Bila Pembunuh Bertukar Menjadi Penulis Novel…

0
693
views

Pada tahun 1995, ada satu pembunuhan berlaku di sebuah rumah tamu di China di mana pelakunya ialah seorang penulis bernama Liu Yongbiao. Empat mangsa Yongbiao mati dibunuh di mana mereka dipukul sampai mati. Tetapi yang aneh bagi ramai orang tetapi tidak bagi para pembacanya ialah si pembunuh sebenarnya sudah mencoret insiden itu dalam novelnya yang diterbitkan pada tahun 2010, The Guilty Secret.

Dalam prakata novel itu sendiri, Yongbiao memberitahu para pembaca bahawa dia sedang merancang sambungan novel berkenaan seorang penulis wanita yang melakukan siri pembunuhan kejam dan berjaya mengelak dari ditahan polis. Sudah tentu dia masih belum menentukan pengakhiran yang sesuai untuk novel berkenaan. Namun, Yongbiao sudah memikirkan tajuk sesuai untuk novel itu, The Beautiful Writer Who Kills. Selepas ditahan atas pembunuhan pada tahun 1995, dia yang ditemubual stesen televisyen China CCTV menyatakan sesetengah daripada hasil kerjanya diinspirasi daripada pembunuhan berkenaan termasuk pembunuhan cucu pemilik rumah tamu berusia 13 tahun.

Figure 1: Liu Yongbiao. Kredit https://nypost.com/2018/07/31/crime-author-sentenced-for-murders-that-inspired-his-novels/

Bagaimanapun, Yongbiao bukanlah orang pertama yang melakukan kegilaan sebegini atas nama pembikinan karya. Pada tahun 1991, seorang penulis Belanda bernama Richard Klinkhammer membunuh isterinya dan menghantar manuskrip ngeri kepada ejennya untuk tujuan penerbitan. Manuskrip tersebut diberi tajuk Wednesday, Mince Day dan boleh saja diberi subtajuk Seven Ways to Kill Your Spouse. Jenayah sebenar sentiasa saja menemui cara untuk muncul dalam karya-karya berunsur fiksyen terutama novel. Tak kiralah apa jenis novel sama ada dahulu atau sekarang, tempatan atau antarabangsa, ia bukan saja mendedahkan sisi gelap sesetengah manusia tetapi juga mendedahkan motif dan bagaimana mereka boleh berada di tahap sebegitu.

1. Black Dahlia

Figure 2: Elizabeth Short

Dua tahun selepas Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat dikejutkan dengan pembunuhan seorang wanita jelita bernama Elizabeth Short. Mayat Short yang baru berumur 22 tahun ketika itu ditemui di sebuah lot kosong dalam keadaan menyayat hati dengan pinggangnya sudah terputus dan sudah tiada darah. Ini menyebabkan seorang ibu muda yang menemuinya menyangka mayat Short ialah sebuah patung boneka. Liputan akhbar yang meluas dan adakalanya, bersifat melampaui batas menggelar Short sebagai Black Dahlia.

Pihak berkuasa menahan lebih 150 suspek tetapi tiada seorang pun yang ditahan dan dibicarakan atas jenayah kejam itu. Pihak berkuasa turut merekodkan 500 pengakuan tetapi semua pengakuan yang diberi tidak menepati fakta kes. Dan ada sesetengah hanya mahu menggunakan kematian wanita malang itu untuk menaikkan lagi nama mereka. Kes pembunuhan ini mencetuskan minat mendalam kepada masyarakat dan memberi inspirasi kepada siri filem dan novel seperti True Confessions karya John Gregory Dunne dan The Black Dahlia yang ditulis James Ellroy. Novel Ellroy kemudiannya diadaptasi dalam filem The Black Dahlia (2006) yang mendapat sentuhan Brian De Palma dan menampilkan Aaron Eckhart dan Scarlett Johansson.

2. The Great Wyrley Outrages

Figure 3: Sir Arthur Conan Doyle

Bagi penulis novel Sherlock Holmes, Sir Arthur Conan Doyle, penghantaran surat peminat bukanlah sesuatu yang asing bagi dirinya. Dalam sesetengah kes, ada yang menyangka Doyle sebenarnya versi sebenar Holmes dan meminta beliau menyiasat kesulitan yang dihadapi mereka. Pada dekad pertama abad ke-20, seorang lelaki bernama George Edalji dibebaskan daripada penjara selepas menjalani hukuman tiga tahun daripada hukuman tujuh tahun kerja buruh berat. Dia dihukum sedemikian kerana mahkamah mendakwa Edalji terlibat dalam kes mengelar beberapa ekor kuda dan lembu serta menghantar surat-surat ancaman tanpa nama kepada ibu bapanya.

Dalam suratnya kepada Holmes, Edalji mengadu bahawa dia tidak bersalah atas semua kesalahan berkenaan dan mahukan Doyle membuktikannya. Sedar bahawa kes Edalji ini sebenarnya berkait dengan diskriminasi kaum dan bukannya keadilan seperti yang didakwa dalam mahkamah, beliau melancarkan kempen membanteras diskriminasi perkauman yang berleluasa dalam pasukan polis Staffordshire ketika itu. Perjuangan Doyle ini yang membawa kepada tajuk utama akhbar The Great Wyrley Outrages. Kisah tersebut turut diadaptasi dalam bentuk novel fiksyen bertajuk Arthur & George pada tahun 2005 oleh Julian Barnes. Novel Barnes tersenarai dalam senarai pendek anugerah Man Booker Prize dan diadaptasi di pentas teater dan kaca televisyen.

