Bila Finland Beri Wang Percuma Kepada Rakyatnya

761
views

Tidak berapa lama dahulu, Finland cuba bereksperimen dengan eksperimen pendapatan asas universal (UBI) di mana 2,000 rakyatnya dipilih secara rawak dan diberi cek 560 euro sebulan untuk tempoh dua tahun.

Idea berkenaan mula menarik perhatian ramai dengan beberapa negara lagi mula bereksperimen atau menjadikannya sebagai polisi kerajaan. Matlamat eksperimen Helsinki ini ialah mempromosikan pekerjaan di mana rakyat yang ada pendapatan asas ini bersedia untuk bekerja walaupun dengan gaji sedikit atau pekerjaan itu bersifat sementara.

Idea UBI ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sudah dicanang sejak abad ke-16 lagi oleh individu seperti Thomas Paine, Thomas Spence dan Henry George. Dengan memberi peluang kepada rakyat menikmati pendapatan asas, ia dilihat dapat membanteras kemiskinan dan mengurangkan jurang ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan rakyat.

Idea ini mendapat sokongan ramai seperti Elon Musk, Mark Zuckerberg, Henry Paulson (bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika), Arvind Subramanian (penasihat ekonomi India) dan pemenang Anugerah Nobel Ekonomi 2015 Sir Angus Deaton.

Tetapi jika ada yang merasakan ia dapat menambah lebih ramai orang terlibat dalam dunia pekerjaan seperti diharap Helsinki, maka mereka salah. Sebaliknya menurut penyelidik Finland Olli Kangas, ia membuatkan mereka lebih gembira daripada kumpulan perbandingan. Seorang lagi penyelidik iaitu Minna Ylikanno berpandangan kumpulan UBI ini bukan saja tidak merasa tertekan, malah berasa yakin dengan masa hadapan mereka dan kemampuan mereka mempengaruhi isu-isu sosial.

Maka objektif UBI seharusnya ke arah mengurangkan penderitaan manusia atau lebih tepat, menjadikan manusia lebih gembira. Ini kerana bila manusia merasa gembira, ia sebenarnya membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam soal kesihatan terutama membabitkan rakyat yang mengalami masalah kesihatan yang serius.

Buktinya, hasil eksperimen UBI di sebuah bandar bernama Dauphin di Manitoba, Kanada pada tahun 1970-an. Skim pendapatan asas yang diperkenalkan di bandar berkenaan mendapati wujud pengurangan bilangan individu berjumpa doktor dan pengurangan peratusan sebanyak 8.5% bagi individu yang dimasukkan ke hospital.

Selain itu, UBI turut mewujudkan kestabilan psikologi penerimanya dan mendorong mereka untuk melibatkan diri dalam sektor keusahawanan. Ini diakui salah seorang penerima UBI iaitu Sini Martinnen yang menyifatkan pengalaman UBI seperti memenangi tiket loteri. Tetapi pada masa sama, ia turut membolehkannya memulakan perniagaan sendiri.

Satu perkara menarik berkenaan UBI ialah wujud mitos orang akan kurang bekerja atau malas bekerja sekiranya semua ditawarkan wang percuma. Tetapi orang yang mendakwa mitos ini terlupa wang yang diterima ini boleh dibelanjakan mengikut keperluan mereka seperti pembelian barang keperluan, perkhidmatan kesihatan, modal perniagaan dan menambah simpanan dalam bank.

Bukankah perkara itu merancakkan lagi sentimen perbelanjaan pengguna dalam negara, menambah aliran masuk wang dalam negara terutama dalam sektor perniagaan dan meningkatkan kuasa beli rakyat? Jika ada yang masih percaya mitos sebegini, maka usah marah jika Milton Friedman dan Keith Ellison menggelar anda tolol. Dan eksperimen UBI ini sudah membuktikan mitos mengarut ini seharusnya dibakulsampahkan.

Dan jika nak katakan eksperimen sebegini tidak menjadi, perlu diingat eksperimen ini hanya mencakupi 2,000 orang sahaja. Ia tidak mengubah jenis atau bilangan peluang pekerjaan yang ditawarkan serta bilangan pendapatan boleh guna masyarakat yang perlu diperuntukkan untuk usaha ini.

Jika hendak melihat impak sebenar UBI kepada dunia pekerjaan, ia perlu dilaksanakan sepenuhnya di mana perlaksanaan sebegini sudah pasti akan menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan. Nakkan kepastian, tunggulah semua keputusan kajian UBI Finland dibentangkan pada tahun hadapan. Dari situ, baru kita lihat bagaimana ia boleh ditambahbaik terutama dari segi objektif dan cara perlaksanaan.

SUMBER

Samuel, Sigal. (2019). Finland gave people free money. It didn’t help them get jobs — but does that matter. Vox.

Previous articlePerang Dunia Kedua: Operation Bagration – Robohnya Tentera Jerman Di Rusia
Next articleSejarah Majlis Raja-Raja Melayu
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE