Betul ke “Marshmallow Test” Meramalkan Kejayaan Hidup?

634
views

Baru-baru ini, sebuah rancangan bual bicara membincangkan tajuk yang hangat bersama dua orang tetamu jemputan. Tajuk “Mitos Melayu Malas: Perspesi atau Realiti” menjadi pilihan mereka untuk dibincangkan memandangkan tajuk itu begitu rancak didebatkan dan berlegar di media sosial dan juga media massa. Saya secara peribadinya tidak nampak sebarang keperluan untuk membincangkan tajuk yang membosankan ini berulang kali.

Kerana bagi saya, jawapannya jelas ada di depan mata kita. Melayu itu tidak malas, tidak pernah malas, dan tidak akan menjadi malas. Titik noktah. Tak perlulah nak mewujudkan sesuatu yang tidak pernah menjadi isu berdasarkan kenyataan beberapa orang sahaja yang tidak disokong oleh sebarang statistik mahupun data yang jitu.

Tapi walau bagaimanapun, saya tertarik dengan satu hujah yang dibawa oleh salah seorang jemputan rancangan bual bicara tersebut. Ianya adalah berkenaan dengan “delayed gratification”, atau dalam istilah bahasa Melayunya “kepuasan yang dilengahkan”. Ini membawa kita kepada eksperimen terkenal yang diberi nama sebagai “Stanford Marshmallow Experiment” ataupun “Marshmallow Test”.

Sebelum para pembaca semua menggaru kepala, pening mendengarkan pelbagai istilah sofistikated yang baru sahaja saya tulis, saya rasa eloklah saya terangkan kepada anda semua maksud istilah-istilah ini dengan lebih teliti. “Delayed gratification” ataupun “kepuasan yang dilengahkan” adalah kemampuan seseorang itu untuk menahan diri mengambil ganjaran yang kecil yang ada di depan mata, kerana mengharapkan ganjaran yang lebih besar jika mereka bersabar.

Ia adalah satu konsep sabar, kawalan ke atas diri sendiri dan memerlukan pengorbanan diri dari mengambil ganjaran yang kecil hanya kerana kita tahu yang ganjaran yang lebih besar sedang menunggu kita. Konsep ini nampak logik pada akal, dan tinggi pada nilaian moral kita. Malah dalam agama Islam sendiri, konsep ini bertepatan dengan nilai sabar yang diterapkan dalam Islam.

Namun begitu, konsep “delayed gratification” ini mula mendatangkan masalah, apabila ianya mula dikaitkan dengan kejayaan seseorang dalam hidup. Katanya mereka yang mengamalkan “delayed gratification” akan berjaya dalam hidup, dan mereka yang tidak mengamalkan “delayed gratification”, akan gagal. Dan kenyataan ini sering dimomokkan dan digembar-gemburkan oleh pakar motivasi dan disokong dengan eksperimen popular “Marshmallow Test”.

Gambar 2: Walter Mischel, orang yang merangka eksperimen popular “Marshmallow Test”

Sumber:
https://psychology.columbia.edu/content/walter-mischel

“Marshmallow Test” merupakan sebuah eksperimen yang dilakukan pada penghujung tahun 1960-an dan 1970-an oleh ahli psikologi terkenal, Walter Mischel. Mischel mendapat idea untuk melakukan “Marshmallow Test” apabila melihat satu eksperimen yang dilakukan di Trinidad pada tahun 1958. Kanak-kanak Creole dan juga kanak-kanak dari Selatan Asia dikumpulkan dan diberi tawaran gula-gula 10 sen seminggu dari tarikh eksperimen jika mereka mampu menahan diri dari mengambil gula-gula 1 sen yang sedang diagihkan oleh fasilitator.

Ujian itu mendapati bahawa kanak-kanak dari Selatan Asia lebih berminat untuk menunggu seminggu untuk mendapatkan gula-gula yang lebih berharga, berbanding dengan kanak-kanak Creole. Analisis kepada keputusan ujian itu juga menunjukkan yang kebanyakan dari kanak-kanak yang mempunyai ayah di rumah, dan juga kanak-kanak yang lebih tua, lebih cenderung untuk menunggu seminggu berbanding kanak-kanak yang lain.

Mischel yang tertarik melihat eksperimen tersebut, berhasrat untuk meniru dan mengulangi eksperimen itu di Amerika Syarikat. Pada tahun 1971-1972, Mischel dan juga rakan-rakannya merangka ekseperimen seumpama yang dilakukan di Trinidad untuk dijalankan di Stanford. Menyedari akan kekangan yang wujud melalui eksperimen di Trinidad (jurang umur yang luas antara subjek), Mischel menghadkan subjek eksperimennya kepada kanak-kanak berumur 3-5 tahun.

“Marshmallow Test” dijalankan dengan menawarkan kanak-kanak satu marshmallow. Dan satu tawaran juga diberi kepada kanak-kanak tersebut, jika mereka mampu menunggu 15 minit, bilangan marshmallow tersebut akan digandakan. Ujian ini direka untuk melihat kemampuan kawalan diri, dan melihat potensi sama ada kemampuan tersebut boleh diajar atau hanya mampu dikembangkan secara semula jadi.

