Semasa pemerintahan Nazi Jerman, cubaan bunuh ke atas Adolf Hitler bukanlah satu perkara baru. Berdasarkan rekod, ada 40 cubaan bunuh ke atas beliau sejak mengambil alih jawatan Kanselor Jerman pada tahun 1934. Dan cubaan ini dibuat bukan saja oleh pihak perisikan asing seperti MI6 tetapi juga oleh orang biasa dan kumpulan pemberontak Jerman. Tetapi tahukah anda, pada satu ketika, Vatican turut terlibat sama dalam plot ini?

DILEMA PEMBERONTAK JERMAN

Semasa pemerintahan Hitler, ramai menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang dasar-dasar Nazi Jerman dan mereka pergi ke bawah tanah dan membentuk penentangan terhadap beliau. Golongan yang menyertai penentangan ini pula bukan calang-calang orang. Sebilangan daripada mereka merupakan pegawai tentera sementara selebihnya merupakan pemimpin masyarakat dan ahli politik. Sebilangan pegawai tentera dalam kumpulan ini mula merancang untuk menggulingkan atau membunuh Hitler tetapi timbul satu dilema dalam kalangan mereka.

Dilema yang dimaksudkan ialah apa yang akan berlaku pada Jerman sekiranya beliau mati atau digulingkan. Kebanyakan anggota konspirasi ini tahu bencana yang menimpa Jerman pasca-Perang Dunia Pertama (WWI) yang membawa Hitler ke puncak kekuasaan. Tiada sesiapapun mahukan peristiwa tersebut berulang jadi anggota konspirasi ini meminta jaminan sekiranya mereka berjaya merampas kuasa dari Nazi, dunia (termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Rusia) menjamin keamanan yang adil kepada Jerman, mereka sedia meneruskan plot dan membunuh Hitler.

Namun ini mencetuskan pula satu lagi dilema iaitu jaminan tentang keamanan yang adil. Ini kerana anggota konspirasi ini tidak tahu sama ada musuh-musuh Hitler di luar negara akan menunaikan janji mereka tentang soal itu. Bagi negara seperti Amerika Syarikat dan Britain pula, mereka bimbang sekiranya Hitler jatuh, apakah pemimpin yang menggantikannya seorang diktator atau sebaliknya. Satu-satunya individu dengan prestij dan kebebasan yang dimiliki ialah pontifex maximus atau Pope, dalam kes ini Pope Pius XII. Ramai menyangka Pope Pius tidak akan melibatkan diri dalam plot sebegini tetapi apabila dihampiri, beliau memberi persetujuan dan membentuk rangkaian perisikan yang bagus serta menggesa mereka meneruskan plot tersebut.

POPE PIUS XII a.k.a Eugenio Pacelli

Figure 1: Sebelum bergelar Paus, Eugenio Pacelli merupakan pengkritik keras dasar-dasar Nazi.

Sebelum bergelar Pope, Eugenio Pacelli merupakan antara pengkritik keras Nazi dan banyak mempromosikan mesej hak kesamarataan antara bangsa. Selepas bergelar Pope, beliau dituduh mendiamkan diri tentang peristiwa Holocaust sehingga digelar Pope untuk Hitler dalam buku yang dikarang John Cromwell, Hitler’s Pope. Namun, hakikatnya Pope Pius XII tetap meneruskan pendirian tegasnya terhadap Nazi walaupun dikekang dengan pendirian Vatican yang bersifat neutral sepanjang Perang Dunia Kedua (WWII) berlangsung. Beliau mengarahkan pembentukan rumah-rumah selamat di Vatican dan gereja-gereja di seluruh Eropah, pemberian dokumen palsu dan laluan selamat untuk mengelakkan orang Yahudi dikejar oleh pihak Nazi.

Dan dalam plot ini, beliau tidak teragak-agak menyuarakan perkara sama terhadap Hitler. Namun anggota konspirasi dari bahagian perisikan dan ketenteraan meminta Pope Pius mendiamkan diri atas alasan sekiranya beliau meneruskan serangan ke atas Hitler, sudah pasti Gestapo akan mencium plot ini dengan pantas. Akibatnya, ini akan menyukarkan lagi tugas dan kebebasan mereka. Walaupun pihak Vatican tidak mempunyai rangkaian perisikan seperti negara-negara kuasa besar lain semasa perang tetapi mereka mempunyai ejen secara tidak langsung iaitu paderi-paderi, rahib-rahib dan biarawati-biarawati. Kebanyakan mereka ini ditempatkan di seluruh Eropah termasuk di bandar-bandar yang musnah dilanda peperangan dan berkemampuan menapis serta menghantar maklumat secara rahsia ke Rom. Dari situ, ia boleh disebarkan pada pihak-pihak yang berkaitan. Dalam erti kata lain, pihak gereja memainkan peranan sebagai sistem telegraf rahsia bagi anggota konspirasi ini.

