Moving Forward As One

Betul Ke Kita Jadi Magneto Bila Suntik Vaksin?

1,746

Ketika ini, program vaksinasi Covid-19 sedang berjalan di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Di sebalik bilangan kadar pemvaksinan yang semakin bertambah, masih ada golongan anti-vaksin yang berusaha merencatkan usaha ini. Salah satu usaha mereka ialah menyebarkan dakyah bahawa badan penerima vaksin punya potensi menjadi magnet.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Pertama sekali, dakwaan ini amat mengarut dan melucukan. Tetapi memandangkan masih ramai yang termakan dakyah mengarut ini, sebenarnya terdapat satu penjelasan mudah terhadap hal ini.

Nak ujinya mudah saja. Hanya perlu ambil magnet dan cuba letak pada badan termasuk pada bahagian lengan yang divaksin. Memang betul ia melekat tetapi ia melekat disebabkan permukaan kulit yang berminyak. Bagi golongan yang sengaja menyebarkan dakyah ini, mereka sengaja meletakkan bahan pelekat pada badan bagi membuktikan dakyah ini bukan omong kosong.

Selain itu, golongan ini terlupa semua vaksin yang dihasilkan termasuk vaksin Covid-19 bukan dihasilkan daripada bahan-bahan yang mewujudkan lapangan elektromagnet. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menegaskan ia tidak dibuat daripada mana-mana logam seperti kobalt dan besi mahupun produk pembuatan seperti mikrocip dan elektrod.

Magneto pun cucuk vaksin ler.

Selain itu, CDC turut menyatakan jumlah satu dos vaksin Covid-19 hanya kurang daripada satu mililiter, tidak cukup untuk magnet melekat pada bahagian badan walaupun ia diisi dengan pelbagai komponen besi. Jadi, sesiapa yang mempromosikan idea ini sama ada memang pendek akal atau dasar katak di bawah tempurung.

Disebabkan dakyah ini, ia turut menjadikan seorang jururawat di Ohio sebagai bahan jenaka laman media sosial. Semasa memberi keterangan di hadapan jawatankuasa kesihatan dewan perundangan Ohio, Joanna Overholt mendakwa dirinya menjadi magnet selepas mengambil vaksin. Dan sebagai bukti, dia menunjukkan kunci dan pin melekat pada dadanya. Boleh lihat di video bawah ini.

Tetapi apabila Overholt cuba melekatkan kunci dan pin pada lehernya, ia langsung tidak melekat. Sebabnya mudah, bahagian lehernya tidak berminyak berbanding bahagian dadanya. Dan apabila diminta mengemukakan siapa saksi yang boleh membuktikan dakwaannya, Overholt memanggil Dr Sherri Tenpenny sebagai saksi.

Untuk pengetahuan para pembaca, warga Amerika Syarikat mengenali Tenpenny sebagai individu anti-vaksin dan banyak mengemukakan dakyah negatif terhadap vaksin Covid-19. Ini termasuk dakwaan sudu dan garfu boleh melekat pada badan selepas menerima vaksin dan mampu dikesan kerajaan kerana ada cip 5G.

Disebabkan keterangan mengarut dua individu ini, seorang pengguna laman media sosial hanya memilih mengatakan ini, “Kita patut tunjukkan klip ini kepada makhluk asing yang mahu menakluk planet bumi. Bukti kepada mereka bahawa kita makhluk paling bodoh di sistem suria ini.”

Berhenti berangan wahai antikavaksin sekalin. Magento tak wujud.

Oleh sebab itulah, bagi memastikan orang ramai tidak termakan dakyah ini, satu mesej dipasang di pusat-pusat pemvaksinan AS. Mesej CDC ini berbunyi, “TIDAK. Menerima vaksin Covid-19 tidak menjadikan anda bermagnet termasuk di bahagian badan anda yang divaksin.” Punya marah CDC sampai terpaksa gunakan font tebal untuk menafikan dakyah sebegini!

RUJUKAN:

Felton, James. (2021). Nurse Tries To Prove Vaccines Turn You Magnetic To State Committee, It Does Not Go Well. Diambil dari https://www.iflscience.com/health-and-medicine/nurse-tries-to-prove-vaccines-turn-you-magnetic-to-state-committee-it-does-not-go-well/

Ruangan komen telah ditutup.