https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Boom XB-1: Pemangkin Penerbangan Supersonik Era Baru

955

1. Teknologi supersonik di katakan telah wujud selama lebih kurang 70 tahun semenjak kali pertama ianya di war-warkan. Namun, hanya melalui inovasi-inovasi baru pada jagat ini, ianya menjadi titik tolak yang berjaya membuatkannya lebih berdaya maju untuk skala komersil.

2. Contohnya baru-baru ini, selepas 17 tahun tamatnya penerbangan pesawat supersonik Concorde pada tahun 2003, dunia pengangkutan taraf supersonik di kejutkan semula dengan kemunculan baru prototaip sebagai pemangkin pesawat komersil supersonik generasi hadapan yang di beri nama XB-1, sebuah pesawat supersonik eksperimental yang sudah bersedia untuk di terbangkan.

3. Ianya di hasilkan oleh sebuah syarikat aeroangkasa yang inovatif bernama Boom Supersonic berpusat di Colorado, Amerika Syarikat. Syarikat ini telahpun sekian lama mengusahakan sebuah projek yang memfokuskan mod pengangkutan udara lebih laju, semenjak tahun 2014 lagi. Hal ini, menjadikan pesawat supersonik eksperimental XB-1 ini hanyalah sebagai salah satu model produk inovasi daripada pelan induk projek tersebut.

4. Mungkin ramai yang tidak pernah dengar mengenai syarikat ini dan produknya. Namun, syarikat Boom Supersonic ini sebenarnya amatlah kompeten dengan kepelbagaian rangkuman pengalaman seperti membantu Space X dalam kejuruteraan tahap kedua Falcon 9, membantu melancarkan AAE(Airbus America Engineering), membangunkan rukun kawalan autopilot bagi Boeing 787, merekabentuk pendorong aerodinamik bagi kenderaan hipersonik tentera serta beberapa lagi pencapaian dan rekod yang amat mengagumkan!

5. Jika kita telusuri visi syarikat ini pada nilai permukaan sahaja, mungkin ianya kelihatan amat simplistik. Ini kerana, secara ringkasnya, mereka berharap untuk menjadikan capaian dan akses ke seluruh inci planet, lebih mudah. Kaedah untuk melakukannya pula menurut mereka ialah dengan membawa semula apa yang Concorde dan TU-144 berikan kepada dunia pada abad ke 20 dan di bangunkan semula dengan improvisasi serta kombinasi bahan, teknologi dan pengalaman pada abad ke 21. Kedengaran mudah bukan?

6. Andai kita teliti dengan lebih terperinci, sebenarnya ia adalah suatu inisiatif yang kompleks kerana terdapat perbezaan objektif dan rangka kerja dalam inisiatif pembinaan pesawat supersonik eksperimental XB-1 berbanding dengan Concorde dan TU-144.

7. Secara umumnya, dunia tahu tujuan Concorde dan TU-144 di bina adalah untuk membuktikan kebolehannya membawa penumpang dalam kelajuan supersonik. Namun, XB-1 mengambil pendekatan berbeza dan lebih khusus dengan menumpukan objektifnya kepada demonstrasi teknologi utama yang membantu untuk membolehkan pengangkutan supersonik udara menjadi lebih berpatutan dan memberi capaian mudah bagi generasi akan datang.

8. Pesawat supersonik eksperimental model XB-1 ini di jangka akan di lancarkan untuk penerbangan percubaan buat julung-julung kalinya pada 7 Oktober 2020. Bagi syarikat Boom Supersonic, secara khususnya pesawat supersonik eksperimental XB-1 juga di reka bentuk untuk memudahkan mereka menuai data dan maklumat. Ini bagi kegunaan jangkamasa panjang penyelidikan kejuruteraan dalam usaha membangunkan atau memajukan sebuah pesawat supersonik komersil sebenar yang juga milik syarikat Boom Supersonic, di beri nama Overture. Overture telahpun di sasarkan untuk menjadi pesawat komersil paling laju di dunia pada masa hadapan.

9. Overture ialah pesawat supersonik tahap Mach 2.2 berkapasiti 55 penumpang dengan kelajuan sehingga 2700 kilometer sejam! Rancangannya melalui percubaan penerbangan dan kaji selidik XB-1 ini adalah untuk membolehkan aplikasi data yang di peroleh, di adaptasikan kepada pesawat supersonik komersil model Overture untuk membolehkannya mengangkut penumpang ke seluruh pelusuk dunia mengatasi separuh rekod masa yang telah dicatatkannya sekarang.

10. Pelbagai perolehan dan ujian lain juga dapat dilakukan melalui pesawat supersonik eksperimental XB-1 ini. Contohnya, ia membolehkan para jurutera dan penyelidik menguji kegunaan bahan dan aliran arah pendorong(propulsion flow path). Memperoleh maklumat mengenai adaptasi enjin subsonik bagi penerbangan supersonik untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa. Selain itu, ianya juga membenarkan perubahan dalam proses melalui rekaan dan banyak lagi penambahbaikan kaedah kerja.

