Botol Bayi Zaman Prasejarah

684

Walau memiliki warna kulit, latar belakang bangsa ataupun anutan kepercayaan yang berbeza-beza, setiap manusia menjalani proses penumbesaran yang sama. Baik yang kaya mahupun miskin, baik yang terkenal hormat mahupun hina; setiap seorang daripada kita mempunyai satu latar belakang yang sama – iaitu kita pernah menjadi seorang bayi kecil yang lemah dan dilindungi sepenuhnya oleh kedua orang tua yang bergelar ibu dan bapa.

Ketika berada pada peringkat umur sedemikian, tidak seperti manusia dewasa, bayi bergantung kepada susu badan. Setelah beberapa tempoh, bayi mula dilepaskan daripada menyusu badan dan mula dibiasakan dengan susu formula. Namun, itu apa yang berlaku di zaman moden ini. Bagaimana pula dengan penyusuan bayi di zaman purba? Adakah sama seperti kita yang memiliki lambakan pilihan susu formula, atau mereka bergantung sepenuhnya kepada susu badan sehingga bayi itu mencecah usia kanak-kanak, sekitar empat hingga enam tahun?

Sebuah laporan kajian yang disiarkan di Nature  pada 25 September yang lalu menghadirkan satu jawapan konkrit bagi persoalan tersebut. Kajian yang diketuai oleh Dr. Julie Dunne ini melibatkan penyelidikan ke atas tiga buah bekas tanah liat yang ditemui di kubur kanak-kanak yang berusia dari beberapa bulan hingga 6 tahun di Bavaria, Jerman.  Dua daripadanya dipercayai berasal dari awal Zaman Besi sekitar 800-450 Sebelum Masehi sementara bakinya pula diyakini sebagai artifak Zaman Gangsa yang bertarikh antara 1200-8000SM.

Dr. Julie Dunne dari Universiti Bristol memaklumkan kepada The Independent bahawa botol-botol tersebut diperbuat daripada tanah liat dan bersaiz cukup kecil sehingga sesuai untuk dipegang oleh tangan kecil kanak-kanak. Selain memiliki muncung berlubang kecil yang membolehkan bayi menyedut susu daripadanya, botol ini juga mempunyai bentuk yang mirip seperti haiwan mitos atau haiwan sakti. Hal ini mencerminkan kekreatifan si pembuat botol berkenaan di samping menghadirkan elemen humor kepada bayi semasa mereka menggunakan botol tersebut.

Mengulas tentang bentuk botol yang agak menarik itu, Dr. Julie Dunne berkata, “Jika anda lihat betapa comel dan lucunya botol ini, anda mungkin dapat membayangkan bagaimana ketika si ibu memberikan botol tersebut kepada bayinya, bayi itu akan terketawa gembira melihat kecomelan botol berkenaan. Hal ini benar-benar menggambarkan kepada kita betapa ibu bapa di zaman prasejarah begitu menumpahkan kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak mereka.”

Tidak cukup dengan komennya sebegitu, pasukan penyelidiknya juga sempat menghasilkan sebuah replika dan memberikannya kepada bayi salah seorang rakan mereka yang berusia setahun. Si ibu melaporkan bagaimana gembiranya bayinya ketika meminum jus epal dengan menggunakan botol berkenaan.

Antara contoh bekas minuman bayi di zaman prasejarah

Di samping itu, pasukan penyelidik ini turut menjalankan kajian bagi mengenali dengan lebih lanjut kandungan yang ada di dalam botol atau bekas minuman bayi berkenaan. Justeru, mereka menjalankan analisis kimia ke atas sisa lemak yang masih terdapat pada artifak tersebut. Hasilnya, mereka mendapati dua daripada bekas berkenaan digunakan untuk memuatkan susu daripada haiwan seperti lembu, kambing ataupun biri-biri manakala sebuah lagi pula memuatkan susu manusia ataupun khinzir. Walau bagaimanapun, mereka tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat bijirin seperti barli turut dicampurkan ke dalam susu itu ataupun tidak.

Apapun, ini merupakan kali pertama dalam sejarah di mana saintis dan arkeologis berupaya menghadirkan satu bukti kukuh yang menunjukkan bahawa ibu-ibu di zaman prasejarah memberikan susu haiwan kepada bayi mereka ketika tempoh menghentikan si bayi daripada susu badan. Dengan pembuktian ini, ilmuwan berupaya memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam tentang budaya penyusuan bayi di zaman prasejarah. Ibarat bermain susun-suai gambar (puzzle), pemahaman ini bagaikan salah satu kepingan puzzle yang menyempurnakan lagi kefahaman ilmuwan tentang struktur kehidupan manusia prasejarah.

Menjelaskan tentang perolehan ini, Dr Julie Dunne berkata, “Manusia mula menjadi petani dan menanam bijirin. Sebaik sahaja mereka mengamalkan gaya hidup menetap dan memperoleh bekalan makanan yang ampuh untuk diberikan kepada bayi, mereka pun berupaya untuk melahirkan lebih ramai bayi dengan lebih kerap. Tahap kesuburan meningkat yang kemudiannya membawa kepada meningkatnya kadar kelahiran bayi. Mutakhirnya, populasi manusia pun mengalami peningkatan yang besar.”

Sebelum ini, arkeologis pernah menemukan ratusan bekas minuman yang berbentuk serupa di tapak-tapak penempatan prasejarah di seluruh Eropah yang berusia sehingga 7000 tahun (antara 5500-4800SM), juga dipercayai sebagai botol bayi. Pun begitu, bekas-bekas minuman ini masih lagi belum menjalani proses penyelidikan bagi mengesahkan kegunaannya sebagaimana tiga buah botol tanah liat dari Bavaria ini.

Apapun, di samping menjelaskan peningkatan kadar kelahiran prasejarah serta budaya penyusuan bayi dalam komuniti manusia di zaman tersebut, penemuan-penemuan sebegini turut memberikan maklumat tambahan tentang sejarah penggunaan susu haiwan sebagai minuman manusia, yang dipercayai menjangkau sehingga 6000 hingga 9000 tahun lamanya.

Penggunaan bekas suapan bayi di zaman Gangsa

RUJUKAN

Ed Whelan. (26 September 2019). Proof Infants Sipped Animal Milk From Prehistoric Baby Bottles. Ancient Origins
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/baby-bottles-0012631

Phoebe Weston. (26 September 2019). Scientists Discover 3000-Year-Old baby bottle. The Independent.
https://www.independent.co.uk/news/science/prehistoric-mothers-baby-bottle-animal-milk-a9120111.html

Lizzie Wade. (25 September 2019). These mysterious vessels are among the oldest baby bottles. Science Mag.
https://www.sciencemag.org/news/2019/09/these-mysterious-vessels-are-among-world-s-oldest-baby-bottles

Clare Wilson. (25 September 2019). Prehistoric baby bottles found in Bronze and Iron Age sites in Germany. NewScientists.
https://www.newscientist.com/article/mg24332494-300-prehistoric-baby-bottles-found-in-bronze-and-iron-age-sites-in-germany/

Megan Gannon. (25 September 2019). What was in prehistoric baby bottles? Now we know. National Geographic.
https://www.nationalgeographic.com/culture/2019/09/what-in-prehistoric-baby-bottles-now-know-animal-milk/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.