Isaac Newton, Robert Boyle, John Dee, Jabir Ibn Hayyan, Al-Razi dan ramai lagi merupakan seorang ahli alkimia (alchemist). Kalau ada orang mendakwa Newton seorang ahli sihir, tidaklah salah sepenuhnya sebab Newton mengamalkan alkimia.

Alkimia ialah disiplin yang menggabungkan sains dan mistik. Sainsnya dalam alkimia ialah dari segi amalannya seperti eksperimen dalam makmal. Melakukan campuran antara bahan. Menggunakan peralatan-peralatan makmal seperti kaki retort, relau, bikar, dsb. Peralatan-peralatan dan amalan yang pernah dibuat oleh ahli alkimia ini masih ada yang terpakai dalam sains moden.

Malah, serbuk letupan (gun powder), merkuri, turpentin, asid nitrik, air kapur (lime), asid sulfurik, kromium oksida, garam dan beratus-ratus lagi campuran (compound) merupakan produk daripada pengamalan alkimia.

Produk-produk alkimia ini masih kita gunakan pada hari ini sama ada dalam kajian kimia/perubatan ataupun mencipta pelbagai bahan untuk kemudahan manusia.

Garam digunakan untuk memasak, asid nitrik digunakan untuk membuat baja, bitumen digunakan dalam sektor pembinaan, kalamin (calamine) digunakan sebagai ubat sapu gatal-gatal, amonia digunakan dalam proses penapaian (fermentation) dan banyak lagi produk-produk alkimia yang digunakan dalam industri pembuatan dan perubatan.

Sebab itu alkimia tidak dipanggil pseudosains tetapi protosains. Ia tidak dipanggil sains kerana unsur mistik yang diterapkan disebalik pengamalannya.

Apa yang mistiknya dalam alkimia?

Pernah dengar mengenai Jadual Berkala (Periodic Table)? Mereka yang belajar kimia sejak sekolah akan diperkenalkan Jadual Berkala ini. Dalam jadual berkala terisi pelbagai jenis unsur-unsur (elements) asas seperti oksigen, hidrogen, helium, bismuth, sulfur, aluminium, neon, emas, perak, logam, dan sebagainya.

Kalau dicampur unsur-unsur ini, akan membentuk molekul atau campuran baru. Contohnya, oksigen campur hidrogen, jadi air. Dalam sains moden, saintis anggap unsur-unsur termasuk molekul sebagai objek-objek yang tidak bernyawa. Objek yang tidak hidup. Oksigen, air, tanah, api, manalah bernyawa.

Tetapi bagi ahli alkimia (alchemist), mereka anggap unsur-unsur ini mempunyai roh (spirit). Mereka anggap alam semesta ini mempunyai roh sejagat termasuk Bumi dan isi-isinya (unsur-unsur tadi).

Matlamat utama ahli alkimia ialah untuk mencari Batu Filsuf (Philosopher’s Stone). Batu ini tidak semestinya batu, ia boleh datang dalam bentuk serbuk ataupun cecair. Boleh jadi ia metafora untuk kaedah. Batu ini berkemampuan untuk menukarkan logam biasa menjadi emas dan memberikan keabadian hidup.

Bagi mereka, logam dan bahan-bahan selain emas merupakan bahan yang tidak sempurna. Roh yang tidak sempurna. Sebab itulah mereka mahu menukarkan bahan-bahan ini menjadi emas, dengan kata lain menyempurnakan sifat kewujudan bahan-bahan ini melalui alkimia. Amalan menyempurnakan roh-roh bahan ini memberikan kesempurnaan kepada spiritual pengamalnya (ahli alkimia).

Kalau kita tengok, produk-produk kimia pada hari ini, ketika zaman alkimia, namanya agak berbeza. Turpentin yang digunakan sebagai bahan pelarut untuk mencipta lilin perabot (wax furniture) dikenali sebagai roh tupertin, alkohol dikenali sebagai roh wain (wine spirit), asid sulfurik dikenali sebagai roh virtiol, metanol dikenali sebagai roh pyroxilic, amonia dikenali sebagai roh Hartshorn, garam dikenali sebagai roh garam (kelakar pula bunyinya).
Di zaman moden, kita tak ada perkara-perkara mistik ini semua. Bahan-bahan ini semua benda yang tidak hidup dan tidak bernyawa. Tidak mempunyai roh.

Berbezanya alkimia dengan sihir ialah dari segi pengamalan. Dari sudut falsafahnya mungkin lebih kurang sama iaitu melibatkan unsur mistik, tetapi sudut amalannya amatlah berbeza. Alkimia amalkan perkara yang fizikal, buat eksperimen sana sini sehingga terhasilnya produk fizikal yang memberikan manfaat kepada manusia. Sihir pula amalannya tidak fizikal, mereka tidak lakukan eksperimen, mereka tidak ada peralatan yang saintifik dan membuang masa.

Jadi, adakah Isaac Newton dan ahli-ahli alkimia lain merupakan ahli sihir? Ya dan tidak. Isaac Newton pernah digelar sebagai “The Last Sorcerer”. John Maynard Keynes (pengasas ekonomi Keynes) pernah menggelar Newton sebagai “The Last Magician”.

Kalau kita mahu gelar Newton sebagai ahli sihir kerana falsafah di sebalik pengamalan alkimia, kita jangan pilih bulu. Sarjana-sarjana Islam pun ramai yang mengamalkan alkimia seperti Jabir Ibn Hayyan, Al-Razi, Khalid Ibn Yazid, dll.

Saya pasti, tempiasnya gelaran sihir ke atas ahli-ahli alkimia kerana falsafah mereka yang melibatkan roh dan kuasa ghaib. Idea yang lebih kurang sama dengan sihir. Tetapi amalan mereka tetap ada unsur-unsur saintifik. Kita tidak boleh nafikan sumbangan ahli-ahli alkimia ini dalam sains moden.

Tetapi adakah sains moden itu sihir? Ini mutlaknya tidak kerana tiada langsung unsur sihir dalam sains moden. Saintis tidak bermain dengan kuasa ghaib ataupun unsur-unsur roh. Semua amalan sains moden adalah fizikal dan empirikal. Kajian cuma melibatkan perkara yang boleh dicerap.

Sains moden bukan sihir. Sains moden bukan sihir. Sains moden bukan sihir.
Sekadar trivia, amalan alkimia merupakan amalan terlarang di zaman pertengahan Eropah. Sesiapa yang dijumpai mengamalkannya, akan dihukum bunuh. Newton banyak menghabiskan riwayat hidupnya dalam dunia alkimia. Beribu perkataan telah ditulis oleh beliau berkenaan alkimia. Tetapi tidak banyak yang terselamat kerana makmalnya pernah terbakar.

Dalam artikel ini ini merupakan simbol alkimia yang dilakar oleh Newton.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Comments are closed.