Bismarck & Tirpitz – Dua Kapal Gergasi WWII

923

Dalam Perang Dunia Kedua (WWII), dunia menjadi saksi kepada cita-cita gila Adolf Hitler bagi membuktikan bahawa rejim Nazi Jerman merupakan kuasa besar dunia setaraf Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Daripada kereta kebal bersaiz besar seperti Panzer dan Tiger hinggalah monumen besar seperti Kehlsteinhaus dan Tembok Atlantik, ini merupakan manifestasi cita-citanya kepada dunia.

Dan seperti biasa, Hitler juga mahukan kapal-kapal gergasi yang menguasai samudera dan ini direalisasikan melalui Bismarck dan Tripitz. Tetapi kehilangan Bismarck pada tahun 1941 dan Tirpitz (1944) memberi pukulan maut kepada cita-cita laut Hitler terutama pada bulan-bulan terakhir perang.

Pembinaan semula Kriegsmarine

Selepas berjaya mengambil alih kerajaan pada tahun 1930-an, salah satu hasrat Hitler ialah mengembalikan semula kedudukan Jerman sebagai satu kuasa yang dihormati. Satu cara untuk mencapainya ialah membina semula kekuatan semua cabang tentera walaupun ini bermakna melanggar Perjanjian Versailles, satu perjanjian yang disifatkan mengoyak harga diri Jerman pasca-Perang Dunia Pertama (WWI).

Dan satu bahagian yang memerlukan keperluan pembinaan semula ialah tentera laut atau Kriegsmarine. Menurut sejarawan WWII James Holland, kemerosotan ini berlaku berikutan terma Versailles yang mahukan semua aset ketenteraan Jerman dikurangkan agar ia tidak lagi menjadi ancaman pada masa akan datang.

Hitler melihat Kriegsmarine perlu dibina semula kekuatan mereka bagi menonjolkan kekuatan rejim Nazi Jerman di samudera. Tetapi untuk merealisasikan impian ini bukan sesuatu yang mudah. Justeru, tugas ini diserahkan kepada Laksamana Erich Raeder dengan harapan ia dapat merevolusikan Kriegsmarine sebagai kuasa marin yang digeruni.

Raeder melihat untuk perang yang akan datang, pertempuran laut yang bakal ditempuh akan menyaksikan pertembungan kapal-kapal perang di mana negara yang memiliki bilangan kapal yang banyak mempunyai kelebihan. Kesimpulan ini diambil berdasarkan pengalamannya semasa WWI. Solusi beliau ialah membina kapal-kapal perang gergasi yang belum pernah disaksikan dunia iaitu Bismarck dan Tirpitz.

Rajah 1: Erich Raeder

Bismarck dan Tirpitz

Menurut Holland, reka bentuk Bismarck dan Tirpitz dibuat bukan saja lebih besar berbanding kapal-kapal Britain dan Perancis tetapi juga lebih panjang dan mempunyai kuasa tembakan yang dahsyat berbanding tentera laut kedua-dua negara. Tetapi tidak banyak tempat yang menyediakan limbungan sesuai untuk menjayakan projek tersebut dan Hamburg menjadi lokasi pilihan pembinaan dua kapal itu.

Syarikat yang diberi kepercayaan untuk membina dua kapal itu ialah Blohm dan Voss, sebuah syarikat perkapalan berpangkalan di Hamburg. Kedua-dua kapal mempunyai panjang 800 kaki, 120 kaki lebar dan mempunyai ketinggian bangunan 80 tingkat. Plat perisai yang tebal dipasang pada Bismarck dan Tirpitz membolehkan kedua-dua kapal dapat bertahan letupan bom TNT seberat 550 paun.

Sekali pandang, kedua-dua kapal sudah membuatkan Britain dan Perancis terkencing-kencing sebelum ia dibawa ke laut. Tetapi Raeder mahukan lebih daripada itu. Beliau mahukan kedua-dua kapal ini tidak boleh ditenggelamkan dan ini cuba dicapai dengan binaan dua lapisan badan kapal iaitu satu lapisan luar dan satu lapisan dalam.

Menurut sejarawan Dr Mike Pavlenec, selagi mana lapisan dalam tidak rosak bila diserang bom atau torpedo pihak musuh, kapal akan terus terapung. Raeder turut menambah 22 bahagian air yang kalis air bagi mengelakkan ia dibanjiri air.

