Salah satu penemuan yang paling kuat dalam psikologi evolusi adalah pemerhatian bahawa lelaki dan wanita mempunyai perbezaan dalam memilih ciri-ciri pasangan yang berpotensi. Dalam banyak kajian di pelbagai negara, ahli psikologi secara konsisten mendapati bahawa lelaki lebih memilih rupa berbanding harta, sedangkan wanita lebih memilih harta berbanding rupa. Tetapi apakah perkara yang menyentuh perbezaan jantina dalam memilih pasangan? Apakah yang menyebabkan lelaki ataupun wanita mempunyai pilihan sebegitu?

Menurut evolved preference theorydari psikologi evolusi, lelaki mencari wanita yang sihat dan subur supaya dapat memberikan keturunan yang berkualiti tinggi untuk mereka. Disebabkan kesuburan wanita meningkat pada umur lewat remaja dan pada puncak umur pertengahan 20-an, maka lelaki lebih suka pasangan dalam lingkungan umur itu. Tambah lagi, ciri-ciri kecantikan feminin seperti kulit yang cerah, rambut berkilau dan lengkuk tubuh yang cantik merupakan tanda-tanda kesihatan yang baik. Maka, telah menjadi sifat semula jadi lelaki untuk tertarik dengan ciri-ciri kecantikan ini.

Mengikut teori ini juga, wanita secara semula jadi lemah dalam mencari sumber hidup. Mereka secara fizikalnya lemah daripada lelaki, dan pergerakan mereka terjejas apabila hamil dan membesarkan anak. Oleh itu, wanita bergantung kepada lelaki untuk menyediakan sumber hidup untuk mereka dan anak-anak mereka. Sebab itulah wanita lebih mementingkan harta berbanding rupa dalam mencari pasangan berpotensi.

Walaupun data menunjukkan perbezaan jantina mempunyai pilihan pasangan berbeza adalah kukuh, penjelasan “evolusi” yang piawai (standard) mempunyai masalah. Masalah yang terpenting adalah bahawa penjelasannya tidak cukup selari dengan apa yang kita tahu mengenai evolusi manusia.

Manusia moden muncul kira-kira 200,000 tahun yang lalu, dan mereka hidup sebagai pemburu dan pengumpul makanan dalam sekelompok seratus orang setiap kelompok. Ini adalah tempoh masa di mana setiap pola tingkah laku atau kognitif yang unik manusia akan muncul, dan itulah sebabnya saintis memanggilnya persekitaran adaptasi evolusi (environment of evolutionary adaptedness).

Sekitar 10,000 tahun yang lalu, manusia beralih ke pertanian, dan keupayaan untuk menghasilkan makanan yang banyak adalah apa yang mendorong kebangkitan tamadun dan perkembangan pesat teknologi, yang membawa kepada masyarakat perindustrian moden yang kita hidup hari ini. Namun, apabila manusia beralih dari mencari makanan ke ladang, unit sosial asas beralih dari kumpulan ke keluarga. Mereka perlu melakukan perkara ini kerana mereka kini terikat di tanah, jadi perlu ada peraturan yang jelas untuk siapa yang memiliki dan siapa yang mewarisi.

Pertanian juga muncul apabila wanita dikuasai oleh lelaki. Dalam masyarakat pemburu dan pengumpul makanan, wanita mempunyai prestij yang tinggi kerana mereka menyediakan makanan yang paling banyak untuk kelompok masing-masing. Disebabkan wanita adalah pengumpul, mereka selalu mengumpul pelbagai jenis makanan seperti sayuran, buah beri, bijirin, sayur-sayuran berdaun, dan sebagainya.

Sudah tentu daging sangat berharga, dan telah menjadi tanggungjawab lelaki untuk memburu haiwan untuk mendapatkan daging. Tetapi dengan hanya senjata primitif, tidak mudah untuk melakukan perkara itu. Sering kali, lelaki pulang dengan tangan kosong pada lewat hari dan mereka perlu melayan wanita dengan baik sekiranya mereka mahu makan.

Oleh itu, jelas bahawa wanita tidak bergantung kepada lelaki untuk menyediakan sumber hidup mereka dalam persekitaran adaptasi evolusi. Hal ini bermakna sepatutnya tidak ada mana-mana wanita yang berevolusi hari ini lebih memilih lelaki yang mampu memberikan sumber hidup berbanding rupa. Tambahan lagi, apa sahaja yang dipulangkan ke tanah itu akan dikongsikan bersama dalam satu kelompok. Maka, tidak ada perbezaan antara lelaki kaya ataupun lelaki miskin ketika 200,000 tahun yang lalu.

Memang benar bahawa sesetengah lelaki merupakan pemburu yang lebih baik berbanding lelaki yang lain. Mereka yang sering membawa balik daging ke kelompok mereka akan menikmati prestij sosial yang tinggi dan hal itu telah menjadi tarikan kepada wanita. Ciri-ciri yang menjadikan lelaki itu pemburu yang baik ialah mempunyai saiz tubuh yang besar, berotot dan mempunyai tampakan kekuatan pada badan atas. Ini adalah ciri-ciri lelaki yang kita anggap menarik pada zaman ini. Sekiranya keinginan wanita dalam memilih pasangan telah berevolusi, mereka sepatutnya akan memilih lelaki yang berbadan sasa – dan itulah yang wanita akan pilih untuk hubungan jangka masa pendek.

Sebagai alternatif kepada evolved preference theory, Alice Eagly dan Wendy Wood mencadangkan teori peranan social (social role theory) dua dekad yang lalu untuk menerangkan perbezaan jantina yang diperhatikan dalam memilih pasangan. Mengikut teori peranan sosial, keutamaan wanita terhadap sumber hidup (seperti harta) berbanding rupa merupakan tindak balas mereka terhadap organisasi sosial pada zaman ini, bukannya produk dari masa lalu evolusi kita.

Dalam peralihan dari mencari makanan kepada pertanian, terdapat peralihan dalam peranan yang dimainkan oleh lelaki dan wanita dalam masyarakat. Menyuburkan tanah dan menternak haiwan memerlukan tubuh badan yang kuat, tuntas menjadikan pencarian makanan sebagai pekerjaan lelaki. Peranan wanita pula diturunkan ke rumah tangga seperti penjagaan anak, memasak dan pembersihan, serta terlibat dalam industri kotej seperti tenunan dan pembuatan bakul.

Disebabkan wanita tidak dapat lagi menyediakan makanan untuk diri mereka sendiri, mereka terpaksa bergantung pada sumber suami mereka. Tambahan pula, bermulanya pertanianlah kita mula melihat stratifikasi masyarakat antara kaya dan miskin. Apabila tamadun yang rumit mula bangkit, lelaki terkaya tidak lagi menjadi orang yang menyuburkan tanah.

Mereka teridiri daripada pemilik tanah, pedagang, birokrat dan ahli agama – jenis pekerjaan yang tidak memerlukan tubuh badan yang kuat. Jadi wanita terdesak untuk memilih antara lelaki yang kacak dan menjadi miskin ataupun memilih pasangan yang biasa-biasa dan hidup dalam keselesaan.

Menjelang akhir abad ke-20, wanita telah mencapai kemajuan yang besar dalam mendapatkan semula kesaksamaan jantina yang mereka hilang ketika kedatangan pertanian. Oleh itu, teori peranan sosial meramalkan bahawa, keinginan wanita dalam memilih pasangan akan beralih kepada melihat rupa berbanding melihat sumber hidup (seperti harta) kerana mereka tidak lagi bergantung kepada lelaki untuk menyediakannya untuk mereka. Apabila Eagly dan Wood menganalisis data lintas budaya tentang perbezaan jantina dalam memilih keutamaan pasangan, mereka percaya bahawa mereka akan menemui corak sedemikian.

Dalam budaya di mana wanita mempunyai lebih banyak kebebasan ekonomi dan politik, mereka memberikan penekanan terhadap sumber dan lebih menumpu pada rupa dalam memilih pasangan. Mereka masih mementingkan harta berbanding penampilan, tetapi perbezaan antara keduanya tidak begitu ketara. Oleh kerana keterbatasan data dan persoalan dalam penggunaan kaedah statistik, kesimpulan Eagly dan Wood telah dicabar dan kebanyakan ahli psikologi lebih cenderung dengan evolved preference theory.

Untuk menguji lagi teori peranan sosial, ahli psikologi dari University of Glasgow, Benedict Jones dan rakan-rakannya mengumpulkan lebih banyak data silang budaya dalam tempoh lapan tahun dan menggunakan prosedur statistik yang lebih canggih daripada Eagly dan Wood. Hasilnya mengecewakan bagi penyokong teori peranan social. Para penyelidik mendapati sedikit perbezaan dalam pilihan pasangan untuk wanita dalam masyarakat yang lebih egalitarian berbanding masyarakat yang lebih tradisional. Dengan kata lain, keutamaan memilih pasangan tidak jauh berbeza dalam organisasi sosial yang berbeza

Jadi bagaimana kita mahu menafsirkan hasil kajian Jones dan rakan sekerjanya? Seperti yang telah kita lihat, ada sebab untuk kita skeptikal terhadap idea bahawa pilihan wanita berevolusi dalam memilih lelaki yang mempunyai sumber berbanding penampilan dalam persekitaran adaptasi evolusi. Sebaliknya, teori peranan sosial menggambarkan realiti masyarakat moden, menjadikannya lebih munasabah berbanding penjelasan evolusi.

Masalahnya mungkin terletak pada cara persoalan yang ditimbulkan. Teori peranan sosial menunjukkan bahawa keinginan memilih pasangan oleh wanita akan berpindah arah kepada penampilan berbanding dengan sumber apabila mereka memperoleh lebih hak kesaksamaan jantina dalam masyarakat. Idea ini bermasalah dengan beberapa sebab.

Pertama, walaupun dalam kalangan masyarakat moden yang paling egalitarian seperti negara-negara Scandinavia, lelaki masih menguasai perempuan secara ekonomi dan politik. Lelaki memperoleh pendapatan lebih banyak berbanding wanita dalam jangka hayat mereka. Lelaki mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dalam perniagaan dan kerajaan. Ramai wanita di negara perindustrian moden jauh lebih baik hari ini berbanding di masa lalu, dan pastinya keadaan mereka lebih baik berbanding keadaan wanita dalam masyarakat tradisional. Walau bagaimanapun, masih belum ada tahap kesaksamaan jantina yang biasa dilihat dalam masyarakat pemburu.

Kedua, terdapat isu stratifikasi sosial dalam kehidupan moden. Walaupun seorang wanita berkecukupan untuk sara diri dan anak-anaknya, taraf hidupnya akan jauh lebih baik dengan pasangan yang juga pencari nafkah yang baik. Oleh itu, kesaksamaan jantina sahaja tidak mencukupi bagi wanita untuk mengalihkan keutamaan mereka dalam memilih pasangan yang mempunyai rupa berbanding harta. Jika semua lelaki memperoleh jumlah pendapatan yang sama dengan wanita, maka wanita pasti akan lebih mementingkan penampilan berbanding harta kerana harta bukan lagi menjadi isu buat mereka.

Akhir sekali, terdapat satu isu yang Jones dan rakan-rakannya kemukakan dalam laporan mereka. Hampir semua kajian mengenai keutamaan memilih pasangan telah bertanyakan kepada responden mengenai sifat yang mereka pentingkan dalam memilih pasangan, dan bukannya melihat siapa yang sebenarnya mereka berkahwin. Apa yang kita mahu dan apa yang kita dapat dapat adalah dua perkara yang berbeza. Tamabahan lagi, keupayaan kita untuk menarik pasangan yang berkualiti tinggi menuntut kepada apa yang dapat kita tawarkan kepada pasangan tersebut. Dalam analisis akhir, keutamaan kita perlu diselaraskan dengan realiti.

Kesimpulannya, kita masih belum mempunyai jawapan muktamad mengapa terdapat perbezaan memilih pasangan antara jantina. Kecenderungan wanita untuk memilih pasangan yang berharta berbanding penampilan mungkin muncul daripada evolusi masyarakat pemburu. Data daripada bancian wanita moden cenderung menyokong idea keutamaan yang bervolusi (teori peranan sosial), tetapi teori itu bercanggah dengan gaya hidup masyarakat pemburu.

Keutamaan wanita dalam memilih pasangan juga boleh menjadi tindak balas kepada peranan sosial yang diberikan kepada mereka dalam masyarakat moden. Mungkin wanita akan mencari yang berharta jika mereka tidak perlu bimbang tentang kesan ekonomi akibat daripada pilihan mereka. Kajian selanjutnya perlu dijalankan.

RUJUKAN:

  1. Eagly, A. H. & Wood, W. (1999). The origins of sex differences in human behavior: Evolved dispositions versus social roles. American Psychologist, 54, 408-423.
  2. Zhang, L., Lee, A. J., DeBruine, L. M., & Jones, B. C. (2019). Are sex differences in preferences for physical attractiveness and good earning capacity in potential mates smaller in countries with greater gender equality? Evolutionary Psychology. Advance online publication. DOI: 10.1177/1474704919852921
  3. https://www.psychologytoday.com/intl/blog/talking-apes/201907/do-women-really-prefer-men-money-over-looks

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Comments are closed.