“Marshmallow Test” yang pada mulanya dijalankan pada 90 orang subjek, mula dikembangkan dan diulang saban tahun. Eksperimen demi eksperimen mendedahkan beberapa perkara penting tentang psikologi manusia, khususnya psikologi kanak-kanak, namun tiada penemuan yang “menggegarkan” dijumpai, sehinggalah pada tahun 1988.

Ujian “Marshmallow Test” pada tahun 1988, yang dijalankan oleh Mischel dan rakannya Soda mempunyai ujian susulan yang dijalankan 10 tahun selepas itu. Di mana, kanak-kanak yang terlibat dalam eksperimen pada tahun 1988, dinilai pencapaian mereka apabila mereka sudah menginjak dewasa. Ujian itu mendapati bahawa kanak-kanak yang sabar menunggu, mempunyai pencapaian hidup yang lebih baik (dari segi akademik,kerjaya dan juga hubungan kekeluargaan) berbanding kanak-kanak yang tidak menunggu untuk marshmallow tersebut digandakan.

Penemuan tersebut “menggegarkan” dunia psikologi dan menjadi asas dan pembuktian kepada konsep “delayed gratification”. Ianya mula digunakan dan diajar oleh pakar motivasi dan pakar perunding seluruh dunia sebagai satu rahsia kepada kejayaan. Malang sekali buat kanak-kanak yang tidak menunggu untuk marshmallow tersebut digandakan.

Masakan tidak, ujian tersebut juga mula dijalankan di tadika dan di sekolah-sekolah rendah. Kononnya ujian ini sesuai digunakan untuk menilai kemampuan pelajar, dan menentukan laluan kejayaan mereka. Malangnya kanak-kanak yang tidak sabar menunggu mula dicop sebagai kanak-kanak yang akan gagal dalam hidup.

 Saya tiada masalah dengan ujian “Marshmallow Test” ini secara amnya. Tetapi apabila ia mula digunakan untuk meramal kejayaan seseorang,ianya sudah menjadi satu ujian yang mengarut. Perlu diingatkan, tiada manusia di dunia ini yang boleh meramalkan masa depan. Jadi kita tiba pada persoalan yang paling utama. Pada tajuk rencana ini. Benar ke “Marshmallow Test” boleh meramalkan kejayaan seseorang?

Saya bagi anda satu jawapan yang ringas. Tidak. Mengapa? Jika anda cakna isu semasa, anda akan sedar yang ujian ini dan juga keputusannya sudahpun dianggap tidak relevan tahun lepas (2018). Ini berdasarkan kepada kajian yang terbaru, yang dilakukan pada tahun 2018. Kajian “Marshmallow Test” yang diulang kembali oleh Tyler Watts, Greg Duncan dan juga Hoanan Quan. Mereka bertiga mengulang kembali “Marshmallow Test” pada skala yang lebih besar.

Jika Mischel memulakan ujian “Marshmallow Test” dengan 90 orang subjek, ketiga-tiga orang penyelidik ini melakukan ujian mereka ke atas 900 orang subjek. Dan keadaan semua subjek dinilai semula 10 tahun selepas itu, apabila mereka sudah menginjak dewasa.

Keputusannya sangat mengejutkan. Mereka bertiga bukan sahaja tidak mampu mendapat keputusan yang sama seperti yang Mischel lakukan pada tahun 1988, malah ujian mereka juga tidak menjumpai sebarang perkaitan yang jelas di antara kemampuan untuk menunggu dan juga kejayaan hidup subjek. 

Apa yang Mischel jumpa pada tahun 1988 barangkali hanyalah satu kebetulan. Ketiga-tiga penyelidik itu pula menemui sesuatu yang lebih bermanfaat melalui kajian mereka. Mereka mendapati, kanak-kanak yang tidak sabar menunggu kebanyakannya adalah kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga yang susah.

Manakala kanak-kanak yang rela menunggu pula, adalah kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga yang senang. Ini secara tidak lansung menjelaskan psikologi di sebalik perlakuan kanak-kanak yang menunggu berbanding dengan yang tidak. Kanak-kanak yang tidak menunggu barangkali sudah diterapkan dalam minda mereka untuk merebut sebarang peluang yang ada di depan mata, kerana benda yang dijanjikan pada masa hadapan belum tentu akan datang.

Perlakuan ini mungkin dibentuk melalui pengalaman hidup, sekaligus memusnahkan segala perkaitan antara “delayed gratification” dan juga kejayaan hidup seseorang. Jelas sekali, kejayaan hidup seseorang bukanlah bergantung kepada berapa banyak marshmallow yang dimakan seseorang itu sewaktu kecil, tetapi atas kombinasi beberapa faktor seperti usaha dan persekitaran yang mendorong.

Rujukan dan Bacaan Lanjut:

Calarco, M, Jessica (Jun, 2018), “Why Rich Kids Are So Good at the Marshmallow Test” The Atlantic

Adams,Richard ( Jun, 2018), “Famed impulse control ‘marshmallow test’ fails in new research” The Guardian

Resnick,Brian ( Jun, 2018), “The “marshmallow test” said patience was a key to success. A new replication tells us s’more.” Vox

Brenner, H.Grant (Mei,2018), “Does the “Marshmallow Test” Really Predict Success?” Psychology Today