Bilal Tersilap Azan Ketika Sahur?

923

Ketika sedang menikmati makanan pada waktu Sahur, tiba-tiba terdengar suara azan berkumandang. Kita pun kelam kabut meluahkan semula makanan. Tapi bila tengok jam, masih awal lagi dan belum masuk waktu Subuh. Sebahagian dari kita pasti akan menganggap, “Oh, bilal salah azan ni”. Namun, adakah benar bilal tersalah azan setiap kali waktu sahur?

Tahukah anda? Sebenarnya pada waktu pagi, memang terdapat dua kali laungan azan. Bagi mazhab Syafie, hal ini merupakan Sunat hukumnya. Rasulullah memiliki dua orang sahabat yang menjadi muazzin (tukang azan) iaitu Bilal bin Rabah dan Abdullah bin Ummi Maktum yang buta matanya.

Bilal melaungkan azan pada waktu penghujung malam, manakala Abdullah bin Ummi Maktum azan ketika terbitnya fajar. Rasulullah menyuruh kita untuk makan dan minum seperti biasa ketika azan pertama kerana hakikatnya waktu Subuh belum masuk. Hal ini boleh dirujuk dalam dua hadis yang berbeza lafaz dengan maksud yang serupa dalam riwayat Imam Bukhari (dari Saiyidatina Aisyah) dan Imam Muslim (dari Saiyidina Abdullah bin Umar al-Khattab).

Hikmah azan pertama tujuannya adalah untuk mengejutkan orang yang masih tidur, berhenti berjimak, pergi bersuci sama ada mandi junub atau berwuduk atau memanggil jemaah untuk berqiamulail serta bersiap sedia untuk melaksanakan solat Subuh. Jarak antara azan pertama dan azan kedua menurut sebahagian ulama adalah antara dua Fajar iaitu Fajar Kazib dan Fajar Sadiq. Kedua perkara ini merupakan istilah dalam Fiqh Falak (Science of Astronomy). Fajar Kazib adalah fajar yang mengharamkan solat dan menghalalkan makan manakala Fajar Sadiq adalah fajar yang mengharamkan makan dan menghalalkan solat.

Fajar Kazib maksudnya Fajar Palsu. Fajar Kazib adalah ketika munculnya cahaya putih di ufuk langit arah timur bumi. Cahaya tersebut berbentuk menegak (vertikal) dan tidak ‘menyentuh’ ufuk. Walaupun cahaya matahari seolah-olah telah terbit, namun masih belum boleh melakukan solat Subuh kerana Fajar Kazib hanya menandakan tamatnya waktu malam. Kerana itu ianya dinamakan Fajar Palsu.

Fajar Sadiq pula maksudnya Fajar Benar. Fajar Sadiq adalah ketika munculnya cahaya putih juga di ufuk langit arah timur bumi. Cahaya tersebut berbentuk melintang (horizontal) dan ‘menyentuh’ ufuk. Kali ini, matahari benar-benar telah terbit, maka sudah boleh melakukan solat Subuh dan mulakan puasa kerana Fajar Sadiq menandakan mulanya hari siang. Kerana itu ianya dinamakan Fajar Benar.

Walaupun kita masih boleh makan selagimana belum masuknya waktu Subuh, namun seeloknya kita berhenti makan lebih awal sedikit iaitu ketika waktu Imsak. Tapi bukankah Rasulullah menyuruh kita melewatkan bersahur?

Maksud sebenar ’melewatkan sahur’ dari hadis Rasulullah itu adalah seperti hadis riwayat Imam Bukhari dari Anas bin Malik, dari Zaid bin Tsabit yang bermaksud, “Kami bersahur bersama Nabi, kemudian Baginda mendirikan sembahyang”. Lalu Anas bertanya, “Berapakah jarak antara azan dan sahur?” Zaid menjawab, “Kira-kira 50 ayat.”

50 ayat yang dimaksudkan di sini adalah bacaan tartil 50 ayat al-Quran yang sederhana panjang iaitu sekitar 10-15 minit. Dari sinilah para ulama menetapkan kiraan masa bagi Imsak sebagai ihtiyat (berwaspada) seperti ‘lampu kuning’ bagi kita untuk sedia berhenti sebelum masuknya waktu Subuh.

Namun jika masih makan selepas waktu Imsak tidaklah membatalkan puasa. Imsak adalah sunnah dan adab bersahur yang bermanfaat. Tapi, adakah kita masih boleh makan walaupun azan telah berkumandang sepertimana yang termaktub dalam hadis riwayat Imam Abu Daud?

Hadisnya adalah :- “Jika salah seorang daripada kamu mendengar azan, sedangkan terdapat bejana (tempat menyimpan makanan atau minuman) pada tangannya maka janganlah diletakkan bejana itu sehingga dia menyelesaikan hajatnya (makan atau minum) dari bejana itu.”

Menurut ulama hadis dan fuqaha, maksud azan dalam hadis tersebut adalah azan pertama sepertimana yang kita bincangkan di atas. Sebab itulah masih boleh makan dan tidak batal puasa. Sebahagian tempat di Malaysia masih lagi melaksanakan azan dua kali ini. Manakala sebahagian lain menggantikan azan pertama dengan bacaan al-Quran. Ada juga sebahagian kawasan yang hanya melakukan azan kedua dan tidak melakukan azan pertama mahupun bacaan al-Quran. Ini bagi mengelakkan kekeliruan atau mengelakkan gangguan bunyi kepada kawasan kejiranan.

Kesimpulannya, segala ketetapan yang dibuat oleh para ulama silam sebenarnya mempunyai dalil dan hikmah. Hanyasanya kita yang awam inilah yang tidak menjumpai dalil tersebut. Dan jika kita jumpa dalil pun, kita tidak boleh memahami hadis itu secara zahir melainkan para fuqaha sahaja yang memahami maksud sebenar hadis. Kefahaman kita yang dangkal akan mengakibatkan ibadah puasa kita boleh terbatal.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.