Betul Ke Zaman Mesir Purba Dah Ada Covid-19?

1,191

Dengan bertiangkan keyakinan yang tinggi terhadap gambar tersebut, maka terberanaklah persoalan ini. Benarkah?

TIDAK BENAR. Lukisan tersebut bukan mengaitkan KOBIT dan merujuk kepada ujian saringan (swab test) yang mana dilakukan pada zaman sekarang, tetapi yang SEBENARNYA, lukisan ini merujuk kepada ahli perubatan mata ataupun dipanggil sebagai Ophthalmologist yang merawat mata salah seorang pesakitnya.

Lukisan ini ditemukan di dinding salah satu makam di tapak ibukota kuno Dinasti Mesir Kuno Ke-19 (1292 SM-1189 SM) yang berada di Thebes. Makam tersebut kepunyaan wazir yang bernama Ipi.

Baik, ahli perubatan mata atau Opthalmologist pada zaman Mesir Kuno telah menemui pelbagai kaedah untuk merawat penyakit mata seperti chronic trachoma (trakoma) dan leukoma (glakoma). Penyakit Pterygium dan katarak mata juga dikaji, tetapi cara pengubatannnya tidak ditemui. Penyakit buta menjadi salah satu punca utama untuk para dokter di Mesir Kuno untuk mengkaji pelbagai penyakit mata yang lainnya.

Rawatan mata dalam lukisan ini dipanggil ‘couching’. Fungsinya untuk mengalihkan kanta mata yang mengalami katarak luar dari paksi penglihatan pesakit. Ada yang menggunakan jarum, dan ada yang menolak jatuh kanta mata pesakit ke belakang dengan hanya menggunakan jari.

Hasilnya, penglihatan pesakit lebih cerah kerana tiada halangan katarak di hadapan medan penglihatan tetapi masih kabur kerana berlaku aphakia (tiada kanta) yang menyebabkan imej tidak dapat difokuskan ke atas retina. Walaupun teknik ini ditemukan dalam rekod dari zaman Firaun lagi, hari ini teknik ini masih diamalkan di negara dunia ketiga.

Untuk pengetahuan tambahan, masyarakat Mesir memang terkenal dengan kemahiran ilmu perubatan yang mana mereka telah menemui dan melakukan pelbagai kaedah untuk mengubati masyarakat mereka daripada pelbagai penyakit.

Antara gulungan manuskrip (papyrus) yang mencatatkan pelbagai maklumat penting tentang langkah pencegahan dan pengubatan pada zaman Mesir Kuno adalah:

1. Gulungan Edwin Smith: Gulungan ini ditulis sekitar tahun 1660 SM, yang mana ia memuatkan tentang pembedahan dan kajian anatomi badan manusia. Ia dinamakan sempena nama Edwin Smith yang menemui gulungan ini di tapak Luxor pada tahun 1862.

2. Gulungan Ebers: Gulungan yang ditulis pada tahun 1550 SM dan ia dinamakan sempena nama George Ebers yang menemui gulungan ini di Thebes pada tahun 1872. Gulungan ini memuatkan pula tentang langkah pencegahan ketumbuhan, kaedah membuang ketumbuhan, sakit mental, langkah merancang keluarga, masalah kulit, masalah gigi, penyakit mata dan penyakit usus. Di dalam dokumen ini juga disertakan 700 jenis ubat untuk merawat penyakit tertentu.

3. Gulungan Kahun Gynaelogical: Ditulis pada tahun 1800 SM yang mana mengandungi ilmu perubatan untuk wanita. Dinamakan sempena nama tempat penemuannya di kota Lehun (Kahun) dan ia ditemui oleh Flinders Petrie pada tahun 1889.

Selain tiga gulungan di atas, terdapat juga gulungan Hearst (1450 SM) dan gulungan Berlin (1200 SM).

Daripada dokumen gulungan-gulungan inilah para ahli Egyptologi mampu mengetahui bagaimana langkah, kaedah dan rawatan yang dipraktikkan pada zaman tersebut. Selain gulungan-gulungan ini, lukisan yang terdapat di dinding makam juga menyumbang kepada pengumpulan maklumat terbabit dan salah satunya gambar lukisan pada dinding makam Thebes.

Baik, setakat itu sahaja pencerahan dan perkongsian ilmu yang ringkas pada hari Jumaat ini.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.