Sabar dulu kalau nak gelak. Gelak lah pada perenggan akhir nanti.

“Dalam sains, orang yang berjaya meyakinkan dunia akan menerima kredit sebagai penemu idea, bukan orang yang pertama menemui suatu idea.”

Begitulah juga dengan penemuan kaedah mencegah wabak cacar, memandangkan pengetahuan orang timur lebih maju dalam bidang perubatan pada suatu ketika dan mendominasi bidang sains yang selama berabad-abad, Empayar Uthmaniyah telah menjadi lokasi yang merekodkan penemuan vaksin untuk cacar air lebih awal sebelum barat.

Transkripsi tahun 1894 yang memperincikan peraturan berkaitan vaksinasi cacar.

Sayangnya tak ada nama tokoh penemu yang spesifik pada waktu itu. Ada sumber yang mengatakan penemuan berlaku selepas beberapa pertukaran budaya dan pengetahuan antara para pedagang Turki dan Circassia.

Dan apabila orang Eropah menemui teknologi ini yang diamalkan di kalangan penduduk Istanbul, mereka kemudian membawa formulanya pulang ke Eropah, menambah baik keberkesanannya, menurunkan harganya, lalu mendapat kemenangan sebagai penemu terawal. Situasi sebegini memang biasa berlaku, orang kata inilah hukum dunia sains.

Vaksin moden yang kita semua sedang guna hari ini bagaimanapun adalah hasil penyelidikan selama 20 tahun oleh doktor Britain yang idealis, Edward Jenner.

Dia mendapati bahawa penyakit cowpox (cacar lembu) yang berupa sebagai lepuh atau gelembung bendalir yang terbentuk pada ambing lembu (yang dekat tetek tu) tapi hilang dalam waktu yang singkat memberikan ketahanan tertentu pada tubuh manusia.

Berdasarkan idea ini, dia beri suntikan pada kanak-kanak dengan nanah yang diambil dari kulit wanita yang dijangkiti cacar. Dengan vaksin yang dibuat dari virus cacar yang dia peroleh pada tahun 1796, Jenner menjadikan seseorang yang sihat akan mengalami sakit-sakit yang ringan macam demam, kemudian baru lah tubuh orang itu akan jadi imun terhadap virus cacar.

Sejak itulah Edward Jenner secara umum dikenali di seluruh dunia kerana sumbangannya yang inovatif terhadap kaedah moden imunisasi dan pencegahan penyakit cacar.

Hasil kerja Jenner dah dianggap secara meluas sebagai asas permulaan imunologi walaupun pada hakikatnya dia bukanlah pihak yang terawal membuktikan bahawa jangkitan cacar tertentu memberi kekebalan spesifik kepada cacar air dan dia bukan individu yang pertama yang mencuba kaedah inokulasi cacar untuk tujuan sama.

Jauh beberapa dekad sebelum penemuan oleh Edward Jenner iaitu pada tahun 1715, seorang wanita bangsawan Inggeris bernama Mary Wortley Montagu dijangkit penyakit cacar, dia hanya mengalami kerosakan pada wajah secara kekal, tapi dia kehilangan adik kandungnya akibat penyakit yang sama tak lama kemudian.

Apabila suaminya dilantik sebagai duta besar ke Empayar Uthmaniyah beberapa tahun lepas tu, Lady Mary mendapati sebenarnya ada penawar yang lebih pantas dan berkesan untuk mencegah penyakit yang pernah membuat dia menderita sebelum tu.

Dokumen tahun 1892 yang memperincikan anggaran untuk bajet pembinaan pusat penerimaan vaksin yang dipanggil “telkihhane” untuk menerima vaksin cacar.

Dalam surat yang dia kirim kepada seorang kenalan, dia mulakan dengan ayat, “Aku akan memberitahu kau hal yang akan buat kau ingin tinggal di Istanbul,”.

Montagu beritahu kawan dia yang negara Uthmaniyah mencegah kontraksi cacar dengan kaedah variolasi iaitu kaedah inokulasi (membina imuniti secara artifisial terhadap penyakit berjangkit) yang pertama kali digunakan untuk imunisasi individu dan melawan cacar (Variola).

Berita ini sepantas kilat tersebar menjadi berita sensasi sebab pada waktu itu juga ada ratusan ribu orang m.ati setiap tahun di Eropah akibat dijangkiti cacar.
Lady Mary mula mengarahkan pakar bedah di kedutaan untuk menjalankan proses inokulasi terhadap anak dia yang masih kecil, beberapa tahun lepas tu dia balik ke London.

Beberapa tahun kemudian dia lakukan beberapa cubaan melalui doktor yang sama dan apabila hasilnya berjaya, teknik imunisasi yang bermula di Empayar Uthmaniyah mendapat sambutan yang besar dan tersebar meluas.

