Beth Thomas: The Psychopath Little Girl

0
1309
views

Kisah budak perempuan ini digambarkan sebagai salah sebuah kes penderaan seksual dan pengabaian anak yang sangat teruk. Kisah Beth Thomas turut membingungkan dan menakutkan ramai pihak serta mendapat liputan pemberita serata dunia.

Beth yang dikenali sebagai “The Psychopath Little Girl” mempunyai sejarah hitam yang menjadi pencetus terhadap kelakuan ganas kadangkala menakutkan, gadis comel itu terhadap keluarga angkat dan adik lelaki beliau sendiri.

Kisah ini juga menekankan bahawa segala perbuatan dan kelakuan yang berlaku semasa zaman kanak-kanak mempunyai impak besar terhadap perkembangan mental, sama ada yang negatif atau positif pada masa akan datang apabila kanak-kanak itu dewasa.

Permulaan

Beth kehilangan ibu kandungnya yang meninggal dunia ketika kanak-kanak itu hanya berumur 1 tahun. Selepas itu, beliau dan adik lelakinya yang masih bayi di bawah jagaan bapa kandung mereka. Boleh dikatakan, di sini lah punca kepada segala masalah yang bakal dihadapi.

Tetapi, tidak seperti seorang bapa yang menjaga keselamatan dan kehormatan anak, bapa kandung Beth bertindak mencabul serta melakukan serangan seksual terhadap anak perempuan beliau yang berumur 1 tahun itu. Selain itu, beliau turut mengabaikan Jonathan yang masih bayi sehingga kepalanya menjadi rata pada bahagian belakang akibat terlalu lama dibiarkan di dalam buaian.

Namun perbuatan kejam dan jijik ini akhirnya dapat dikesan oleh doktor yang memeriksa kesihatan Beth dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Selepas 6 bulan, seorang pekerja sosial mengambil Beth dan adik lelakinya dan meletakkan mereka dibawah jagaannya.

Diambil Sebagai Anak Angkat

Potret Keluarga.
Tim Tennent meriba Jonathan
Julie Tennent meriba Beth

Beth dan adik lelakinya kemudian melalui proses pengambilan anak angkat oleh pasangan kristian Tim Tennent dan isterinya Julie Tennent. Selepas pasangan itu berputus asa untuk memiliki zuriat sendiri namun berhasrat mempunyai anak untuk berkongsi kasih sayang di dalam perkahwinan mereka.

Pasangan Tennent yang selesai melalui proses pengambilan anak angkat di jabatan servis sosial pada tahun 1984, membawa pulang Beth dan adik lelakinya Jonathan, masing-masing berumur 19 bulan (1 tahun 7 bulan) dan 7 bulan.

Tidak diketahui oleh pasangan Tennent bahawa kanak-kanak itu telah melalui detik hitam di dalam hidupnya, dimana Beth telah didera secara seksual, fizikal dan emosional oleh bapa kandungnya. Dan disebabkan penderaan tersebut, bermulanya mimpi ngeri pasangan Tennent akibat perkara yang akan berlaku hanya beberapa bulan kemudian.

Perubahan Beth

Segalanya berubah apabila Beth mula mempunyai mimpi buruk yang berulang secara konsisten semasa tidur. Menurut Beth, beliau bermimpi tentang seorang lelaki yang ‘berada di atas badan’ dan menyakiti beliau menggunakan ‘anggota’ badannya.

Mimpi buruk yang dialami Beth mula tidak disenangi serta membuatkan ibu bapa angkatnya iaitu pasangan Tim dan Julie Tennent sangat risau terhadap anak perempuan mereka. Namun mimpi buruk ini hanya sekadar permulaan kepada perubahan Beth yang lebih “gelap” dan berbahaya.

Sebagai seorang individu yang membesar tanpa kasih sayang serta kepercayaan terhadap individu lain, melayan kerenah manusia yang berbeza terbukti sukar bagi Beth. Selain itu, Beth yang seolah-olah tidak mempunyai hati nurani akan menggunakan peluang yang terhidang untuk menyakiti atau membunuh mereka yang menyinggung beliau. Ini termasuklah ibu bapa angkat serta adik lelakinya.

