Revolusi Rusia 1917 menyaksikan kemunculan pelbagai kelompok dari gerakan pro-monarki dan sosial demokrat hinggalah Bolshevik dan Menshevik. Sebut pasal Bolshevik, parti inilah yang kemudiannya muncul sebagai pemenang dalam peristiwa berkenaan dan menyediakan batu asas kepada penubuhan Kesatuan Soviet beberapa tahun kemudian.

Jadi, siapa Bolshevik dan Menshevik? Dua kumpulan ini sebenarnya mewakili dua kelompok utama dalam Parti Pekerja Sosial Demokratik Rusia (RSDLP) yang ditubuhkan pada tahun 1898. Memandangkan parti politik diharamkan di Rusia semasa era Tsar, mana-mana individu yang cuba berbuat demikian akan ditahan pihak berkuasa.

Dalam kes RSDLP, mereka cuba menubuhkan satu kongres agar dihadiri oleh ahli-ahli parti. Tetapi hanya sembilan orang sahaja yang hadir dan kesemua mereka kemudiannya ditahan pihak berkuasa. Kongres kedua RSDLP kemudiannya diadakan pada tahun 1903 dan dihadiri oleh 50 orang ahli.

Kongres tersebut diadakan bagi membincangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika itu dan apa tindakan selanjutnya yang perlu diambil. Vladimir Lenin mencadangkan pergerakan parti diketuai oleh sekumpulan pakar profesional berbanding sekumpulan besar amatur.

Figure 1: Julius Martov

Namun begitu, pandangan tersebut kurang dipersetujui Julius/L. Martov (dua nama samaran Yuly Osipovich Tsederbaum) yang mahukan model keahlian parti secara besar-besaran seperti parti-parti sosial demokratik di Eropah Barat ketika itu. Perbezaan pendapat dua tokoh utama sosialis Rusia itu mengakibatkan RSDLP berpecah kepada dua.

Memandangkan kumpulannya mendominasi pemilihan jawatan dalam parti, kumpulan Lenin menggelar diri mereka Bolshevik atau Kelompok Majoriti. Manakala kumpulan Martov pula menggelar diri mereka Menshevik atau Kelompok Minoriti walaupun mempunyai bilangan ahli yang lebih ramai berbanding Bolshevik.

Perpecahan dua kelompok ini sememangnya mengelirukan ahli parti. Tetapi dalam tempoh tersebut, ia tidaklah sampai ke tahap perpecahan yang akhirnya memecahkan parti. Di sini, dua kumpulan ini dilihat sebagai pro-Lenin atau anti-Lenin dan polisi yang dibawa kedua-dua kumpulan.

Menshevik menentang sekeras-kerasnya idea model kediktatoran parti berpusat yang dicadangkan Lenin yang dianggap tidak demokratik. Dua kumpulan ini juga turut berbalah tentang bagaimana revolusi sosialisme dapat direalisasikan.

Lenin melihat hanya satu revolusi sahaja diperlukan untuk melaksanakan revolusi sosialisme dan mengangkat pekerja ke tempat sepatutnya. Tetapi bagi Menshevik, mereka melihat kerjasama dengan kelompok borjuis/kelas pertengahan penting bagi mewujudkan rejim liberal dan kapitalis di Rusia. Dari situ, barulah ia akan membawa kepada revolusi sosialisme sepenuhnya.

Figure 2: Viktor Nogin

Bukan sekali ramai pemimpin RSDLP cuba menyatukan semula parti dengan mendamaikan kedua-dua puak. Ini cuba dicapai pada tahun 1910 hasil gagasan seorang pemimpin Bolshevik yang berpengaruh bernama Viktor Nogin. Pada awalnya, ramai ahli Bolshevik kurang bersetuju dengan saranan Nogin tetapi bersedia mencuba demi kebaikan parti.

Namun begitu, usaha ini kurang disenangi oleh kerajaan Tsar Nicholas II ketika itu. Seperti parti-parti politik lain ketika itu, mana-mana organisasi yang dianggap mencabar kekuasaan baginda akan dihapuskan. Dalam kes Bolshevik, usaha perdamaian kedua-dua puak tidak berhasil berikutan tindakan polis menyusup dalam kedua-dua organisasi dan memainkan peranan sebagai batu api.

Hasutan-hasutan sebegini mengakibatkan ketegangan antara kedua-dua puak masih lagi hangat. Malah, Lenin sendiri menolak usaha penyatuan semula dua kumpulan RSDLP tetapi dinafikan oleh majoriti kepimpinan Bolshevik. Bagaimanapun, usaha tersebut menemui jalan buntu pada Ogos tahun sama berikutan tindakan tuduh-menuduh membabitkan pemimpin kedua-dua organisasi.

Perselisihan ini bagaimanapun tidak menghalang mereka menjadi pemain utama Revolusi Rusia 1905 dan pembentukan majlis-majlis pekerja yang dikenali sebagai soviet. Semasa penubuhan Duma, Menshevik antara kelompok yang bertanggungjawab menubuhkan Parlimen Rusia itu dengan Soviet lewat menyertainya selepas Lenin berubah fikiran.

Bagi Lenin, semua perkara yang berlaku pasca-Revolusi 1905 dianggap sudah terlewat dan hanya menangguhkan revolusi yang akan berlaku. Lambat-laun, revolusi sosialisme akan berlaku juga dengan golongan pekerja menjadi teras utama gerakan berkenaan.

Perpecahan dalam RSDLP membawa kepada tindakan Lenin keluar parti pada tahun 1912. Dari situ, beliau menubuhkan Parti Bolshevik dan parti tersebut pada awalnya dianggotai segelintir ahli yang setia kepadanya. Bagi ramai ahli Bolshevik dalam RSDLP, apa yang dilakukan Lenin dianggap satu pengkhianatan.

Tetapi bilangan ahli parti kemudiannya bertambah termasuk dalam kalangan pekerja radikal yang merasakan gerakan Menshevik dalam RSDLP sebagai lembut dan tahu menjaga kedudukan sendiri sahaja.

Figure 3: Mangsa-mangsa pembvnvhan beramai-ramai Sungai Lena.

Tahun tersebut turut menyaksikan gerakan pekerja mengalami perubahan signifikan. Ini berikutan peristiwa pembvnvhan beramai-ramai di sebuah lombong di Sungai Lena. Dalam peristiwa tersebut, 500 orang pelombong m4ti dit3mbak oleh pihak berkuasa. Akibatnya, ini mendorong mereka melancarkan mogok secara besar-besaran di seluruh negara.

Apabila Rusia mengumumkan penyertaan mereka dalam P3rang Dunia Pertama (WWI), umumnya penyertaan tersebut disokong oleh majoriti rakyat termasuk kelompok Menshevik. Tetapi bila geng Bolshevik menolak penyertaan Petrograd dalam p3rang berkenaan, ini menjadikan mereka sebagai pariah dalam gerakan sosialis.

Kedua-dua kumpulan kemudiannya menjadi pemain penting dalam pelbagai peristiwa yang membawa kepada Revolusi Rusia 1917. Apabila kerajaan sementara dibentuk diketuai Putera Georgy Lvov, pada awalnya kerajaan ini disokong oleh puak Bolshevik dan mereka juga turut menimbang kemungkinan bergabung dengan musuh lama mereka.

Tetapi selepas Lenin kembali dari buangan di Switzerland, beliau berjaya menyatukan semula kumpulan-kumpulan yang berpecah dalam partinya dan mereka taat kepada arahan yang diberi. Menshevik tidak tahu bagaimana memberi reaksi terhadap perkembangan pesaing mereka itu.

Yang pasti, kehadiran Lenin semakin mengukuhkan keazaman mereka sebagai gerakan politik Rusia yang digeruni. Populariti mereka turut dibantu oleh pendirian parti yang masih tegas menolak pembabitan Rusia dalam WWI dan enggan terbabit dalam kerajaan sementara. Mereka tahu kerajaan tersebut akan tumbang tetapi menunggu masa sesuai untuk melakukannya.

Peluang tersebut timbul apabila keahlian parti kini mencecah 250,000 orang pada Oktober 1917. Ini membolehkan mereka mendominasi kebanyakan soviet dan sudah bersedia untuk bangkit menggulingkan kerajaan sementara pimpinan pengganti Lvov, Alexander Keresnky. Pada 25 Oktober, perkara tersebut berlaku.

Peristiwa penggulingan kerajaan sementara ini berlaku seiring dengan Kongres Soviet yang berlangsung pada minggu sama. Lenin melihat sekiranya undian kongres berkenaan berjaya, Bolshevik perlu membentuk satu kerajaan baru bersama parti-parti lain termasuk musuh ketat mereka, Menshevik. Bagi beliau, ini sesuatu yang patut dicegah segera.

Justeru, bila ahli-ahli delegasi Kongres Soviet mendapat tahu serbuan ke atas Winter Palace, ramai memilih meninggalkan Kongres Soviet termasuk golongan Menshevik. Apa yang dilakukan merupakan satu kesilapan besar. Dalam kongres inilah, pihak Bolshevik mendominasi jawatan-jawatan dalam kerajaan baru sekaligus menjadi batu asas kepada pembentukan Kesatuan Soviet.

Pihak Menshevik berusaha menentang pergerakan mereka termasuk menubuhkan sebuah parti pembangkang tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, golongan ini ditekan sehabis-habisnya oleh Lenin termasuk menggunakan aset keselamatan mereka, Cheka. Menjelang tahun 1920-an, tiada lagi organisasi yang dapat mencabar Lenin dan Bolshevik untuk pemerintahan Rusia.

Atas cadangan Lenin, Bolshevik menjalani proses penjenamaan semula dan menamakan diri mereka sebagai Parti K0munis Soviet (Bolshevik) pada tahun 1918. Tujuh tahun kemudian, ia dinamakan semula sebagai Parti K0munis Semua Kesatuan (Bolshevik).

Setahun sebelum kematiannya, Joseph Stalin menamakan semula parti sebagai Parti K0munis Kesatuan Soviet pada tahun 1952. Nama parti tersebut terus kekal sehinggalah kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991.

RUJUKAN:

Wilde, Robert. (2019). Who Were the Mensheviks and Bolsheviks?. ThoughtCo. https://www.thoughtco.com/who-were-the-mensheviks-and-bolsheviks-1221813


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.