Brawijaya – Putera Majapahit Menjadi Raja Di Tanjungpura

0
797
views

TANJUNGPURA atau Tanjompura atau Poni atau Poli atau Bornei adalah nama-nama kuno yang banyak menghiasi manuskrip-manuskrip lama apabila berbicara mengenai sejarah kuno satu pulau yang merupakan pulau ketiga terbesar iaitu Pulau Borneo.  Dan dari jejak sejarah juga turut menyatakan bahawa dahulunya empayar besar Kerajaan Majapahit pernah menebar kekuasaannya di Borneo.

Selain itu jika kita menghuraikan sejarah berdirinya kerajaan-kerajaan kuno di Borneo sudah semestinya suatu waktu dahulu ada tiga kerajaan yang menjadi pendominasi wilayah-wilayahnya iaitu Kerajaan Brunei, Kerajaan Banjarmasin dan Kerajaan Tanjungpura.  Dan ketiga-tiga kerajaan ini wujud selepas kemerosotan empayar Majapahit yang mana menyaksikan ketiga-tiganya berjaya melepaskan diri dan menjadi satu kerajaan yang bebas merdeka.

Kerajaan Tanjungpura atau Tanjompura adalah merupakan kerajaan tertua yang pernah berada di bumi Kalimantan Barat.  Keberadaan kerajaan ini wujud adalah sekitar abad ke-14 hingga 15  masihi dengan sempadan wilayahnya dari Tanjung Datu sehingga ke Teluk Sambar.  Menurut kajian para sejarahwan di Indonesia menyatakan secara lebih spesifik kewujudan Kerajaan Tanjungpura ini gah namanya di Tanah Kayong iaitu antara provinsi yang mempunyai garis sempadan yang terdekat dengan Sarawak/Kalimantan Barat di bahagian selatan.

Menyelusuri cerita sejarah Kerajaan Tanjungpura dikatakan jauh sebelum ia digelar sebagai Kerajaan Tanjungpura sebenarnya sudahpun dikenali dengan nama “Bakulapura” iaitu yang menjadi salah satu daripada wilayah empayar Singhasari. Pada waktu itu Singhasari adalah dibawah pemerintahan Raja Kerta Negara yang terkenal dengan ekspedisi Pamalayu iaitu satu ekspedisi untuk menakluk Pulau Swarnabhumi atau Sumatera sekarang kemudiannya jejak ekspedisi menular sehingga ke Bakulapura.

Menurut bahasa Sanskrit makna Bakulapura itu adalah merujuk kepada nama satu bunga yang dikenali sebagai bunga tanjung yang hidup subur di wilayah tersebut.  Akhirnya setelah Singhasari diganti oleh Majapahit kekuasaannya maka muncullah nama Tanjungpura atau Tanjompura sekitar abad ke-13 Masihi mengikut slanga penutur tempatan pada masa itu.

Betapa Tanjungpura itu begitu penting suatu waktu dahulu pernah disebut di dalam Sumpah Palapa (Amukti Palapa) yang dilafazkan oleh Gadjah Mada sewaktu diangkat menjadi Patih Amangkhubumi Majapahit pada tahun 1336 Masihi.  Ianya berbunyi:

Sira Gajah Madapatih Amangkubhumi tan ayun amuktia palapa, sira Gajah Mada: “Lamun huwus kalah nusantara isun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seran, Tañjung Pura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana isun amukti palapa”.

Terjemahannya,

Dia Gajah Mada Patih Amangkubumi tidak ingin melepaskan puasa. Ia Gajah Mada, “Jika telah mengalahkan Nusantara, saya (baru akan) melepaskan puasa. Jika mengalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, demikianlah saya (baru akan) melepaskan puasa”.

 

Peninggalan jejak Majapahit di Tanjungpura bukanlah hanya sekadar sebagai sebuah empayar penakluk sebaliknya warisan keturunan Majapahit sendiri adalah pengasas Kerajaan Tanjungpura seperti yang dicatatkan di dalam salsilah raja-raja pemerintah Tanjungpura iaitu yang ditulis oleh Gusti Maerat diatas permintaan Gusti M. Saleh Wedana Sukadana pada tahun 1956.  Disitu telah dinyatakan bahawa pengasas kepada Kerajaan Tanjungpura adalah yang bernama Brawijaya.

Di dalam salsilah itu menyatakan dengan mengkhusus asal bermulanya Brawijaya, seorang putera Majapahit terdampar hingga ke Borneo iaitu atas sebab dirinya dianiayai oleh saudara-saudara kandungnya akibat perebutan kuasa di Majapahit.  Dek kerana kuasa dikatakan saudara kandungnya sanggup meletakkan racun di dalam makanannya sehinggalah menyebabkan badan Brawijaya menjadi gatal-gatal yang tidak sudah.  Dan kerana asyik digaru-garu menyebabkan ianya menjadi luka-luka yang mengeluarkan darah dan nanah.

Keadaan Brawijaya yang jijik di pandangan pihak istana Majapahit walau sudah diubati oleh ratusan dukun akhirnya menyebabkan Brawijaya diperintahkan keluar dari istana kerana tidak mahu sakitnya berjangkit.  Brawijaya yang akur akan perintah Raja Majapahit hanya mampu berserah atas apa yang menimpanya.  Sebagai seorang putera keturunan raja yang kuat pada ketika itu, Brawijaya disediakan sebuah bahtera besar dan turut mengikutinya adalah para dayang dan hulubalang yang setia kepadanya.