Beth mula bertindak ganas terhadap kedua ibu bapa angkat serta adik lelaki beliau sendiri iaitu Jonathan. Malah haiwan peliharaan juga tidak terlepas dari amukan gadis cilik ini. Pada suatu masa, Beth mengaku telah membunuh 4 haiwan peliharaan keluarga tersebut, selain daripada memicit anak-anak burung yang beliau jumpa sehingga mati.

Beth pernah beberapa kali mencuba untuk membunuh Jonathan dengan menolak adik lelakinya itu dari tangga sehingga jatuh ke tingkat bawah tanah kediaman mereka. Selain itu, Beth juga pernah menghantukkan kepala adiknya ke lantai menyebabkan kecederaan kepada dagu Jonathan. Jonathan diselamatkan oleh ibu angkatnya Julie yang mendengar tangisan dan jeritan Jonathan dari tingkat bawah tanah tersebut. Insiden itu membuatkan Jonathan perlu dikejarkan ke hospital akibat pendarahan.

Selain itu, Beth yang trauma akibat penderaan seksual dilakukan oleh bapa kandung beliau, mula menonjolkan sifat-sifat aneh secara seksual terhadap adik lelakinya, Jonathan dan budak-budak lelaki lain. Beth pernah mengakui kepada perbuatan bahawa beliau pernah memukul, memicit, menendang kemaluan Jonathan. Ibu angkat mereka iaitu Julie, menjadi saksi kepada perbuatan Beth yang menarik kemaluan Jonathan dan memasukkan jari ke dalam punggung adik lelaki nya itu.

Ianya disahkan kemudian bahawa keinginan Beth untuk menyakiti adiknya Jonathan adalah berdasarkan pengalaman hitam yang dialami bersama bapa kandungnya. Tidak lupa juga kepada mimpi-mimpi buruk dialami Beth tentang seorang lelaki yang menyerang beliau secara seksual.

Waqaf Saham

Bantuan Pakar

Pasangan Tennent serta merta mendapatkan bantuan pakar disebabkan oleh tingkahlaku Beth yang semakin hari semakin bahaya. Beth kemudian dibawa kepada Dr.Ken Magid, seorang psikologis klinikal yang mempunyai pengalaman luas di dalam kes kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual.

Sesi terapi yang dirakam tersebut telah dikompilasikan menjadi sebuah dokumentari bertajuk “Child of Rage”. Dokumentari yang boleh dianggap sebagai sedikit menyeramkan, dan membuatkan penonton tidak selesa memaparkan kesan buruk pengabaian dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Dr.Magid meneroka lebih dalam sejarah hitam yang masih diingati Beth dengan bertanya kepada gadis cilik itu tentang mimpi buruk berulang-ulang yang dialami beliau. Beth menjawab;

“Saya berada di rumah ditingkat atas. Dia kemudian menaiki tangga dan menyakiti saya”

Lelaki yang berada dalam mimpi tersebut adalah bapa kandungnya sendiri. Dr.Magid kemudian bertanya kepada Beth tentang apa yang gadis itu masih ingat tentang bapa kandung nya. Beth yang walaupun berumur 6 tahun pada ketika itu memberikan butiran terperinci di dalam jawapan beliau tentang bapanya;

“Dia menyentuh kemaluan saya sehingga berdarah, dan ianya sangat menyakitkan. Dan dia tidak memberi saya makan. Dia pukul saya. Dan tidak berkelakuan baik dengan saya.”

Apabila ditanyakan tentang umur beliau ketika peristiwa itu berlaku, kata Beth, beliau berumur 1 tahun.

Kemudian, ibu angkat Beth, Julie tampil memberikan kenyataan tentang tingkah laku Beth yang aneh;

“She started to masturbate at inappropriate times. I remember one time when we were at the hospital, waiting for Tim to come out. He was there visiting. Beth and Jonathan were in the backseat. She had her legs spread and was masturbating in a public parking lot.”

