Bibliotheraphy: Membaca Itu Menyembuhkan

619
views

Idea penyembuhan dan terapi melalui buku ini bukanlah suatu idea yang baru, malah sejarah sendiri membuktikan bahawa proses bibliotheraphy ini telah digunakan sejak kemunculan perpustakaan pertama pada zaman Greek purba. Secara asasnya bibliotheraphy ini merupakan suatu kaedah yang sering digunakan dalam kalangan pakar psikiatri dan ahli profesional dalam bidang kesihatan mental, yang menggunakan pembacaan sebagai proses dalam penyembuhan, meningkatkan keyakinan diri dan refleksi diri.

Kaedah pembacaan ini boleh melibatkan banyak jenis bahan bacaan, sama ada buku fiksyen, bukan fiksyen atau puisi, dan ia juga merangkumi bahan audiovisual seperti filem dan drama. Malah, ada juga ahli psikiatri yang turut melibatkan aktiviti seperti aktiviti melukis dan menulis dalam proses penyembuhan melalui bibliotheraphy ini.

Bibliotheraphy berasal daripada dua perkataan Greek, iaitu biblion, yang membawa maksud buku serta therapeia yang bererti penyembuhan. Istilah bibliotheraphy ini telah digunakan pada tahun 1916, oleh Samuel McChord Crothers, seorang pakar esei. Definisi bagi istilah bibliotheraphy ini telah dimasukkan buat pertama kalinya di dalam Dorland’s Illustrated Medical Dictionary (edisi 11) pada tahun 1941.

Selepas itu, pada tahun 1961, definisi bagi istilah bibliotheraphy yang dimasukkan di dalam Webster Third New International Dictionary telah diterima oleh American Library Association untuk digunapakai bagi memberi penerangan berkaitan penggunaan bahan bacaan sebagai bahan terapi untuk perubatan dan psikiatri, juga sebagai panduan dalam proses penyelesaian masalah melalui kaedah pembacaan.

Sejarah bibliotheraphy

Menurut Mcculliss (2012), masyarakat Greek dan Roman purba merupakan golongan pertama yang mengenalpasti bahawa teks dan bahan bacaan boleh digunakan sebagai suatu alat terapi. Sekitar 300 tahun sebelum Masehi, suatu papan ukiran yang bertulis The Healing Place of the Soul telah ditemui pada perpustakaan Thebes, di Alexandria, Mesir.

Malah ukiran tulisan ini hampir serupa dengan ukiran yang ditemui di The Medieval Abbey Library yang terletak di St. Gall, Switzerland, di mana ia tertulis The Medicine Chest for the Soul.  Kedua-dua ukiran ini membuktikan bahawa masyarakat purba pada waktu itu telah mengetahui akan kepentingan membaca sebagai suatu kaedah yang berkesan dalam proses rawatan, penyembuhan dan penyelesaian masalah.

Pada awal penggunaan bibliotheraphy sebagai kaedah rawatan, ia banyak diaplikasikan dalam institusi mental, bertujuan untuk menyembuhkan para pesakit psikiatri. Pada tahun 1802, Benjamin Rush, seorang pakar psikiatri terkenal di Amerika telah menyebut dalam syarahannya, mengenai kepentingan pembinaan perpustakaan kecil di setiap hospital sebagai salah satu cara untuk menghiburkan hati para pesakit. Rush merupakan orang Amerika pertama yang mencadangkan kaedah membaca sebagai sebahagian daripada alat rawatan dan terapi untuk mereka yang mengalami masalah mental.

Pada penghujung abad ke-18, membaca dianggap sebagai suatu kaedah yang penting dalam proses rawatan penyakit mental di Eropah dan United Kingdom. Banyak hospital mental, contohnya Pinal di Perancis, Chiaruru di Itali dan Tuke di England telah membina perpustakaan sebagai komponen utama dalam hospital tersebut. Menjelang tahun 1900, perpustakaan telah menjadi bahagian penting dalam semua hospital mental yang terdapat di Eropah.

