Bhopal – Bencana Kimia Angkara Manusia Berhati Syaitan

2
views

Isu kemalangan loji bukan satu isu yang baru kerana ini banyak berlaku sepanjang lipatan sejarah. Di Amerika Syarikat atau lebih tepat Texas menyaksikan bencana loji penapis minyak British Petroleum (dahulu BP kini BHP) di Texas City pada tahun 2005. Tetapi ada satu bencana akibat kemalangan loji yang masih memberi kesan kepada manusia sehingga hari ini. Bencana yang saya maksudkan ialah tragedi kebocoran gas Union Carbide di Bhopal pada malam 2 hingga 3 Disember 1984.

Tragedi Bhopal

Pada malam 2 Disember 1984, sebuah kilang pembuatan racun serangga milik Union Carbide mengalami kebocoran teruk apabila ia melepaskan lebih 40 tan metrik gas metil isosianat (MIC) ke atmosfera. Beberapa jam selepas ia bocor, 500,000 penduduk yang terdedah kepada gas ini berada dalam keadaan bahaya. Apabila ramai mati di kediaman mereka dan jalanan, penduduk yang panik cuba mendapatkan rawatan di hospital tanpa menyedari gas beracun yang bocor itu datang dari arah sama.

Salah seorang penduduk yang mengalami situasi berkenaan ialah seorang wanita bernama Shehzadi Bee. Bee yang kini berusia 63 tahun ketika itu menetap di sebuah rumah yang berhampiran dengan jalan utama menuju ke loji berkenaan. Kawasan kejiranannya merupakan antara kawasan pertama yang diselubungi racun berkenaan. Apabila dia mendengar kekecohan di luar, dia cuba membawa keluarga termasuk anak-anaknya keluar dan menyangka bernasib baik apabila menemui sebuah lori yang membawa penduduk ke tempat selamat. Bee menambah, “Bila saya dan anak-anak saya naik lori itu, ianya sangat menyedihkan. Mereka yang naik mengalami masalah pernafasan, merasakan mata mereka terbakar dan mengalami muntah-muntah. Mereka jatuh pengsan dan satu persatu orang dalam lori mati di hadapan saya. Ramai orang mati pada hari itu.”

Lori yang membawa Bee sekeluarga dan penduduk yang terselamat menuju ke satu kawasan bernama Lal Ghati, sebuah kawasan yang berhampiran dengan lapangan terbang dan jauh dari pencemaran kimia itu. Tetapi suami tercinta terpaksa menghabiskan masa di hospital selama dua bulan dan mengalami pelbagai masalah dari sakit dada yang kronik hingga kehilangan daya penglihatan. Jika tidak mati akibat keracunan seperti yang disaksikan oleh wanita dan mana-mana penduduk yang terselamat, ada yang mati akibat terpijak berikutan situasi panik yang melanda Bhopal ketika itu. Pada pagi 3 Disember, lebih 2,000 penduduk terbunuh akibat masalah pernafasan dan paling terkesan ialah kanak-kanak. Menurut satu laporan akhbar The Atlantic, gas MIC dua kali ganda lebih berat dari udara biasa dan ini membuatkan kanak-kanak bergelut untuk bernafas dan mati akibat keracunan.

Berdasarkan angka rasmi yang dinyatakan kerajaan India, angka asal ialah 3,787 penduduk terbunuh sebelum diubah semula kepada 5,295 orang. Bagaimanapun, ramai penyelidik berpandangan angka tersebut terlalu sedikit berbanding angka sebenar penduduk yang terbunuh. Mereka menganggarkan 8,000 mati terus selepas terdedah kepada gas MIC dan lebih 8,000 lagi untuk tahun-tahun berikutnya dengan 500,000 penduduk lagi ceder. Pada tahun 2009, satu laporan The Guardian mendedahkan lebih 20,000 mati akibat kecederaan dan kecacatan yang dicetuskan oleh pendedahan gas itu. Bhopal merupakan kemalangan industri yang paling buruk dalam sejarah manusia.

