Boleh Ke Beruk Memahami Percakapan Manusia?

217

Persoalan biologi tentang kenapa haiwan tidak mampu bercakap telah lama bermain dalam fikiran para saintis. Tahap kesedaran yang membolehkan manusia berfikir, bertindak dan bertutur meletakkan definisi sebuah “akal” itu sendiri.

Perkara ini hanya relevan dalam kalangan manusia sahaja nampaknya kerana bahasa merupakan sebuah peralatan hanya untuk pemikiran abstrak. Batasan haiwan pula mungkin terhad untuk mengulangi apa didengari – ataupun faham arahan-arahan tertentu seperti reaksi anjing kepada “sit!” atau “stay!” Itupun tertakluk kepada fitrah haiwan, yang mana anjing boleh patuh tetapi kucing pula berlagak raja.

Namun sebuah pasukan penyelidikan di Universiti Brown mungkin telah menuliskan semula pemahaman tentang “minda” itu sendiri. Umumnya manusia tidak boleh masuk dalam badan haiwan. Jadi apa yang berfungsi dalam minda haiwan itu sendiri sangatlah sukar untuk difahami, melainkan bayangan semata-mata. Misalnya, manusia boleh sahaja lompat-melompat untuk makan di sini, menabur najis di sana sambil meniduri jantina berbeza di merata-rata tempat. Namun implikasi tindakan-tindakan tersebut jika dilakukan haiwan jauh berbeza.

Jadi kajian yang dibuat penyelidik-penyelidik Universiti Brown boleh digunakan sebagai asas pertama. Teknologi imbasan pada hari ini sudah mencapai tahap yang terperinci. Menggunakan sebuah peralatan komputer dan sekumpulan beruk berspesiskan macaque, penemuan mereka agak mengejutkan juga. Pertama sekali, mereka menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Inggeris. Hasilnya pula didapati perkataan-perkataan tersebut ditemui berdasarkan imbasan aktiviti otak. Bermakna perkataan-perkataan itu boleh dibina semula menurut pendengaran mereka.

Tujuan eksperimen ini pada awalnya berniat untuk membangunkan teknologi implan otak yang memanfaatkan golongan kehilangan daya pendengaran. Tindakbalas saraf beruk-beruk ini dirakamkan mempunyai corak-corakan kompleks apabila mendengari perkataan-perkataan disebutkan. Dan data saraf tersebut digunakan pula untuk membentuk-semula perkataan tersebut. Hasilnya, pengkaji-pengkaji universiti lebih faham secara praktikal bagaimana sebuah bunyi diproseskan dalam otak haiwan (memandangkan bunyi difahami otak manusia). Dari sini, barulah prostetik tertentu mampu dibangunkan.

Berkaitan pemprosesan bunyi, sistem otak manusia dan beruk sebenarnya sama. Awalnya, bunyi diproses di sebuah bahagian otak bernama korteks pendengaran (auditory cortex) yang memecahkan lagi mengagihkan bunyi berdasarkan nada (tone) dan pic (pitch). Bunyi ini sekarang dalam bentuk isyarat (signal)  menembusi lapisan kedua dalam korteks pendengaran ini.

Sistem sebegini yang membenarkan manusia faham setiap patah perkataan. Maklumat kemudian dihantar ke bahagian otak lain untuk mendalami pemahaman. Semuanya berlaku dalam masa sesaat dua. Proses sama berlaku pada beruk – tetapi mereka tidak faham apa yang disebutkan berdasarkan perkataan. Itu yang ditemui dalam penyelidikan ini selepas mereka menanam dua implan bersaiz kacang. Beruk-beruk ini kemudian mendengari rakaman bahasa Inggeris dan juga bunyi semulajadi mereka.

Perkataan seperti “tree”, “good”, “north”, “cricket” dan “program” didengari dengan baik. Algoritma komputer kemudian digunakan untuk mengenalpasti corak saraf setiap patah perkataan ini. Corak tersebut pula didapati tidak langsung berubah dengan nada serta pic perkataan.

Apa yang didengari beruk ialah sama dengan apa yang rakaman sebut. Penghalangnya ialah ketidakupayaan semulajadi otak beruk yang tidak berakal. Namun otak manusia berakal dan berupaya faham. Manusia yang pekak pula boleh saja memahami dengan cara membaca. Jadinya, kajian ini sedang mencuba nasib membuat sebuah implan supaya manusia pekak boleh “mendengar” sepertimana beruk-beruk ini “mendengar”.

Matlamatnya mudah. Jika implan tersebut membolehkan bunyi menembusi korteks pendengaran (yang tidak berfungsi) dan terus ke otak, implan ini boleh mencetuskan isyarat berdasarkan nada dan pic supaya bahagian otak lain menerimanya. Maka jika korteks tersebut tidak berfungsi sekalipun, orang yang pekak boleh mendapat rezeki besar iaitu PENDENGARAN.

RUJUKAN:

Christopher Heelan, Jihun Lee, Ronan O’Shea, Laurie Lynch, David M. Brandman, Wilson Truccolo, Arto V. Nurmikko. Decoding speech from spike-based neural population recordings in secondary auditory cortex of non-human primatesCommunications Biology, 2019; 2 (1) DOI: 10.1038/s42003-019-0707-9

 

Ruangan komen telah ditutup.