11. Melalui ujian dan penambahbaikan berterusan ini, ianya dapat membantu dalam menghasilkan rekabentuk yang lebih aerodinamik serta maju, penggunaan bahan-bahan asas karbon komposit dengan kaedah yang lebih baik dan kreatif, inovasi teknologi baru seperti rongga kemasukkan berkecekapan tinggi(high efficiency intake), penambahbaikan teknologi pendorong cekap berprestasi tinggi(efficient high end propulsion) dan pelbagai lagi. Semua ini dapat di lakukan di bawah rangkuman proses penghasilan pesawat yang sangat cekap pada kelajuan tinggi serta stabil pada kelajuan rendah.

 

12. Suasana penerbangan pada hari ini memerlukan perkembangan inovasi pesawat yang bukan sekadar laju dan selesa, tetapi juga lebih mampan. Ini menjadikan program pesawat eksperimental lebih relevan dan mendapat sambutan pasaran kerana ianya adalah kaedah yang mampan sebelum penghasilan produk akhir. Program pesawat eksperimental yang di jalankan pada hari ini bukanlah terbatas hanya untuk pembangunan teknologi sahaja. Ianya juga amat membantu dalam menentu atur ekosistem lapangan dan pasaran penerbangan supersonik itu sendiri seperti penetapan piawaian komersil, persijilan piawaian dan amalan rekabentuk.

13. Ini kerana, melalui XB-1, pasukan penyelidik dan jurutera syarikat Boom Supersonic juga boleh mempelajari mengenai kaedah penjimatan kos, keselamatan dan kecekapan bagi memastikan adaptasi pembangunan teknologi lebih maju ke atas model Overture mampu untuk membuka pasaran lebih luas serta menetapkan struktur lapangan kepada pengangkutan udara bertaraf supersonik.

14. Ini di buktikan dengan kejayaan syarikat Boom Supersonic yang bakal menjadi syarikat pertama di dunia mengendalikan program percubaan penerbangan yang 100% ‘carbon neutral’. Ini bagi memenuhi keperluan CORSIA(Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation), merupakan sebuah inisiatif bersama berdasarkan keperluan pasaran yang di persetujui secara global untuk mencapai pertumbuhan ‘carbon neutral’ bermula tahun 2020.

15. Satu lagi bukti kemampanan inovasi ini ialah, XB-1 juga merupakan pesawat supersonik pertama di dunia yang di bangunkan secara mandiri sepenuhnya oleh syarikat swasta. Walaupun untuk percubaan awal ini ianya di jangkakan tidak akan memuatkan penumpang sepertimana jet komersil biasa dan bertindak sebagai pesawat eksperimental, ianya tetap akan menjadi tanda aras penting untuk hebahan kepada seluruh dunia bahawasanya, daya maju komersil bagi pesawat supersonik sudah bersedia untuk menggegarkan budaya penerbangan konvesional dan membina pasaran yang lebih ampuh.

16. Pesawat supersonik bukanlah sesuatu yang asing lagi dalam dunia penerbangan. Jika kita merujuk rekod, terdapat banyak pesawat eksperimental yang terkenal telah memasuki program supersonik seperti Concorde dan TU-144 milik Soviet. Fairey Delta 2 dan Avro 707 juga menyediakan konsep aerodinamik bagi rekabentuk sayap delta Concorde. Pesawat eksperimental buatan US yang model Bell X-11 pula membuktikan bahawa hadang bunyi boleh di pecahkan dengan selamat. Manakala MiG-221 pula menjadi platform rekaan sayap TU-144.

17. Dunia juga hari ini juga sedia maklum bahawasanya, XB-1 bukanlah satu-satunya projek pesawat supersonik yang sedang di bangunkan dan Boom Supersonic juga bukanlah satu-satunya syarikat yang sedang membangunkan pesawat supersonik. NASA juga melalui Lockheed Martin sedang membangunkan pesawat supersonik yang lebih senyap berbanding Concorde, di beri nama X-59 yang di jangka akan membuat percubaan penerbangan pertama pada tahun 2021. Terdapat juga syarikat swasta selain Boom Supersonic yang membangunkan pesawat supersonik pada masa ini bagi tujuan komersil seperti Aerion Supersonic, Spike Aerospace dan banyak lagi.

18. CEO syarikat Boom Supersonic, Blake Scholl menyatakan bahawa, XB-1 merupakan langkah pertama dalam usaha menjadikan teknologi pesawat supersonik sebagai capaian arus perdana. Menurut beliau lagi, penerbangan dengan gandaan kelajuan lebih dua kali amatlah bermakna kerana kita boleh pergi dua kali lebih jauh, untuk membawa pulang 2 kali lebih ramai manusia dan budaya ke dalam kehidupan kita.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.