‘Pengurusan syarikat bertopengkan syaitan’

Sejak kemalangan tersebut, tuding-menuding tercetus antara penduduk dan kerajaan dengan pihak syarikat. Bagi pihak penduduk dan New Delhi, mereka menuduh Union Carbide bersikap cuai dalam soal pengurusan mereka dan gagal menyelenggara kemudahan mereka itu dengan baik. Sementara pihak syarikat pula menuduh kebocoran itu berlaku akibat sabotaj yang dilakukan seorang pekerja yang tidak dinamakan kerana tidak berpuas hati dengan mereka. Namun bila diminta mendedahkan identiti pekerja berkenaan, Union Carbide tidak dapat menamakan pihak berkenaan.

Jika hendak mencari salah, maka anak panah seharusnya dihalakan kepada Union Carbide itu sendiri terutama cara mereka mengendalikan gas MIC. Ini didedahkan sendiri beberapa pekerja kilang kepada wartawan Raj Keswani untuk akhbar harian Jansatta pada tahun 1982. MIC yang juga salah satu gas yang digunakan semasa Perang Dunia Pertama merupakan sebuah gas 500 kali ganda merbahaya berbanding gas hidrogen sianida. Ia sangat merbahaya sehinggakan ia hanya boleh disimpan dalam keadaan yang betul-betul bersih dan disimpan pada suhu 0 darjah Celsius. Dan walaupun ia disimpan dalam keadaan itu sekalipun, ia masih boleh memberi reaksi letupan yang merbahaya. Penyejukan memang melambatkan reaksi tetapi ia tidak boleh distor melainkan atas dasar keperluan dan dalam kuantiti yang kecil. Malangnya, Union Carbide menyimpannya dalam satu tangki besar bersaiz lokomotif stim.

Eksekutif-eksekutif Union Carbide sentiasa menggambarkan kemudahan mereka di India sebagai canggih tetapi hakikatnya, keadaan kilang di Bhopal lebih menyerupai keadaan di ladang. Kilang ini dibina pada tahun 70-an untuk menghasilkan racun serangga yang diperlukan untuk revolusi hijau India. Malangnya, percubaan Union Carbide tidak menjadi berikutan siri cuaca monsun yang buruk dan kegagalan tanaman sekaligus menjadikan loji tersebut ‘penghisap darah’ kewangan syarikat itu. Syarikat berharap dapat meleraikan semua komponen dan memindahkannya ke Indonesia atau Brazil. Tetapi disebabkan tiada pembeli, kelompok eksekutif ini mula melancarkan kempen pemotongan perbelanjaan yang radikal untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangan mereka.

Antara tahun 1980 hingga 1984, bilangan pekerja di kilang dikurangkan kepada separuh seperti krew pengendali MIC dikurangkan daripada 12 kepada enam orang. Di bilik kawalan pula, seorang pekerja sahaja diletakkan untuk memantau 70 alat kawalan, indikator dan panel di mana kesemuanya sudah lama dan rosak. Latihan keselamatan yang seharusnya mengambil masa enam bulan dikurangkan kepada dua minggu di mana semua penerangan dipendekkan dalam bentuk slogan. Tetapi memandangkan slogan dalam Bahasa Inggeris, ia sukar difahami pekerja yang tidak arif dengan Bahasa Inggeris.

Dan bila Keswani menulis artikel pendedahan salah laku Union Carbide ini, kilang diuruskan oleh pekerja-pekerja yang tiada latihan keselamatan dan langsung tidak faham Bahasa Inggeris. Moral pekerja berada di tahap rendah tetapi itu langsung tidak diendahkan pihak pengurusan. Kemalangan kecil berlaku banyak kali tetapi sentiasa didiamkan tanpa sebarang tindakan susulan. Sebut pasal kebocoran, kebocoran kecil berlaku banyak kali tetapi tidak diendahkan sehingga ke satu tahap siren kebocoran dimatikan untuk mengelak menarik perhatian orang ramai. Dan para eksekutif Union Carbide memang dasar celaka kerana nak berjimat, mereka juga sanggup memotong gas freon yang digunakan untuk menyejukkan tangki MIC di mana nilainya ialah $37 sehari untuk penyejukan. Kesemua ini merupakan resepi kepada bencana yang akan menimpa.

