUJUKAN:

American Heritage Center. (2020). Bruce Lee Steals the Show in “The Green Hornet”.

Burrows, Alyssa. (2002). Lee, Bruce (1940-1973). HistoryLink.

Polly, Matthew (2018). Bruce Lee: A Life. Simon & Schuster. Halaman 473-475

Campbell, Sid (2006). Remembering the master. Blue Snake Books. Halaman 172, 206.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.