Bolehkah Kita Melepak?

0
2113
views

Lepak bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan seharian kita. Ini kerana masa sebeginilah kita bersama rakan-rakan melakukan aktiviti yang kita suka. Tak kisahlah sama ada di kedai mamak, kafe hipster atau pusat beli-belah, masa makan tengah hari atau hujung minggu, bila mana hendak melepak, kita akan cuba luangkan masa untuk memenuhinya. Tapi ada satu masalah berkenaan lepak. Selalunya, apa yang dilakukan pada ketika itu ialah berbual kosong dan bergelak ketawa, kadang-kadang sampai ke tahap kita lewat masuk pejabat dan lewat atau tertinggal solat. Persoalannya di sini, bolehkah kita melepak?

Bila menyebut soal lepak, ini bukan saja berlaku pada masa sekarang tetapi juga pada era Rasulullah s.a.w. Abu Said al-Khudri r.a meriwayatkan, pada satu hari, baginda melihat sekumpulan sahabat duduk di pinggir jalan. Lalu baginda menegur, “Janganlah kamu duduk di pinggir jalan.” Para sahabat menjawab, “Ya Rasulullah, ini sudah menjadi kebiasaan kami kerana ia menjadi tempat kami berbual-bual.” Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika kamu tidak mahu meninggalkan majlis tersebut (perbuatan lepak), maka tunaikanlah hak jalan tersebut.” Mereka bertanya, “Apakah haknya, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Tundukkan pandangan, membuang halangan, menjawab salam dan menyuruh ke arah kebaikan dan melarang kemungkaran.” (Riwayat Bukhari)

Jika anda melihat kepada hadis ini, Nabi s.a.w sebenarnya menegah para sahabat daripada melepak, mereka menjawab, “Ya Rasulullah, ini sudah menjadi kebiasaan kami kerana ia menjadi tempat kami berbual-bual.” Respon para sahabat ini menunjukkan pertanyaan mereka kepada baginda untuk mendapatkan pemahaman lebih baik tentang sesuatu isu seperti lepak atau alternatif lain yang selari dengan syariat agama. Dan baginda menyatakan hak-hak jalan sebagai ingatan kepada para sahabat ketika melepak. Dengan kata lain, baginda membenarkan perbuatan lepak tetapi dengan syarat-syarat berdasarkan hak yang dinyatakan dalam hadis sebelumnya.

Jika anda merancang nak melepak bersama ahli keluarga atau kawan-kawan, sedikit panduan untuk anda:

1. Jaga pandangan.

Bila kita melepak, mata pasti melihat keadaan sekeliling termasuk orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu. Jangan jadikan lepak sebagai tempat cuci mata, melihat aurat orang, mengorat dan seumpamanya. Selain hadis di atas, Allah s.w.t mengingatkan kita untuk menjaga pandangan berdasarkan firman-Nya dalam ayat 30-31, Surah An-Nur,

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Usah pandang enteng soal tundukkan pandangan kerana ia permulaan kepada perbuatan maksiat termasuk zina. Dan ini ditegaskan dalam beberapa hadis Rasululla s.a.w. Antaranya, “Allah menetapkan ke atas anak Adam bahagiannya daripada zina, dia pasti melakukan hal itu tanpa dimungkiri lagi. Zina mata ialah memandang, zina lisan ialah bicara, jiwa berkhayal dan akhirnya, kemaluan yang akan membenarkannya itu atau mendustakannya.” (Riwayat Bukhari) Dalam satu hadis lain, baginda bersabda, “Sesungguhnya manusia itu telah ditentukan nasib perzinaannya yang tidak mustahil dan pasti akan dijalaninya. Zina kedua-dua mata ialah melihat, zina kedua-dua telinga ialah mendengar, zina lidah ialah bicara, zina kedua-dua tangan ialah sentuhan, zina kedua-dua kaki ialah langkahnya dan zina hati ialah berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan semua itu akan dilanjuti atau ditolak oleh kemaluan.” (Riwayat Bukhari)

Jika tidak sengaja memandang, maka itu dimaafkan sebab itu rezeki untuk anda. Tapi jangan pula mengada-ada nak tengok buat kali kedua dan seterusnya. Bila kita sudah sedar, segera jaga pandangan kita. Ini berdasarkan nasihat Nabi s.a.w kepada Ali bin Abi Talib r.a, “Wahai Ali, janganlah kamu mengikut pandangan pertama dengan pandangan berikutnya kerana yang pertama untuk kamu dan yang kedua bukan lagi untuk kamu.” (Riwayat Tirmidzi) Ini disokong dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a, “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang penglihatan yang tidak disengajakan (melihat perkara terlarang). Lalu baginda memerintahkan aku memalingkan pandangan.” (Riwayat Muslim)

2. Membuang atau menjauhkan halangan.

Dalam kemeriahan kita bercakap dan bergelak ketawa, jangan pula kita menghalang orang lalu-lalang di jalanan. Seharusnya, bila berada dalam kalangan kita, kita akan merasa tenang dan selamat. Ingatlah akan pesan Nabi s.a.w ini, “Muslim yang baik ialah orang lain merasa aman daripada gangguan lisan dan tangannya.” (Riwayat Muslim) Justeru, jangan gunakan melepak sebagai alasan mengganggu hak orang lain sama ada secara fizikal atau digital. Antara contoh perbuatan yang patut dijauhi ialah meletak kenderaan sehingga menyukarkan kenderaan lain keluar, melancarkan serangan peribadi di laman media sosial dan menghantar mesej atau e-mel mengandungi virus.

Selain itu, jangan menggunakan masa melepak untuk mengganggu orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi dan memerangi kita. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 8, Surah Al-Mumtahanah, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Waqaf Saham

Dan jika ada nampak sebarang halangan atau perkara yang menyusahkan orang lain, apa salahnya bangun sekejap untuk alihkan atau buang benda yang bersifat merbahaya atau kotor. Ini kerana bila kita berbuat demikian, kita bukan saja mendapat pahala bahkan mendapat keampunan di sisi Allah s.w.t. Bukan itu saja, perbuatan mengalihkan atau membuang halangan ini juga dianggap sedekah. Terlalu banyak hadis Rasulullah s.a.w berkenaan soal ini. Antaranya, satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, “Sedekah itu harus diberikan pada setiap sendi manusia (sebagai tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t) setiap kali matahari terbit. Berlaku adil pada dua orang lelaki itu ialah sedekah. Membantu seseorang itu menaiki binatang tunggangannya atau menaikkan barang muatan pada binatang tersebut ialah sedekah. Berkata perkataan yang baik ialah sedekah dan setiap langkah yang diambil seseorang ke masjid untuk menunaikan solat fardu ialah sedekah. Dan membuang perkara merbahaya dari jalanan juga merupakan sedekah.” (Riwayat Bukhari)

3. Memberi dan menjawab salam.

Bila mana ada orang memberi salam kepada kita semasa melepak, ambillah sedikit masa dengan menjawab salam tersebut dan menyapa individu yang memberi salam tersebut walaupun kita tidak mengenali orang tersebut. Ini kerana perbuatan memberi salam ialah sunat sementara menjawabnya adalah wajib. Justeru, jangan jadikan lepak sebagai alasan untuk bersikap biadab dan kasar kerana ia boleh saja menjadikan lepak satu perkara negatif. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a, “As-Salam (Maha Sejahtera) ialah salah satu daripada nama-nama-Nya yang diletakkan Allah di bumi ini. Justeru, sebarkan salam dalam kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

4. Amar makruf, nahi mungkar.

Mengapa Nabi s.a.w meletakkan amar makruf, nahi mungkar sebagai pesanan terakhir berkenaan hak-hak di jalan? Baginda menyifatkan ia sebagai ukuran keimanan seseorang dan membezakan sikap orang mukmin dengan orang munafik berkenaan soal kebaikan dan kejahatan. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 71, Surah At-Taubah, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Dan lihat pula sikap orang munafik pada situasi ini dalam surah sama, ayat 67, “Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.”

