Borean – Makrokeluarga Bahasa Yang Tertinggi Setakat Ini

0
525
views

Sebahagian besar bahasa di seluruh dunia telah dikelaskan mengikut keluarga bahasa dan sub-keluarga bahasa yang tersendiri. Sebagai contoh bahasa Melayu, Jawa, Bugis, Hawaii, Sunda, Malagasy, Amis, Bunun, Iban, Kadazan dan sebagainya dikelaskan sebagai Austronesia lalu diikuti oleh sub-keluarga bahasa yang berbeza manakala bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Sanskrit, Rusia, Jerman, Sweden, Iceland, Latvia, Lithuania dan sebagainya dikelaskan sebagai Indo-Eropah lalu diikuti oleh sub-keluarga bahasa seperti Jermanik, Roman, Indo-Iranian, Balto-Slavik dan sebagainya. Jika kita menghimpunkan keluarga-keluarga bahasa seperti Austronesia, Indo-Eropah, Sino-Tibetan, Dravidian dan sebagainya, kita akan menemui sebuah makrokeluarga bahasa yang dinamakan sebagai Borean.

Borean ataupun lebih dikenali sebagai Boreal ataupun Boralean adalah sebuah hipotesis makrokeluarga bahasa yang merangkumi semua keluarga bahasa di dunia kecuali bahasa-bahasa peribumi di sub-sahara Afrika, New Guinea, Australia dan kepulauan Andaman. Bahasa Borean dipercayai telah dituturkan sejak zaman Penghujung Zaman Batu (50 000 – 10 000 tahun lepas) sehingga Zaman Ais Maksimum Sebelum Ini (Last Glacial Maximum) pada 31 000 -16 000 tahun lepas. Istilah Borean berasal daripada bahasa Yunani voréas (βορέας) yang bermaksud “Utara”, ini dibuktikan dengan sebagian besar penutur bahasa di seluruh dunia dituturkan di kawasan Hemisfera Utara.

Seperti mana kosa kata keluarga bahasa yang lain, kosa kata Borean juga diambil daripada konsep asas yang boleh ditemui dalam banyak bahasa. Konsep asas itu mempunyai persamaan antara satu-satu bahasa dengan yang lain. Konsep asas tersebut adalah nombor 1-9, hubungan kekeluargaan, organ pancaindera, haiwan dan sebagainya.

Antara kosa kata Borean adalah HVNLV. HVNLV bermaksud “dua”, “empat” dan “lapan” dalam bahasa Borean. Kosa kata ini adalah konsep nombor. Perkataan HVNLV dipercayai telah “melahirkan” perkataan *ńeljä dan *nāl- dalam Uralik dan Dravidian masing-masing. Bahasa Suomi (Neljä), bahasa Estonia (Neli) dan bahasa Magyar (Négy) adalah contoh bahasa Uralik manakala bahasa Tamil (Nālu), bahasa Kannada [nāl(u)ku] dan bahasa Malayalam (nāŋku) adalah contoh bahasa Dravidian.

Selain itu, KVNV adalah antara kosa kata dalam Borean. Dalam Borean, KVNV adalah bermaksud “Anak” dan “Muda”. Kosa kata ini adalah konsep hubungan kekeluargaan. Perkataan ini dipercayai tlah “melahirkan” perkataan *ken- dan *kɔ:n dalam bahasa Indo-Eropah dan Austroasiatik masing-masing. Bahasa Yunani Kuno (Kai̯nó-), bahasa Latin (Recēns), bahasa Avestan (kainyā-) dan bahasa Gaulish (Cintus) adalah contoh bahasa Indo-Eropah manakala bahasa Khmer Kuno (Kwan), bahasa Mon (Kwen) dan bahasa Bahnar (kɔ:n) adalah contoh bahasa Austroasiatik.

Di samping itu, HVKV adalah antara kosa kata dalam Borean. HVKV bermaksud “Mata” dalam Borean. Kosa kata ini adalah konsep organ pancaindera. Perkataan ini dipercayai telah melahirkan perkataan *kʷēn (~ *gʷ-) dan *be=gi dalam Sino-Tibetan dan Basque. Bacaan Beijing Moden (Juān), Han Barat (Kwjān) dan Cina Pertengahan (Kwien) adalah contoh Sino-Tibetan manakala “Begi” boleh ditemui dalam dialek Navar, Salazar, Lapurdia, Baztan dan Aezkoan dalam bahasa Basque.

Kemudian, WVRLV adalah contoh kosa kata bahasa Borean. WVRLV bermaksud “babi” dalam Borean. Kosa kata ini adalah konsep haiwan. Perkataan ini dipercayai telah “melahirkan” perkataan *wHārƛ̣_wǝ̆ dan *beRek dalam Kaukasia Utara dan Austronesia masing-masing. Proto-Lak (burḳ), Proto-Lezghia (*waIƛ̣:ʷ) dan Proto-Barat-Kaukasia (*Ĺawǝ) adalah contoh bahasa Kaukasia Utara. Warisan *beRek boleh ditemui di bahasa Puyuma, bahasa Tsou, bahasa-bahasa di utara Filipina dan sebahagian bahasa di pulau Borneo.

Waqaf Saham

Akhir sekali, CVTV adalah contoh kosa kata dalam Borean. CVTV bermaksud “punggung” dalam Borean. Perkataan CVTV dipercayai telah “melahirkan” perkataan *sido, *stá(h), *sítá dan *sut- (?*sVṭ-) dalam Mongolik, Koreanik, Japonik dan Afroasiatik. Bahasa Mongolia (šodu), Bahasa Korea (t:aŋ), bahasa Jepun (shìta) adalah contoh bahasa Mongolik, Koreanik dan Japonik masing-masing manakala bahasa Arab (ʔist-), bahasa Ibrani (šǝtōt) dan bahasa Aram (ištä) adalah contoh bahasa Afroasiatik.

Macam mana nak membaca perkataan dalam bahasa Borean? C” adalah bunyi konsonan, “V” adalah bunyi vokal, “T” adalah bunyi nada, “N” adalah bunyi dengung, “F” adalah frikatif, P adalah plosif dan sebagainya. Sebagai contoh, CVTV adalah bermaksud “punggung” dalam Borean. Berdasarkan bunyi tersebut, perkataan yang boleh dibentuk dengan perkataan CVTV berkemungkinan adalah Baáa, Biïa, Zuüu dan sebagainya. Dengan kata lain, banyak bunyi mungkin perlu dihasilkan untuk membentuk kosa kata dalam Borean.

Austronesia, Turkik, Indo-Eropah, Sino-Tibetan, Koreanik dan sebagainya adalah keluarga bahasa yang diterima secara meluas dalam kalangan ahli bahasa. Kerana pelbagai sebab, Borean tidak diterima oleh banyak pihak. Sub-keluarga Borean yang menerima nasib yang sama seperti Borean adalah seperti Altaik, Nostratik, Austrik dan sebagainya.

Kesimpulannya, banyak bahasa di dunia berjaya dihubungkan di bawah induk yang sama iaitu Borean. Walaupun tidak semua menerima teori ini, namun tidak rugi jika mengkaji tentang selok-belok bahasa ini.

Rujukan

http://ehl.santafe.edu/EhlforWeb.pdf

http://starling.rinet.ru/cgi-bin/query.cgi?basename=\data\eura\globet&root=config&morpho=0

Artikel adalah sumbangan Alam Bahasa untuk The Patriots.