Boris Johnson PM Terbaru UK

1,299

Akhirnya, Boris Johnson disahkan sebagai ketua parti Conservative yang baharu dan juga PM ke-55 dalam sejarah UK (atau Britain, sebab UK hanya wujud selepas 1801), menggantikan Theresa May yang meletak jawatan atas kegagalan menangani kemelut Brexit.

Siapa Boris Johnson? Tak payah Google, baca je tulisan ringkas aku ni. Korang baca Wikipedia pun tak semestinya dapat insight macam ni. Wongkipedia > Wikipedia.

Walaupun gaya Johnson selekeh, badan gelebeh, dan selalu dibandingkan dengan imej Donald Trump, tapi persona Johnson dan Trump agak berbeza.

Trump ialah “parvenu” (orang kaya baharu), dipandang rendah di kalangan kelas atasan di US. Trump ialah “outsider” bagi circle golongan elit. Jadi gaya politik Trump yang populis dan anti-elit sedikit sebanyak ialah cara dia untuk “revenge” elit-elit ni. 

Johnson ialah elit. Keelitannya pekat tak campuq ayaq. Belajar di Eton College dan Oxford University. Kat Oxford ambil jurusan “Classics”, belajar sastera Greek dan Latin klasikal seperti Iliad dan Odyssey. Orang bangsawan je ada masa untuk benda-benda gini. Low-born macam aku dan kau ni kena belajar benda yang praktikal untuk cari makan. 

Dengan latar belakang elit dia, awal-awal Johnson masuk politik menyertai Parti Conservative dan kena cop sebagai “PM material”, bersama-sama David Cameron yang juga merupakan lepasan Eton dan Oxford. Cuma Cameron belajar PPE, tak cukup bangsawan. Diorang berdua ni jodoh betul: masuk politik pada waktu yang sama, sama-sama kalah dalam PRU pertama (1997), sama-sama menjadi ahli parliamen pada tahun yang sama (2001). 

Walaupun Cameron lebih junior 2 tahun berbanding Johnson, tapi Cameron naik lagi cepat, cantas senpai dia. Tak sampai 2 tahun masuk parlimen dah jadi front-bencher (2003), umur 39 (2005) jadi ketua Parti Conservative, 5 tahun kemudian (2010) jadi PM paling muda dalam sejarah, selepas William Pitt the Younger (PM pada umur 24). Johnson? Duduk backbench, jadi ahli biasa. 

Malah, selepas Cameron jadi ketua, dia tak masukkan senpai dia ke dalam kabinet bayangan Parti Konservatif. Kabinet bayangan ni pengagihan jawatan kabinet yang dibuat siap-siap masa parti menjadi pembangkang. Jadi Cameron langsung tak payung senpai dia ni. Tak tau lah apa kisah silam antara diorang berdua ni masa kat Oxford sampai begitu sekali. 

Tapi Johnson ada dia punya “fortuna”. Pada tahun 2008, Johnson menang dalam pemilihan Datuk Bandar London. Datuk Bandar Londor ni jawatan yang banyak dapat publisiti media. Bit by bit, Johnson berjaya membina “cult” dan “brand” dia yang tersendiri. “Haters” ramai, tapi peminat mati keras pun ramai.

Trump dan Johnson ada satu persamaan, iaitu skeptikal dengan “supranational union” seperti EU, dan bernostalgia dengan kegemilangan silam negara. Melihat EU mencabuli kedaulatan UK dan Jerman terlalu dominan dalam EU sehingga UK nampak macam balaci, Johnson menjadi pemimpin suara “Euroskeptics” dalam Parti Conservative. 

Apabila Cameron nak buat referendum pada 23 Jun 2016, suruh rakyat menentukan samada UK kekal atau keluar EU, tibalah masa untuk Johnson membalas dendam dekat Cameron. Cameron berkempen untuk “Bremain” (kekal dalam EU), Johnson pula berkempen untuk “Brexit” (keluar dari EU). Keputusan memihak kepada Brexit, dan Cameron letak jawatan untuk save face. 

Mula-mula orang ingat Johnson akan ganti Cameron. Tapi dalam pemilihan ketua parti, Johnson “dikhianati” oleh rakan dia sendiri iaitu Michael Gove. Gove pada asalnya menyokong Johnson untuk jadi ketua, tapi pada last minute nak bertanding juga. Johnson emo, lalu berundur diri. Tapi Gove tak berjaya mara ke pusingan terakhir. Theresa May, seorang “Bremainer” dinobat sebagai ketua Conservative dan PM baharu.

May acah nak main realpolitik – “keep your friends close, and keep your enemies closer” – beri jawatan Menteri Luar kat Johnson yang terang-terang tak sehaluan dengan dia dalam isu Brexit. May nak Brexit dengan “deal” (perjanjian dengan EU), Johnson nak Brexit tanpa deal. Terbukti May silap: Johnson banyak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian May, dan langsung tak menyokong usaha May untuk berunding dengan EU. 

Bagi Johnson, UK ialah negara berdaulat, nak keluar EU, keluar, tak perlu bertunduk kepada “unelected bureaucrats” di Brussels (pusat pentadbiran EU). Ayat-ayat ni golongan marhaen dengar, menusuk kalbu. Tapi elit globalis benci Johnson, macam diorang benci Trump. Selepas 2 tahun bertahan dengan May (atau May yang bertahan dengan dia), Johnson meletak jawatan sebagai Menteri Luar pada Julai 2018. 

Selepas 3 kali May punya deal ditolak oleh ahli parlimen termasuk ahli Conservative, May fed up dan melepaskan jawatan. Dan tibalah masa untuk Johnson menawarkan diri sebagai ketua Conservative dan PM. Pesaing ramai, termasuk Gove. Tapi Gove pun tak ada luck kali ini, malah dalam keenam-enam pusingan pemilihan, Johnson mendahului dengan 60% daripada undian. 

Johnson dah dapat apa yang dia nak (jawatan PM), sekarang ialah masa untuk dia melaksanakan Brexit mengikut jadual yang ditetapkan iaitu 31 Oktober. Memandangkan masa yang tinggal hanya 3 bulan, kemungkinan UK untuk keluar EU tanpa deal menjadi semakin tinggi. 

Walaupun majoriti ahli parlimen menolak May punya deal, tapi diorang juga menolak idea Brexit tanpa deal. Yang diorang tak puas hati ialah perkara “backstop” yang dicadangkan oleh EU iaitu mengekalkan Northern Ireland dalam “customs union” selepas UK keluar dari EU, supaya tiada persempadanan fizikal wujud antara Northern Ireland (wilayah UK) dan Ireland (negara anggota EU).

Bagi Euroskeptic seperti Johnson, cadangan backstop bercanggah dengan semangat Brexit itu sendiri. Tapi kalau sempadan fizikal diwujudkan semula, ia akan membelakangi semangat Good Friday Agreement 1998 yang menamatkan konflik di Northern Ireland (“The Troubles”) di mana Irish Republican Army (IRA) memperjuangkan penyatuan Ireland dan Northern Ireland. Disebabkan kemudahan melepasi sempadan lah IRA meletak senjata. Jadi ramai risau, “The Troubles” akan timbul semula kalau UK keluar EU tanpa deal.

Jadi apa alternatif yang Johnson tawarkan? Tak tau lagi. Yang kita tau, hari ni ialah hari paling bahagia dalam kehidupan Johnson. Akhirnya dapat juga Johnson membalas dendam terhadap Cameron, walaupun dengan harga yang agak tinggi.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.