Bizarro Dan Ciri-Ciri Autism

0
620
views

Bizarro merupakan klon Superman yang dicipta oleh Lex Luthor. Nama Bizarro berasal daripada perkataan ‘bizarre’ yang bermaksud aneh. Klon Superman ini tidaklah sempurna kerana sifat dan perwatakan Bizarro dan Superman berbeza sekali. Jika Superman boleh menembak heat vision dari matanya, Bizarro pula menembak cold vision. IQ Bizarro juga boleh dikategorikan sangat rendah kerana perwatakannya seperti seorang budak yang mahukan perhatian. Lex Luthor menganggap Bizarro sebagai eksperimen yang gagal. Pada asalnya, Lex Luthor mahu membina sebuah tentera daripada klon Superman. Dari situlah, wujudlah penciptaan Bizarro.

Bizarro muncul buat kali pertama di dalam Forever Evil. Ketika Crime Syndicate menguasai dunia, Lex Luthor muncul bersama Bizarro yang telah diimprovasi walaupun Bizarro tersebut tidaklah sesempurna Superman. Sewaktu Forever Evil, Justice League telah ditangan Crime Syndicate. Untuk menyelamatkan bumi, Lex Luthor dan beberapa supervillain lain perlu mengalahkan Crime Syndicate yang diketuai oleh Ultraman (Superman dari Earth-3) daripada menguasai dunia. Jika Earth-0 (juga digelar sebagai Prime Earth) dikawal oleh Crime Syndicate, maka seluruh supervillain tidak bebas untuk melakukan jenayah dan terpaksa menurut pemerintahan diktator Crime Syndicate. Di sini, kita dapat lihat bahawa peranan supervillain sangat penting bagi menewaskan supervillain yang lebih hebat dari mereka.

Peranan Bizarro ketika ini sangat sedikit, walaupun Bizarro tidak sempurna dan IQ nya sangatlah rendah tetapi beliau masih mempunyai perasaan. Apabila Lex Luthor memarahi Bizarro, Bizarro hanya mendiamkan diri dan menurut arahan. Bizarro sangat takut kepada kegelapan. Namun, ketakutan itu dapat dipadamkan apabila Lex Luthor menceritakan pengalamannya berhadapan rasa takut terhadap kegelapan. Walaupun Lex Luthor menganggap perkongsian pengalamannya sebagai buang masa, namun perlahan-lahan Lex Luthor menganggap Bizarro itu seperti anaknya.

Kita boleh kaitkan bahawa Bizarro ialah seorang yang menghidapi autisma. Perkembangan motor yang lambat menyebabkan Bizarro sukar untuk bercakap seperti manusia biasa. Bizarro hanya mampu mengeluarkan ayat-ayat pendek seperti ‘tidak’,’ya’, dan ayat-ayat ringkas yang mudah difahami oleh dirinya. Bizarro juga dilihat mahukan perhatian secara berlebihan dari Lex Luthor sendiri apabila dia tidak mahu berjalan secara bersendirian dalam gelap meskipun dia mempunyai kuasa yang boleh mengatasi kegelapan tersebut. Salah satu tanda penting autisma ialah Bizarro tidak memberikan respons ketika dipanggil beberapa kali oleh Lex Luthor. Biarpun Bizarro memahami arahan yang diberikan oleh Lex Luthor namun Lex terpaksa mengulangi arahannya untuk memastikan Bizarro bertindak dengan betul.

Waqaf Saham

Ada dalam kalangan masyarakat yang masih tidak memahami penyakit autisma. Ia adalah penyakit gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal. Nama autisma itu sendiri berasal dari perkataan Greek autos yang membawa maksud ‘sendiri’ dan menurut Eugen Bleuer, pakar psikiatri Swiss mengatakan bahawa autisma membawa maksud ‘melarikan diri dari realiti’. Kajian menunjukkan bahawa penyakit autisma boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa atau kedudukan sosial. Punca sebenar mengenai penyakit autisma ini juga tidak diketahui. Antaranya ialah usia ibu bapa yang meningkat, masalah lahir pra matang (kurang daripada 33 minggu), masalah perkembangan otak yang disebabkan faktor genetik dalam sejarah autisma keluarga dan masalah fungsi otak terganggu seperti jangkitan.

Anak-anak autisma sepatutnya dijaga dengan baik. Memerlukan perhatian yang lebih daripada kanak-kanak biasa. Apabila umur mereka meningkat dewasa, juga mereka perlukan perhatian yang lebih. Pendekatan terapi melalui carakerja, integrase deria dan pertuturan perlu dilakukan secara berkala supaya mereka boleh belajar seperti orang lain. Tiada ubat yang mampu menyembuhkan penyakit autisma secara sepenuhnya.

Bizarro, meskipun mempunyai masalah komunikasi namun perasaan sebagai seorang manusia masih lagi ada. Bizzaro akhirnya tewas di tangan Mazahs, Lex Luthor Earth-3. Dia dibunuh dan kuasanya diambil oleh Mazahs. Ayat-ayat terakhir Bizarro ialah dia hanya mampu meminta maaf kepada Lex Luthor. Lex Luthor yang kaget melihat keadaan itu, disapa oleh Captain Cold yang mengatakan, “Dia dah mati, lagipun dia ni cuma raksasa.”. Lex Luthor yang sudahpun merasakan kehilangan Bizarro sebagai kehilangan yang penting dalam hidupnya hanya mampu membalas, “Dia adalah raksasa aku.”

Melalui perkembangan maklumat dihujung jari, masyarakat sepatutnya sedar kewujudan penyakit autisma ini secara menyeluruh. Tidaklah seseorang itu mahu dilahirkan mempunyai penyakit, tetapi sebagai masyarakat yang prihatin perlulah kita bertimbang rasa kerana itulah yang menjadikan kita sebagai seorang manusia. Peranan ibu bapa untuk mengesan penyakit autisma sangat penting. Autisma perlu dikesan secara awal sejak kanak-kanak lagi supaya mereka boleh meningkatkan potensi anak istimewa mereka tanpa dibiarkan begitu sahaja.