Bila Para Protester Hong Kong Julang Bendera UK dan US

1,505

Ramai mintak aku tulis pasal Hong Kong. Pasal “root cause” aku dah lama tulis dah. Boleh baca: https://www.thepatriots.asia/demonstrasi-1-juta-rakyat-hong-kong/

Sejak aku tulis tu, ada beberapa perkembangan yang telah mengubah wajah protes yang pada asalnya bertujuan membantah RUU ekstradisi yang dianggap boleh menjejaskan autonomi Hong Kong (“one country, two systems”). Media pro-China pula berusaha menyifatkan protes tersebut sebagai perancangan jahat anasir separatis yang bersekongkol dengan musuh China (secara tersirat: US). 

Pada 9 Julai, sebulan selepas siri protes oleh jutaan penduduk Hong Kong, Carrie Lam (Ketua Eksekutif Hong Kong) tunduk kepada desakan ramai dan mengumumkan bahawa RUU tersebut telah “mati”. Tapi sebilangan protester masih tak puas hati (tiada jaminan bahawa RUU tersebut betul-betul “mati”) dan menuntut supaya Carrie Lam turun dari jawatannya. Maka mulalah nampak kerajaan Hong Kong jadi “desperate” untuk menamatkan protes. 

Selain melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah, kerajaan Hong Kong juga disyaki mengupah gengster untuk menyerang protester di MTR Yuen Long pada 21 Julai. Sampai berdarah-darah kena pukul. Itu menyebabkan pendapat umum antarabangsa (international public opinion) mula bersimpati dengan protester dan mengecam keganasan pihak berkuasa. 

Tapi lama-kelamaan, protester pulak nampak desperate dan bertindak di luar batasan. Apabila pada hujung minggu dan Isnin lepas, operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong terganggu akibat protes, international public opinion mula berubah secara 180 darjah, dari simpati bertukar jadi menyampah. 

Aku tak pro atau anti demonstrasi. Pro China tak, anti China pun tak. Kita kalau nak menganalisis kejadian politik dunia secara objektif, kena buang “value judgment” dan emosi kita, dan fokus kepada analisis tingkah laku (behavioral analysis) dan kuasa (power analysis).

Dalam apa-apa protes di dunia ni, mesti ada dua pihak atau “pelaku” (actor) utama. Satu ialah protester mahu tuntutan mereka didengar, satu lagi ialah kerajaan mahu mempertahankan status quo. Dua pihak ni macam bertarik tali. Pihak yang lebih kuat akan mampu buat pihak satu lagi menyerah.

Of couse lah kerajaan punya power lebih kuat, ada polis dan tentera bagai. Kalau tembakan dilepaskan, kereta kebal bergolek, 10 minit terus semua protester surai. Itu namanya “hard power”. 

Tapi hard power pun ada hadnya. Had kepada hard power ialah international public opinion. Kalau di zaman dulu had tu kurang, tapi zaman sekarang ialah zaman media sosial, jadi China tak boleh layan protester Hong Kong macam dia layan protester di Dataran Tiananmen pada tahun 1989. Tambahan pula China sekarang menekankan “peaceful rise”, lagi kena berjaga-jaga.

Negara yang autokratik macam mana pun, ia memerlukan keabsahan atau “legitimacy” untuk memerintah. Bila bantai rakyat sendiri, hilang legitimacy. Legitimacy ialah “soft power”. Kerajaan pun tak boleh memerintah tanpa kedua-dua hard dan soft power.

Jadi, untuk melumpuhkan hard power kerajaan, demonstrasi kena diadakan dalam bentuk macam “Days of Rage”. Sekali berjuta-juta orang membanjiri kawasan kritikal seperti pusat ibu negara. Macam Revolusi Iran (1979), Yugwol Hangjaeng di Korea Selatan (1987), Revolusi Velvet di Czechoslovakia (1989) dan Dataran Tahrir di Mesir (2011). 

Berjuta-juta orang, tak mungkin polis dan tentera nak bantai semua. Kejam macam Hitler pun tak berani bantai sejuta orang sekali gus, sebab nak jaga legitimacy. Kalau demonstrasi berskala kecil macam di Sudan tu memang berisiko kena bantai. Sebab mati 100 tak sama dengan mati 100,000 dari segi impaknya kepada legitimacy rejim pemerintah di mata antarabangsa.

Mula-mula, protester Hong Kong memang berjaya menundukkan kerajaan Hong Kong dengan model “rage” mereka: 1 juta penduduk turun pada 9 Jun, diikuti oleh 2 juta pada 16 Jun. Sepatutnya waktu tu protester dah boleh isytiharkan kemenangan dah berhenti sebab objektif bantah RUU dah capai. Kalau nanti kerajaan nak perkenalkan semula RUU tu, baru bantah pun tak apa. 

Tapi apabila terdapat segelintir yang tergesa-gesa untuk mendesak Carrie Lam letak jawatan, maka jadi lain lah outcome dia. Perang ke, demonstrasi ke, rebut kuasa ke, kena ada “limited goal”. Bila kau letak “unlimited goal”, mula-mula bantah RUU, dah berjaya nak orang letak jawatan pulak, itu hanya akan prolong the struggle. Kau mengancam periuk nasi penguasa, kau nak expect dia tak fight back?

Bila struggle dah prolonged, maka momentum pun berubah, memberi lebih banyak masa kepada kerajaan untuk melancarkan “counter-attack”. Dan Carrie Lam guna taktik “war of attrition” untuk buat protester “exhausted”. 

Orang awam dah mula rasa “fatigue” dengan protes yang tak habis-abis. Semakin lama semakin sikit turnout. Protes perlu di-sustain oleh “passion”, kalau dah hilang unsur passion, tak ke mana. 

Dan orang mula risau tentang kesan protes kepada ekonomi. Kalau ekonomi Hong Kong self-sufficient tak apa, sambil cucuk tanam sambil lawan kerajaan 10 tahun 20 tahun pun tak apa. Tapi Hong Kong ialah sebuah “city-state” yang bergantung kepada ekonomi perkhidmatan seperti kewangan, pelancongan dan logistik. Sampai bila mampu Hong Kong survive kalau terus huru hara? 

Situasi bertambah buruk apabila terdapat kumpulan yang cuba menangguk di air keruh dengan membuat tuntutan merepek seperti “Hong Kong merdeka” dan mengibar bendera UK dan US. Tu bukan tanda ada sokongan CIA atau MI6: kalau CIA-MI6 mereka diam-diam je. Tu lebih kepada taraf kebangangan macam orang kita yang terbalikkan bendera atau tukar warna bendera. Mereka konon “rindu zaman British” atau mengagumi demokrasi US, tapi tak sedar tindakan mereka memang kena dengan naratif Beijing bahawa protes ni sebenarnya dirancang oleh “kuasa-kuasa imperialis Barat”.

Tapi mungkin juga tu operasi “false flag”: mereka sebenarnya dihantar oleh Beijing untuk sabotaj kempen protes. Bendera UK boleh terima lagi, bendera US gila try hard.

Kesudahan koflik Hong Kong kali ini pasti akan berpihak kepada China. Paling-paling pun Carrie Lam dilucut jawatan kerana gagal memelihara law and order. Dan seperti yang aku katakan tadi, Peristiwa Tiananmen tak akan berulang sebab Beijing mahu memperolehi “moral high ground” dan legitimacy dalam isu ini. 

UK walaupun ada bising-bising sikit, tapi dia bukan nak Hong Kong balik. Dia bising sebab ada kepentingan komersil: dia punya Swire dan Jardine Matheson semua berpangkalan kat Hong Kong. Trump sekadar menyibuk, nak tunggang isu Hong Kong untuk tekan China dalam rundingan perdagangan, tapi bukannya ada strategi pun. Guaido yang dia sokong jadi presiden Venezuela sampai sekarang tak ada cerita pun. 

Tapi apa-apa pun, sentimen anti-China memang dah lama wujud di kalangan penduduk Hong Kong. Identiti punya pasal. Jadi, ini bukan kali pertama Hong Kong memprotes pemerintahan Beijing, dan juga tidak akan jadi kali yang terakhir.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.