Rajah 2: Bismarck

Sebaik badan kapal pertama siap dan boleh terapung, Hitler mengambil peluang ini dengan merasmikannya pada 14 Februari 1939. Sambil disaksikan oleh 60,000 orang, dalam ucapannya beliau menamakan kapal pertama gergasi Kriegsmarine itu Bismarck. Menurut Holland, Bismarck merupakan pentas propaganda Hitler untuk menunjukkan bahawa rejimnya juga merupakan kuasa marin yang harus dihormati.

Enam minggu selepas itu, beliau merasmikan Tirpitz di Wilhelmhaven. Tetapi Raeder tidak mahu berhenti di situ saja. Kedua-dua kapal ini merupakan permulaan kepada cita-citanya menerusi pelan yang dikenali sebagai Pelan Z.

Rajah 3: Tirpitz

Menurut sejarawan tentera laut, Dr Jan Witt, Pelan Z ialah satu usaha memperbesarkan lagi Kriegsmarine dengan memiliki kapal-kapal perang yang jauh lebih besar berbanding Bismarck dan Tirpitz. Setiap kapal yang dibina dijangka lebih panjang dan mempunyai persenjataan yang lebih banyak dan ampuh bagi menakutkan tentera-tentera musuh.

Jika hajat Raeder ini dapat direalisasikan, ia akan menelan belanja 30 bilion reichsmark (mata wang rejim) tetapi berpotensi menjadikan Kriegsmarine tentera laut paling digeruni di dunia. Namun seperti Bismarck dan Tirpitz, tidak banyak tempat yang boleh menjayakan impian mustahil Raeder itu. Solusi rejim,:membina satu lagi dok kering terbesar pernah disaksikan dan ia tidak jauh dari limbungan yang digunakan untuk membina Bismarck.

Bagi Hitler, duit bukan satu isu untuk menjayakan visi Raeder asalkan ia dapat disiapkan dengan cepat. Malangnya, itu tidak boleh dipenuhi beliau kerana menjangkakan Pelan Z hanya boleh diselesaikan pada tahun 1948, satu fakta yang menjengkelkan Hitler. Keinginan mustahil ini berlaku disebabkan oleh satu perkara: serangan ke atas Poland sekaligus permulaan kepada WWII. Terima kasih kepada Hitler, semua rancangan pembinaan semula Kriegsmarine terpaksa ditangguhkan termasuk pembinaan kapal-kapal gergasi yang dibayangkan Raeder.

Dengan Pelan Z tertangguh, keutamaan laksamana itu ialah mempersiapkan kedua-dua kapal perang gergasi itu untuk pertempuran laut. Dan sekali lagi, diktator rejim itu masuk campur pemilihan senjata Bismarck dan Tirpitz dengan menegaskan kedua-dua kapal dilengkapkan dengan meriam yang berukuran 15 kaki panjang.

Menurut Holland, Hitler ada sebab peribadi berkenaan pilihan ini iaitu memastikan persenjataan kedua-dua kapal lebih hebat berbanding kapal-kapal musuh. Dengan kebanyakan negara Eropah Barat termasuk Perancis jatuh pada tahun 1940, ini merupakan berita baik kepada Raeder. Bukan saja Pelan Z dapat diteruskan semula malah kebanyakan pelabuhan di Perancis boleh diakses oleh Kriegsmarine untuk operasi ketenteraan mereka.

Selepas beberapa lama, barulah Bismarck dan Tirpitz dilancarkan ke laut. Menurut Holland, sasaran mereka bukan sekadar Britain tetapi juga Lautan Atlantik untuk menyokong operasi kapal selam rejim yang dikendalikan oleh Laksamana Karl Donitz. Kawasan ini menjadi keutamaan kerana mereka perlu menjejaskan pergerakan konvoi-konvoi kapal yang membawa muatan kargo diperlukan Britain semasa WWII.

Dan Britain mempunyai sebab untuk bimbang jika kedua-dua kapal ini menyertai gerombolan kapal selam Nazi di Atlantik. Pada Februari dan Mac 1941, dua kruzer perang rejim iaitu Scharnhorst dan Gneisenau berjaya menawan atau memusnahkan 22 kapal dengan muatan seberat 115,600 tan. Jika kedua-dua kapal ini berjaya sampai di Atlantik, tiada satu konvoi pun akan terselamat daripada tembakan meriam mereka.