Bibliotheraphy dan masalah psikologi

Bagaimanakah kaedah membaca ini boleh menjadi suatu alat untuk menyembuhkan? Pada sekitar pertengahan tahun 1940-an, kaedah bibliotheraphy ini telah digunakan di sekolah-sekolah, bagi membantu para pelajar yang menghadapi masalah untuk bersosial di sekolah. Sister Mary Agnes yang menghasilkan kertas kerja berkaitan kaedah ini telah menyatakan bahawa penggunaan bibliotheraphy ini hanyalah merupakan suatu cara dalam membantu kanak-kanak menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, dan ia tidak memfokuskan kepada pembentukan karakter seseorang kanak-kanak itu. Melalui bibliotheraphy, kanak-kanak diberi peluang untuk  mengenalpasti, memaafkan dan melepaskan masalah yang mereka hadapi dalam keadaan yang terkawal.

Fiction test (kaedah dalam bibliotheraphy) pula telah digunakan buat pertama kalinya oleh Sofie Lazarsfeld (1949), di mana ujian ini melibatkan perbincangan mengenai kisah-kisah zaman kanak-kanak pesakit, juga kisah-kisah daripada buku fiksyen yang mereka baca. Respon daripada para pesakit dianalisa, dan apabila seseorang pesakit mengatakan bahawa diri mereka seumpama watak atau karakter di dalam sesebuah buku fiksyen, maka ia merupakan suatu petanda bahawa pesakit tersebut sedang memberi bayangan mengenai personaliti dan masalah yang sedang mereka hadapi.

Sekitar tahun 1950-an, kaedah pembacaan ini menjadi suatu terapi interaktif apabila pakar psikologi, Jack L. Leedy dan Sam Spector menggunakan bacaan sebagai suatu alat perbincangan, bagi merangsang klien mereka untuk mengenali penyakit dan masalah yang mereka hadapi, serta membantu proses rawatan. Melalui perbincangan secara berkumpulan, para pesakit dapat menyelami proses emosi yang dialami oleh watak dalam bahan bacaan mereka, dan seterusnya mampu untuk memberi pengaruh positif dalam perkembangan sikap mereka.

Bibliotheraphy dan kanser

Meskipun kaedah bibliotheraphy ini banyak digunakan dalam proses penyembuhan pesakit psikiatri, namun kini banyak kajian yang dijalankan mendapati bahawa kaedah ini turut berkesan dalam membantu proses rawatan bagi penyakit lain, termasuklah kanser. Suatu kajian yang dijalankan terhadap kaedah membaca buku jenis self-help terhadap para pesakit kanser mendapati bahawa terapi ini banyak membantu para pesakit untuk menerima keadaan diri mereka dan berfikiran lebih positif mengenai penyakit yang mereka hadapi.

Ini sedikit sebanyak membantu para pesakit ini untuk menghadapi proses rawatan kanser mereka dan menguatkan emosi dalam menjalani proses penyembuhan. Selain daripada buku motivasi dan self-help, bahan bacaan fiksyen dan puisi juga turut menjadi antara bahan bacaan penting yang digunakan oleh para pesakit ini bagi melegakan kesakitan yang mereka alami dan memberi ketenangan sewaktu mereka menjalani rawatan di hospital.

Kesimpulan

Walaupun bibliotheraphy bukanlah suatu terapi atau kaedah penyembuhan mutlak yang mampu untuk merawat masalah psikologi dan masalah kesihatan yang lain, namun impak yang diberikan boleh memberi kesan yang positif kepada para pesakit. Bibliotheraphy boleh menjadi salah satu daripada sumber rawatan alternatif dalam memberikan jalan penyelesaian dan mempengaruhi para pesakit dengan cara yang lebih positif.

Rujukan

Mcculliss, D. (2012) Bibliotherapy: Historical and research perspectives. Journal of Poetry Theraphy. 25:1. 25-38.

Roberts, N., Lee, V., Ananng, B., Körner, A. (2016). Acceptability of Bibliotherapy for Patients With Cancer: A Qualitative, Descriptive Study Oncology. Nursing Forum. 43:5. 588-594.

Glasziou, P., Bennett, J., Greenberg, P., Green, S., Gunn, J., Hoffman, T., Pirotta, M.,  Usher, T. (2013). Bibliotherapy for depression. Australian Family Physician. 42:4. 199-200.