Bila Potret Bisa Runtuhkan Rumahtangga…

0
498
views

Pasangan sekarang terutama pasangan diraja seperti Putera Harry dan Meghan Markle amat beruntung dengan kewujudan teknologi dan pengangkutan moden hari ini. Ini kerana dengan semua medium ini, jalinan cinta yang dikait semakin kukuh walaupun dibezakan dengan jarak dan perbezaan waktu. Namun pada masa silam, ini sesuatu yang menyusahkan kerana kebanyakan dinasti terpaksa bergantung kepada potret dan laporan lisan berkenaan pasangan mereka. Dan ini kadang-kadang membawa masalah di kemudian hari.

Jetpack Langkawi

Tidak seperti perkahwinan hari ini, perkahwinan membabitkan keluarga-keluarga diraja bersifat politik semata-mata. Ini kerana melalui perkahwinan, keluarga-keluarga yang terlibat dapat membentuk pakatan sesama negara atau memperbaiki hubungan diplomatik antara negara. Justeru memandangkan jarak negara yang jauh, sebarang rundingan membabitkan soal hati ini selalunya mengunakan khidmat proksi. Dan untuk memastikan mana-mana calon yang diambil sedap mata memandang dan seumpamanya, potret menjadi pilihan sebelum penciptaan teknologi fotografi.

Menurut Dr Susan Foister, Timbalan Pengarah dan Kurator Lukisan British, Jerman dan Belanda Awal untuk Galeri Kebangsaan di London, potret merupakan alat penting untuk memastikan mana-mana calon yang berkahwin dengan kerabat diraja atau bangsawan memang sesuai dengan status pasangan mereka. Dan untuk memastikan ianya bersesuaian, pelukis diminta melukis potret penuh termasuk wajah pasangan supaya sebarang kecacatan terdapat padanya tidak dapat disembunyikan. Dan ini menimbulkan kebimbangan ramai kerana potret diraja yang disediakan oleh bakal suami atau isteri pasangan hanya membesar-besarkan ketampanan atau kecantikannya. Contoh paling senang, apabila bakal Permaisuri Raja George IV, Caroline Amelia Elizabeth bertemu dengan baginda, ianya merupakan satu kejutan yang tidak disangka-sangka. Dengarlah luahan baginda, “Aku mendapati dia seorang yang gemuk dan tidaklah secantik seperti digambarkan pada potretnya.”

Figure 1: Potret Raja George IV

Kebanyakan pemerintah sedar potret yang dibawa mengandungi nilai propaganda yang boleh saja menaikkan atau merendah-rendahkan martabat sesebuah negara. Contohnya, pelukis-pelukis yang diberi tugas melukis potret Raja Sepanyol, Charles II cuba menyembunyikan apa-apa ciri yang mendedahkan masalah fizikal dan mental baginda. Untuk memastikan potret yang dihantar itu benar-benar tepat, sesetengah pemerintah atau kerabat diraja menghantar pelukis mereka sendiri untuk memastikan gambaran sama dengan gambaran fizikal. Amalan ini sudah dilakukan sejak Zaman Pertengahan lagi.

Pada akhir abad ke-14 Masihi, penasihat-penasihat Raja Perancis, Charles VI menghantar seorang artis ke Scotland untuk melukis potret Puteri Egidia, anakanda Raja Scotland, Robert II tetapi sebelum tiba di situ, Puteri Egidia sudah dikahwinkan dengan bangsawan Scotland, Sir William Douglas. Dia kemudiannya bertolak ke Austria, Bavaria dan Lorraine. Selepas menghantar beberapa lukisan untuk dilihat, Charles yang ketika itu berumur 17 tahun sudah jatuh cinta dengan keayuan Isabella dari Bavaria yang berumur 14 tahun. Pasangan itu berkahwin pada tahun 1385.

Satu abad selepas itu, pelukis Flemish terkenal, Jan Van Eyck mengembara bersama satu delegasi Iberia untuk mengatur perkahwinan Duke Philip Si Baik dari Burgundy dengan Puteri Isabella dari Portugal. Selepas persetujuan dicapai berkenaan pengaturan perkahwinan tersebut, Van Eyck melukis potret bakal isteri duke tersebut untuk menjadi bahan tatapannya. Lukisan tersebut walaupun hilang ditelan zaman tetapi menjadi bukti kuat dan bebas yang menyokong keterangan saksi berkenaan penampilan Isabella setibanya baginda di Burgundy.

Tetapi kerenah bangsawan dan pemerintah diraja ini tidak boleh mengatasi obsesi pemerintah Dinasti Tudor yang memerintah England dalam soal mencari pasangan. Sekiranya mereka tahu ada wanita cantik yang dirasakan sesuai diambil sebagai isteri, tidaklah mengejutkan ramai artis dihantar untuk melukis potret wanita-wanita ini di serata Eropah. Selepas kemangkatan Permaisuri Elizabeth dari York pada tahun 1503, pengasas Dinasti Tudor, Henry VII berkenan dengan balu Raja Ferdinand I dari Naples, Joanna dari Aragon. Henry VII bukan saja mengarahkan para dutanya mencari maklumat saiz payu daranya, bau nafasnya, tabiat minuman dan bilangan bulu atas bibirnya. Malah baginda turut mengarahkan mereka mengupah mana-mana pelukis yang licik untuk melukis potretnya. Bagaimanapun sebaik Permaisuri Joanna mendapat tahu, baginda enggan membenarkan potretnya dilukis dan Henry VII terus kekal keseorangan sehingga mangkat pada 1509.