Terapi

Selain masalah-masalah dihadapi Beth yang disebutkan diatas, beberapa kali juga gadis cilik itu diketahui menyimpan sebilah pisau di dalam biliknya. Julie yang menyedari pisau yang hilang dari dapur serta risau akan perkara buruk bakal terjadi, mengaku mengunci bilik Beth pada waktu malam kerana takut akan ditikam ketika sedang tidur. Ia juga bagi mengelak Beth menyakiti serta membunuh adiknya Jonathan.

Ketika sesi terapi, Beth melukis gambaran mimpi beliau didatangi lelaki.

Setelah bertemu pelbagai pakar terapi kanak-kanak, pakar psikologi klinikal, ianya disahkan bahawa Beth didiagnos menghidap kecelaruan yang diberi nama “Reactive Attachment Disorder” atau RAD. RAD ini ialah sejenis psikopati yang dikaitkan dengan penderaan.

Lukisan Beth tentang memori bagaimana bapa kandung nya mencabul kehormatan beliau.

RAD adalah kondisi yang jarang berlaku tetapi sangat serius dimana kanak-kanak tidak mempunyai sebarang hubungan yang sihat terhadap ibu bapa atau penjaga. RAD akan terjadi apabila keperluan kanak-kanak yang asas tidak diberikan seperti kasih sayang, keselesaan, asuhan yang baik tidak dipenuhi.

Selepas itu, setelah sesi bersama Dr.Magid berakhir, beliau mencadangkan kepada pasangan itu supaya berpisah sementara dengan anak angkat mereka Beth. Beth diletakkan dibawah jagaan seorang pakar terapi kanak-kanak iaitu Connell Watkins, yang berpengalaman membesarkan kanak-kanak mempunyai kondisi “Reactive Attachment Disorder”.

Rumah terapi itu serta merta meletakkan beberapa garis panduan dan jadual yang ketat untuk Beth mengikutinya. Beth semakin lama semakin beransur pulih dari sifat agresif dan amukan ganas beliau. Beth akhirnya dimasukkan ke sekolah awam dan gadis cilik itu mula mengambil bahagian menyanyi di dalam koir gereja.

Keadaan Beth yang semakin lama semakin dewasa menjadi bertambah baik dengan terapi menyeluruh. Beth merasa kesal terhadap kesakitan yang dilakukan ke atas adik lelakinya Jonathan dan ibu bapa angkatnya. Beth tamat pengajian dari Universiti Colorado dengan ijazah dalam bidang kejururawatan.

Beth ketika dewasa, bekerja sebagai jururawat dan memberi ceramah di program-program Reactive Attachment Disorder.

Kini Beth bekerja sebagai jururawat dan turut bersama ibu angkat kedua beliau iaitu Nancy Thomas menjadi penceramah kepada kanak-kanak yang menghidapi penyakit “Reactive Attachment Disorder”, sepertinya.

Bagi sesiapa yang membaca artikel ini, jagalah kanak-kanak yang merupakan amanah dari Tuhan dengan baik. Berikanlah mereka kasih sayang dan janganlah menyakiti mereka.

Percayalah bahawa penderaan mental, fizikal dan secara seksual ini kekal diingatan seorang kanak-kanak dan akan membentuknya di kemudian hari.

Rujukan:

Beth Thomas – Child of Rage Bio: What Did She Do To Her Brother, Where Is She Now?. Retrieved from: https://answersafrica.com/beth-thomas-bio-brother.html/amp

“The Child of Rage”: Six-Year-Old Tortured Animals, Attempted to Kill Adoptive Parents with Knife. Retrieved from: https://www.rebelcircus.com/…/the-child-of-rage-a-six-year…/

Beth Thomas: the Psychopath Little Girl. Retrieved from: https://exploringyourmind.com/beth-thomas-the-psychopath…/…/

This Child Sociopath Tried To Kill Her Brother A Dozen Times – Now She’s A Nurse. Retrieved from: https://allthatsinteresting.com/beth-thomas