Binaan Misteri Ditemui Di Padang Pasir Arab Saudi

1,271

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Sejarah Arab Saudi pada zaman pra-Islam agak kurang diselidiki. Hanya pada tahun-tahun kebelakangan barulah ahli-ahli arkeologi mula meneroka padang pasir di negara tersebut. Dimaklumkan bahawa pihak pakar telah menemukan lebih 100 buah struktur batu misteri yang sebahagiannya sangat langka, lebih berusia berbanding piramid.

Antara yang ditemukan adalah struktur-struktur batu gergasi yang dikenali sebagai ‘layang-layang’, mungkin digunakan dalam aktiviti memburu haiwan secara besar-besaran. Terdapat juga sejumlah geoglif batu, yang disifatkan oleh masyarakat Badwi tempatan sebagai ‘hasil pertukangan batu masyarakat purbakala’.

Namun, sejenis struktur batu yang paling menggamit perhatian ilmuwan adalah ‘mustatil’, yang sehingga kini masih terus dikaji. Secara keseluruhan, kesemua struktur batu misteri yang ditemui di padang pasir ini memberikan maklumat yang baru kepada para penyelidik, khususnya berkenaan kehidupan masyarakat di rantau berkenaan pada zaman purba atau untuk lebih menjurus, semasa peralihan daripada kehidupan nomad-penternak kepada kehidupan Neolitik.

STRUKTUR MISTERI DITEMUI DENGAN BANTUAN IMEJ SATELIT

Kewujudan struktur-struktur mustatil dikenal pasti buat pertama kali oleh sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada pakar dari Max Planck Society di Jerman, pakar-pakar Arab Saudi, dan ilmuwan-ilmuwan antarabangsa. Mereka menggunakan imej-imej satelit resolusi-tinggi dan data daripada Google Earth untuk memetakan lokasi struktur-struktur berkenaan. Lokasi tumpuan bagi penyelidikan mereka ini adalah Gurun Nefud, utara Arab Saudi.

Untuk menemukan struktur-struktur misteri ini secara tepat, pihak penyelidik melensakan carian pada ciri-ciri tertentu di samping menumpu pada kawasan yang hampir dengan sumber-sumber alam, seperti air. Secara keseluruhan, kira-kira 104 buah mustatil berjaya ditemui setakat ini.

Lokasi penemuan mustatil-mustatil di timur laut Arab Saudi

Menurut The Holocene, “Mustatil-mustatil ini berbentuk segi empat tepat namun sedikit panjang, di mana 102 daripada 104 mustatil tersebut mempunyai dua buah tembok panjang, sambil dua yang lain mempunyai tiga tembok.”

Secara purata, kesemua mustatil ini berukuran 480 kaki panjang dan 420 kaki lebar (161 dan 142m). Ia dibina daripada ribuan tan batu dan secara tipikalnya, platform mustatil-mustatil ini agak rendah. Struktur sebegini juga hanya ditemui di kawasan berpermukaan rendah dan berhampiran dengan sumber-sumber air, di timur laut Arab Saudi.

MUSTATIL-MUSTATIL INI LEBIH TUA BERBANDING PIRAMID

Tidak banyak tinggalan budaya yang ditemui semasa kajian lapangan dilakukan di tapak mustatil. Sebahagian artifak yang ditemui kemudiannya dibawa menjalani ujian pentarikhan karbon.

Hasil ujian tersebut mendapati setidak-tidaknya satu artifaknya berusia 7000 tahun, sekaligus mengertikan bahawa mustatil-mustatil ini ada yang lebih tua berbanding piramid. Para penyelidik merekodkan dalam The Holocane bahawa “Besarnya skala mustatil ini menjadikannya sebagai salah satu contoh seni bina monumental prasejarah yang paling mengagumkan, mungkin di seluruh dunia.”

Mereka juga cuba menyelidiki faktor mengapa struktur-struktur begini dibina. Kesimpulan yang mereka raih setakat ini mengandaikan bahawa mustatil-mustatil tersebut dibina sebagai tindak balas terhadap perubahan cuaca dan suasana sekitar.

Memetik laporan mereka dalam The Holocane, “Pada tempoh 10 000 hingga 6000 tahun yang lalu, Semenanjung Arab mengalami era ‘Tanah Arab Menghijau’ yang paling kebelakangan, di mana curahan hujan meningkat dan secara efektif mengubah lanskap rantau yang gersang itu.” Perubahan lanskap ini besar kemungkinan mendorong kepada munculnya era Neolitik di Tanah Arab, di mana kebudayaan-kebudayan tempatan mengalami perubahan yang radikal.