WILHELM CANARIS

Ketua perisikan tentera Jerman (Abwehr), Laksamana Wilhelm Canaris sudah masak dengan perangai Fuhrernya termasuk kebenciannya terhadap gereja Roman Katolik. Bagi Hitler, Nazisme tidak serasi dengan Roman Katolik. Dan ini diburukkan lagi dengan kebencian beliau terhadap Pope Pius XII dan gereja di mana Pius menentang sama sekali semua dasar Nazi. Dan gereja juga tidak boleh dipercayai untuk tidak masuk campur urusan Nazi. Selepas menyerang Poland pada tahun 1939, Hitler mengarahkan semua aset gereja Poland dicairkan (dimusnahkan) dan ini membuatkan semua jeneral terlibat terkejut termasuk Canaris. Beliau merasakan semua ini sudah melampau dan tahu sudah tiba masanya Hitler disingkirkan. Canaris mengenali Pope Pius XII sejak tahun 1920-an lagi apabila beliau berkhidmat sebagai diplomat Vatican yang bertugas di Jerman. Dan beliau sedar Pacelli/Pius XII mempunyai tiga ciri diperlukan untuk menukar plot pembunuhan Hitler menjadi realiti iaitu realistik, kerahsiaan dan paling penting, kebencian terhadap Hitler.

JOSEF MUELLER

Bagi memudahkan perhubungan antara Pius XII dengan Canaris, Canaris meminta seorang peguam bernama Josef Mueller sebagai perantara antara mereka berdua dengan tugas perisikannya itu sebagai samaran semasa ke Vatican. Bila diteliti kisah Mueller, beliau boleh dianggap legenda dalam kalangan anggota perisikan Jerman dan penyokong Hitler. Pada satu ketika, Heinrich Himmler, ketua Schutzstaffen (SS) memanggil beliau untuk disoal siasat secara peribadi olehnya. Dan semasa sesi berlangsung, Mueller mendedahkan beliau pernah menasihati Perdana Menteri Bavaria untuk menghukum bunuh Himmler. Khabar akan pengakuan tersebut tersebar luas dan menurut Himmler sendiri, ia satu pengakuan berani. Berikutan itu, beliau cuba merekrut Mueller menyertai SS kerana menurut Himmler, organisasinya memerlukan orang yang mempunyai keperibadian seperti Mueller. Namun beliau menolak cubaan Himmler dan atas sebab yang sama, Himmler melepaskannya.

Pejabat beliau boleh dianggap pusat pengumpulan maklumat untuk Vatican. Ini kerana hasil hubungannya dengan ramai orang dan kedudukannya sebagai seorang cendekiawan dan hero perang terdahulu, Mueller mampu mendapat akses maklumat di semua tempat termasuk SS. Abwehr yang mengetahui kerja sebenarnya dengan Pius XII segera membawa beliau ke ibu pejabat untuk disoal siasat. Mereka cuba merekrut Mueller tetapi beliau menolak ajakan mereka itu. Berikutan itu, Abwehr mendedahkan hasrat sebenar mereka kepada Mueller: mengintip dengan tujuan menggulingkan Hitler. Apabila pihak Vatican diberitahu tentang perkara ini, Vatican memperkenalkan Mueller kepada doktrin Disciplina Arcani atau jalan kerahsiaan. Antara sebab pihak gereja berbuat demikian ialah melihat plot ini hampir sama dengan bagaimana agama Kristian bergerak secara rahsia selama tiga abad sebelum diwartakan sebagai agama rasmi Empayar Rom oleh Maharaja Constatine.

MAKAN TIGA

Untuk mengelak peranan Mueller diketahui Gestapo, Abwehr memberinya tugas rasmi iaitu mempergunakan hubungannya dengan Vatican untuk mengintip pihak Itali. Selain meneruskan plot tersebut secara rahsia, beliau turut ditugaskan berhubung dengan kepimpinan Itali yang anti-perang dan memusuhi Benito Mussolini dengan tujuan mencetuskan ketidaktentuan dalam pentadbirannya. Namun, itu semua hanyalah samaran bagi tugas sebenarnya.

