Bagi peminat filem-filem Hollywood, pasti sudah masak dengan stereotaip yang dimainkan Hollywood terhadap etnik atau kerakyatan tertentu. Tak sah bagi peminat filem aksi thriller terutama berkaitan perisikan, watak antagonisnya merupakan orang Rusia. Perkara sama turut terpakai kepada watak dari Jerman berikutan dipengaruhi stereotaip Perang Dunia Kedua dan Nazisme. Tetapi satu stereotaip yang mencetuskan rasa kurang senang ramai pihak ialah stereotaip Hollywood yang menganggap orang Islam sebagai pengganas.

Sebelum serangan 11 September lagi, kelompok Muslim terutama Arab Muslim sentiasa digambarkan dalam siri televisyen dan filem sebagai hartawan minyak yang gila seks, perempuan eksotik yang terlalu menurut, pembenci wanita dan tentu sekali sebagai pengganas.

Serangan 11 September dan kempen perang keganasan yang dilancarkan pentadbiran Presiden George W. Bush dilihat memburukkan lagi persepsi bahawa kelompok Muslim tidak seharusnya boleh dipercayai dan dipandang negatif. Ini dikukuhkan dengan pengenalan watak pengganas seperti Syed Ali, Habib Marwan, Abu Fayed, Samir Mehran, Margot al-Harazi dan Jadalla Khalid (semua merupakan antagonis siri televisyen 24). Ironinya, kebanyakan jenayah keganasan yang berlaku di Amerika Syarikat sejak 15 tahun lepas dilakukan oleh pelampau berhaluan kanan dan gerakan kulit putih.

Tetapi impak paling besar terhadap persepsi ini datangnya dari siri televisyen Showtime, Homeland. Homeland yang mula ditayangkan pada tahun 2011 menampilkan Claire Danes sebagai Carrie Matheson berdasarkan siri televisyen Israel, Prisoners of War dianggap siri yang paling banyak mencetuskan prejudis terhadap orang Islam di mana mereka dianggap sebagai bahaya tersembunyi kepada Amerika.

Walaupun siri ini sudah memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Primetime Emmy dan Golden Globe serta menjadi sebahagian daripada fenomena budaya pop, ia langsung tidak mengambil kira soal demografi Muslim seperti nama watak diberi nama Parsi, Islamabad digambarkan sebagai tempat jin bertendang dan tidak aman serta adegan yang tidak mengambil kira sensitiviti komuniti berkenaan.

Gambaran negatif sebegini dilihat sebagai satu peluang bagi kumpulan pengganas untuk merekrut Muslim yang lemah iman mereka untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan mereka, satu taktik yang dieksploitasi oleh al-Qaeda dan Daish.

Selain itu, gambaran negatif sebegini rupa juga turut menyemarakkan lagi prejudis melampau terhadap orang Islam dan berpotensi mengakibatkan tragedi-tragedi yang menyedihkan. Atas sebab itulah, gambaran sebenar perwatakan orang Islam dalam bentuk fiksyen bukan sekadar mempengaruhi cara orang luar memandang Muslim tetapi cara Muslim memandang diri mereka.

Atas sebab itulah, perkara ini dibangkitkan oleh pelakon Muslim terkenal, Riz Ahmed semasa diberi peluang berucap di Parlimen Britain pada tahun 2017. Ahmed yang dikenali menerusi watak Aaron Kaloor (Jason Bourne), Bodhi Rook (Rogue One) dan Carlton Drake (Venom) memberi amaran kekurangan kepelbagaian pelakon yang membawa watak orang Islam yang positif di kaca televisyen boleh menyebabkan orang Islam terdedah kepada propaganda ekstremis.

Ini kerana tanpa sebarang cubaan untuk melawan semula propaganda ekstremis seperti Daish, mereka menganggap pengganas-pengganas ini sebagai hero yang layak dipuja. Ahmed juga menyifatkan kelompok Muslim mahu ada wakil dalam bentuk fiksyen dan bila itu tidak berlaku, ia merupakan satu kegagalan yang menyedihkannya.

Dengan Homeland memasuki musim terakhir tidak lama lagi, pasti ramai menghela nafas lega sambil berkata dalam hati, “Pergi mampus, Homeland!” Kritikan keras dari komuniti umat Islam berkenaan isu ini memberi kesedaran kepada produksi siri televisyen dan filem untuk mengubah persepsi negatif yang melanda mereka dan menunjukkan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan rakyat Amerika amnya.

Satu siri yang mula-mula melakukannya ialah francais siri televisyen NCIS. NCIS yang diperkenalkan sebagai pecahan dari siri televisyen JAG pada tahun 2003 mendapat kecaman ramai seperti 24 kerana suka menonjolkan orang Islam sebagai pengganas. Antara watak yang menunjukkan persepsi negatif sebegini ialah Ari Haswari (Rudolf Martin) dan pengganas-pengganas yang ditampilkan dalam pecahan NCIS, NCIS: Los Angeles. Bagaimanapun, produksi siri berkenaan berusaha mengubah semua ini dengan memperkenalkan watak orang Islam yang positif tetapi masih bercirikan Amerika seperti Leftenan Komander Aaban El Sayed (Corey Reynolds) dan Qasim Naasir (Rafi Silver).

Sementara NCIS: Los Angeles pula memperkenalkan protagonisnya Sam Hanna (LL Cool J) sebagai seorang Muslim sekaligus menjadikannya watak utama beragama Islam pertama dalam siri televisyen Amerika. Pelbagai petunjuk yang menunjukkan dirinya seorang Muslim sepanjang siri berkenaan tetapi ia disahkan dalam musim kesembilan siri berkenaan menerusi episod The Silo.

Musim kesepuluh NCIS: Los Angeles turut memperkenalkan ejen NCIS Fatima Namazi (Medallion Rahimi) sebagai ejen berhijab tetapi mempunyai selera yang sofistikated bersesuaian dengan latar belakangnya yang berasal dari Beverly Hills menerusi episod Smokescreen. Selain NCIS, S.W.A.T dan Blindspot turut melakukan perkara sama bagi menunjukkan kepelbagaian anggota dari komuniti berbeza yang menganggotai pasukan beruniform.

Tatkala Homeland menunjukkan imej buruk mualaf menerusi watak Nicholas Brody (Damien Lewis), berbeza pula dengan siri Amazon, Jack Ryan yang menampilkan John Krasinski sebagai protagonis Jack Ryan. Siri ini menampilkan ketua Ryan, James Greer (Wendell Pierce) ialah seorang mualaf dan memegang jawatan tinggi dalam dunia perisikan. Musim pertama siri tersebut menyaksikan Greer menegur sikap seorang pegawai Perancis yang mempunyai persepsi Islamophobia.

Dengan meletakkan watak Muslim dalam kedudukan sebagai ketua dan mempunyai semangat patriotik, ia menunjukkan Muslim bukan sekadar boleh mengaitkan diri mereka dengan nilai-nilai Amerika malah menunjukkan kesanggupan mereka berkorban demi negara. Siri yang mendapat sentuhan Carlton Cuse (Lost) dan Graham Roland (Fringe) menunjukkan bahawa orang Islam yang mengamalkan cara kehidupan yang aman dan positif merupakan satu norma di negara berkenaan, sesuatu yang sama sekali berbeza dengan Homeland yang mengeksploitasi watak Muslimnya atas nama pengembangan cerita tanpa menjustifikasikan sebab kepada penonton.

Selain siri televisyen thriller, siri komedi turut membantu memperkenalkan sisi positif Muslim di Amerika. Satu siri yang mendapat sambutan ramai ialah sitkom Ramy yang menampilkan pelawak Mesir-Amerika, Ramy Youssef sebagai watak utama. Sitkom ini berkisar dilema seorang lelaki Muslim berkenaan agama dan gaya hidupnya mendapat sambutan hangat di sana sehingga diperbaharui oleh Hulu untuk musim kedua.

Menurut Sue Obeidi, Pengarah Biro Hollywood untuk Majlis Perhubungan Awam Muslim Amerika (MPAC), buat masa ini ia masih lagi satu perjalanan jauh untuk menormalisasikan sisi positif Muslim dalam bentuk fiksyen. Namun, perkara ini dijangka berubah dengan penglibatan lebih ramai pelakon, penulis dan penerbit Muslim. Tambah Obeidi, mereka mahukan komuniti Islam diwakili dalam bentuk fiksyen tetapi biarlah ia diwakili secara adil dan semulajadi.

Untuk melihat sejauh mana watak Muslim diperlihatkan dalam bentuk fiksyen, satu ujian berorientasikan Ujian Bechdel turut diperkenalkan iaitu Ujian Riz (sempena ucapan Ahmed di Parlimen Britain).

Ujian ini dicipta oleh Shaf Choudry dan Sadia Habib di mana ia menguji perwatakan Muslim yang ditonjolkan dalam bentuk fiksyen itu bersifat positif atau sebaliknya. Pasukan ini akan menilai bentuk percakapan watak berkenaan, apakah dianya mangsa keganasan atau pengganas, dianggap pemarah, tidak bertamadun dan sebagai ancaman kepada Barat serta apakah watak tersebut bersifat seksis.

Jika watak Muslim yang ditonjolkan memenuhi salah satu ciri yang dinyatakan, bermakna watak tersebut memberi imej negatif kepada umat Islam. Ini merupakan satu lagi bentuk kesedaran komuniti Muslim yang mahukan mana-mana watak mewakili umat Islam sebagai sumber inspirasi kepada semua termasuk umat Islam amnya.

RUJUKAN:

Zaheer, Mohammad. (2019). How Muslims become the good guys on televisyen. BBC. http://www.bbc.com/culture/story/20190620-how-muslims-became-the-good-guys-on-tv


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.