Bonsai Yang Terselamat Dari Ledakan Bom Atom Di Hiroshima

878

Arboretum Negara Amerika Syarikat, Washington D.C. menempatkan sebuah kepingan kecil bagi sejarah Jepun. Dijadikan sebagai hadiah daripada Jepun pada tahun 1976 sempena ulang tahun ke-200 penubuhan Amerika Syarikat, sebatang pokok bonsai yang ditanam pada abad ke-17 disumbangkan oleh seorang pemilik bonsai yang bernama Masaru Yamaki. Sehingga ke hari ini, ia masih tersimpan rapi di Muzium Bonsai & Penjing Negara.

Pokok bonsai yang kini berusia 392 tahun itu merupakan pokok paling tua di dalam koleksi muzium berkenaan. Ia ditanam pada tahun 1625M dan dikatakan bahawa ia membesar sambil diselenggara oleh sejumlah pakar bonsai sejak ia berusia 3 hingga 5 tahun lagi. Bonsai merupakan sejenis pokok yang sukar dipelihara namun, pokok yang dimaksudkan menempuh perjalanan hidup yang cukup panjang walaupun Muzium Bonsai Negara sendiri tidak mengetahui waktu tepat ia sampai ke sana.

Pada tahun 2011, anak lelaki dan cucu kepada Yamaki mengunjungi muzium berkenaan untuk melihat pokok bonsai itu. Dalam kesempatan itu, mereka pun menceritakan sejarah tersembunyi di sebalik bonsai itu kepada penyelenggara pokok tersebut.

Semasa Amerika Syarikat melepaskan bom atom ke atas Hiroshima pada tahun 1945, letusan yang berlaku itu tidak lebih dari dua batu jaraknya daripada rumah Yamaki, di mana bonsai tersebut disimpan pada sebuah bangku taman. Keluarga Yamaki bersama pokok-pokok tersebut terselamat daripada kejadian dahsyat berkenaan. Begitu juga dengan pokok-pokok bonsai lain yang turut disimpan di kebun itu – semuanya disimpan di bawah sebuah tembok yang agak tinggi.

Walau bagaimanapun, pokok bonsai daripada keluarga Yamaki ini bukanlah bonsai tertua di dunia walau ia sendiri merupakan spesis bonsai yang agak jarang. Antara bonsai tertua di dunia bertempat di Istana Diraja Tokyo yang menjadi rumah kepada pokok bonsai berusia 450 tahun dan 550 tahun.

RUJUKAN:

Shaunacy Ferro. (4 Februari 2017). The 392-Year-Old Bonsai That Survived Hiroshima. Mental Floss.
http://mentalfloss.com/article/91799/392-year-old-bonsai-survived-hiroshima

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.