Maka bermulalah episod bahtera yang besar itu membelah lautan walau tanpa destinasi yang mengkhusus kerana titah daripada Raja Majapahit adalah untuk Brawijaya tidak akan berpatah balik ke Majapahit lagi.  Dengan bantuan angin setelah beberapa bulan di samudera yang luas akhirnya mereka terdampar di pantai selatan Borneo.  Dari situ mereka memasuki Sungai Pawan dan berhenti di kuala Kandang Kerbau yang sekarang dikenali dengan nama Ketapang.  Melihat akan keadaan sungai Ketapang pada masa itu yang kaya dengan ikan-ikan serta tanah pamah yang makmur menyebabkan Brawijaya ingin menetap di situ selama-lamanya.

Mungkin kerana penyakitnya menyebabkan Brawijaya seringkali turun ke sungai untuk mandi manda ataupun hanya berendam sahaja.  Dan sesuatu yang pelik berlaku tatkala beliau berendam itu pasti ada kawanan ikan jenis ikan patin akan mendekatinya lantas menjilat luka-luka dibadan beliau.  Hari demi hari akhirnya luka-luka yang berdarah dan bernanah itu menjadi kering dan Brawijaya pulih seperti sediakala.  Sejak itulah juga dikatakan atas rasa terhutang budi dengan ikan patin, Brawijaya bersumpah tiada mana-mana keturunannya yang boleh memakan ikan patin dan sesiapa yang melanggar sumpah tersebut akan gila ataupun mati.

Hidup Brawijaya hanya menumpang di tepian sebatang sungai menyebabkan beliau seringkali turun sehinggalah pada suatu hari beliau menjumpai segumpal rambut yang panjang.  Kerana tarikan rambut itu menyebabkan Brawijaya ingin mencari siapakah pemiliknya yang sudah pasti pada firasatnya seorang gadis yang cantik.  Ternyata pencarian beliau menemui noktahnya apabila pemiliknya adalah seorang wanita bernama Dayang Putung yang jelita, anak kepada Siak Bahulun yang juga pemerintah di Keriau, Raja Ulu Air.

Walau rupa parasnya sungguh jelita dengan rambut yang panjang mengurai, putih melepak namun Dayang Putung cacat pada tangan dan kaki.  Brawijaya yang sudah jatuh cinta pandang pertama ingin memperisterikan Dayang Putung.  Dalam sesetengah versi menyatakan walau bersetuju untuk berkahwin dengan Brawijaya di Jawa, Dayang Putung telah meminta hantaran daripada Brawijaya iaitu seutas rantai emas, satu lancing, sebuah perahu panjangnya tujuh depa, 40 orang pahlawan lelaki dan pasangannya, gamelan dan beberapa gong.  Kesemuanya diadakan oleh Brawijaya tanpa membuat tawar menawar sekalipun.

Ketika di Jawa sebelum mereka berkahwin, pihak istana Majapahit cuba untuk menyembuh  Dayang Putung maka saat itu para dukun istana yang hebat telah dipanggil yang mana akhirnya usaha penyembuhan itu berhasil sehingga menyebabkan dirinya yang cacat pada mulanya telah kembali normal dan sempurna seperti wanita yang lain.  Setelah perkahwinan itu selesai, kedua-duanya kembali ke Ketapang lantas mereka menjadikan perkampungan kecil di Ketapang menjadi sebuah negeri yang besar yang akhirnya dinamakan Kerajaan Tanjungpura dengan rajanya bernama Brawijaya yang memerintah dari tahun 1454 ke 1472.

Hasil perkahwinan daripada Brawijaya dengan Dayang Putung inilah melahirkan Pangeran Prabu atau Raja Baparung yang mana puteranya bernama Panembahan Karang Tanjung telah memindahkan Kerajaan Tanjungpura ke Sukadana lantas menjadi Kerajaan Sukadana.  Dari Sukadana ke Kerajaan Simpang-Matan yang mana akhirnya melalui Gusti Kesuma Matan  yang menabalkan dirinya sebagai Sultan Muhammad Syaifuddin yang memerintah pada tahun 1622-1665 menjadikan legasi keturunan Brawijaya pertama yang memeluk Islam. Setelah itu menjadi Kerajaan Simpang-Matan seterusnya berpecah pula menjadi Kerajaan Kayong-Matan atau turut dikenali sebagai Kerajaan Tanjungpura II. Selain itu putera kedua Briwijaya pula iaitu Gusti Likar pula adalah pengasas kepada Kerajaan Tayan yakni sebuah kerajaan kuno yang berpusat di Tayan Hilir, Sanggau.  Manakala putera bongsu iaitu yang digelar Pangeran Mancar menjadi pengasas kepada satu kerajaan di Sanggau yang dikenali dengan nama Kerajaan Meliau-Sanggau.

Brawijaya seorang putera dari Majapahit sebenarnya telah melahir ramai legasinya yang menjadi raja di banyak kerajaan-kerajaan kuno yang pernah wujud di Borneo atau digelar suatu waktu dahulu sebagai Tanjungpura.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

Rujukan:

  1. Tajuk buku: Sekilas Menapak Kerajaan Tanjung Pura, Tulisan: Drs. H Gusti Muhammad Mulia (2007)
  2. Asal-usul Terbentuknya Kerajaan Sukadana http://suarapemredkalbar.com/berita/feature/2016/10/08/asal-usul-terbentuknya-kerajaan-sukadana
  1. Kerajaan Matan-Tanjungpura http://melayuonline.com/ind/history/dig/443/kerajaan-matan–tanjungpura
  1. Kesultanan dan Kerajaan Di Indonesia https://sultansinindonesieblog.wordpress.com/kalimantan-4/sultan-of-simpang/