Bolton Wanderers – Betapa Hancurnya The Trotters Sekarang

1,093

Siapalah yang tidak kenal kelab bolasepak Bolton Wanderers? Nama tersebut barangkali terasing bagi peminat-peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mula menonton ketika zaman Mansour bin Zayed al-Nahyan. Namun bagi penggiat tegar semasa dominasi Sir Alex Ferguson, Jose Mourinho dan Arsene Wenger, inilah kelab yang nasib mereka agak naik-turun. Mereka menempah tempat dalam persaingan EPL selepas kemenangan 4-3 menentang Reading. Dalam perlawanan tersebut, Owen Coyle yang akan membawa Bolton ke penyingkiran turut menjaringkan gol.

Namun konsistensi mereka tergugat dengan prestasi naik-turun dari persada tertinggi ke penyingkiran. Kembalinya mereka ke EPL pada tahun 2001 bermula dengan kejutan apabila Leceister City dihancurkan 5-0. Mereka juga kelab pertama dalam sejarah EPL untuk menewaskan Manchester United 1-2 di Old Trafford dalam bentuk comeback. Dan musim tersebut berakhir dengan kedudukan ke-16, menempah kemandirian di dalam EPL. Musim-musim seterusnya pun digelumangi masalah konsistensi.

Tetapi mereka berjaya tiba di pusingan akhir Piala Liga sungguhpun tewas dengan Middlesbrough. Pada tahun tersebut, mereka mencatatkan kedudukan tertinggi dalam sejarah iaitu tempat kelapan. Musim seterusnya pula menyaksikan mereka di tempat keenam, sekaligus melayakkan mereka dalam pertandingan Eropah buat julung kalinya. Namun tiada kejayaan dilakarkan sehinggalah penyingkiran mereka dalam pengurusan Owen Coyle yang dimuktamadkan pada 13 Mei 2012 dengan keputusan seri 2-2 bersama Stoke City.

Atas keputusan yang tidak memberangsangkan, mereka tidak kembali ke EPL. Pada Disember 2015, mereka diberikan notis daripada Jabatan Perolehan dan Kastam Diraja (HMRC) atas kegagalan bayaran cukai oleh kerana hutang mencecah £172.9 juta (BBC, 2015). Mereka juga dikenakan sekatan pembelian pemain. Masalah berterusan apabila pengurus Neil Lennon pula disiasat atas hal peribadi bersertakan kegagalan menang 17 perlawanan (BBC, 2015). Hutang bersama HMRC pula telah mencecah £2.2 juta.

Sepanjang musim 2018/2019, Bolton mengharungi masalah kewangan tanpa henti. Gagalnya pembelian Christian Doidge membuka laluan bagi Forest Green Rovers untuk memfailkan saman atas alasan kehilangan pendapatan (Iles, 2018). Pintu mereka masih diketuk HMRC. Operasi bolasepak pun terganggu juga, dengan penutupan pusat latihan pada Mac 2019 (Edwards, 2019). Permainan bersama Ipswich Town, Middlesbrough dan Aston Villa pun tergugat antara ditunda atau dimainkan secara tertutup selepas Stadium Reebok ditarikbalik sijil keselamatan (Iles, 2019).

Pada 26 April pula, perlawanan bersama Brentford terpaksa dibatalkan selepas pemain-pemain Bolton memboikot atas alasan tidak dibayar gaji (BBC, 2019). Seminggu kemudian, Bolton secara rasminya diisytihar dalam insolvensi selepas gagal membayar cukai £1.2 juta. Bermakna juga Bolton memulakan musim 2019/2020 dengan 12 mata ditolak. Pada 14 Mei, nasib Bolton semakin teruk. Staf di sebalik tabir terpaksa menggunakan derma bank makanan (BBC, 2019). Dan menurut kenyataan daripada pemain, tiada siapa pun dalam kelab dibayar gaji selama 20 minggu lamanya.

Pusat latihan pula tiada air minuman mahupun mandian. Dan masalah pembayaran gaji turut menyebabkan pembatalan perlawanan persahabatan bersama Chester dan Preston North End. Disebabkan dua pembatalan ini, Oldham Athletic menarik diri atas alasan Bolton tidak berupaya meletakkan skuad. Dan Bolton memulakan musim 2019/2020 tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan pertama. Malah Tranmere Rovers membelasah mereka 5-0 dengan tiga gol dalam masa lapan minit.

Erhun Oztumer pula telah mengangkat kaki keluar, meninggalkan kelab dengan hanya lima pemain senior sahaja. Dan perkembangan pada 17 Ogos 2019 mendapati Bolton terpaksa menggunakan pemain-pemain bawah umur dalam tiga perlawanan pertama tersebut (BBC, 2019). Sebagai kesimpulan, tajuk artikel perlu dipetik sekali lagi – betapa hancurnya the Trotters sekarang.

RUJUKAN:

Bolton Wanderers set up emergency food bank to help staff after wages go unpaid – BBC Sport. (2019, August 18). Retrieved from https://www.bbc.co.uk/sport/football/48268140

Bolton Wanderers v Brentford called off by EFL with wages still owed to Bolton players – BBC Sport. (2019, April 26). Retrieved from https://www.bbc.com/sport/football/48067603

Bolton Wanderers: Debt figure up to £172.9m after losses – BBC Sport. (2015, April 1). Retrieved from https://www.bbc.com/sport/football/32138946

Bolton: Phil Parkinson contacts EFL over player welfare concerns – BBC Sport. (2019, August 18). Retrieved from https://www.bbc.com/sport/football/49383856

Edwards, L. (2019, March 04). Bolton forced to close training ground as financial problems mount. Retrieved from https://www.telegraph.co.uk/football/2019/03/04/bolton-forced-close-training-ground-financial-problems-mount/

Edwards, L. (2019, March 04). Bolton forced to close training ground as financial problems mount. Retrieved from https://www.telegraph.co.uk/football/2019/03/04/bolton-forced-close-training-ground-financial-problems-mount/

Iles, M. (2019, March 19). Forest Green confirm legal action against Wanderers. Retrieved from https://www.theboltonnews.co.uk/sport/17512109.forest-green-confirm-legal-action-against-bolton-wanderers/

Iles, M. (2019, April 16). Wanderers wait for green light for Aston Villa clash. Retrieved from https://www.theboltonnews.co.uk/sport/17578334.boltons-clash-with-aston-villa-yet-to-get-the-go-ahead/

Neil Lennon: Bolton Wanderers have ‘been through hell’ – BBC Sport. (2015, December 28). Retrieved from https://www.bbc.com/sport/football/35189399

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.