https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Bila Tentera Salib Menawan Al-Aqsa

2,187

Kejatuhan Al Aqsa merupakan sebuah malapetaka yang sangat besar buat Ummah! Bayangkan, 7 hari sebelum masuknya Ramadhan, Kota Al=Aqsa telah jatuh dan hampir kesemua penduduk Islam telah dibunuh. Berkata Ibn Athir: “Penduduk menjadi mangsa pedang, selama 1 minggu orang Frank (Eropah) membunuh orang Islam di Al Aqsa.”

Kejatuhan Al Aqsa di sini merujuk kepada penaklukan Al Aqsa oleh Tentera Salib yang barbarik (1099). Sebuah peristiwa yang wajar untuk kita ingati dan pelajari untuk memahami di mana titik kelemahan umat Islam. Jadi bagaimanakah peristiwa yang berdarah ini boleh berlaku?

Semuanya bermula pada 1095, Paus Urban telah mengisytiharkan perang ke atas dunia Islam maka bergabunglah kekuatan Kristian di Eropah mara menuju ke dunia Islam dengan misi menakluk Kota Al Quds.. Paus Urban telah menyampaikan khutbahnya yang sangat terkenal dan menanam rasa kebencian yang sangat mendalam terhadap orang Islam di hati setiap pendengar. Dengan semangat inilah, mereka sanggup mara ke Timur, meninggalkan kampung halaman masing-masing.

Kemaraan Yang Menggerunkan Dunia Islam

Dunia Islam yang sedang berpecah ketika itu tidak mampu menghalang kemaraan tentera Salib yang dipimpin oleh Bohemond of Toronto dan Raymond of Saint Gilles. Mereka ini merupakan bangsawan dari Eropah yang sanggup meninggalkan segala kesenangan yang mereka miliki untuh menyahut seruan Pope Urban di samping meraih sokongan daripada rakyat jelata.

Kota Edessa, Antioch dan Maarat Al Nouman telah berjaya ditakluki pada 1098. Kesemua umat Islam di dalam kota itu dibunuh tanpa belas ihsan. Malah terdapat juga sebuah legenda yang tidak dapat dipastikan kesahihannya bahawa selepas umat Islam di Maarat An-Nouman dibunuh, tentera Salib telah memakan daging mayat tersebut. Allahuakhbar!

Al Aqsa di Ambang Bahaya

Pada 7 Jun 1099, tentera Salib telah tiba di hadapan Tembok Kota Al Aqsa. Kini, tiada apa lagi yang mampu untuk menghalang mereka daripada menakluk Kota Al Aqsa. Apa yang mereka impikan kini sudah berada di depan mata! Umat Islam di sebalik tembok kota sudah mula menunjukkan keresahan..

Gabenor Al Aqsa yang dilantik oleh Kerajaan Syiah Fatimiyyah mula mengatur strategi untuk menghalau tentera Salib dan melindungi Masjid ketiga paling suci buat umat Islam. Antara strategi Ikhtifar Ad Dawla, ialah:

◽ Mengeluarkan penduduk Kristian kerana bimbang mereka akan membelot.

◾ Meracuni sumber mata air tentera Salib.

◽ Menghantar surat memohon bantuan Kerajaan Fatimiyyah.

Sungguhpun begitu, tentera Salib tetap tidak berputus asa. Mereka pun turut mengatur strategi yang tersendiri. Antara strategi Tentera Salib pula:

◾ Membina menara kayu untuk melakukan serangan dari atas.

◽ Meningkat semangat spritual dan rohani.. Mereka berpuasa selama 3 hari kemudian berarak mengelilingi Tembok Kota Al Quds berkaki ayam sambil memegang salib mereka..

Serangan Bermula

Tentera Salib telah menimbus kembali parit yang mengelilingi kota Al Quds agar menara kayu itu dapat bergerak lebih dekat dgn tembok kota tersebut. Ingin saya ingatkan pembaca kalian, menara kayu ini adalah senjata yang paling penting buat tentera Salib. Ini merupakan kelebihan buat mereka.

Tentera Islam membalas serangan tersebut dengan tembakan Meriam Api Yunani. Akan tetapi tentera Salib lebih bijak. Menara kayu itu diselaputi dengan rendaman cuka agar api  itu terpadam sendiri. Jadi cubaan Tentera Islam menyerang Tentera Salib berakhir dengan kegagalan. 

Pada 15 Julai, pertahanan Kota Al Quds di bahagian Utara telah runtuh, tentera Salib berjaya masuk ke dalam Kota.. Umat Islam segera berlindung di dalam Masjid Umar dan Masjid Al Aqsa dan mengunci segala pintu masuk ke dalam.. Ikhtifar pula membawa beberapa tenteranya melarikan diri ke Askelon.

Peristiwa Sayu Al Aqsa

Berkata Ibn Athir: “Seramai 70000 umat Islam dibunuh, antara mereka adalah imam, ulama, sufi, orang soleh, dan mereka yang datang dari jauh untuk menyambut Ramadhan di Kota Suci Al Aqsa.”

Berkata Michaud sejarawan Perancis: “Umat Islam dibantai selama seminggu, mayat bertimbun di dalam masjid, madrasah, istana dan juga jalanan.”

Berkata Fulk of Chartes: “Seramai 10000 orang dibunuh di dalam masjid Al Aqsa sahaja sehingga masjid itu bertukar menjadi kolam darah yang menjijikkan. Kaki kami berendam dalam air merah.”

Sungguh, apa yang berlaku di Al Aqsa cukup mengerikan. Inilah teguran yang keras daripada ALLAH kepada umat Islam yang sedang berpecah belah ketika itu. Saudara dan saudari, masih mahu berpisah lagi?

RUJUKAN:

  1. Alatas, Syed Alwi. Biografi Agung Nuruddin Zanki: Perintis Gerakan Jihad Menentang Tentera Salib. Shah Alam: Karya Bestari, 2015.
  2. Alkhateeb, Firas. Lost Islamic History. London: C hurst and Co Publishing, 2014.

Artikel dikirimkan oleh Dinieland untuk The Patriots. 

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.