Tenggelamnya Bismarck…

Bismarck berlayar buat kali pertama pada Mei 1941 dan destinasi pertamanya ialah Selat Denmark. Berita pelayaran kapal ini memang menggusarkan Tentera Laut Diraja British (Royal Navy) tetapi pada masa sama turut menawarkan satu peluang unik: menghapuskan simbol kekuasaan rejim di samudera terbuka. Kapal itu menjadi buruan kapal-kapal Royal Navy diketuai oleh HMS Hood, kapal kebanggaan mereka.

Tetapi cubaan pertama Royal Navy tidak berhasil dan Bismarck berhasil menenggelamkan Hood menerusi tembakan meriam dari jarak 10 batu dalam satu pertempuran laut yang sengit. Walaupun berjaya membanggakan Raeder dengan memusnahkan simbol kebanggaan Royal Navy, Bismarck juga turut mengalami kerosakan.

Rajah 4: Lukisan HMS Hood ditenggelamkan oleh meriam kapal Bismarck

Bagi pihak Royal Navy, itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima. Justeru, semua aset Royal Navy dikerahkan termasuk kapal pengangkut pesawat dan kapal selam untuk memburu Bismarck untuk membalas dendam. Dua hari selepas Hood ditenggelamkan, dua pesawat udara British berjaya mengesan kedudukannya dan melepaskan torpedo ke dalam air dengan berat 1,600 kilogram.

Salah satunya berjaya mengenai Bismarck atau lebih tepat bahagian kemudi, kipas dan bilik kemudi kapal. Bagi nakhoda kapal, Laksamana Gunther Lutjens, beliau tahu Bismarck akan menjadi sasaran mudah pihak British.

Manakala bagi Raeder, ia amat menggusarkan tetapi arahannya kepada Bismarck mudah saja: lawan sehingga kapal tersebut tenggelam. Pada 27 Mei 1941, selepas dibedil bertubi-tubi dengan artileri British selama dua jam, akhirnya Bismarck tenggelam sekaligus menjatuhkan maruah Kriegsmarine dengan 2,000 kelasi m***.

Rajah 5: Keadaan Bismarck yang terbakar selepas dibedil Royal Navy selama dua jam sebelum akhirnya tenggelam ke dasar laut.

Berita tenggelamnya Bismarck merupakan satu bencana kepada Hitler dan Raeder dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas apa yang berlaku. Berikutan kegagalan Bismarck, Pelan Z yang direncanakan Raeder ditarik balik dan semua sumber yang diperuntukkan untuk kapal-kapal gergasinya dipindahkan untuk pembinaan kapal-kapal selam Donitz.

Tirpitz kemudiannya digerakkan ke Norway bukan sekadar untuk melindungi kepentingan strategik rejim di situ tetapi kerana ia berhampiran laluan konvoi Atlantik yang digunakan untuk menyalurkan bekalan kepada Kesatuan Soviet yang ketika itu berperang dengan rejim. Dengan kehadiran Tirpitz, ini memaksa Royal Navy lebih berwaspada dan terpaksa memperuntukkan lebih banyak sumber untuk melindungi konvoi.

Arahan Hitler kepada Kriegsmarine mudah sahaja: jangan terlibat dalam sebarang bentuk pertempuran laut dan ini juga terpakai kepada Tirpitz. Die Fuhrer tidak mahu kehilangan kapal-kapal mereka yang berharga kepada pihak musuh dan tugas mengganggu konvoi ini diserahkan kepada gerombolan kapal selam Donitz.

Malangnya, satu pasukan petugas khas Kriegsmarine melanggar arahan Hitler dan terlibat dalam pertempuran sengit dengan Royal Navy pada 31 Disember 1942. Apabila berita itu diketahui beliau, ia membuatkan Hitler naik minyak dan menyebabkan semua kapal Kriegsmarine dibubarkan bagi membolehkan sistem senjatanya dipasang pada Tembok Atlantik. Berang dengan tindakan Die Fuhrer, Raeder akhirnya meletak jawatan. Satu kapal diberi pengecualian iaitu Tirpitz.

Karamnya sebuah impian…

Tirpitz diarah berlayar ke utara Norway dan berlabuh di Kafjord dengan tujuan menjimatkan penggunaan bahan api dan meletakkannya pada kedudukan strategik untuk memburu kapal-kapal musuh. Apabila momentum perang beralih kepada pihak Bersekutu, Tirpitz menjadi sasaran utama mereka dan menjadi keutamaan Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill. Churchill melihat menenggelamkan Tirpitz bukan sekadar menghapuskan aset penting Kriegsmarine tetapi menyuntik kemenangan psikologi kepada armada laut pihak Bersekutu menjelang D-Day pada musim panas 1944.

Tetapi pihak rejim tidak akan membiarkan aset berharganya itu daripada menjadi sasaran pihak Bersekutu. Pertama, mereka menggunakan mesin menjana asap putih yang tebal bagi menyukarkan pesawat-pesawat udara musuh mengesan kedudukan Tirpitz. Kedua, mereka meletakkan meriam anti-pesawat pada bukit-bukit yang mengelilingi Kafjord bagi membolehkan mereka mengesan dan menembak jatuh pesawat-pesawat Bersekutu.

Namun pada September 1944, Britain mempunyai senjata terbaru iaitu bom Tallboy. Bom ini berupaya memusnahkan sasaran yang sukar dimusnahkan seperti bunker yang diperbuat daripada konkrit atau kapal bersaiz gergasi seperti Tirpitz. Bom yang digugurkan pada kelajuan supersonik dengan berat 1,200 kilogram itu mampu memusnahkan mana-mana sasaran yang dimahukan mereka.

Pada 15 September 1944, sekumpulan pesawat Tentera Udara British (Royal Air Force/RAF) melancarkan serangan udara ke atas Tirpitz dengan satu daripadanya berjaya mengenai kapal gergasi berkenaan. Bom tersebut seharusnya cukup untuk menenggelamkan Tirpitz tetapi terima kasih kepada lapisan tambahan badan kapal dan bahagian kalis air tambahan yang dicadangkan Raeder, ia masih terapung.

Tetapi menurut Holland, ia sudah tidak boleh lagi berlayar dan hanya boleh digunakan sebagai platform senjata saja. Tetapi bila mendengar khabar British masih takut dengan kelibat Tirpitz, ia kemudiannya dibaiki dan dibawa ke Tromso sekaligus menjadi sebahagian daripada Tembok Atlantik.

Rajah 6: Imej pesawat-pesawat Barracuda terbang di Kafjord sebelum menggugurkan Tallboy ke atas Tirpitz.

Tetapi Hitler terlupa dengan memindahkannya ke Tromso, ini menjadikan Tirpitz sasaran mudah pesawat-pesawat pengebom RAF yang berpangkalan di Scotland. Dan sasaran utama mereka masih lagi kapal gergasi yang menjadi kebanggaan Hitler.

Dua bulan selepas gagal menenggelamkan Tirpitz, pesawat-pesawat ini menggugurkan 10 bom Tallboy ke atas kapal berkenaan sekaligus menyaksikan kapal tersebut akhirnya karam di fjord Norway. Dan walaupun usaha salvaj bangkai kapal berkenaan telah digerakkan pada tahun 1950, masih ada 20% baki bangkai yang berada di kawasan fjord berkenaan. Daripada 1,700 krew dan anak kapal Tirpitz, hampir seribu m*** lemas dalam serangan berkenaan.

Dengan tenggelamnya Bismarck dan Tirpitz, maka berakhirlah juga aspirasi Hitler menguasai lautan dunia. Menurut Holland, antara sebab projek kapal gergasi ini gagal ialah kekurangan kapal bersaiz sama seperti Bismarck dan Tirpitz, tidak disokong oleh kapal-kapal perang lain dan Kriegsmarine tidak mempunyai kapal pengangkut pesawat untuk menyokong operasi kedua-dua kapal.

Tambahnya, kapal perang yang disokong dengan operasi udara merupakan masa depan pertempuran di laut dan itu gagal disedari oleh pihak rejim. Sementara arkitek kedua-dua kapal iaitu Raeder ditahan dan dibicarakan atas dakwaan melanggar Perjanjian Versailles. Beliau kemudiannya dihukum penjara seumur hidup sebelum dibebaskan beberapa tahun kemudian atas alasan kesihatan sebelum meninggal dunia pada tahun 1960.

RUJUKAN:

1. National Geographic. (2014). Nazi Megastructure. Episod: Hitler’s Megaships. https://www.youtube.com/watch?v=kVRU-Tk4Kx4

2. Bishop, Patrick. (2015). Bismarck Battleship — The Terror of the Nazi Fleet. History on the Net. https://www.historyonthenet.com/bismarck-battleship

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.