Bila hendak melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, lihat pada kemampuan masing-masing. Rasulullah s.a.w memberi panduan tentang soal ini. Abu Said al-Khudri r.a meriwayatkan, baginda bersabda, “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya (kuasa). Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisan. Jika tidak mampu juga, maka tolaklah perbuatan tersebut dengan hati dan hal tersebut ialah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Usahlah kita bersikap mementingkan diri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan enggan menegur atas sebab orang itu bukan ahli keluarga, jiran, kawan-kawan atau kenalan kita. Ketahuilah perbuatan sedemikian ada dinyatakan dalam satu hadis Nabi s.a.w, “Perumpamaan orang yang menegakkan perintah Allah (Amar ma’ruf dan Nahi mungkar termasuk perintah Allah) dan orang yang jatuh ke dalam larangan Allah ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk mendapat tempat di dalam sebuah kapal. Sebahagian daripada mereka mendapat tempat di tingkat atas manakala sebahagian lagi pada tingkat bawah. (Ketika dalam pelayaran), apabila orang di tingkat bawah inginkan air, mereka terpaksa pergi meminta kepada orang yang berada pada tingkat atas. Lalu mereka (yang berada di tingkat bawah) berkata: “Jika kita membuat lubang pada tingkat ini nescaya kita tidak perlu lagi meminta daripada orang di atas kita.” Jika (mereka yang berada di tingkat atas) membiarkan mereka (orang di tingkat bawah) melakukan apa yang mereka hendaki (melubangkan kapal), pasti semuanya akan musnah (tenggelam). Sebaliknya jika mereka (yang berada di tingkat atas) menahan dengan tangan mereka (rancangan melubangkan kapal), pasti mereka (yang di tingkat atas) akan selamat dan akan selamat juga semuanya (termasuk di tingkat bawah).” (Riwayat Bukhari)

5. Pengurusan masa.

Bila kita nak melepak, pastikan masa yang diambil tidaklah sehingga menjejaskan produktiviti kerja atau hubungan kita dengan Tuhan. Ya, kita nak menjaga silaturahim sesama ahli keluarga atau rakan-rakan tetapi bila ada kewajipan yang perlu dipenuhi sama ada komitmen kerja, panggilan Ilahi atau isu berkenaan keluarga, maka penuhilah ia walaupun itu membuatkan anda tidak popular. Percayalah, bila anda berbuat demikian, anda sebenarnya menjaga amanah yang diberikan terutama dari segi masa dan tugas. Antara ciri orang mukmin ialah mereka menjaga amanah. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 8, Surah Al-Mukminun, “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.” Ibnu Katsir rahimahullah mensyarahkan ayat ini bahawasanya orang mukmin tidak akan mengkhianati amanah yang diberi dan menunaikannya, bila mereka berjanji, mereka tidak akan memungkiri, bahkan memenuhi janji tersebut. Usahlah atas nama lepak, anda berkira-kira mengkhianati amanah dan janji yang dibuat sebelumnya. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a, “Tidaklah Nabi s.a.w berkhutbah kepada kami melainkan baginda bersabda, “Tidak ada iman bagi orang yang tidak amanah dan tidak ada agama bagi orang yang memungkiri janjinya.”

Sumber:

1. Usman Rozali, Abu Abdillah Arif B. (2010). Al-Manhaj. Siapakah Yang Layak Diberi Amanah? https://almanhaj.or.id/2711-siapakah-yang-layak-diberi-amanah.html

2. Alauddin, Badli Shah. (2014). TVAlhijrah. Cinta Ilmu: Ramadan.

3. Abdullah, Hafiz Firdaus. (2013). Sunnah Melepak. http://www.hafizfirdaus.com/kolum-bulanan-mainmenu-110/2014-02-20-17-13-06/dewan-tamadun-islam-mainmenu-130/872-okt-2013-sunnah-melepak.html

4. Idris, Amin. (2017). Harian Metro. Hukum Melepak.

5. Sunnah.com. The Hadith of Prophet Muhammad s.a.w at your fingertips.

 

Previous articleSunan Kudus – Bukti Islam Datang Bukan Menghapuskan Budaya
Next articleMoraliti Hamba – Dengan Sentuhan Falsafah Nietzsche
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.