Ketika pemburu Orion memasang jerat,
mengalirlah sungai di kaki Rigelnya.

Betapa kayanya Sungai Eridanus,
setiap likunya berhias berlian.

Lihatlah di tanjung sebelah barat,
tiga permata membentuk Relau.

Sepanas manapun Relau tersebut,
Menarilah Baiduri keliling Intan.

Sempena 100 tahun penubuhan Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU), membuka peluang kepada setiap negara untuk memberi nama kepada lebih 100 eksoplanet yang dijumpai serta bintang induknya dengan melancarkan kempen NameExoWorlds IAU 100. Wakil daripada setiap negara akan mengemukakan cadangan-cadangan nama lalu jawatankuasa dari pihak IAU akan memilih nama yang terbaik berdasarkan syarat-syarat tertentu.

Diketuai badan bukan kerajaan Apadilangit, pertandingan untuk menamakan eksoplanet dan bintang induk terpilih telah diadakan dari bulan Julai sehingga Oktober. Lebih 1,400 cadangan diterima. Pada tarikh 17 Disember 2019, akhirnya nama terbaik setiap negara diumumkan di Perancis. Bagi pihak Malaysia, nama bintang induk itu diberikan nama Intan manakala eksoplanet yang mengelilingi bintang tersebut dinamakan Baiduri.

Bintang Intan itu terletak di buruj Relau bersebelahan buruj Eridanus. Sajak yang disertakan di awal rencana ini bertindak sebagai petua mencari buruj tersebut. Disebabkan buruj Orion itu mudah dicari, maka eloklah jika dimulakan dengan mencari Orion. Setelah itu, cari buruj Eridanus yang hampir dengan kaki Orion. Setelah itu, kita akan dapati buruj Relau [Fornax] berada di sebelah barat Eridanus. Buruj-buruj ini boleh dicerap di Malaysia. Malah, IAU sengaja memilih calon bintang berdasarkan kebolehannya untuk dicerap di negara pencadang nama.

Bintang Intan ialah bintang kerdil berwarna jingga. Jisimnya ialah 78% jisim Suria. Ia terletak pada jarak 156 tahun cahaya daripada Bumi. Oleh sebab itu, ia agak malap dan sukar dikesan melainkan dengan teleskop. Planet Baiduri pula adalah satu-satunya planet yang dikesan setakat yang menghuni Sistem Intan dan mempunyai jisim yang hampir sama dengan Musytari. Jarak orbitnya ialah lebih kurang jarak Bumi dengan Matahari iaitu 0.95 AU. Namun, orbitnya lebih bujur berbanding orbit Bumi.

Yang menariknya, masa yang diperlukan untuk melengkapkan satu orbit itu lebih kurang satu tahun bumi, iaitu 380 hari! Hal ini bukan kebetulan. Hukum Pergerakan Planet yang pernah digariskan oleh Kepler itu menyatakan bahawa masa melengkapkan orbit itu berkadaran dengan jarak orbit dan jisim bintang induk. Disebabkan jarak orbit dan jisim bintang itu serupa dengan jarak orbit bumi dan jisim Matahari, maka masa melengkapkan satu orbit juga tidak lah jauh beza nilainya.

Sama seperti haiwan-haiwan di bumi yang mempunyai nama manja dan nama saintifik, begitu juga bintang-bintang. Intan dan Baiduri ini adalah nama manja buat bintang dan planet tersebut. Secara saintifiknya, masing-masing dikenali dengan nama HD 20868 dan HD 20868 b.

Selepas ini, nama-nama eksoplanet yang ditemui mengelilingi bintang induk Intan itu akan diberikan nama berdasarkan nama-nama berlian dalam Bahasa Melayu. Begitulah tema yang telah dipilih. Ahli Astronomi memang gemar menamakan sistem-sistem bintang menggunakan tema. Misalnya, planet-planet di Sistem Suria dinamakan berdasarkan nama dewa-dewi Yunani. Bulan-bulan Musytari pula dinamakan berdasarkan dewa-dewi yang berkait dengan Jupiter. Nama-nama kawah pada permukaan bulan pula dinamakan berdasarkan sarjana-sarjana terkenal.

Sementara itu, eloklah juga kita jenguk sedikit nama-nama yang dikemukakan jiran-jiran kita. Indonesia memberi nama bintang Dofida (makna: Bintang Kita) dan planetnya Noifasui (makna: Sedang Mengelilingi) yang merupakan perkataan-perkataan dari bahasa Nias. Itu satu langkah yang bijak untuk menunjukkan kepelbagaian budaya dan bahasa di Indonesia.

Brunei pula memberi nama bintang Gumala dan planetnya Mastika. Kedua-duanya bertemakan batu dan permata sama seperti nama pilihan Malaysia. Singapura mengambil langkah menamakannya menggunakan bahasa Latin, iaitu Parumleo (makna: Singa Kecil) untuk bintang dan Viculus (makna: Kampung Kecil) untuk planetnya. Tema yang ingin dibawa ialah berkaitan singa dan kemasyarakatan.

Filipina tidak ketinggalan dengan menggunakan nama dewa-dewi tempatan mereka, iaitu Amansinaya (Dewi Laut) untuk bintang dan Haik (Pewaris Amansinaya) untuk planetnya. Thailand pula memberikan nama bintang Chaopraya dan planetnya Maeping, dengan tema sungai dan anak sungai di Thailand.

DAFTAR ISTILAH

Bintang Induk = Host Star

Buruj Relau = Fornax Constellation

Hukum Pergerakan Planet Kepler = Kepler’s Law of Planetary Motion

Jisim Suria = Solar Mass

Kesatuan Astronomi Antarabangsa = International Astronomical Union

Musytari = Jupiter

Tahun Cahaya = Lightyear

DAFTAR RAJAH DAN GAMBAR

Gambar Utama: Bahan hebahan media yang disediakan oleh IAU, pautan: http://www.nameexoworlds.iau.org/malaysia

Gambar 1: Tangkapan layar dari laman Online Planetarium, pautan: https://in-the-sky.org/skymap.php

DAFTAR RUJUKAN

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Menyambung pengajian sarjana muda Fizik di UKM (2017-2021). Minat menulis sejak tahun 2011 dan mula berkecimpung dalam penulisan akademik sejak tahun 2014. Berazam untuk menjadi pensyarah dan untuk terus menulis ilmu dalam Bahasa Melayu. Gagasan aku mudah sahaja: jika ingin diajarkan ilmu kepada sesuatu bangsa maka ajarkanlah dalam lidah bangsa tersebut.

Comments are closed.