Dua buah mustatil yang ditemui di Gurun Nefud

DARIPADA PADANG PASIR YANG KERING KEPADA TANAH ARAB YANG MENGHIJAU

Sebelum fasa Tanah Arab Menghijau yang terakhir, masyarakat nomad-penternak menghadapi kesukaran untuk hidup di persekitaran yang mencabar di padang pasir ini.

Walaupun curahan hujan yang semakin meningkat banyak mengubah kawasan tersebut menjadi kawasan yang subur, persekitarannya masih tetap mencabar. Situasi ini seterusnya mendorong kepada peninggalan gaya hidup nomad secara bertahap dan membawa kepada penubuhan entiti-entiti wilayah. Mustatil-mustatil ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan perubahan sosial yang drastik ini.

Pihak penyelidik seterusnya cuba mengenal pasti kefungsian mustatil-mustatil ini. Temboknya terlalu rendah untuk dijadikan sebagai pertahanan. Ia juga sama sekali tidak mungkin digunakan sebagai memenuhi kepentingan awam, seperti tempat penyimpanan air.

Apa yang dapat dikenal pasti, terdapat sejumlah tulang haiwan ditemui di kebanyakan tapak mustatil. Turut ditemui ‘sebongkah batu berukir’ di ruangan dalam sebuah mustatil. Imej-imej geometrik yang terdapat pada bongkah batu berkenaan merupakan kunci bagi memahami sebab pembinaan mustatil-mustatil tersebut. Para penyelidik menyimpulkan bahawa struktur misteri ini dibina bagi tujuan simbolik mahupun ritual.

BINAAN MUSTATIL INI MUNGKIN MEMPUNYAI HUBUNGAN DENGAN KEMUNCULAN NEOLITIK DI TANAH ARAB

Dr Huw Groucutt, salah seorang ketua penyelidik dalam kajian ini, menyatakan bahawa, “Pemahaman kami terhadap mustatil adalah ia merupakan sejenis tapak ritual, di mana kumpulan-kumpulan masyarakat yang menetap di kawasan sekitar saling bertemu untuk menjalankan suatu aktiviti sosial yang tidak lagi kita ketahui pada hari ini.” Penemuan bongkah batu berukir di platform mustatil mungkin mengisyaratkan bahawa ritual-ritual tersebut benar-benar berlaku. Groucutt juga dipetik oleh Max Planck Institute, “Mungkin mustatil merupakan tapak bagi menjalankan upacara korban atau jamuan haiwan.”

Corak geometrik ditemui pada sebongkah batu yang membentuk platform sebuah mustatil

Kebanyakan mustatil dibina dengan agak rapat antara satu sama lain dan keadaan ini mengisyaratkan bahawa ia dibina oleh sebuah masyarakat yang agak maju. Besar kemungkinan, mustatil dibina bagi menggalakkan lagi kesatuan sosial dan meneguhkan identiti masyarakat. Hal ini sekaligus mengisyaratkan bahawa kumpulan masyarakat penternak yang menetap di kawasan ini hidup dalam sistem sosial yang agak kompleks, mungkin sebagai tindak balas terhadap persekitaran yang semakin baik dan semakin menghijau.

TUJUAN PEMBINAAN MUSTATIL SEBAGAI SUATU MEKANISME SOSIAL

Walau bagaimanapun, menjalani kehidupan dalam persekitaran yang kering lagi gersang tetap merupakan suatu hal yang mencabar. Menurut Max Planck Institute, “Pasukan penyelidik ini mengandaikan bahawa mustatil-mustatil tersebut dibina sebagai suatu mekanisme sosial untuk hidup dalam persekitaran yang mencabar.” Lebih menjurus, ia mungkin dibina bagi memastikan supaya komuniti yang hidup di situ dapat bekerjasama demi melangsungkan kehidupan.

Walaupun struktur mustatil yang sebegini bukanlah yang tertua di dunia, ia merupakan mustatil yang paling tua di Tanah Arab dan antara yang paling tua pernah direkodkan. Kewujudan struktur ini menunjukkan baaimana persekitaran setempat berupaya mengubah dan membentuk gaya hidup sesebuah komuniti. Ia juga memperlihatkan kepada kita betapa binaan yang dibangunkan atas tujuan sosial dan ritual berupaya meneguhkan kesatuan komuniti dan mendorong mereka untuk bertahan mengharungi persekitaran yang mencabar. Diharapkan padang pasir yang luas terbentang di Arab Saudi dapat terus mendedahkan lebih banyak bukti arkeologi di masa hadapan.

TERJEMAHAN:

Ed Whelan. (19 Ogos 2020). More Ancient Mysterious Stone Structures Found in Saudi Arabia. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/mysterious-stone-structures-0014141

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.