Abwehr turut menyerahkan dokumen-dokumen yang menceritakan kekejaman tentera Nazi Jerman semasa kempen mereka di Poland kepada Mueller untuk diserahkan kepada Pius XII. Bagi musuh-musuh Hitler sama ada di dalam atau luar negara, hanya Pius XII sahaja yang boleh dipercayai mereka kerana beliau tidak ditekan oleh mana-mana pihak. Dan atas kedudukan ini juga, beliau boleh menjadi orang tengah untuk merangka perjanjian damai dan menyakinkan musuh-musuh Jerman akan kewujudan penentang Jerman dan mereka boleh dipercayai.

PLOT BERMULA

Pihak gereja menolak keganasan politik tetapi sekiranya pembunuhan seorang diktator boleh saja memperbaiki keadaan di sesebuah negara bergolak tanpa mencetuskan perang saudara dan selepas semua kaedah aman telah digunakan, maka gereja tidak menolak langkah tersebut. Pius XII mula berhubung rapat dengan penentang-penentang Jerman dan membawa masuk Britain ke dalam plot ini. Pius XII menggesa Britain untuk menerima keamanan yang adil untuk Jerman dan berahsia tentang plot tersebut. Beliau sedar sekiranya ada kebocoran berkenaan plot, pasti ramai akan dihantar ke tali gantung termasuk Canaris dan Mueller. Perdana Menteri Britian pada ketika itu, Neville Chamberlain membalas dalam satu surat, “Great Britain sedia membincangkan semua syarat yang diminta sekiranya urusan (pembunuhan/rampasan kuasa) sudah dijelaskan). Pius XII turut mengaktifkan rahib-rahib dari kumpulan Dominica dan Jesuit untuk menjalankan urusan ini. Pemilihan mereka dipilih atas beberapa sebab iaitu mempunyai latihan ketenteraan dan mereka hanya melaporkan maklumat kepada beliau sahaja.

Di sebalik penglibatan ramai pihak dalam plot ini, entah bagaimana Hitler boleh terselamat dalam semua cubaan bunuh ke atasnya. Perlu diingat, ada 40 cubaan bunuh ke atasnya. Hitler membatalkan ucapan tanpa mengetahui ada penembak tepat cuba membunuhnya. Beliau tidak mengambil bahagian dalam perarakan di mana ada seorang pengebom berani mati cuba meletupkan dirinya. Dan bagi anggota konspirasi, ruang bagi mereka untuk bertindak semakin terbatas dan Britain yang semakin hilang sabar tidak yakin ianya akan berlaku. Bagi Sir Winston Churchill, selepas mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri, tidak yakin ada orang Jerman yang baik akan mengambil tindakan ke atas Hitler dan percaya perang berskala besar akan berlaku. Dan ia direalisasikan melalui penyertaan Amerika Syarikat selepas pengeboman Pearl Harbor oleh pihak Jepun.

Pada tahun 1944, beberapa plot cuba dilaksanakan termasuk plot 20 Julai. Dalam plot tersebut, mengikut rancangan asal, Kolonel Claus von Stauffenberg seharusnya meletupkan bom yang dibawanya di dalam bunker semasa sesi mesyuarat rahsia bersama Hitler dijalankan. Namun, mesyuarat tersebut dipindahkan ke sebuah kabin. Bom yang sepatutnya membunuh semua dalam bunker termasuk Hitler hanya membunuh empat orang saja dengan beliau mengalami kecederaan ringan. Hitler mendakwa beliau tidak boleh mati dan sempat memenuhi pertemuan dengan Mussolini pada hari itu serta menunjukkan diktator Itali itu lokasi kabin yang dibom.

Figure 3: Hitler menunjukkan bilik mesyuarat yang diletupkan oleh bom Stauffenberg kepada Mussolini.

Sementara itu, selepas kegagalan plot 20 Julai, Gestapo memburu semua anggota konspirasi tanpa mengira penglibatan mereka benar atau tidak. Ramai yang ditahan, disoal-siasat, dipenjarakan atau dihukum bunuh termasuk Stauffenberg, Henning von Tresckow, Canaris dan Mueller. Namun saat paling menakutkan ialah penemuan syarat-syarat tentera Jerman untuk membunuh Hitler dijumpai di mana ia dicetak menggunakan kepala surat Vatican.