Satu laporan yang difailkan para jurutera dari Amerika berkenaan keadaan kilang pada tahun 1982 mendedahkan terdapat 60 bentuk bahaya, 30 daripadanya bersifat kritikal dengan 11 bahaya pada pengurusan MIC. Dalam laporan mereka, para jurutera ini mahukan penambahbaikan dibuat bagi mengelakkan risiko kebocoran gas yang besar berlaku. Penambahbaikan memang dibuat tetapi di kilang utama mereka di West Virginia. Sementara di Bhopal pula, tiada sebarang tindakan yang diambil. Pekerja yang bimbang menampal poster tentang bahaya kilang. Sementara Keswani pula merayu Ketua Menteri Madhya Pradesh untuk menyiasat dan menutup kilang berkenaan sebelum ia bertukar menjadi satu bencana yang besar kepada penduduk. Tetapi semua itu tidak dilayan dan apa yang berlaku pada 2 dan 3 Disember 1984 menjadi sejarah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku sama sekali.

Tindakan undang-undang

Beberapa hari selepas itu, CEO merangkap pengerusi syarikat Warren Anderson tiba di Bhopal untuk meninjau keadaan. Sebaik tiba, beliau ditahan pihak berkuasa dan dibebaskan dengan ikat jamin selepas beberapa jam sebelum terbang keluar dengan pesawat negeri Madhya Pradesh. Seperti Anderson, ketua menteri yang sama turut melarikan diri dari negeri tersebut kerana bimbang dipersalahkan atas apa yang berlaku. Apabila New Delhi cuba mendakwa Anderson dan para eksekutifnya atas tuduhan bunuh, lelaki yang bongkak ini menegaskan mereka bukan berada dalam bidang kuasa Delhi dan mereka tiada apa-apa untuk mendakwa Union Carbide. Bila kerajaan India cuba mengekstradisi Anderson, cubaan mereka berakhir dengan kegagalan. Keputusan mahkamah yang enggan melayan rayuan dibuat di peringkat mahkamah rendah pada Oktober 1993 menyebabkan penduduk yang terjejas tidak dapat menyaman Union Carbide.

Pada akhir tahun 80-an, kerajaan India menuntut $3.3 bilion semasa mengheret Union Carbide ke mahkamah. Selepas mengadakan perbincangan, syarikat bersetuju membayar penyelesaian luar mahkamah berjumlah $470 juta pada tahun 1989. Sepanjang tahun 1990, Mahkamah Agung India mendengar rayuan meminta bayaran pampasan ditambah dan melihat angka tersebut tidak mencukupi. Namun, mahkamah mengeluarkan penghakiman mengekalkan keputusan tersebut. Sebaliknya, mahkamah mengarahkan New Delhi menyediakan pakej insurans kesihatan bagi 100,000 penduduk yang mengalami simptom keracunan dan menambah dana sekiranya wujud kekurangan. Mahkamah juga mengarahkan Union Carbide dan subsidiarinya menyediakan sebuah hospital di Bhopal dengan kos $17 juta untuk merawat penduduk yang terjejas.

Namun bagi ramai penduduk, jumlah tersebut dianggap setakat celah gigi sahaja dan menganggap pihak syarikat memandang nyawa manusia seperti tiada nilai langsung. Sehingga hari ini, satu sen pun tidak dibayar oleh Union Carbide dan syarikat induknya, Dow ke atas 470,000 penduduk yang terjejas kerana mereka bukan sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah yang dibuat oleh Delhi dan Union Carbide. Menurut aktivis-aktivis alam sekitar, persetujuan yang dicapai 30 tahun lepas dianggap tidak adil kerana ia tidak mendedahkan bilangan sebenar penduduk yang cedera dan terbunuh. Pada tahun 2010, kerajaan memutuskan memfailkan satu lagi petisyen ke mahkamah untuk mempertimbang semula nilai pampasan yang dianggap tidak adil kepada mangsa dan keluarga waris. Menurut aktivis, angka sebenar pampasan yang patut dikeluarkan ialah $8.1 bilion.

‘Permainan tarik tali’ Union Carbide dan kerajaan

Selain masih berkeras bayaran pampasan yang dinyatakan pada tahun 1989 sebagai adil dan saksama, Union Carbide juga masih enggan mengeluarkan sebarang laporan berkenaan gas MIC. Dan walaupun selepas diambilalih oleh Dow pada tahun 2001, laporan tersebut masih belum diterbitkan untuk tatapan umum. Yang pasti ada atau tidak laporan sebegitu, kesannya masih dapat dilihat sehingga hari ini bukan saja dari segi kesihatan tetapi juga kepada keharmonian masyarakat.

Untuk tahun-tahun berikutnya, mangsa yang terselamat mendapat sedikit saja rawatan perubatan. Dan berikutan status mereka yang miskin (atau dalam sesetengah kes isu kasta), mereka dilayan buruk dan doktor kerajaan tidak mahu menyentuh mereka. Walaupun layak mendapat rawatan percuma, mereka diberi rawatan yang tidak diperlukan dan diberi ubat yang mahal tetapi hanya memburukkan lagi keadaan mereka. New Delhi juga dilihat mengabaikan ramai mangsa dengan menghentikan semua bentuk penyelidikan gas beracun tatkala pelbagai epidemik masalah kesihatan akibat keracunan ini timbul dengan banyak.

Diabaikan oleh orang yang sepatutnya membantu dan menjaga mereka, mereka membuka klinik sendiri. Pada tahun 1994, mereka melancarkan kempen kutipan dana melalui akhbar The Guardian untuk membeli bangunan, membeli peralatan, mengupah pekerja dan mendapatkan latihan perubatan. Hasilnya pada tahun 1996, Klinik Sambhavna dibuka kepada umum di mana mereka menawarkan rawatan yang menggabungkan pendekatan moden dan Ayurveda. Semua kos dari rawatan hingga rundingan adalah percuma.

Bagaimanapun, permainan tarik tali ini tidak terhenti di situ saja. Selepas insiden pada tahun 1984, Union Carbide tidak berminat memindahkan semua gas beracun miliknya atau menanggalkan semua komponen kilang mereka. Akibatnya, ia sebenarnya mencemarkan tanah dan air terutama sumber air penduduk. Dan perkara ini diketahui Union Carbide menerusi satu memo yang didapatkan melalui mahkamah Amerika pada tahun 1989. Menurut memo dalaman syarikat, sampel air dan tanah kilang amat tercemar sehinggakan bila ikan didedahkan kepada sampel air, ikan tersebut mati dengan pantas. Tiada sebarang amaran dinyatakan kepada kerajaan negeri dan New Delhi sekaligus mengakibatkan ramai penduduk terjejas teruk termasuk mengalami kecacatan kekal. Jadi, faham kan mengapa saya gelar kumpulan eksekutif syarikat ini ialah kumpulan eksekutif setan?

Jika anda rasa ketidakadilan ini boleh diimbangi oleh pihak kerajaan, anda silap. Hakikatnya selepas dipilih sebagai Ketua Menteri Madhya Pradesh, Babulal Gaur dilihat langsung tidak berminat memperjuangkan nasib penduduk. Buktinya setahun selepas dipilih pada tahun 2004, penduduk yang bimbang akan nasib mereka mengadu ke pejabat kerajaan. Tetapi apa mereka dapat? Mereka bukan saja tidak dilayan tetapi juga dipukul teruk oleh pasukan keselamatan. Dan bila ditanya sama ada pencemaran air akibat tinggalan Union Carbide benar-benar berlaku, Gaur memberi jaminan air tersebut dianggap selamat.

Tetapi tanpa pengetahuan ramai, parti yang diwakili Gaur iaitu BJP mendapat sejumlah besar derma politik oleh syarikat induk Union Carbide, Dow. Ini merupakan sebahagian daripada rancangan mereka ketika itu untuk memaksa pentadbiran Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh untuk melepaskan mereka dari apa yang berlaku di Bhopal. Dan tidak mengejutkan sekiranya trend ini diteruskan sehinggalah pilihan raya India pada April ini, sebarang bentuk keadilan untuk mangsa yang terlibat akan terus dihalang oleh unsur korupsi dan ketamakan manusia berhati batu.

SUMBER

1. Withnall, Adam. (2019). The Independent. Bhopal gas leak: 30 years later and after nearly 600,000 were poisoned, victims still wait for justice. https://www.independent.co.uk/news/world/asia/bhopal-gas-leak-anniversary-poison-deaths-compensation-union-carbide-dow-chemical-a8780126.html

2. Sinha, Indra. (2009). The Guardian. Bhopal: 25 years of prison. https://www.theguardian.com/environment/2009/dec/04/bhopal-25-years-indra-sinha

3. The Week. (2019). Bhopal disaster 35 years on: what happened? https://www.theweek.co.uk/99635/bhopal-disaster-35-years-on-what-happened

Previous articleKisah Ibu Tunggal Tiga Anak Menumpaskan Pembunuh!
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE