Setiap tahun menjelang akhir bulan April sambutan Regatta Lepa-Lepa akan diselenggara bagi meraikan kunikan budaya yang terdapat dalam kalangan masyarakat di daerah Semporna.

Malangnya memandangkan tahun ini sambutan Regatta Lepa-Lepa terpaksa dibatalkan disebabkan oleh pandemik virus Covid-19 yang sedang melanda negara tatkala ini maka satu artikel khas berkaitan Semporna ditulis bagi mengenang sebuah daerah yang sangat hampir di hati penulis ini.

Kali ini kita akan berbicara mengenai Pulau Bohey Dulang. Pulau kedua terbesar dalam gugusan pulau yang membentuk Taman Marin Tun Sakaran. Lokasinya terletak di dalam lingkungan Laut Sulawesi, berhampiran pesisir pantai pekan Semporna, Sabah. Barangkali dahulu namanya kurang dikenali namun kini ia antara tarikan pelancongan yang semakin menempah nama dalam negara kita sejak beberapa tahun lalu.

Istimewanya pulau ini, aktiviti utama yang menjadi tarikan adalah ‘hiking’, satu aktiviti yang lazimnya sinonim dengan aktiviti rekreasi yang dilakukan di darat. Berbaloikah menempuh perjalanan laut yang memakan masa hampir dua jam semata-mata untuk melakukan aktiviti mendaki di sini? anda boleh nilaikan sendiri menerusi pemandangan menakjubkan berikut.

Pemandangan menakjubkan Pulau Bohey Dulang.

Dalam bahasa Bajau Semporna, Bohey Dulang bermaksud dulang air. Sememangnya lanskap geografi pulau ini yang sungguh unik menampakkannya seakan-akan dulang yang penuh berisi air yang memiliki warna kebiru-biruan yang sangat cantik.

Imej Pulau Bohey Dulang dari kejauhan. Tidak hairan lah ia mendapat julukan sebagai ‘Lelaki Tua Yang Sedang Tidur’ dalam kalangan penduduk tempatan. Kredit foto blog MySabah.com

Menurut Azrone Sarabatin dalam artikel beliau mengenai pulau unik ini berjudul Pulau Lelaki Tua Tidur, masyarakat tempatan turut merujuknya sebagai ‘Pu Mattoa Lalla Atoli’. Ya,  pulau ini juga turut mendapat jolokan sebagai ‘Sleeping Old Man’ disebabkan bentuknya yang seakan orang tua yang sedang tidur berbaring.

Pulau Bohey Dulang merupakan pulau berbentuk pergunungan yang dibentuk oleh aktiviti letusan gunung berapi purba. Pulau ini dipisahkan dengan Pulau Bodgaya oleh selat yang sangat cetek. Kawah yang membentuk Pulau Bohey Dulang itu sendiri kini dibanjiri air laut sedalam 25 meter membentuk lagun dengan air berwarna kebiru-biruan yang sangat cantik.

Namun seperti mana lokasi-lokasi unik di seluruh dunia, pulau ini tidak terlepas dari asumsi mistik masyarakat setempat sejak turun-temurun. Menerusi kisah yang pernah didengari penulis sewaktu menuntut ilmu di pekan kecil ini, jauh sebelum Islam hadir di tengah kelompok masyarakat Bajau Semporna, sewaktu mereka masih menganut fahaman animisme, dikatakan Pulau ini berasal daripada tiga beranak, pasangan suami isteri bernama Tetagan dan Gaya/Bodgaya, dan anak mereka, si Bohay Dulang.

Bohay Dulang dikatakan seorang pemuda yang tampan dan digilai ramai gadis namun memilih untuk tidak berkahwin dan mengabdikan dirinya kepada kedua ibu dan bapanya yang telah tua. Dikatakan usia si Bohay Dulang pada ketika itu masih muda belia, baru berumur 18 tahun.

Si Bohay Dulang diperolehi oleh Tetagan Dan Gaya/Bodgaya setelah melangsungkan perkahwinan buat satu jangka masa yang cukup lama, memandangkan ikatan diantara mereka bertiga begitu kuat dan tidak mahu berpisah diantara satu sama lain mereka kemudiannya memilih untuk membunuh diri bersama-sama.