Waqaf Saham

3. Kehilangan Paula Jean Welden

Setahun sebelum pembunuhan Short, penduduk Vermont pula gempar dengan kehilangan seorang pelajar bernama Paula Jean Welden. Welden dikatakan hilang selepas berjalan di Vermont’s Long Trail pada pagi Ahad yang sejuk. Pelajar tahun kedua Kolej Bennington itu mengajak rakan-rakannya berjalan di laluan itu tetapi mereka enggan mengikutnya. Ini mendorong Welden berjalan secara bersendirian tanpa membawa wang tambahan atau sebuah beg. Bila Welden gagal pulang ke kampus, pihak berkuasa segera menyiasat apa yang berlaku. Tetapi mereka juga turut dikritik masyarakat kerana gagal menjalankan siasatan dengan baik.

Terdapat pelbagai teori yang mengelilingi kehilangan pelajar malang itu. Ada mengatakan Welden terjatuh dan hilang ingatan, ada juga mengatakan wanita tersebut membunuh diri atau dibunuh. Sehingga kini, tiada sebarang berita berkenaan penemuan mayat Welden atau dijumpai semula. Antara tahun 1945 hingga 1950, empat lagi mangsa hilang secara tiba-tiba di kawasan sama. Misteri tersebut menarik perhatian seorang penulis tempatan bernama Shirley Jackson di mana suaminya mengajar di Kolej Bennington. Novelnya yang bertajuk Hangsman diterbitkan pada tahun 1951 dan diinspirasikan dari peristiwa kehilangan Welden. Jackson turut menulis sebuah cerpen bertajuk The Missing Girl yang turut diambil dari peristiwa sama. Pada tahun 2014 pula, novel Susan Scarf Merrell yang bertajuk Shirley melihat semula kes kehilangan itu dan menimbulkan suspek baru iaitu Jackson sendiri.

4. Penyembelih Plainfield

Peminat-peminat Sir Alfred Hitchcock pasti sudah biasa dengan perihal Norman Bates sama ada menerusi filem Psycho atau Bates Motel. Tapi tahukah anda, perihal Bates sebenarnya diinspirasikan daripada pembunuh bersiri sebenar Ed Gein? Gein ditahan polis pada tahun 1957 dan mati semasa dalam tahanan hospital mental pada tahun 1984. Berdasarkan pengakuannya kepada pihak berkuasa, dia mengaku membunuh dua orang wanita dan mencuri mayat wanita yang baru dikebumikan dari tanah perkuburan

Figure 4: Watak Norman Bates diinspirasikan daripada pembunuh bersiri sebenar Ed Gein

berhampiran.

Apa motif di sebalik tindakan gila Gein ini? Dia mahu menghasilkan sebuah sut wanita supaya dia dapat menyarung dan menjadi seperti mendiang ibunya. Bagaimanapun, bila pihak berkuasa datang ke rumah Gein, mereka menjumpai pelbagai barang yang dibuat dari mayat manusia. Dua tahun selepas pembunuh itu ditahan, penulis Robert Bloch menerbitkan novel Psycho dan apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah. Jenayah-jenayah Gein turut menjadi inspirasi watak Buffalo Bill, salah satu watak pembunuh bersiri ciptaan Thomas Harris dalam novel The Silence of the Lamb yang turut menampilkan pembunuh bersiri fiksyen Hannibal Lecter.

5. Pembunuh Wanita Harry Powers

Figure 5: Harry Powers

Pembunuh bersiri Harry Powers dikenali kerana suka mensasarkan wanita yang kesunyian dan mendambakan cinta seorang lelaki. Powers akan menggoda mereka sebelum wanita-wanita ini dibunuh demi mendapatkan harta mereka. Salah seorang mangsanya ialah balu Asta Eicher dan tiga anaknya. Selepas berhubung beberapa ketika, Powers bertemu dengan Eicher selama beberapa hari pada Jun 1931. Beberapa hari selepas itu, dia pulang dan mengajak anak-anak Eicher mengikutnya untuk bertemu semula dengan ibu mereka.

Pada tempoh sama, seorang lagi wanita hilang dan ini mendorong pihak berkuasa melancarkan siasatan kehilangan berkenaan. Di kediaman Eicher, mereka menemui surat Powers yang beralamat di Quiet Dell, West Virginia dan bila tiba, mereka amat terkejut. Ini kerana bila mereka meninjau kediaman Powers, mereka melihat tempat kejadian berdarah termasuk tapak kaki kecil disyaki anak-anak Eicher. Mereka turut menemui koresponden surat terbaru pembunuh berkenaan, ini menunjukkan Powers sudah bersedia untuk menyerang sasaran barunya. Pembunuh tersebut ditahan dan digantung sampai mati pada tahun 1932 tetapi itu tidak menghalang Powers menjadi tumpuan sensasi media.

Pada tahun 2013, kekejaman Powers dibawa dalam bentuk novel Quiet Dell oleh penulis novel Jayne Anne Philips berdasarkan kajiannya yang mendalam. Walaupun menyentuh kesadisan pembunuh tersebut, ia sebenarnya memberi petunjuk mengapa wanita harus kuat apatah lagi bila berada dalam bahaya. Ini kerana menurut watak fiksyen novel itu Emily Thornhill, wanita mudah menjadi sasaran kerana mereka mahukan kasih sayang dan perlindungan.

SUMBER

Anderson, Hephzibah. (2018). BBC. The murderer turned author who published clues to his crimes. http://www.bbc.com/culture/story/20180808-the-murderer-turned-author-who-published-clues-to-his-crimes

Previous articlePetani Dan Peladang Kerja Orang Miskin?
Next articleMenekuni Sejarah Propaganda Sepanjang Berdirinya Tamadun Manusia
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE