Betul Ke Takut Covid Bermaksud Tak Takut ALLAH?

906

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Ramai juga mengungkap “Jangan takut COVID -19, hanya takut ALLAH” sebagai alasan untuk mengambil mudah ancaman virus ini. Betul pada makam hakikat tetapi kurang tepat pada kondisi masa dan pada makam asbab.

Takut pada Allah amat berbeza dengan takut makhluk. Takut kepada Allah membawa kita makin menghampiriNya dengan penuh cinta, adapun takut pada makhluk adalah kita menjauhinya dengan penuh hati-hati.

Takut pada kejahatan maka jauhi kejahatan, takut pada fitnah dunia maka jauhi cinta dunia, takut pada penyakit berjangkit maka jauhi dari dari faktor-faktornya, takut harimau maka jauhi harimau, takut rosak akhlak maka jauhi mereka yang rosak, takut terbakar maka jauhi api, takut ancaman DAP, maka jauhi dari mengundi mereka. Takut isteri maka jauhi lakukan perkara isteri marah.

“Takut” yang digunakan dalam laras bahasa makhluk dimaksudkan sesuatu yang boleh bawa kepada bahaya, al Quran jelas menyatakan,

“…Jangalah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan” (Al-Baqarah : 195)

Para kekasih Allah yang tinggi tauhidnya tidak sombong, mereka akan mengikut hukum adat umum dalam kehidupan, namun jika ada waktu yang memerlukan demi dakwah atau membela kebenaran, mereka mohon akan Allah agar ditunjuk kekuasaanNya hingga terjadi hal diluar adat kebiasaan (karamah) hingga manusia sujud pada kebesaran Allah.

Jelas dalam tauhid, makhluk tidak memberi bekas, virus tidak memberi bekas, namun Allah boleh menjadikan virus itu sebagai sebab menyerang manusia hingga maut, seperti Allah perintah api untuk membakar, perintah angin menjadi ribut, perintah laut menjadi tsunami.

Kita bukannya jabariah yang hanya berserah diri kepada Allah tanpa usaha. Apabila melihat air tsunami atau ribut taufan atau virus bahaya yang merebak, bukan hanya berdiri menyerah diri, kita wajib berusaha lari dan lindungi diri sebagai ikhtiar, namun jika terkena juga maka disitulah hukum takdir yang wajib di Imani.

Berpegang teguh dengan Aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang penuh cinta dan kesederhanaan. Jauhi fahaman jabariah, qadariah, muktazillah atau salafi takfiri yang melampau. Jangan mudah mendakwa orang syirik kerana ketakutan mereka.

Kita makhluk yang lemah memang ada fitrah diselubungi dengan pelbagai ketakutan seperti takut mati, takut miskin, takut kesakitan, takut keganasan, takut kelaparan, takut hantu, takut jarum, takut isteri, takut suami kawin lain, takut nak jawab panggilan bank, takut katak, cicak, lipas gemuk, gelap, lipas dan sebagainya.

Jangan sombong sangat, jangan berlagak macam kita paling bertawakal, macam Allah akan sentiasa lindungi kita dari Virus atau lainnya. Siapakah kita disisi Allah yang mahu lindungi sentiasa. Di media sosial pun bergaduh memanjang.

Kenali Agama Mu

Agama ini berbicara diatas hukum syariat, adat dan asbab, ikhtiar usaha, mementingkan penjagaan kebersihan, kesihatan, keselamatan, kebaikan dan kesejahteraan kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Agama juga berbicara tentang hakikat bahawa tiada kekuasaan hanya lah Allah, segalanya dalam takdir Allah. Segala yang berlaku dalam takdir yang ditetapkanNya.

Inilah kenikmatan seorang muslim dalam kehidupannya, mereka ada Allah dalam segala hal yang dilakukannya, bukan sebagaimana mereka yang tiada kefahaman Islam, mereka tiada Allah dalam kehidupan.

Seorang muslim yang benar tidak akan sombong dengan pangkat, kekayaan dan kejayaaan kerana dia melihat kurniaan Allah untuk mengujinya, juga mereka tidak menjadi seorang yang merasa hina, putus asa dengan kesusahan dan kemiskinan, mereka redha dan tenang dalam ujian Allah padanya.

Pada awalnya para sahabat sentiasa bergilir menjaga rumah Baginda demi keselamatan hingga datang wahyu mengatakan bahwa Allah yang menjaga Rasulullah dari kejahatan manusia, maka para sahabat tidak lagi menjaga rumah Baginda.

Allah SWT berfirman:

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.”(QS. Al-Ma’idah 5: Ayat 67)

Kita yang tiada jaminan pemeliharaan Allah perlulah berwasilah dengan hukum ikhtiar dan usaha baik aspek amalan spiritual (kerohanian) dan penjagaan zahir dalam menjaga keselamatan demi mendapatkan pertolongan Allah.

Rasulullah adalah insan yang paling bertakwa, paling berhakikat dan makrifat, namun Rasulullah adalah seorang yang amat menjaga syariat, amat menekankan kebersihan, kesihatan dan mengajar umatnya dengan sempurna segala hukum kehidupan dari sekecilnya hingga sebesar perkara.

Tiada dalam ajaran Rasulullah menekankan ketauhidan hingga mengabaikan hukum adat dan asbab, bahkan segala amalan sunnahnya membawa kebaikan jika diamalkan.

Rasulullah bukan sahaja mengajar tentang pergantungan hati dengan Allah, tetapi juga mengajar tentang usaha dan ikhtiar yang penuh kesungguhan dalam apa jua perkara yang dilakukan.

Tiada yang paling memahami Al Quran melainkan Rasulullah, akhlaknya adalah Al Quran, maka para sahabat r.anhum memahami Al Quran dari Rasulullah baik ucapan dan kelakuannya (dipanggil sunnah).

Adapun para ulama tabien, memahami Al Quran dan Sunnah berpandukan para sahabat kerana para sahabat r.anhum berguru secara langsung dan bergaul dengan Rasulullah.

Adapun para ulama tabi’in- tabi’in melihat pada tabi’in untuk fahami Al Quran dan Sunnah kerana mereka berguru dan bergaul dengan para sahabat.

Adapun ulama kemudian mengambil kefahaman al Quran dan Sunnah dari para ulama tabi’in tabi’in kerana mereka berguru dan bergaul dengan para ulama tabi’in.

Begitulah rantaian atau sanad ilmu hingga hari ini, penuh indah dan terpelihara kebenarannya yang amat dijaga para ulama dalam disiplin ilmu agama, tiada mengambil mudah mentafsirkan Al Quran melainkan dgn panduan dan displin ilmu yang jelas dan ketat.

Tanpa sanad keilmuan yang haq, semua orang boleh berbicara, mentafsirkan Al Quran dan Hadis mengikut akal dan perasaan mereka dengan bebas, maka disitulah bermula kehancuran dan fitnah pada agama yang indah dan penuh kerahmatan ini.

Iktiyar Kini

Firman Allah,

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. (at Taubah : 51)

Setelah mengusahakan usaha dan ikhtiyar jasmaniah (kuarantin diri dan patuhi langkah keselamatan yang digariskan KKM) dan disertakan pula usaha dan ikhtiyar rohaniah dengan banyakkan berzikir, berselawat dan bangun bersimpuh di tengah malam. Kita orang beriman mesti yakin akan pertolongan dan keajaiban dari Allah. Dia menguji dan Dia juga menyembuhkan. Masa ini juga kita ambil peluang menghidupkan solat jemaah bersama ahli keluarga yang tercinta.

Kita tidak mahu hal ini berterusan. Tak nak. Tika ini kita bukan sahaja risau akan ancaman wabak Covid-19, tetapi yang lebih menggusarkan kita ialah bencana ekonomi yang akan berlaku jika Covid-19 tak dapat dibendung dalam tempoh 2 minggu.

Kita akan menghadapi krisis ekonomi dan sosial yang lebih dahsyat. Bagaimana nasib mereka yang miskin, mereka yang tiada simpanan duit, mereka yang  tidak lagi boleh bekerja, tidak lagi boleh berniaga sedangkan tanggungan ramai, rumah, kereta, sewaan premis dan hutang atau sewa tertentu perlu dibayar serta harga barangan melambung naik.

Ramai yang hanya berpesan agar kuatkan amal pada Allah dalam tempoh kuarantin ini, sedikit yang berpesan agar tingkatkan sikap prihatin membantu sesama kita dalam menghadapi krisis ini. Letakkan kita dalam sisi pandang orang lain. Kita mungkin masih selesa kerana bergaji tetap, tetapi bagaimana orang lain?

Sesungguhnya, Allah tiada mendatangkan sesuatu peristiwa melainkan pasti ada rahsiaNya. Semoga Covid-19 membawa seribu kebaikan disebaliknya. Insya – Allah. Ya benar, COVID -19 adalah teguran Allah agar kita semua kembali kepada-Nya. COVID-19 juga menzahirkan setengah masyarakat yang tak alert dan prihatin dengan ancaman virus ini.

Wallahualam, sekian

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.