AMARAH PADA VATICAN

Sebelum penemuan surat tersebut, Hitler sudah berang dengan Vatican berikutan peranan mereka dalam penahanan Mussolini pada 2 Julai 1943. Dan seperti di Jerman, Pius XII turut mengatur plot yang sama membabitkan musuh-musuh Mussolini di dalam mahupun di luar negara. Berikutan itu, Hitler mengarahkan sepasukan askar payung terjun membentuk sempadan di Dataran St. Peter untuk mengepung kediaman rasmi Pius XII. Beliau meraban kepada semua penasihatnya, “Aku akan menyerbu masuk ke Vatican. Kamu fikir Vatican memalukan aku? Kita akan selesaikan perkara itu sekarang juga. Satu perkara, kor diplomatik kita sudah ada di sana. Semuanya sama bagi aku. Pengkhianat (Pius XII) itu ada di sana. Kita akan heret semua khinzir itu keluar dari sana. Kemudian… barulah kita boleh memohon maaf.” Penasihat-penasihat Hitler berjaya memujuknya membatalkan hasrat tersebut.

Namun itu tidak bermakna beliau melupakan dendamnya begitu saja. Pada bulan berikutnya, Jeneral SS di Itali, Karl Wolff dipanggil bertemu dengan Hitler. Beliau menulis dalam satu jurnal tentang pertanyaan Hitler tentang bagaimana menguasai keseluruhan Vatican. Beliau menulis, “Dia bertanya pada aku bilangan askar diperlukan untuk menguasai Vatican, menguasai bahagian arkib, menyingkirkan Pope dan Curia supaya mereka tidak jatuh ke tangan pihak Bersekutu. Dari situ, dia akan menentukan sama ada membawa mereka ke Jerman atau menempatkan mereka di Liechtenstein.” Wolff menyuarakan kebimbangannya berkenaan operasi tersebut dipanggil Rabat tetapi Hitler tidak ambil peduli dan mahu ia dirangka secepat mungkin. Berikutan itu, beliau segera mengatur pertemuan rahsia dengan Pius XII dan mendedahkan segala-galanya. Peluang Hitler untuk melihat operasi tersebut berlaku tidak kesampaian selepas pihak Bersekutu membebaskan Itali.

Figure 4: Wolff tidak setuju dengan perancangan Operasi Rabat yang diatur Hitler dan mengaturkan pertemuan rahsia dengan Pius XII untuk mendedahkan operasi tersebut.

PENUTUP

Bagi semua pihak yang terlibat, tidak semua yang berjaya melihat Nazi Jerman jatuh. Wilhelm Canaris dihukum bunuh pada 9 April 1945 bersama timbalannya, Jeneral Hans Oster dan ahli teologi Dietrich Bonhoeffer di kem tahanan Flossenburg. Bagi Mueller sendiri, beliau terselamat dari tali gantung berikutan campur tangan Johann Rattenhuber, ketua unit keselamatan Hitler yang mahu banduan-banduan istimewa seperti Mueller terus hidup. Berikutan itu, Mueller dan 138 tahanan lain dipindahkan ke Tyrol untuk disembunyikan dan dijadikan sebagai bahan pertukaran. Mereka dibebaskan oleh Bahagian Kelima, Tentera Amerika Syarikat pada 5 Mei 1945. Selepas dibebaskan, Mueller merupakan antara pengasas Parti Kesatuan Sosial Kristian (CSU) dan memberi kredit kepada Pius XII kerana berjaya menyelamatkan ribuan nyawa bukan saja dari kalangan orang Kristian tetapi juga orang Yahudi. Siapa sangka peranan Pius XII bukan sekadar merancang plot pembunuhan Hitler tetapi juga membocorkan maklumat-maklumat penting yang memudahkan pergerakan tentera Bersekutu termasuk rancangan serangannya di Belgium.

SUMBER:

  1. Alberge, Dalya. (2013). The Guardian. Vatican hopes secret files exonerate ‘Hitler’s pope’. https://www.theguardian.com/world/2013/feb/09/hitlers-pope-pius-xii-holocaust
  2. Brown, David W. (2015). MentalFloss.com. When the Pope Ordered the Death of Adolf Hitler. http://mentalfloss.com/article/70776/when-pope-ordered-death-adolf-hitler
  3. July Plot. History.com. http://www.history.com/topics/july-plot

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply