Betul Ke Pasukan Keselamatan Kita Kerja Tidur Dan Makan?

2,052

KISAH 1

Anak perempuannya sakit. Tetapi tugasnya kepada negara perlu didahulukan. Walaupun dia sudah mendapat pelepasan daripada pegawai atasannya untuk bercuti, dia tetap berkeras melaksanakan tugasnya menghalang onar berduri daripada Parti Komunis Malaya.

Apabila operasinya tamat, dia dengan segera ke rumah sakit tempat anaknya mendapat rawatan. Si anak kecil yang baru mengenali dunia itu melihat muka ayahnya dan berkata-kata, “apakah tugas ayah itu jauh lebih penting daripada saya?” Dan di kala itu, nafas si anak kecil itu putus. Begitulah kisah mendiang Tan Sri Yuen Yuet Ling dan anak beliau.

Nota: Tun Hanif Omar juga melalui tragedi sama.

Kisah 2
Si ayah, seorang warga TLDM, meninggalkan kampung halaman ke sebuah negara lain untuk latihan dan tugasan. Ketika itu, anaknya baru berusia seminggu.

Hari ini, anaknya sudah tiada kerana sakit.

Kisah 3

Cutinya untuk balik ke Kuala Lumpur sudah lulus. Isterinya menunggu di rumah sempena ulang tahun ke-23. 

Tetapi bilik operasi melaporkan terdapat pergerakan orang disyaki di sebuah kampung air. Semua pegawai dan anggota diperlukan.

Pada hari ulang tahun ke-23 itu, si isteri menghantar sms kepada suaminya. Dan si anak yang belajar di Kaherah menulis di Facebooknya sendiri, mengucapkan selamat ulang tahun kepada kedua orang tuanya dan mendoakan perkahwinan mereka kekal sepanjang hayat.

Malam sebelum itu, SP Ibrahim Lebar sudahpun menghembuskan nafas terakhirnya akibat ditembak pengganas Sulu.

Kisah 4

Hari itu hari jadi dia. Tapi tiada istilah cuti hari jadi dalam perkhidmatan. Apapun, anak dan isterinya sudah tentu menyediakan kek hari jadinya di rumah malam kelak.

Di kala dia memacukan pesawat Beechcraft King ke udara, apa yang tidak diingini berlaku. Pesawat hilang kawalan dan terhempas. Tiada istilah tiada kematian pada hari jadi. 

Mendiang Mejar Kayamboo terkorban pada hari lahirnya.

Kisah 5

Keadaan di Kaherah makin tidak stabil. Ramai rakyat Malaysia yang belajar di situ terperangkap. Maka Ops Pyramid dilancarkan. Pesawat Hercules C130 Charlie TUDM digerakkan ke Kaherah.

Ketika di Mesir, salah seorang anggota TUDM mendapat berita anaknya meninggal dunia akibat kemalangan di Malaysia. Di kala dia di luar negara menyelamatkan anak orang, anaknya meninggal dunia.

Tidur dan Makan?

Semua kisah di atas adalah kisah benar. Di mana sesuai, nama disebut. Di mana tidak sesuai, tidak disebut.

Dan ini cumalah sebahagian daripada ratusan ribu kisah yang dihadapi anggota-anggota pasukan keselamatan kita.

Jadi, adakah mereka cuma tidur dan makan?

Ingat. Keamanan yang kita kecapi bukannya percuma.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.