Pendek kata, Lady Montagu menggunakan kesakitan yang pernah dia hadapi, kepintaran akal fikirannya dalam bertindak segera dan jiwa patriotik sebagai bonus untuk membawa formula itu dari Uthmaniyah ke Barat.

Kenyataan yang dikeluarkan pada tahun 1894 yang mewajibkan kanak-kanak tanpa gejala untuk mendapatkan vaksin cacar.

Oleh kerana kekurangan infrastruktur, kakitangan perubatan, masalah kewangan, ketidakstabilan politik, kecurigaan dan penolakan terhadap usaha pembaharuan di kalangan rakyat Uthmaniyah terutamanya orang Islam, aspirasi empayar tersebut untuk mencapai vaksinasi sejagat tak jadi kenyataan apabila Uthmaniyah menghadapi kejatuhan pada awal tahun 1920-an – terutama di seluruh Anatolia luar bandar.

Kemajuan dalam institusi, pendidikan, dan perundangan yang ditinggalkan Uthmaniyah, bagaimanapun, secara kolektif telah menyediakan landasan untuk Republik Turki dan agenda kesihatan awamnya.

Memandangkan promosi berterusan yang diusahakan kerajaan Republik Turki dalam memodenkan Turki di samping inisiatif bersama pembangunan negara, sejarah dan jasa-jasa Empayar Uthmaniyah yang menyediakan resepi awal formula vaksin ini kadang-kadang terabai dan akhirnya dilupakan begitu saja, bila kebenaran didedahkan, Uthmaniyah dituduh sebagai kerajaan yang dikawal Freemason pula.

Pengalaman Uthmaniyah dalam usaha kajian vaksinasi tak terhad kepada penyakit cacar semata-mata. Pada tahun 1885 semasa Sultan Abdülhamid II dapat tahu yang Louis Pasteur dah jumpa penawar untuk penyakit rabies (orang panggil penyakit anjing gila) yang berleluasa pada abad ke-19, baginda terus hantar sekumpulan saintis ke

Paris untuk dapatkan latihan tentang ilmu vaksinasi rabies, baginda juga berkenan mengurniakan anugerah kepada Pasteur. Selepas kumpulan ini kembali ke tanah air pada tahun 1887, mereka menubuhkan Institut Rawatan Rabies. Semua ini adalah hasil dari usaha peralihan dan pertukaran teknologi pada waktu itu.

Dokumen rasmi yang menyatakan Louis Pasteur dianugerahkan Order of Medjidie oleh Sultan Abdülhamid II atas jasanya menemui vaksin rabies. Dokumen ini dikeluarkan oleh Setiausaha Peribadi Sultan Abdülhamid II.

Warisan ini masih terus dilestarikan pada tahun-tahun awal selepas memasuki era republik dan semua kepentingan yang ditumpukan untuk kajian vaksin terus dikekalkan.

Institut Hygiene yang ditubuhkan pada tahun 1928 tak sekadar terhad untuk keperluan inokulasi dalam negara Turki saja tapi Turki pernah hantar bekalan vaksin ke China semasa negara China dilanda wabak cholera akibat perang sana sini.

Institut ini kemudian akan hasilkan hampir 20 jenis vaksin menjelang tahun 1940-an, termasuk vaksin untuk demam berdarah dan tuberkulosis (batuk kering). Bahkan vaksin tifus yang pertama di dunia pun dibangunkan di sini.

Tapi menjelang penghujung tahun 1990-an, pengeluaran vaksin dihentikan di Institut Hygiene atau di Turki secara keseluruhannya. Kalau nak tahu apa punca di sebalik terhentinya pengeluaran vaksin di Turki, kita akan jumpa senarai panjang pelbagai versi cerita berkenaan hal tersebut, dari pengemaskinian teknologi, hingga lah ke skandal vaksin yang tercemar kerana palam peti sejuk tertarik sendiri akibat kecuaian semasa kakitangan tengah cuti pada hari raya.

Kisah-kisah ini diperbesarkan hingga jadi mitos sebab agak susah nak fikir, macam mana ilmu yang dag dikhaskan oleh negara mereka selama berabad-abad boleh diperlakukan sebegitu cuai.

Tapi sampai sekarang bermacam versi penjelasan dah muncul melibatkan kisah kesilapan teknikal ini. Apa yang pasti kesilapan itu telah menyebabkan Turki berhenti menghasilkan vaksin hampir tiga dekad lamanya, dan dekad 1990-an digelar sebagai “zaman kemerosotan” Turki kerana kemunduran mengejut ini.

Pada bulan Disember 1979, hasil dari kejayaan penyelidikan dan kempen vaksin sepanjang abad ke-19 dan ke-20, para saintis mengisytiharkan era penyakit cacar dah berakhir sepenuhnya.

Kempen vaksinasi besar-besaran sangat berjaya hingga cacar menjadi satu-satunya penyakit yang berjaya dihapuskan sepenuhnya dalam sejarah manusia. Pendek kata, manusia hampir menyebabkan keturunan virus pupus, hampir tak meninggalkan sebarang ruang untuk virus terus aktif.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dah keluarkan vaksin cacar dari senarai vaksin wajib. Bermakna, dah tak ada manusia yang lahir lepas tahun 1980 akan kebal terhadap virus vaccinia (VACV) atau virus variola (VARV) yang mencetuskan wabak ini.

Sebab itu lah virus cacar ditakrifkan sebagai berpotensi menjadi senjata biologi paling kuat di dunia dan lebih berbahaya daripada perang nuklear. Malangnya kita berhadapan dengan penyakit yang lebih besar akibat tangan manusia sendiri, lagi malang nasib kita bila zaman Covid-19 ini kita terpaksa menghadapi kerenah para pentaksub teori konspirasi.

Kita selalu dengar ada pihak mendakwa yang vaksin adalah agenda Yahudi atau Freemason kononnya. Apabila kita lampirkan fakta tentang penemuan vaksin berlaku di Empayar Uthmaniyah, mereka memfitnah Uthmaniyah sebagai kekhalifahan yang dikawal oleh Freemason pula.

Tuan-tuan, sama ada vaksin ini dimulakan oleh Freemason ke Yahudi ke Islam ke kafir ke, jika ia bukan sesuatu yang baik, ia tak akan mungkin tersebar secara meluas dan dapat sambutan baik selama berabad lamanya. Dan apa yang pasti ia tetap ditemui di Empayar Uthmaniyah.

Dan jika nak berhujah yang Uthmaniyah itu adalah kerajaan yang dikawal oleh Freemason, berhujahlah dengan cerdik sikit. Bukan dengan buat kenyataan yang “Tahun 1600-an Uthmaniyah hasilkan vaksin, tahun 1920-an Uthmaniyah jatuh kerana vaksin!”. Ada gap lebih 300 tahun di mana Uthmaniyah menghasilkan vaksin lebih awal. Kenapa perlu 300 tahun baru Uthmaniyah jatuh selepas menjadi antara pelopor awal sistem vaksin?

Betul, meraikan pendapat berbeza tu cara yang matang. Tapi pendapat yang jelas bodoh patut diraikan ke? Tak rasa bodoh ke cakap macam tu? Tahun 1600-an Freemason pun tak wujud lagi lah.

Aku rasa ini lagi bodoh dari dakwaan yang mengatakan Mustafa Kemal Ataturk punca utama kejatuhan Uthmaniyah dan mayatnya tak diterima bumi, lagi janggal bila ada orang siap meraikan kenyataan tersebut dengan “wah, terima kasih berkongsi ilmu”.

“Kami orang Yunani dan Turki membuat sepuluh perkara, tapi kami catatkan satu perkara saja. Kami bukan seperti orang Jerman yang membuat satu perkara dan terus mencatatnya.”

Ini ialah penjelasan seorang doktor Greece mengapa Jenner yang mendapat nama, bukan Uthmaniyah dalam penciptaan vaksin cacar.

Usaha yang dilakukan oleh Edward Jenner melayakkan dirinya mendapat tempat dalam sejarah perubatan, tapi berapa ramai antara kita yang tahu tentang orang-orang yang berjasa di sepanjang jalan terawal yang menyumbang kepada penemuan ini?

Kita sendiri tak tahu siapakah namanya rakyat Uthmaniyah yang memulakan kaedah mencegah penyakit cacar terawal sebelum ditambah baik oleh Eropah, jadi, macam mana kita tahu mereka ini Freemason atau Yahudi?

Dan kalau Uthmaniyah itu Freemason, sepatutnya mereka tak jatuhlah kerana vaksin kan? Dan kenapa Sultan Abdülhamid II pernah mengharamkan lodge Freemason pada tahun 1876 iaitu sebaik saja baginda menaiki takhta menggantikan abangnya Sultan Murad V?”

Oh ya aku tak akan sorok fakta tentang Sultan Murad V yang merupakan satu-satunya sultan Uthmaniyah yang menyertai Freemason tapi akhirnya jadi gila. Baca baik-baik, SATU-SATUNYA. Jangankan Uthmaniyah yang konservatif, Mustafa Kemal Ataturk yang kepala sekular Turki itu pun menolak Freemason. Siap dia jadi sasaran b.unu.h oleh bekas-bekas menteri dia yang menyertai gerakan Masonry.

Lain kali jangan klaim kutip fakta dari sumber kalau sumber kau tu datang dari blogspot.

Fun Fact: Di barat, istilah “vaccine” sebenarnya berasal dari perkataan latin “vacca,” jika diterjemahkan akan membawa maksud “lembu.” Sama lah macam golongan yang menolak dan membuat pelbagai spekulasi lembu terhadap vaksin.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.