Pengganti baginda, Henry VIII pula boleh dianggap sebagai kaki perempuan dan kadang-kadang menggunakan kaedah radikal untuk mendapatkan wanita yang diidamkannya. Selepas kemangkatan Permaisuri Jane Seymour, Henry VIII menggunakan tempoh dua tahun untuk mencari siapa calon isteri keempatnya. Orang pertama ialah Puteri Christina dari Denmark dan orang yang ditugaskan melukis potretnya ialah Hans Holbein, seorang artis yang dikenali kerana memberi lukisan yang tepat gambarannya kepada pemerintah-pemerintah sekitar Eropah. Potret puteri tersebut sudah dihantar oleh seorang pelukis kepada Henry VIII di London tetapi ditolak kerana dianggap tidak cukup bagus. Ini menyebabkan Holbein dihantar ke Brussels pada Mac 1538 untuk melukis potretnya. Selepas potret tersebut siap, ia dihantar ke London dan sebaik melihatnya, Henry VIII merasa amat gembira sehingga mendorong pemuzik istana memainkan lagu sepanjang hari. Rundingan perkahwinan bagaimanapun tidak berjalan lancar kerana kegusaran kerabat Puteri Christina dengan kerenah baginda yang menghukum mati Anne Boleyn dan menceraikan Catherine dari Aragon. Akhirnya, tiada kata putus dapat dicapai dan rencana perkahwinan Henry VII-Christina berakhir dengan kegagalan. Bagaimanapun, potret baginda terus disimpan oleh raja kedua Dinasti Tudor itu dan kini dipamerkan di Galeri Kebangsaan, London.

Figure 2: Puteri Christina dari Denmark

Selepas rundingan tersebut gagal, Holbein dihantar melukis potret wanita-wanita diraja lain seperti Louise dan Renee dari Guise, Anne dari Lorraine dan Marie dari Vendome. Beliau kemudian dihantar ke Cleves untuk melukis potret Anne dan Amelia, adinda kepada Duke Julich-Cleves-Berg, William. Bagaimanapun, beliau merasa keberatan apabila asyik diminta menunjukkan sisi menarik dua wanita itu. Sehinggakan pada satu ketika, beliau menyindir, “Adakah kamu mahu melihat mereka tanpa seurat benang?” Pada Ogos 1539, Holbein akhirnya dibenarkan melukis potret dua wanita tersebut. Dua potret bersaiz kecil dan penuh berjaya dihasilkan. Walaupun diplomat-diplomat Inggeris memberi komen kurang enak berkenaan pakaian Anne dan Amelia, kata putus kini terletak di tangan Henry VIII. Suka dengan apa yang dilihat baginda, satu kontrak perkahwinan diatur dan Anne dibawa ke England. Bagaimanapun tidak semua yakin dengan gambaran dengan Holbein sehingga tersebar satu sajak ini:

Figure 3: Potret Anne dari Cleves

Jika itulah lukisanmu

maka marilah kita lihat

akan bersetujukah dikau

dengan lukisanmu itu

 

Dan seperti dijangka, selepas melihat paras rupa Anne, Henry VIII menjadi amat murka dan bertitah, “Beta tidak menyukai dia.” Perkahwinan Anne dari Cleves dengan baginda hanya bertahan selama empat bulan sebelum diceraikan. Bagaimanapun, Henry VIII tetap memberi pampasan lumayan kepadanya dan dirujuk sebagai Adinda Kesayangan Raja (King’s Beloved Sister). Anne hidup semasa pertabalan puteri tirinya, Ratu Mary I dan hidup lebih lama berbanding semua isteri Henry VIII. Sementara bagi Holbein pula, beliau bernasib baik kerana tidak menjadi sasaran kemurkaan baginda. Sasaran sebenar Henry VIII ialah Perdana Menterinya sendiri iaitu Earl Pertama Essex, Thomas Cromwell. Kerana kesilapannya cuba menjodohkan baginda dengan Anne, beliau dilabel sebagai pengkhianat dan dihukum bunuh pada 28 Julai 1540.

SUMBER

  1. Reader’s Digest. (2008). The Truth About History.
  2. Meares, Hadley. (2018). History.com. How Unflattering Royal Portraits Could Break a Marriage Contract. https://www.history.com/news/how-portraiture-shaped-royal-marriages

 

 

 

Previous articleAdakah Makhluk Asing Benar-benar Wujud?
Next articlePakatan Uthmaniyah-Perancis Yang Terkenal Menghadapi Empayar Rom Suci
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE