Ibadah solat adalah salah satu rukun Islam. Tuntutan solat telah disebut banyak dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

“Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.” SURAH AN-NISA: 103

Baginda Rasulullah SAW bersabda kepada Mu’adz bin Jabal ketika Baginda mengutusnya ke negeri Yaman:

أَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللهَ قَدَ فَرَضَ عَلَيْهِم خَمْسَ صَلَوَاتِ فىِ كُلِّ
يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ

 

“Khabarkanlah kepada mereka (penduduk Yaman) sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada setiap siang dan malam.” HADIS RIWAYAT BUKHARI

Sesungguhnya kedudukan solat adalah tiang agama dan suatu hal yang umum diketahui oleh setiap orang Islam bahkan orang bukan Islam juga banyak mengetahui ibadah utama Umat Islam ialah solat. Ia adalah hadiah paling istimewa dari Allah Taala kepada Nabi Muhammad s.a.w ketika peristiwa Isra’ Mik’raj.

Pada malam itu, Baginda s.a.w telah menerima ibadah solat secara langsung dari Allah tanpa perantara Jibril a.s. Ia jelas berbeza dengan ibadah-ibadah lain yang mana Jibril a.s merupakan perantara utama. Ini menunjukkan betapa penting dan tersendirinya tuntutan solat itu.

Dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut.

Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa”. HADIS RIWAYAT AL-BUKHARI

Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berwudhu’ dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardhu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut”. RIWAYAT MUSLIM

2.0 Hakikat Solat

Solat adalah beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat yang tertentu. Ini definisi solat pada fikih, lalu disempurnakan solat dengan adanya tawajuh (menghadap Hati) kepada Allah kerana tawajuh adalah ruh solat. Ruh solat adalah bertawajjuh kepada Allah dengan sepenuh hati, dengan khusyu’, ikhlas dan hati yang hadir dalam berzikir, berdoa dan memuji.

Solat adalah perlakuan zahir dan batin yang membawa impak penyucian yang besar dalam pembinaan kehambaan. Di dalam solat terdapatnya doa, pujian, zikir, bacaan al Quran, istighfar dan selawat.

Setiap rukun solat juga mengandungi asrar (rahsia-rahsia) tertentu. Adalah Solat mesti ditunaikan dengan di dirikan atas tiga rukun agama :

1) Iman (tauhid yang sahih)
2) Islam (perlakuan ibadah solat yang menuruti fiqh muktabar)
3) Ihsan (adanya khusyu’) sebagai kesempurnaan solat.

2.1. Sudah Makrifat Tak Perlu Solat?

Ini adalah tipudaya yang sangat halus. Sebenarnya, kita tidak perlu menjawab panjang persoalan ini apatahlagi ia dilakukan orang ‘double jahil’ yang tidak sayugianya dijadikan contoh.

Terus terang ajaran ini memang mudah diterima sebahagian golongan ibarat orang mengantuk di sorok bantal. Memang sudah malas solat, datang pula kefahaman tidak wajib solat, lantas disambut dengan hawa nafsu bukan dengan makrifat sebenar. Ini kerana orang yang benar makrifat pasti rindu berhubung dengan Allah yakni solat.

Dalam perjalanan kesufian, solat adalah segala-galanya. Baca lah sejarah para ulama sufi, mereka semua amat mencintai solat malah solat malam adalah kelaziman dalam rutian harian mereka.

Kita lanjutkan lagi, rata-rata para penyeleweng ajaran sufi sebenar atau ajaran atas jenama hakikat-hakikat ini gemar menggunakan nama Syaikh Abdul Qadir al Jilani. Persoalannya di sini, bagaimana pandangan Syaikh Abdul Qadir Al Jilani tentang ibadah solat?

Di dalam kitabnya yang terkenal Sirrul Asrar, al-Syaikh membicarakan suatu bab khusus tentang solat malah membahagikan solat kepada dua yakni solat syariat dan solat hakikat.

Menurut Syaikh, solat syariat ialah solat seluruh badan yang zahir pada gerakan tubuh, seperti badan berdiri, lidah membaca, ruku’, sujud’, duduk, mengeluarkan suara dan bacaan-bacaan. Solat ini mempunyai waktu tertentu di dalam satu hari satu malam lima kali berserta sunatnya.

Adapun solat tariqat ialah solatnya hati selama-lamanya iaitu sebagaimana tersebut dalam al-Qur’an ‘Solat al Wusta’ iaitu solat hati kerana hati berada di tengah badan, antara kanan dan kiri, antara atas dan bawah dan antara bahagian dan celaka.

Solat tariqat dilakukan selamanya tanpa batas waktu selama hidup dunia dan akhirat. Masjidnya adalah hati. Berjemaahnya ialah kesepaduan antara kesucian batin dengan selalu memperdengarkan tauhid dengan lisan batin. Hati dan ruh selamanya tak terpisah dari solat ini.

Solat daim (solat yang berkekalan) yang sering disebut-sebut oleh setengah para ahli sufi adalah tidak salah sebenarnya kerana maksud yang dikehandaki adalah hati sentiasa solat walau dimana berada (hati sentiasa menghadap Allah sebagai hakikat kiblat) namun bukan bermakna meninggalkan solat syariat kerana barang syariat itu menyatakan erti hakikat.

Yang bermasalah sekarang ini, terdapat mereka yang menggunakan jenama solat daim tetapi tidak solat lima waktu. Oleh kerana itu, meskipun Syaikh Abdul Qadir al Jilani membahagikan solat kepada dua bentuk tetapi beliau mengakhiri kupasannya dengan menyebut,

“Bila dua solat telah berpadu (solat syariat dan tariqat) zahir dan batin. Maka sempurnalah solat itu dan pahalanya pun sangat besar. Qurbah (kedekatan dengan Allah) diraih oleh solat rohaniah dan darjat (syurga) diraih oleh solat badannya, maka orang yang melakukan solat seperti ini (kesepaduan syariat dan tariqah) beerti lahirnya ahli ibadah dan batinnya arifbillah.”

Tidak cukup dengan itu, pada akhir kitab Sirrul Asrar, al Syaikh membentangkan 11 golongan ‘sufi’ yang menyeleweng dan antara yang disebutkan ialah golongan Haliyyah. Siapakah golongan Haliyyah? Mereka yang beranggapan bahawa jika seseorang sudah mencapai peringkat kewalian, maka gugurlah tuntutan – tuntutan syarak atas mereka.

Demikian jika kita membaca matan – matan Hikam Ibnu Athoillah. Saya sebutkan disni kerana matan Hikam ini sangat masyhur digunakan di dalam celahan-celahan ‘geng-geng’ yang mendakwa bicara makrifat hakikat tanpa syariat ini. Apa yang disebut dalam matan Hikam tentang solat? Antaranya ialah :

الصلاة طهرة للقلوب من أدناس الذنوب و استفتاح لباب الغيوب

“Solat adalah pembersih hati dari kotoran dosa dan pembuka pintu keghaiban (makrifat dan rahsia-rahsia ilahi)”

Syaikh berkata lanjut di matan seterusnya,

الصلاة محل المناجة ومعدن المصافات : تتسع فيها ميادين الأسرار وتشرق فيها شوارق الأنوار

“Solat adalah tempat munajat dan kerinduan, di dalam solat terdapat ruang rahsia – rahsia dan di dalam solat juga bersinar sinaran-sinaran cahaya”

3.0 Solat & Permusafiran

Untuk melihat lagi betapa pentingnya ibadah solat, ayuh kita perhalusi firman Allah ini,
Allah Taala berfirman:

“dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa memendekkan sembahyang (solat qasar) jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”. SURAH AN NISA’:101

Tuntutan ibadah solat sangat berat, ia tidak dapat ditinggalkan walau di mana dan dalam apa jua keadaan sekalipun, baik ketika sakit, musafir bahkan sekalipun dalam ketakutan ketika peperangan.

Sekiranya diperhalusi lagi tentang kepentingan solat, sekiranya seseorang itu tidak mampu menunaikannya secara berdiri, dia diberi kelonggaran oleh syara‘ menunaikannya dalam keadaan duduk.

Jika tidak mampu dengan duduk, solat dengan cara berbaring. Jika masih tidak mampu solat cara berbaring, memadailah dengan isyarat atau ditunaikan sekadar keupayaannya, selama mana dia masih dalam lingkungan orang mukallaf.

Info Buku : https://www.facebook.com/100002003890223/posts/2474897789253660/?d=n

Saya tidak memanjangkan artikel ini dengan bicara solat musafir, memadai setakat ini. Saya cadangkan para pembaca mendapatkan buku Solat Musafir : Jama’ & Qasar karya penulis untuk membaca perbahasan lanjut.

Sekian,


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.