Betapa Beracunnya Ikan Buntal Fugu

886

Kebanyakkan kita di Malaysia ini pasti pernah melihat ikan buntal yang berada di bawah spesis Tetraodontidae. Ikan ini mempunyai mekanisma pertahanan yang menarik iaitu sekiranya ikan ini berdepan dengan apa-apa ancaman, ia akan menelan air sebanyak mungkin, menjadikan saiznya bertambah sehingga mencapai 3 kali ganda.

Dalam penelanan air ke dalam perutnya itu, ikan ini akan mengembang, serta bahagian durinya akan menjadi lebih jelas kelihatan. Mana-mana pemangsa akan tidak mempunyai selera dan tarikan lagi apabila ia sudah mengembung. Kita juga tahu bahawa haiwan ini mempunyai toksin yang sangat tinggi di mana seekor ikan ini mempunyai toksin yang cukup untuk membunuh 30 orang manusia.

Toksin yang terdapat dalam badan ikan ini dinamakan sebagai tetradotoxin (TTX). Ikan ini pada asalnya tidak mempunyai apa-apa toksin, namun, para saintis membuat kesimpulan bahawa wujudnya toksin di dalam badan ikan ini adalah disebabkan tabiat makannya yang tidak memilih.

Antara bakteria yang dikaitkan dengan kemunculan toksin di dalam badan ikan ini termasuklah Alteromonas, Pseudomonas dan juga Vibrio sp.

Sejarah kematian akibat TTX ini muncul apabila selepas perang dunia kedua, rakyat Jepun yang kebulur dan miskin kadangkala terpaksa mencari makanan di dalam tong sampah. Sisa ikan ini yang dihidangkan di restoran diambil, dan dibakar untuk dimakan. Kebanyakkan mereka maut akibat perbuatan ini.

Jumlah kematian akibat keracunan TTX ini mencapai sebanyak 2500 orang di antara tahun 1945 hingga 1975. Justeru, General MacArthur yang mengetuai American Occupational Force selepas perang dunia kedua mewajibkan untuk mana-mana tukang masak yang ingin menghidangkan makanan ini, yang digelar sebagai fugu perlu mengambil lesen terlebih dahulu.

Masa yang diperuntukkan adalah diantara 2 hingga 3 tahun sebagai pelatih. Kemudian, terdapat peperiksaan bertulis serta praktikal di mana para chef harus menyediakan hidangan sashimi daripada badan fugue, kurang daripada 20 minit. Peratusan kejayaan untuk lulus peperiksaan ini hanyalah 35 peratus sahaja.

Sebelum itu, mari kita bac terlebih dahulu, apakah itu TTX dan bagaimana toksin ini membunuh manusia. TTX mempunyai kekuatan lebih 1000 kali ganda jika nak dibandingkan dengan Cyanide. TTX merupakan sodium channel blocker yang akan menyerang bahagian saraf manusia, menyebabkan seseorang itu menjadi lumpuh. Kebanyakannya maut apabila otot diafragma yang digunakan untuk pernafasan juga tidak berfungsi.

Setakat ini, tiada antidote yang berkesan untuk meneutralkan kesan racun ini. Rawatan daripada pihak hospital adalah lebih kepada sokongan pernafasan dan intravenous drip sahaja. Selebihnya, badan manusia akan memproses racun ini dan dihantar keluar melalui najis mahupun air kencing.

TTX ini terdapat pada bahagian insang, hati, pundi hempedu, buah pinggang, mata dan ovari (betina). Para chef yang menyediakan makanan ini perlu melihat dengan teliti, terutama pada organ seks haiwan ini di mana bahagian ovari amat beracun, namun, bahagian testikel (jantan) merupakan salah satu bahagian yang enak dimakan begitu sahaja 🙂

Setelah mereka membuang kesemua bahagian organ dalaman yang beracun itu, bahagian yang tinggal hanyalah sebanyak 50 peratus sahaja untuk dimakan. Setakat ini, negara Jepun merupakan negara terbesar di mana rakyatnya makan sekitar 10,000 tan ikan ini setahun. Tangkapan ikan tanpa kawalan (overfishing) mengakibatkan harganya mencecah RM1100 sekilo terutama sekali pada spesis yang dikatakan paling sedap iaitu torafugu (Tiger pufferfish).

Ikan ini tidaklah mempunyai perisa yang sedap, dan teksturnya pula kenyal (berdasarkan pengalaman saya makan ikan ini semasa ke Jepun pada tahun 2010). Para chef akan menyediakan ikan ini dalam pelbagai menu iaitu sashimi, deep fried dan diletakkan di dalam sake (arak – tidak halal).

Kini, angka korban akibat keracunan ini menjadi rendah, lebih kurang 20 orang yang maut akibat TTX ini. Kebanyakkan yang maut ini adalah disebabkan mereka ingin mencuba untuk menyiang dan memproses ikan ini sendiri di rumah mereka.

Jadi, dengan harga yang begitu tinggi dan anda mempunyai risiko untuk maut semata-mata untuk mencuba rasa ikan ini, adakah anda rasa ia berbaloi?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.