Tetapi perbuatan berkenaan tidak jadi dilakukan kerana konon ia merupakan pantang-larang nenek moyang mereka sejak zaman-berzaman. Akhirnya mereka bertemu dengan seorang bomoh yang tersangat handal dan memohon agar ditukarkan menjadi Pulau. “Bagai Menatang Minyak Yang Penuh”, peribahasa melayu ini begitu kuat menggambarkan betapa dalamnya kasih Tetangan dan Gaya yang sanggup ditukarkan menjadi pulau agar dapat hidup bersama-sama anak mereka selama-lamanya.

Versi cerita rakyat yang lain juga turut mengaitkan Pulau Bohey Dulang dengan kisah seorang gadis yang cantik rupawan bernama Puteri Salamia dari Pulau Bum-Bum. Kecantikan dan kepintarannya telah memikat hati seorang bangsawan daripada sebuah kerajaan yang hari ini telah menjadi sebahagian daripada Selatan Filipina sehingga mendorong Sang Pangeran untuk menghantar rombongan meminang bagi menyunting si dara jelita.

Akan tetapi pinangan yang dirasakan sangat memaksa itu ditambah hati si dara yang sebenarnya telah terpaut dengan salah seorang teruna kelahiran Pulau Bum Bum sendiri akhirnya memaksa Puteri Salamia untuk melarikan diri dan bersembunyi di Pulau Bohey Dulang.

Ringkas cerita Sang Puteri akhirnya dikatakan lenyap tanpa sebarang kesan mahupun khabar berita dan dipercayai telah disembunyikan oleh makhluk ghaib yang menjadi penghuni Pulau Bohey Dulang. Bahkan dikatakan Puteri Salamia sendiri telah menjadi sebahagian daripada makhluk mistik Pulau berkenaan.

Menerusi cerita daripada penduduk tempatan yang tinggal di pulau-pulau berhampiran kadangkala mereka akan masih dapat mendengar suara merdu Sang Puteri sedang menyanyi disusuli bunyi salakan anjing yang sangat misteri sehingga ke hari ini.

Namun barangkali seiring dengan perkembangan zaman lebih-lebih lagi apabila Pulau Bohey Dulang semakin terkenal dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara gangguan-gangguan ini tidak begitu dirasakan oleh para pelancong yang datang berkunjung. Barangkali di lain waktu kita akan menyentuh pula mengenai kisah puteri Salamiah ini.

Persembahan teater Puteri Salamia yang menjadi sebahagian acara wajib sambutan Regatta Lepa-Lepa setiap tahun.Kredit foto MySabah.com.

Di sebalik pelbagai kisah mistik dan cerita rakyat yang mewarnai Pulau Bohey Dulang, yang pasti, pulau ini sememangnya wajar diletakkan sebaris dengan destinasi pelancongan utama negara, saban tahun, pengunjung asing baik dari dalam mahupun luar negara  akan bertandang ke pulau ini bagi menikmati percutian mereka. Kunjungan ke Pulau Bohey Dulang pasti akan menjadi sebahagian daripada memori manis anda untuk dikenang sepanjang masa.

BACAAN LANJUT:

1) Sharifuddin Zainal, Mohd Kipli Abdul Rahman, Amsalib Pisali, Patta Ariffin Husin, Arung Salamiah : Signifikasi Kepercayaan Keombokan Dalam Kepelbagaian Permaianan Watak Dan Perwatakan Teater tradisional Etnik Bajau Pantai Timur Sabah, 3rd International Music and performing Arts Conference Proceedings,Universiti Pendidikan Sultan Idris.

2) Bohey Dulang, A Piece of Heaven, Tourism Malaysia official Blog (https ://blog.tourism.gov.my/bohey-dulang-a-piece-of-heaven/ )

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar orang biasa yang mencintai sejarah dan seni budaya negara. Terutama sekali yang berkaitan dengan Negeri Di Bawah Bayu. Merupakan graduan lepasan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Kolej Poly-Tech Mara. Peluang menulis bersama TP dilihat sebagai antara salah satu platform terbaik berkongsi maklumat dan bertukar-tukar pandangan dengan lebih ramai orang-orang hebat di luar sana

Comments are closed.